HAIDAR
menyandarkan tubuh ke kerusi. Nafas ditarik lalu melepaskannya lembut. Keputusan
Encik Qamarul untuk menjual Harmoni Sdn Bhd tidak mendapat tentangan darinya.
Bukannya dia tidak mahu membantah dengan keputusan Encik Qamarul. Siapa pun
tidak sanggup untuk menjual syarikat. Tambahan pula, syarikat yang telah lama
dibina atas usaha Encik Qamarul sendiri.
Tetapi,
bila difikir-fikirkan semula. Ada baiknya dengan keputusan Encik Qamarul. Sudah
tiba masanya untuk ayahnya berehat dan mendekatkan diri kepada Pencipta. Usia
Encik Qamarul sudah melebihi setengah abad. Maka dari itu, ada baiknya Encik Qamarul
melepaskan kesemua itu.
Haidar
menatap fail di hadapan dengan pandangan yang kosong. Pertemuan dengan gadis di
restoran beberapa hari yang lepas meniti di tubir mata. Sudah dua kali dia
bertemu dengan gadis itu. Kenapa setiap kali dia memandang wajah gadis itu, dia
berasa simpati? Seperti ada sesuatu yang istimewa terhadap gadis tersebut.
“Siapa
dia? Kenapa aku rasa simpati pada dia?” soal Haidar kepada dirinya sendiri.
Entah
kenapa wajah gadis itu menyapa mata waktu ini. Raut wajahnya seperti pernah
dilihat sebelum ini.
“Apa
nama dia?” sebut Haidar kemudian.
Dia
menggelengkan kepala. Lupa untuk berkenalan serta bertanya nama. Sekadar
berbual biasa sahaja. Mungkinkah dia dapat bertemu dengan gadis itu lagi?
“Kenapa
aku boleh lupa nak tanya nama dia?” kata Haidar lagi.
“Doktor
Haidar!” sapa jururawat bernama Yusliza dari arah muka pintu bilik.
Haidar
tersentak. Lamunan pendeknya termati begitu sahaja. Dia memandang Yusliza yang
sedang melangkah masuk ke dalam bilik.
“Doktor
Nasir minta saya serahkan fail pesakit ni pada doktor,” beritahu Yusliza seraya
menyerahkan sebuah fail kepada Haidar.
“Fail
pesakit? Siapa?” tanya Haidar sambil membalas huluran.
“Doktor
Nasir minta doktor take over kes ni.
Doktor Nasir pesan minta doktor jumpa dengan dia,” jelas Yusliza, ramah.
Haidar
membuka fail. Butiran di dalam fail itu diteliti dan dibaca dengan penuh
cermat. Hatinya menyebut nama yang tertera di situ.
“Kalau
tak ada apa-apa lagi, saya minta diri dulu,” ujar Yusliza, cermat.
“Baiklah!
Terima kasih! Apa-apa hal nanti saya direct
pada Doktor Nasir,” balas Haidar berserta senyuman di bibir.
Yusliza
mengangguk perlahan. Tanpa menunggu, dia beredar dari ruangan itu. Nafas lega
dilepaskan. Amanah yang diberi telah pun dilaksanakan. Amanah supaya
menyerahkan fail pesakit Doktor Nasir kepada Doktor Haidar.
Haidar
hanya memandang. Kemudian, dijatuhkan mata ke butiran data di dalam fail.
“Kemalangan
sehingga menyebabkan…..”
Pembacaan
Haidar terhenti tatkala telefon bimbitnya berbunyi. Fail ditutup lalu mencapai
telefon bimbit. Nama di skrin dilihat seketika.
“Hospital.
Kenapa?” tanya Haidar sebaik sahaja salam bersambut.
“Saya
ingat nak jumpa awak lunch nanti,
boleh?” tanya Zulaikha penuh cermat.
Haidar
mengerling jam di pergelangan tangan. Masa baru menginjak ke pukul sebelas
pagi. Mungkin ada baiknya dia bersetuju dengan cadangan Zulaikha.
“Awak!”
Zulaikha memanggil.
“Nak
jumpa di mana?”
“Tempat
biasa!”
“Okey!”
“Jumpa
nanti!” balas Zulaikha lalu mematikan talian.
Haidar
turut sama mematikan talian. Telefon bimbit diletakkan di atas meja. Kenapa
Zulaikha ingin berjumpa dengannya? Pasti ada perkara penting yang ingin
dibincangkan oleh Zulaikha. Ada baiknya dia menyiapkan kerja sebelum keluar
berjumpa dengan Zulaikha.
“TAK
ada masalah. Projek berjalan dengan lancar,” lapor Iris kepada Dato Rashid.
Dato
Rashid menatap fail di hadapan. Kepala diangguk perlahan tatkala membaca
laporan yang disediakan oleh Iris.
“Minggu
depan, projek di Damansara bermula. Fauzan akan pantau projek tu,” beritahu
Iris lagi. Tingkah laku Dato Rashid yang sedang membaca dipandang penuh minat.
“Good! Ini yang uncle nak, Iris,” puji Dato Rashid seraya menutup fail.
Iris
hanya tersenyum.
“Uncle doakan semuanya berjalan dengan
lancar.”
“In
shaa Allah uncle. Kalau kita jujur,
amanah dan ikhlas berurusan dengan orang, Allah akan bantu kita.”
“Mudah-mudahan
Iris. Uncle bersyukur dengan rezeki
yang Allah berikan pada uncle selama
ini. Iris juga banyak berjasa pada uncle.”
“Iris
buat yang termampu uncle.”
Dato
Rashid mengangguk perlahan. Wajah Iris di hadapan ditatap mesra. Sejuk matanya
memandang wajah itu.
“Uncle dah tengok borang cuti Iris.
Kenapa tak ambil seminggu?”
“Nanti
kerja tak settle pulak kalau Iris ambil cuti lama. Uncle juga yang bising.”
Dato
Rashid yang mendengar ketawa. Begitulah setiap kali Iris mengambil cuti. Pasti
Iris akan menyindirnya. Tetapi, dia tidak akan ambil hati. Memang itulah
kenyataannya.
“Uncle luluskan seminggu. Iris berehat.
Dalam beberapa tahun ni, Iris dah banyak tolong uncle majukan syarikat,” kata Dato Rashid berserta senyuman.
“Uncle jangan nak mengungkit pulak pasal Iris cuti seminggu.” Iris
sekadar berkata. Menduga orang tua itu.
“Iris…
Iris… Ada saja nak kenakan uncle,”
tegur Dato Rashid sambil menggeleng.
Iris
hanya ketawa. Senang hatinya melihat wajah Dato Rashid. Jika dulu, hanya riak
muram yang menghiasi wajah Dato Rashid tetapi tidak kali ini. Semenjak dia
mendapat beberapa projek untuk syarikat, wajah Dato Rashid sentiasa ceria.
Apa
yang mengkagumkannya, setiap kali syarikat mendapat projek, Dato Rashid tidak
pernah lupa untuk bersedekah kepada rumah anak-anak yatim. Sentiasa mengadakan
majlis kesyukuran di samping memberi kenaikan gaji serta bonus buat pekerja.
Semoga Dato Rashid dimurahkan rezeki. Doa Iris buat Dato Rashid.
“Iris!”
tegur Dato Rashid.
Iris
tersentak. Dia menghalakan mata ke wajah Dato Rashid.
“Kalau
Iris perlukan apa-apa, jangan lupa beritahu uncle,”
pesan Dato Rashid, ikhlas.
“In
shaa Allah, uncle,” balas Iris
berserta senyuman.
“Sebelum
uncle terlupa, malam ni datang rumah uncle. Dah lama aunty tak jumpa dengan Iris. Rindu katanya,” beritahu Dato Rashid
bernada lembut.
“Malam
ni?” ulang Iris berserta kerutan di dahi.
“Kenapa?
Iris nak jumpa boyfriend ke malam
ni?” Dato Rashid sekadar mengusik.
“Boyfriend? Mana Iris ada boyfriend,” tukas Iris lalu tersenyum
malu.
“Hai,
anak uncle ni kan cantik. Tak akan
tak ada boyfriend?”
“Memang
anak uncle ni cantik. Tapi, uncle jangan lupa yang anak uncle ni ada kekurangan. So, siapa yang nak terima anak uncle yang serba kekurangan ni?”
Terkedu
Dato Rashid mendengarnya. Ternyata dia tersalah berkata-kata.
“Iris
akan terima jika lelaki itu dapat terima segala kekurangan Iris,” suara Iris
berserta senyuman hambar.
“Maafkan
uncle. Uncle…”
“Tak
apa uncle. Uncle tak salah apa. Iris kena sedar diri sebelum orang lain
sedarkan Iris,” pintas Iris bernada ikhlas.
Dato
Rashid tidak membalas. Dia mengerti akan perasaan Iris. Selama beberapa tahun
ini, Iris lebih utamakan kerja daripada kehidupan peribadi. Mungkin disebabkan
kekurangan yang ada maka Iris tidak memikirkan diri sendiri.
“Malam
nanti Iris ke rumah,” ujar Iris bingkas bangun dari duduk.
“Haa…
baiklah!” balas Dato Rashid sedikit tersentak.
“Iris
minta diri dulu. Iris nak jumpa Zack tengah hari ni,” pamit Iris lalu beredar
dari situ. Senyuman diberikan kepada Dato Rashid.
Dato
Rashid hanya memandang. Jauh di sudut hati, dia tetap mendoakan kebahagiaan
Iris. Semoga ada pemuda yang dapat menerima segala kekurangan Iris.
“In
shaa Allah, Iris. Akan ada pemuda seperti yang Iris inginkan,” doa Dato Rashid
buat Iris Eryna.
“KAU
nak ikut tak?” tanya Iris, berbasa-basi.
“Ke
mana? Kampung?” tanya Zakry pula.
Iris
sekadar mengangguk. Air minuman diteguk perlahan.
“Berapa
lama?”
“Seminggu!”
“Lamanya?”
“Aku
nak cari dia. Aku pasti dapat cari dia.”
Zakry
menghela nafas ringan.
“Aku
harap sangat dapat jumpa dengan dia. Aku tahu dia pun mesti cari aku.”
“Kalau
kau jumpa dengan dia, kau nak buat apa?”
“Aku
nak minta maaf. Aku nak tebus kesalahan aku pada dia. Aku nak jaga dia kalau
dia masih berkeadaan yang sama.”
“Kalau
dia tak berkeadaan yang sama, kau masih nak jaga dia?”
Iris
membisu. Otaknya ligat berfikir. Mencari jawapan kepada pertanyaan Zakry?
“Kau
tak perlu nak rasa bersalah, Iris. Kau sendiri dah tahu cerita yang
sebenarnya.”
Iris
masih tidak membalas. Ya, memang dia tahu kisah yang sebenarnya. Tetapi, kenapa
dia masih berasa bersalah?
“Okey!
Aku follow saja. Aku harap kau
berjaya jumpa dengan dia,” putus Zakry, mengalah. Ada baiknya dia tidak
terus-terusan mengungkit. Khuatir Iris akan lebih rasa bersalah.
“So, kau nak ikut aku balik kampung tak?”
tanya Iris pada pertanyaannya tadi.
“Tak
dapatlah, Iris. Aku ada kerja yang perlu disiapkan segera. Kau kan tahu bos aku
tu macam mana?” tolak Zakry, lembut.
“Alah!
Mengada! Bos konon? Meluat aku!” cebik Iris, meluat.
Tergelak
Zakry mendengarnya. Wajah cebikan Iris dipandang.
“Sendiri
bos tapi tak nak mengaku bos.”
“Alah!
Sekali-sekala nak jadi pekerja, apa salahnya.”
Iris
masih lagi mencebik. Siapa yang tidak kenal dengan Zakry Alif. Pereka baju
terkenal di Kuala Lumpur. Terkenal di kalangan VVIP dan VIP. Bangga dengan
pencapaian Zakry selama beberapa tahun ini.
“Banyak
yang aku perlu design. Customer aku tu makin hari makin
bertambah, bukan makin berkurang,” rungut Zakry berserta nafas ringan.
“Bersyukur!
Allah bagi rezeki pada kau. Jangan merungut!” tegur Iris sambil menggelengkan
kepala. Kurang senang mendengar rungutan Zakry.
“Sorry! Aku tak sengaja. Kadang-kala aku
rasa penat,” balas Zakry bernada kesal.
“So, apa lagi? Ikut aku balik kampung.
Berehat!” kata Iris berserta senyuman manis. Sesi memujuk bermula.
“Mula
la tu nak ayat aku,” kata Zakry tatkala melihat tingkah laku manja Iris.
“Bukan
senang aku nak buat macam ni. Pada kau saja aku berani buat. Pada orang lain,
tak ada maknanya.”
“Iya
ke? Boleh percaya ke ni?”
“Kenapa?
Kau tak percaya?”
“Tak
ada boyfriend lagi bolehlah cakap
macam tu. Cuba bila dah ada boyfriend?
Mesti tahap kegedikan kau yang kau simpan selama ini akan terserlah.”
“Kegedikan?
Tolonglah! Aku bukan gedik, okey! Geli!”
Zakry
ketawa. Kepala menggeleng kecil.
“Aku
bukan seperti mereka yang tergedik-gedik bila nampak mamat handsome.”
Zakry
tidak membalas. Dia hanya mendengar.
“Touch up muka dengan eye shadow, eye liner, lipstick
bagai. Pakai hair ribbon, skirt pendek semata-mata nak tunjuk
kecantikan masing-masing. Oh, please!
Aku tak boleh lupa kisah sekolah dulu,” bebel Iris sambil membuat gaya
geli-geleman.
Tergelak
Zakry melihatnya. Kepala diangguk perlahan. Tidak dinafikan dengan kata-kata
Iris itu.
“Aku
bukan seperti mereka, Zack,” suara Iris, perlahan.
Zakry
mematikan ketawa. Wajah Iris dipandang.
“Sebab
aku tahu tak ada orang yang akan sukakan aku kalau aku seperti mereka. Aku bukan….”
“Kau
cantik, Iris. Kecantikan yang sengaja disembunyikan,” pintas Zakry. Pasti itu
yang ingin diperkatakan oleh Iris.
Iris
menunduk memandang kaki sendiri. Tidak berniat untuk membalas.
“Aku
percaya, kau akan popular kalau kau jadi diri kau sendiri,” sambung Zakry. Dia
ikhlas menuturkannya.
“Popular?”
ulang Iris seraya mengangkat wajah.
Zakry
sekadar mengangguk.
“Popular
hanya sekejap saja, Zack.”
“Tapi
dengan popular, kau akan selamat.”
Iris
ketawa kecil. Entah kenapa dia berasa geli hati mendengarnya.
“Kerana
popular, hidup aku jadi begini,” ujar Iris, perlahan.
Zakry
terkedu. Dia faham dengan kata-kata Iris.
“Iris,
aku….”
“Assalamualaikum,”
tegur seseorang mematikan kata-kata Zakry.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan