“SABAR
Fira!” pujuk Amylia, lembut. Diusap
lembut belakang Nur Zafira Sofea. Cuba untuk menenangkan hati adik iparnya itu.
“Semua ni dah
takdir Allah. Mahu tidak mahu, Fira terpaksa terima,” suara Aqil Danish,
tiba-tiba. Dilabuhkan duduk di sisi adiknya itu.
Zafira tidak
membalas. Air mata dibiarkan terus mengalir membasahi pipi. Tidak berniat untuk
menyeka. Berita yang baru diterima sungguh menyentap hati. Bagaimana untuk
mengharungi hidup selepas ini?
“Kita hanya
merancang, tapi Allah menentukan segala-galanya,” pujuk Aqil pula.
“Fira!”
panggil Izreen dari kejauhan.
Zafira, Aqil
dan Amylia menoleh. Wajah Izreen menyapa mereka bertiga.
“Fira!” seru
Izreen, lembut.
Aqil bingkas
bangun dari duduk. Memberi ruang kepada Izreen untuk duduk di sisi Zafira.
Matanya memandang wajah sedih Zafira. Sebak tatkala mengenang nasib adiknya
itu.
“Macam mana,
Abang Aqil? Ada berita?” tanya Izreen, ingin tahu.
Aqil menghela
nafas berat. Hanya gelengan diberikan kepada Izreen sebagai tanda jawapan
kepada pertanyaan gadis itu.
“Waris pesakit
di minta ke sini,” panggil seseorang mematikan perbualan mereka.
Aqil yang
mendengar segera menghampiri petugas. Berdebar-debar dirasai ketika ini.
Menanti kata-kata yang bakal keluar daripada mulut doktor yang bertugas.
Amylia turut
sama bangun dan menghampiri Aqil. Dia juga turut merasai debaran. Adakah berita
buruk yang bakal mereka terima hari ini?
“Macam mana,
doktor?” tanya Aqil, perlahan.
“Maafkan saya,
Encik Aqil. Allah lebih…”
Doktor Badri
mematikan ayat. Berharap, waris pesakit memahami dengan gantungan ayatnya itu.
Rasa kasihan menujah ke hati.
Aqil
mengangguk faham. Sudah pastilah ayahnya tidak dapat diselamatkan.
“Kalau tak ada
apa-apa lagi, saya minta diri dulu. Takziah daripada saya buat Encik Aqil
sekeluarga,” ujar Doktor Badri seraya menyentuh lembut bahu Aqil.
“Terima kasih,
doktor,” ucap Aqil, lemah.
Doktor Badri
hanya mengangguk. Tanpa berlengah, dia segera beredar dari situ. Hanya titipan
doa yang mampu diberikan buat Aqil sekeluarga. Semoga roh ayahnya dicucuri
rahmat.
“NO!
Tak mungkin doktor! Tak mungkin!” tukas Iqwan Hafiz, lantang.
“Iqwan, bawa
bersabar,” pujuk Khairil Izhan.
“Tak mungkin!
Tak mungkin!” Iqwan masih lagi menafikan.
“Wan, semua ni
dah takdir Allah. Kau kena reda terima segala ketentuan dari-Nya,” pujuk
Khairil sambil menyentuh lembut bahu kawannya itu.
Doktor Jamal
hanya mendengar. Rasa simpati atas apa yang berlaku terhadap Iqwan.
“Aku tahu
Khai. Dah takdir Allah buat aku,” balas Iqwan, lemah.
Diraup sekali
wajahnya sambil melepaskan keluhan berat. Berita mengenai kematian insan yang
disayangi sukar untuk diterima.
“Bila kami
boleh uruskan jenazah doktor?” tanya Khairil mewakili Iqwan.
“Petugas akan
beritahu pada encik kemudian. Kalau tak ada apa-apa lagi, saya minta diri dulu.
Takziah daripada saya buat Encik Iqwan sekeluarga,” beritahu Doktor Jamal.
“Terima kasih,
doktor,” ucap Khairil lalu tersenyum hambar. Matanya menghantar langkah Doktor
Jamal sehingga hilang dari pandangan.
“So, kau nak…”
“Aku nak ambil
angin sekejap,” pintas Iqwan lalu beredar dari situ.
Khairil tidak
membalas. Tubuh lesu Iqwan dipandang berserta perasaan kasihan. Tanpa
berlengah, dia melangkah menuju ke kaunter untuk menguruskan jenazah. Hanya
iringan doa yang diberikan buat Iqwan agar tabah dalam menghadapi dugaan.
“RIF
dah buat apa yang ayah suruh,”
beritahu Rifqy, perlahan.
“Bagus! Ini
baru anak ayah. Dengar cakap ayah,” balas Dato Zaidie, bangga.
Rifqy tidak
membalas. Otaknya memikirkan peristiwa beberapa jam yang lepas. Rasa bersalah
dengan apa yang telah berlaku.
“Baru puas
hati ayah,” luah Dato Zaidie. Senyuman puas meniti di bibir.
“Kalau tak ada
apa-apa, Rif naik atas dulu,” ujar Rifqy bingkas bangun dari duduk.
“Sekejap! Rif
menyesal dengan apa yang Rif dah lakukan?” soal Dato Zaidie sekadar menduga perasaan
anaknya itu.
Rifqy menarik
nafas berat. Adakah dia menyesal ketika ini? Ya, dia memang menyesal kerana
menurut arahan ayahnya, Dato Zaidie. Sebagai seorang anak, dia rela menerima
hukuman asalkan hati Dato Zaidie puas.
“Come on Rif. Takkan Rif menyesal dengan
apa yang Rif dah lakukan?” tegur Dato Zaidie pula. Wajah anaknya itu ditatap.
“Memang Rif
menyesal dengan apa yang telah Rif lakukan. Seumur hidup Rif akan menanggung
rasa kekesalan ini,” balas Rifqy bernada kecewa.
Tanpa menunggu
balasan, dia beredar dari situ. Malas untuk meneruskan perbincangan itu. Kalau
diteruskan, pasti rasa kekesalan semakin menghimpit diri.
Dato Zaidie
hanya memandang. Dengusan kasar terlepas daripada bibir. Sudah pastilah anaknya
itu berasa kesal dengan apa yang telah dilakukan. Dia tidak peduli dengan semua
itu. Apa yang penting, dendam yang tersimpan selama ini telah dibalas.
Terima kasih!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan