“SMART?” ulang
Izreen, berkerut.
“Yalah, SMART!” balas Zafira sambil mengangguk.
“Kalau tak
silap aku, kebanyakan lelaki yang along kenalkan dengan kau semuanya smart. Tapi, kau tetap tolak,” kata
Izreen. Otaknya ligat berfikir.
“Memanglah smart. Tapi smart di luar bukan di dalam.”
Izreen berkerut
dahi. Apa yang dimaksudkan oleh Zafira itu?
“Kau tak faham
ke?” soal Zafira melihatkan wajah berkerut Izreen.
“Memang aku
tak faham.”
Zafira
menghentikan langkah. Wajah Izreen ditatap.
“Smile, mature, attract, reliable, thankful. Kelima-lima ni kena ada pada lelaki yang bakal menjadi
suami aku nanti,” jelas Zafira sambil menunjuk kelima-lima jemarinya.
Izreen cuba
memahami penjelasan Zafira.
“Yang pertama,
smile. Aku nak lelaki tu sentiasa
tersenyum walaupun dalam keadaan marah sekalipun. Kedua, mature. Aku nak lelaki yang matang. Bukan macam kebudak-budakan.
Yang ketiga, attract. Walaupun dia
tak handsome, tapi menarik pada
pandangan mata aku. Keempat, reliable.
Mesti lelaki yang boleh dipercayai dan yang terakhir thankful. Lelaki itu sentiasa bersyukur dengan apa yang
diperolehi,” terang Zafira, jelas dan nyata.
Izreen masih
setia mendengar. Otaknya cuba merencanakan kenyataan Zafira.
“Senyum,
matang, menarik, dipercayai dan bersyukur. Semua tu kriteria-kriteria suami
yang aku nak,” ujar Zafira pula.
“Sekejap! Aku
tengah nak cuba fahamkan penjelasan kau tadi,” celah Izreen.
Zafira
berkerut dahi. Wajah Izreen dipandang mesra.
“Kalau
tersenyum time marah… itu tak ada
perasaan namanya. Kalau matang pun tak syok juga. Sesekali nak tengok dia
kebudak-budakkan dan manja. Kalau perangai dia tak menarik mata kau, macam
mana? Dipercayai? Yang ni aku rasa… tak kesemua lelaki boleh dipercayai. Mana
la tahukan depan kau dia baik, tapi belakang kau dia hantu. Dan yang terakhir,
sentiasa bersyukur. Yang ni… no
komen,” jelas Izreen, panjang lebar.
Zafira hanya
mendengar. Cuba untuk memahamkan penerangan Izreen sebentar tadi.
“Faham tak?”
soal Izreen, tersenyum.
“Entah! Aku
pun tak faham apa yang kau cakap.”
“Aku pun tak
faham juga.”
Zafira ketawa
dan menggeleng. Otaknya masih merencana penerangan Izreen. Sedikit sebanyak,
ada benarnya kata-kata Izreen itu.
“Jomlah! Dah
lambat ni,” ajak Izreen melihatkan Zafira seakan mengelamun.
Zafira sedikit
tersentak. Disambung langkah menuju ke pawangan. Entah kenapa matanya terpandangkan
seseorang. Seperti pernah melihat orang tersebut sebelum ini.
“Kau nak
tengok cerita apa?” tanya Izreen setibanya di ruang legar pawagam.
Zafira tidak
membalas. Matanya masih terpahat ke arah sesusuk tubuh yang sedang membeli popcorn.
“Fira, kau nak
tengok cerita apa?” ulang Izreen bernada tinggi.
“Apa-apa
sajalah. Aku nak ke sana sekejap,” balas Zafira dan beredar dari situ.
Izreen sedikit
tersentak. Matanya memerhati langkah Zafira yang sedang menghampiri seorang lelaki. Siapa lelaki itu?
“HR! Hitrik
Roshan!” tegur Zafira sedikit teruja.
Iqwan yang
sedang membayar harga popcorn sedikit
tersentak. Dihalakan mata ke arah yang memanggil. Berkerut dahinya memandang
gadis di hadapannya itu.
“Saya! Awak
tak ingat ke?” sambung Zafira.
Iqwan segera
menghampiri Zafira sebaik sahaja membayar harga popcorn. Diperhatikan Zafira daripada atas ke bawah.
“Ala… takkan
tak ingat? Semalam kan kita jumpa. Yang saya panggil awak HR tu. Hitrik
Roshan!” tambah Zafira lalu tersenyum.
Iqwan berfikir
sebentar. Diamati wajah gadis di hadapannya itu.
“Ala… macam
orang tua la awak ni. HR, Hitrik Roshan,” sebut Zafira lagi. Cuba untuk
mengingatkan lelaki di hadapannya itu.
Iqwan masih
berfikir. HR? Hitrik Roshan? Hatinya mengulangi dua perkataan itu. Seperti
pernah mendengarnya sebelum ini.
“Kau…” Iqwan
mematikan ayat tatkala mengingatinya.
“Tak sangka
kita jumpa lagi. Maknanya kita ada jodoh,” pintas Zafira, tersengih.
Iqwan tidak
membalas. Wajah sengihan Zafira ditatap berserta cebikan di bibir.
“Nak tengok
wayang ke?” tanya Zafira, ramah.
“Kau sibuk,
kenapa?” balas Iqwan dan beredar dari situ.
Dengusan kasar
terlepas daripada bibir. Kenapalah dia boleh berjumpa dengan gadis itu lagi?
Entah dari planet mana minah ni datang. Macam tak betul pun ada, kutuk Iqwan
dalam hati.
Zafira sedikit
tersentak. Matanya mengekori langkah Iqwan yang sudah pun menjauh.
“Fira, apasal
ni?” tegur Izreen, tiba-tiba.
Zafira
menghalakan mata ke arah Izreen. Gelengan diberikan kepada kawannya itu. Tanpa
membalas, dia segera beredar dari situ.
Izreen berkerut
dahi. Matanya memandang pemergian Zafira. Apa yang tidak kena dengan Zafira?
Siapa lelaki yang Zafira jumpa sebentar tadi?
“APA
kes?” tanya Khairil setibanya Iqwan di hadapan.
“Minah gila!”
jawab Iqwan sambil melabuhkan duduk.
“Minah gila? Takkanlah
minah tadi tu gila? Kau biar betul Wan?”
“Yalah, gila.
Orang gila saja yang panggil aku Hitrik Roshan.”
Khairil cuba
memahami kata-kata Iqwan. Seminit kemudian, dia ketawa mendengarnya.
“Kau senyap,
boleh?” tegur Iqwan, keras.
“Lawaklah bro.”
“Apa yang
lawaknya? Kau ingat ni Maharaja Lawak Mega ke?”
Khairil
tergelak. Geli hati mendengar kata-kata Iqwan.
“Aku ni dia
anggap HR. Hisy, kalau aku jumpa dia lagi, aku sekeh-sekeh kepala dia. Padan
muka dia!” bebel Iqwan pula.
Semakin galak
Khairil ketawa. Geli hati mendengar bebelan Iqwan.
“Suka hati
saja minah tu nak panggil aku HR,” geram Iqwan sambil mengepal tangan.
“HR?” soal
Khairil lalu mematikan ketawa.
“Yalah, HR stand for hantu raya!” Iqwan membalas
dalam nada geram.
Ketawa besar
Khairil mendengarnya. Ditatap wajah mencuka Iqwan.
“Aku ingatkan
HR tu Hitrik Roshan. Rupa-rupanya hantu raya,” gelak Khairil lagi.
Iqwan berkerut
dahi. Otaknya cuba merencana kata-kata Khairil.
“Kau sendiri
kata tadi yang minah tu panggil kau Hitrik Roshan. HR tu bukan ke short form pada Hitrik Roshan?” jelas
Khairil pula.
Iqwan hanya
mendengar. Ada benarnya kata-kata Khairil itu.
“Melainkan
kalau maksud minah tu memang hantu raya pada kau.”
“Kau pun sama
macam minah tu. Gila!” geram Iqwan sambil mendengus kasar.
Khairil ketawa
kecil. Geli hati melihat riak di wajah Iqwan. Belum pernah lagi Iqwan beriak
begitu. Selama ini hanya riak tidak berperasaan sahaja yang terlukis di wajah
kawan baiknya itu.
Selepas apa
yang berlaku pada dua tahun yang lepas, Iqwan lebih suka menyendiri. Tidak suka
bercampur dengan sesiapa dan hari ini, dia melihat perubahan itu. Semoga dia
dapat melihat perubahan seterusnya daripada Iqwan.
“KAU
biar betul, Fira?” tanya Izreen, inginkan kepastian.
“Aku tak tipu.
Memang Hitrik Roshan,” jelas Zafira penuh yakin.
“Ah! Tak
mungkin Hitrik Roshan datang sini. Menipulah kau ni, Fira.”
“Mata dia
macam mata Hitrik Roshan.”
Izreen
menggelengkan kepala. Riak teruja Zafira ditatap.
“Kalau dia
jadi suami aku, kan best,” ujar
Zafira, teruja.
Izreen berkerut
dahi. Seminit kemudian, dahi kawannya itu dipukul.
“Aduh! Apa
ni?” tegur Zafira sambil mengusap dahi.
“Berangan!
Macamlah kau kenal dengan lelaki tu.”
“Satu hari
nanti, aku akan kenal dengan dia.”
Izreen
menghela nafas ringan. Belum pernah lagi dia mendengar kata-kata seperti itu
tadi daripada mulut Zafira.
“Aku nak minta
tolong Abang Aqil siasat pasal dia,” ujar Zafira, tersenyum.
Terhenti
langkah Izreen mendengarnya. Kenapa Zafira berkata begitu?
“Aku pasti dia
suami idaman aku selama ini,” sambung Zafira lagi.
“Fira…”
panggil Izreen.
Zafira
mematikan langkah. Dia menoleh ke belakang. Kenapa dengan Izreen?
“Fira…” seru
Izreen lagi.
“Kenapa?” soal
Zafira, berkerut dahi.
“Aku tak nak
pisang berbuah dua kali. Kau dah lupa dengan apa yang terjadi pada dua tahun
yang lepas?” Izreen sekadar mengingatkan.
Zafira cuba
merencana penjelasan Izreen. Nafas berat dilepaskan. Mana mungkin dia melupakan
dengan apa yang terjadi pada dua tahun yang lepas. Peristiwa yang telah meragut
segala-galanya.
“Aku sekadar
nak ingatkan kau saja. Aku tak nak kau terluka lagi.” Izreen bersuara. Wajah
Zafira ditatap kasih. Sungguh, dia tidak mahu Zafira mengalami pengalaman yang
sama.
“Tak salah
kalau aku mencuba untuk kali yang kedua,” ujar Zafira, perlahan.
Dia
menundukkan wajah memandang kakinya sendiri. Rasa sebak hadir dengan tiba-tiba.
Peristiwa lama menggamit memori.
“Aku tak
kesah. Tapi, aku risaukan kau. Kalau perkara yang sama berulang, macam mana?
Aku tak nak tengok kau bersedih lagi.”
“Insya-Allah,
tak.”
“Syukur
alhamdulillah. Itulah yang aku harap-harapkan selama ini, Fira. Kalau boleh,
aku tak nak kau terlalu memikirkan peristiwa lepas. Aku tak nak peristiwa lama
bagi kesan negatif pada diri kau.”
“Aku tak nak
kau menolak untuk bahagia. Kau berdendam dengan apa yang telah berlaku dan kau
tutup pintu hati kau untuk terima cinta daripada seorang lelaki,” terang Izreen
sambil melepaskan nafas ringan. Ucapan syukur meniti di benak hati.
Zafira hanya
tersenyum. Mungkin ada benarnya kata-kata Izreen itu. Selama ini, dia takut untuk
berkenalan dengan lelaki. Semuanya gara-gara peristiwa dua tahun yang lepas.
Sudah acapkali abangnya, Aqil Danish memperkenalkan dia dengan beberapa kenalan
lelaki.
Tetapi,
semuanya ditolak mentah-mentah kerana pada waktu dan ketika itu, dia belum bersedia
untuk menerima cinta seorang lelaki. Peristiwa lama telah meninggalkan kesan
luka yang paling dalam.
Apalah gunanya
dia terus bersikap begitu. Ia menambahkan lagi kesusahan kepada abang dan kakak
iparnya. Ada baiknya dia meneruskan kehidupan. Dia juga tidak mahu membuat
Izreen berasa sedih lagi. Cukuplah dengan apa yang berlaku selama ini dan dia
akan cuba membahagiakan abang, kakak ipar serta kawan baiknya itu.
“Hey… dah
sampai Ipoh ke?” tegur Izreen seraya memegang bahu Zafira.
“Haa.. sorry. Aku mengelamun sekejap,” balas
Zafira sedikit tersentak.
“Minggu depan
kau start kerja dengan along, kan?”
“A’ah. Along
minta aku tolong dia. Ikutkan hati, malas la nak buat kerja-kerja office ni. Tak bebas! Asyik mengadap
komputer saja.”
“Apasal pulak?
Sebelum ni kan kau kerja mengadap komputer. Pembantu pengurus lagi.”
“Yalah! Masa
tu aku terpaksa sebab dah tak ada kerja lain. Kau juga yang ajak aku kerja kat
syarikat tu. Tak ada kawan la, apa la,” ungkit Zafira, menjeling manja.
Izreen
tersengih. Memang benar apa yang diperkatakan oleh Zafira itu. Dia yang
merekemenkan Zafira bekerja di Syarikat Sinar Sdn Bhd. Kini, dia dinaikkan
pangkat menggantikan tempat Zafira selepas kawannya itu meletak jawatan sebulan
yang lepas.
“Habis tu, kau
buat kerja apa kat office along?”
tanya Izreen kemudian.
“Jadi tea lady!” jawab Zafira, selamba dan
melajukan langkah.
Bulat mata
Izreen mendengarnya. Biar betul?
“Kau biar
betul? Takkan kau nak jadi tea lady
kat office along?” tanya Izreen
kurang percaya. Dilajukan langkah agar dapat menyaingi langkah Zafira.
“Kenapa?
Jawatan tu tak bagus ke?”
“Eh… bukan tak
bagus. Aku….”
“Yang penting
halal!” pintas Zafira dan beredar dari situ.
Izreen
berkerut dahi. Hatinya menolak kenyataan yang keluar daripada mulut Zafira.
Mustahil Zafira bekerja sebagai tea lady di
pejabat Aqil.
“Fira! Fira!”
panggil Izreen sambil cuba mengejar Zafira.
Zafira ketawa
kecil melihat tingkah laku Izreen. Kawannya itu mudah ditipu dan tertipu. Tea lady! Dia tersenyum buat seketika.
Memang itu
jawatan yang dimohon daripada abangnya tetapi ditolak keras oleh Aqil. Nak tak
nak, terpaksalah dia menerima jawatan yang telah ditetapkan oleh Aqil Danish.
“MINGGU
depan kau jangan lupa pasal meeting
kita kat Cempaka tu. Dia orang dah bising dengan aku yang kau selalu tak ada
masa meeting,” beritahu Khairil
sekadar mengingatkan.
“Boleh tak
jangan cakap pasal hal kerja? Orang nak bercuti pun tak senang. Tak habis-habis
nak bercerita pasal meeting,” rungut
Iqwan, keras.
“Okey… okey…
aku minta maaf,” ucap Khairil, menggeleng kecil.
Iqwan
merengus. Dibawa langkah menuju ke sebuah restoran. Perut yang terasa lapar
perlu diisi. Teringin untuk makan nasi goreng ikan masin. Nasi goreng
kegemarannya selama ini.
Khairil
menghela nafas ringan. Langkah Iqwan yang sedang menuju ke sebuah restoran
diperhati penuh minat. Sukar benar untuk menyedarkan Iqwan.
Selepas apa
yang terjadi, Iqwan dilihatnya tidak mengambil berat tentang syarikat. Paling
ketara selepas Iqwan mengetahui kisah yang sebenar.
Malah, sikap
acuh tak acuh Iqwan turut menyukarkan perjalanan syarikat. Sudah penat dia
menasihati Iqwan. Namun, nasihatnya itu dibuat endah tak endah sahaja.
“Boleh saya
duduk?” tegur seseorang mematikan tingkah laku Iqwan.
Khairil tidak
terkecuali. Diangkat wajah dan memandang ke wajah gadis yang berada di hadapan
mereka berdua.
“Wah! Tak
sangkakan kita jumpa lagi. Dalam satu hari, dua kali kita berjumpa. Kuat betul
jodoh kita berdua, kan?” ujar Zafira, tersengih.
Dilabuhkan
duduk di hadapan Iqwan. Tingkah laku Iqwan yang sedang makan diperhati penuh
minat. Kemudian, senyuman diberikan kepada Khairil.
Iqwan tidak
mengendahkan kehadiran Zafira. Dia meneruskan suapan nasi ke dalam mulut. Malas
untuk melayan gadis di hadapannya itu.
Khairil
berkerut dahi. Siapa gadis ini? Adakah dia mengenali Iqwan?
“Boleh
berkenalan?” Ramah Zafira bertanya.
Iqwan masih
meneruskan tingkah laku. Tidak berminat untuk menjawab pertanyaan Zafira.
“Fira!” tegur
Izreen sambil menghampiri Zafira. Berkerut dahinya melihat dua orang jejaka di
hadapan Zafira. Siapa mereka berdua?
“Reen, dia ni
la yang aku cakap tadi. HR!” balas Zafira, tersenyum.
Tersedak Iqwan
mendengarnya. Diangkat wajah dan memandang tajam ke wajah Zafira.
“Oh, dia ke HR
yang kau cakap tadi? Hurm… ada la ciri-ciri HR,” balas Izreen sambil mengangguk
kecil. Wajah lelaki di hadapannya itu diperhati penuh minat.
Tergelak
Khairil mendengarnya. Adakah ‘hantu raya’ yang dimaksudkan oleh gadis-gadis
itu? Dikerling sekilas ke wajah Iqwan. Kelat dan mencuka.
“Kan? Aku
cakap kau tak percaya. Betul tak apa yang aku cakap tadi? Mata dia macam HR,”
beritahu Zafira masih tersengih.
Sakit hati
Iqwan mendengarnya. Tajam matanya ke wajah tersengih Zafira.
“Awak…”
“Kau boleh blah dari sini tak?” pintas Iqwan,
keras.
“Wan, control sikit,” tegur Khairil. Kurang
senang dengan kata-kata Iqwan.
“Control? Minah ni memang tak makan
saman. Dia ingat aku ni hantu raya ke? Suka hati saja nak gelarkan aku macam
tu,” marah Iqwan, keras.
Zafira
berkerut dahi. Apa yang dimaksudkan oleh Iqwan?
“Kau blah dari sini sebelum aku mengamuk,”
arah Iqwan, meninggi.
“Fira,
jomlah!” ajak Izreen tatkala melihat wajah tegang Iqwan.
Zafira bingkas
bangun. Hatinya tertanya-tanya. Apa yang tidak kena dengan lelaki itu? Perkara
apa yang telah dilakukan sehingga lelaki itu beriak tegang dan marah?
“Maaf, cik!
Kawan saya ni bad mood hari ni,” ujar
Khairil, serba salah.
“Tak apa,
encik. Maafkan tingkah laku kawan saya tadi,” balas Izreen mewakili Zafira.
Khairil
sekadar mengangguk. Gelengan kecil diberikan kepada Iqwan.
Izreen
tersenyum. Tanpa berlengah, ditarik tubuh Zafira beredar dari situ. Belum
sempat dia menjauhi, Zafira sudah menahannya. Bekerut dahinya memerhati langkah
Zafira yang sedang menghampiri lelaki itu semula.
“Saya tak
gelarkan awak ‘hantu raya’. HR tu bermaksud Hitrik Roshan. Saya suka tengok
mata awak sebab mata awak macam mata Hitrik Roshan. Maafkan saya atas sikap dan
perangai saya,” jelas Zafira dan beredar dari situ.
Iqwan yang
mendengar terkedu. Matanya menghantar langkah Zafira dan Izreen yang sudah pun
keluar dari restoran.
“Haaa… siapa
yang malu sekarang?” sindir Khairil, selamba.
Iqwan tidak
membalas. Dengusan kasar terlepas daripada bibir. Tanpa berlengah, dia bingkas
bangun dan beredar dari situ. Sakit hatinya mendengar sindiran Khairil itu.
Khairil ketawa
kecil. Geli hati melihat tingkah laku Iqwan. Seminit kemudian, dia bangun dan
beredar dari restoran itu setelah membuat bayaran. Nafas ringan dilepaskan.
Wajah gadis
yang menegur Iqwan meniti di tubir mata. Adakah gadis itu bakal merubah sikap
dan perangai Iqwan tidak lama nanti?
Jumpa lagi!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan