“BUAT permulaan,
aku nak bagi makanan ni pada dia. Pak cik google tu kata, kalau nak pikat hati
lelaki kena ikat dia dengan air tangan kita,” kata Zafira kepada dirinya
sendiri.
Beg
kertas di tangan diperhati penuh minat. Diintai isi di dalam beg itu dan tersenyum.
Bekas makanan berisi spagheti hasil air tangannya cantik terletak di dalam
bekas itu. Tidak sabar untuk mendengar komen Iqwan sewaktu memakannya nanti.
“Assalamualaikum,
cik!” tegur Zafira kemudian.
Haniza
mengangkat muka. Wajah Zafira menyapa mata.
“Encik
Iqwan Hafiz ada?” Ramah Zafira bertanya. Senyuman diberikan kepada gadis itu.
“Encik
Iqwan?” ulang Haniza, berkerut dahi.
Wajah
Zafira diperhati penuh minat. Seperti pernah melihat gadis itu. Adakah gadis
yang sama beberapa hari yang lepas?
“Cik!”
tegur Zafira tatkala menyedari gadis di hadapannya itu seakan termenung.
“Oh,
maaf. Nak jumpa dengan Encik Iqwan ya.”
Zafira
mengangguk dan tersenyum.
“Sebentar,
saya beritahu pada Encik Iqwan. Cik duduk dulu. Nanti saya panggil.”
“Terima
kasih.”
Haniza
tersenyum. Dia segera menuju ke bilik Iqwan. Otaknya ligat berfikir. Siapa
gadis itu? Apa hubungan gadis itu dengan Iqwan?
Belum
pernah lagi dia melihat Iqwan keluar bersama dengan mana-mana gadis. Girlfriend jauh sama sekali. Bosnya itu
suka menghabiskan masa dengan kerja.
Zafira
hanya memandang. Kemudian, dilabuhkan duduk di sofa sambil melilaukan mata.
Memerhati keadaan pejabat itu. Cantik dan teratur.
“Cik!”
tegur Haniza kemudian.
“Macam
mana?” tanya Zafira tidak sabar.
“Encik
Iqwan ada tetamu sekarang. Dia minta cik tunggu di sini sehingga dipanggil.”
“Oh!
Baiklah kalau dah macam tu. Saya tunggu kat sini sajalah.”
Haniza
sekadar mengangguk. Dia segera menuju ke meja kerjanya semula. Hatinya masih
lagi tertanya-tanya. Siapa sebenarnya gadis itu?
Zafira
melabuhkan duduk semula di sofa. Dikerling jam buat seketika. Masa baru
merangkak ke angka dua belas tengah hari. Kedatangannya ke pejabat Iqwan sudah
diberitahu kepada Aqil. Hanya bantahan yang diterima daripada abangnya itu.
Namun, dia tidak peduli asalkan dia dapat meneruskan rancangan memikat Iqwan.
Zafira
menghela nafas ringan. Disandarkan tubuh ke sofa sambil berfikir. Apa yang
difikirkannya itu dia sendiri tidak tahu. Adakah Iqwan yang sedang bermain di
minda? Senyuman malu terukir di bibir. Tidak sabar untuk berjumpa dengan Iqwan.
“KALAU
kau tak suka sekali pun, janganlah buat dia macam tu. Cuba letakkan diri kau
kat tempat dia,” tegur Khairil kurang senang.
“Suka
hati aku la nak buat apa. Yang kau tak puas hati ni, kenapa?” bentak Iqwan,
keras.
Khairil
menggelengkan kepala. Kedegilan Iqwan sukar untuk dilawan.
“Menyusahkan!
Hidup aku jadi kucar kacir, kau tahu tak?”
“Menyusahkan?
Maksud kau? Aku tak nampak pun dia menyusahkan kau.”
“Memang
menyusahkan.”
“Kalau
dia menyusahkan kau, kenapa kau tak berterus-terang saja pada dia?”
“Perempuan
macam tu, bukannya dia faham. Selagi tak dapat, selagi itulah dia akan
dapatkan.” Iqwan mendengus keras.
Ketawa
kecil Khairil mendengarnya.
“Apasal
kau ketawa?” tegur Iqwan kurang faham.
“Sebenarnya
kau suka dia kacau kau, kan?” usik Khairil seraya mengangkat kening.
“Mengarut!”
tukas Iqwan, serius.
“Sudahlah
Wan. Bukannya aku tak kenal dengan kau. Kita berkawan dari sekolah lagi.
Selepas keluarga aku meninggal disebabkan kemalangan, keluarga kau ambil aku
jadi anak angkat. Segala sikap dan perangai kau, dah sebati dalam diri aku ni,”
jelas Khairil, nyata.
Kenangan
lama menggamit memori. Ucapan terima kasih meniti di benak hati. Terima kasih
kepada keluarga Iqwan kerana sudi mengambilnya sebagai anak angkat memandangkan
dia tidak mempunyai sesiapa dalam dunia ini.
Ibu
dan ayahnya merupakan anak tunggal dalam keluarga. Adik lelakinya meninggal
dalam kemalangan yang sama. Hanya doa yang mampu diberikan agar roh keluarganya
dicucuri rahmat dan berbahagia di alam sana.
“Yang
pasti, aku tak suka minah sengal tu. Faham!” putus Iqwan bingkas bangun dari
duduk. Dibawa langkah menuju ke muka pintu bilik. Dia perlu berhadapan dengan
gadis itu.
“Kau
nak ke mana?” tanya Khairil, ingin tahu.
“Halau
minah sengal tu.” Selamba Iqwan berkata. Seminit kemudian, kelibatnya hilang
dari pandangan mata Khairil.
Khairil
yang mendengar berkerut dahi. Dia mengekori Iqwan daripada belakang. Ketawa
kecil terlepas daripada bibir. Geli hati memikirkan perangai Iqwan.
“MACAM
mana? Sedap tak?” tanya Zafira tidak sabar.
Iqwan
tidak membalas. Mulutnya mengunyah spagheti yang dimasak oleh Zafira. Mahu
tidak mahu, terpaksalah dia menelan walaupun dalam hati dia membentak hebat.
“Macam
mana?” tanya Zafira lagi. Matanya memandang wajah Iqwan.
“Okeylah!”
jawab Iqwan, sepatah.
Zafira
tersenyum mendengar jawapan Iqwan. Ucapan syukur meniti di benak hati.
“Terima
kasih!” ucap Zafira kemudian.
Iqwan
berkerut dahi. Kurang faham makna ucapan itu.
“Sebab
awak sudi makan masakan saya,” jelas Zafira melihatkan wajah berkerut Iqwan.
“Dah
kau paksa aku makan, nak tak nak makan sajalah,” balas Iqwan, selamba.
Zafira
tersentak. Wajah selamba Iqwan ditatap. Walaupun dia terasa dengan kata-kata
Iqwan sebentar tadi, dibuang jauh-jauh perasaan itu.
“Tak
apalah. Saya dah cukup bersyukur kalau awak nak makan walaupun kerana
terpaksa,” ujar Zafira lalu tersenyum.
Iqwan
mencebik. Kata-kata yang keluar daripada mulut Zafira buat endah tak endah
sahaja. Dikerling jam di pergelangan tangan. Masa sudah merangkak ke angka dua
petang.
“Aku
nak balik office. Dah lambat ni,”
beritahu Iqwan bingkas bangun.
“Ha…
nak balik dah ke?” soal Zafira turut sama bangun.
“Aku
ada kerja. Syarikat tu perlukan aku. Lain la kau. Duduk goyang kaki. Abang kau
tu yang uruskan syarikat,” kata Iqwan bernada sindiran.
Tanpa
menunggu, dia segera beredar dari situ. Rasa rimas berhadapan dengan Zafira.
Kenapa dia dijadikan sasaran gadis itu? Kenapa dia yang dipilih?
Zafira
hanya memandang. Kata-kata sindiran Iqwan tidak dipedulikan.
“Encik
Iqwan!” panggil Zafira sambil cuba mengejar langkah Iqwan.
DEAR My Dream Husband,
Hari ini saya happy
sangat sebab awak sudi temankan saya. Terima kasih awak!
Your Future Wife – NZS
Zafira
menutup diari hitam miliknya. Senyuman terukir di bibir. Peristiwa siang tadi
bermain-main di minda. Sungguh, dia berasa gembira tatkala bersama dengan
Iqwan.
Walaupun
dia tahu Iqwan tidak senang dengannya, dia tidak peduli dengan semua itu. Yang
pasti, dia akan cuba memikat hati Iqwan. Dia yakin, Iqwan akan jatuh cinta
dengannya suatu hari nanti.
Telefon
bimbit dicapai dari atas meja. Nombor Iqwan dicari lalu mendailnya dan menanti
panggilan berjawab.
“Encik
suami!” ujar Zafira, tersenyum.
“Kau
nak apa?” tanya Iqwan dari hujung talian.
“Encik
suami tengah buat apa? Mimpikan bakal isteri ke?” Zafira sekadar mengusik.
“Boleh
tak kau jangan nak berangan? Aku nak tidur ni,” rengus Iqwan.
Ketawa
kecil Zafira mendengarnya. Kemarahan Iqwan buat endah tak endah sahaja.
“Kau
nak apa?” ulang Iqwan pada pertanyaannya yang tadi.
“Nak
encik suami!” Selamba Zafira membalasnya.
Iqwan
mendengus kasar. Sikap Zafira menguji kesabarannya.
“Terima
kasih encik suami.”
“For what?”
“Sudi
keluar dengan bakal isteri.”
Iqwan
beriak geli. Geli geleman mendengarnya.
“Lepas
ni kita keluar lagi nak?”
“Tak
nak!”
“Kenapa?”
“Sebab
aku tak suka.”
“Tak
apa. Nanti jadi suka.”
“Dahlah!
Malas aku nak layan kau. Aku nak tidur,” kata Iqwan, serius. Ada baiknya dia
menghentikan perbualan itu. Malas untuk melayan Zafira lagi.
“Okey,
encik suami. Mimpikan yang indah-indah. Yang penting, mimpikan bakal isteri
yang comel ni,” ucap Zafira, tersenyum malu.
“Jangan
nak perasan!” balas Iqwan dan mematikan talian.
Dengusan
kasar terlepas daripada bibir. Kenapalah dia boleh berjumpa dengan manusia
seperti Zafira itu? Tidak kenal erti malu.
“Huh!
Dia ni tak ada perasaan ke? Dah macam-macam aku buat, tapi dia boleh buat-buat
bodoh pulak,” kutuk Iqwan sendirian.
Seminit
kemudian, bunyi mesej kedengaran dari arah telefon. Ditatap nama di skrin
telefon. Nama Zafira yang diset kepada ‘minah sengal’ tertera di skrin.
Selamat malam, encik
suami. Bakal isteri masuk beradu dulu dan ikhlas memaafkan segala kesalahan
encik suami. J
Terkedu
Iqwan membacanya. Dicampak telefon bimbit ke atas katil dan meraup wajah.
Terkadang sikap Zafira membuatkan dia rasa bersalah. Gadis itu tidak pernah
terasa dengan apa yang telah dilakukannya. Keluhan berat terlepas untuk
kesekian kali.
“KENAPA
tak makan lagi?” tegur Amylia, lembut.
“Abang
tak ada selera, Amy,” jawab Aqil, lemah.
Amylia
memandang wajah suaminya. Riak sedih terlukis di wajah itu. Adakah disebabkan
Zafira maka suaminya itu beriak sebegitu?
“Abang
ingat nak jumpa mak long. Tanya pendapat mak long macam mana,” cadang Iqwan
berserta keluhan ringan.
Amylia
melabuhkan duduk di sisi Aqil. Dicapai tangan Aqil lalu menggenggamnya erat.
“Abang
risaukan Zafira?”
“Fikiran
abang tak pernah putus risaukan pasal Zafira.”
“Fira
dah besar. Dah boleh fikir sendiri. Abang tak perlulah nak risaukan pasal
Fira.”
“Abang
tahu Fira dah besar. Dah boleh fikir sendiri. Tapi, abang tetap risaukan dia.”
Amylia
menghela nafas ringan. Itulah Iqwan yang sebenar. Suaminya itu seorang yang
bertanggungjawab dan penyayang. Seorang abang yang sayangkan adiknya. Kasih
sayang yang ditunjukkan oleh Aqil terhadap Zafira mengharukan hati.
Sebab
itu juga dia jatuh cinta dengan Aqil. Walaupun Aqil lebih mengutamakan Zafira,
dia tidak pernah berasa cemburu. Memiliki Aqil sebagai suami merupakan anugerah
terindah dalam hidupnya.
“Abang
nak minta pendapat mak long.”
“Amy
pun rasa macam tu juga. Abang tanya pada mak long tentang Zafira.”
“Amy
ada tanya Fira pasal siang tadi?”
“Ada!
Happy saja Amy dengar suara Fira.”
“Happy?”
Amylia
mengangguk.
“Abang
tak yakin Fira happy. Mungkin Fira
menyembunyikan rasa di hati. Amy sendiri tahu macam mana sikap Iqwan pada Fira.
Walaupun mereka baru berkenalan, abang tengok Iqwan memang tak sukakan Fira,”
jelas Aqil, perlahan.
“Baru
lagi mereka berkenalan. Dah lama-lama nanti, okeylah,” kata Amylia, memujuk.
“Abang
perasan, Amy. Iqwan memang tak sukakan Fira.”
“Kita
tengok dulu macam mana. Amy yakin, suatu hari nanti Iqwan akan sukakan Fira.”
Aqil
menghela nafas berat. Wajah isterinya ditatap kasih.
“Bukan
bererti kita membiarkan sahaja apa yang Fira nak buat. Kita sebagai orang yang
lebih tua perlu juga menasihati Fira. Kalau Fira masih boleh dikawal, kita
biarkan. Tapi, kalau perkara tu boleh memudaratkan Fira, kita masuk campur. Amy
pun tak nak Iqwan sakitkan hati Fira,” terang Amylia dengan penuh tersirat.
Berharap, suaminya itu dapat memahami dengan apa yang cuba disampaikannya itu.
“Abang
faham, Amy. Abang harap Fira tak berasa kecewa dengan penolakan Iqwan. Maksud
abang, sikap dan penerimaan Iqwan terhadap Zafira.”
“Insya-Allah,
abang. Kita tengok sajalah dulu. Kalau difikirkan, memanglah nampak Fira yang
terhegeh-hegeh dengan Iqwan. Perigi mencari timba. Tapi, zaman sekarang ni
orang dah tak pandang istilah tu lagi.”
Aqil
cuba merencana penjelasan Amylia. Ada benarnya kata-kata isterinya itu.
“Abang
ingat kisah Rasulullah S.A.W. kita dahulu? Siti Khadijah meminang Rasulullah
S.A.W.?” tambah Amylia seraya memandang ke wajah Aqil.
Aqil
berfikir sejenak. Seminit kemudian, dia menganggukkan kepala tatkala mengingati
kisah Rasullullah S.A.W.
“Dahlah!
Kita doakan yang terbaik buat Zafira. Amy pun setuju kalau abang nak jumpa
dengan mak long. Mungkin mak long ada pendapatnya tersendiri,” ujar Amylia
pula.
“Abang
pun fikir macam tu. Esok kalau abang ada masa, abang pergi jumpa dengan mak
long. Abang harap, mak long boleh bagi pendapat tentang ni,” balas Aqil,
menggangguk kecil.
“Insya-Allah.
So, dah boleh makan? Penat-penat Amy
masak untuk abang, tapi abang tak nak makan. Nak merajuklah macam ni,” kata
Amylia sambil menarik muka masam.
Tergelak
Aqil mendengarnya. Wajah masam mencuka isterinya ditatap kasih. Seminit
kemudian, kucupan kasih diberikan buat Amylia.
“Terima
kasih, sayang. Terima kasih untuk segala-galanya,” ucap Aqil, tersenyum.
Amylia
turut sama tersenyum. Semoga hubungannya dengan Aqil berkekalan hingga ke akhir
hayat. Semoga rumah tangganya sentiasa dilindungi daripada hasad dengki
manusia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan