HANIF bersandar
ke kerusi sambil berpeluk tubuh. Haidar di hadapan dipandang. Abangnya itu
sedang khusyuk dengan telefon di tangan. Diamati wajah Haidar buat seketika.
Tidak dinafikan Haidar memiliki raut wajah yang kacak berbanding dirinya. Maka
dari itu, Haidar diminati ramai gadis di sekolah dan universiti dahulu.
Hanif
menghela nafas ringan. Peristiwa lama meniti di minda. Entah kenapa wajah
seseorang menyapa mata. Wajah yang amat dibenci. Wajah itu juga yang telah
mewujudkan rasa dendam di hati. Sehingga ke hari ini, dia masih berdendam
dengan wajah itu.
Hanif
membetulkan duduk. Perbualan dengan Aidil siang tadi sewaktu menuju ke Shah
Alam terngiang-ngiang di cuping telinga. Kenapa Aidil bertanya begitu? Kenapa
Aidil mengungkit kisah lama?
Kalau
boleh, dia tidak mahu mengingati kisah lama. Kisah yang telah meninggalkan
kesan parut di hati. Sampai bila-bila pun dia tidak akan melupakan kisah itu.
Disebabkan kisah itu maka dia berdendam dengan seseorang.
“Kau
nak makan?” tanya Haidar, tiba-tiba.
Hanif
yang sedang leka termenung sedikit tersentak. Dihalakan mata ke wajah Haidar.
“Kalau
kau nak makan, aku panggil waiter,”
suara Haidar lagi.
Hanif
mengerling jam di pergelangan tangan. Masa sudah merangkak ke pukul lapan tiga
puluh minit malam. Hampir tiga puluh minit dia dan Haidar menunggu Encik
Qamarul. Namun, bayang ayahnya tidak juga muncul. Adakah pertemuan itu sudah
dibatalkan?
“Kau
dengar ke tidak aku tanya ni? Kau nak makan ke tak nak?” Haidar mengulangi
pertanyaannya tadi.
“Ayah
datang ke tidak?” Hanif pula bertanya.
“Mana
la aku tahu. Kau call la tanya,”
balas Haidar acuh tak acuh. Dia berpeluk tubuh lalu bersandar ke kerusi.
Hanif
mendengus perlahan.
“Aku
nak balik kampung dalam masa terdekat ni. Kau nak ikut tak?” Haidar berbasa
basi walaupun dia tahu jawapan yang bakal Hanif berikan.
“Kampung?
Kita ada kampung ke?” Hanif sengaja bertanya.
Haidar
yang mendengar pertanyaan Hanif menegakkan tubuh.
“Aku
tak ada kampung,” kata Hanif lagi.
“Huh!
Berlagak!” cebik Haidar meluat.
“Kau
peduli apa kalau aku berlagak.”
“Sedar
diri tu sikit di mana asal usul kau dulu.”
“Oh,
please la Haidar. Kau tak payah nak poyo sangat. Kau tu pun apa kurangnya.
Sama saja dengan aku. Cuma kau tu hipokrit. Kau ingat kau tu suci bersih sangat
ke?”
“Apa
maksud kau?”
Hanif
tidak membalas. Dia tersenyum sinis.
“Apa
maksud kau, Hanif? Aku tak seperti kau.”
“Memang
kau tak seperti aku. Aku seorang yang berterus-terang. Aku jadi diri aku
sendiri. Tapi, kau? Berlagak baik konon. Hakikatnya, kau seorang yang
hipokrit,” jelas Hanif, terang dan nyata.
Haidar
mengepal tangan. Apa maksud Hanif dengan kata-kata itu?
“Aku
tahu apa yang kau cuba sembunyikan selama ini, Haidar,” sambung Hanif lagi.
Semakin
kuat genggaman tangan Haidar. Kata-kata Hanif tidak dapat diterima. Perkara apa
yang cuba disembunyikannya? Selama ini, dia seorang yang berterus-terang. Dia
tidak pernah bermusuhan dengan orang lain. Kenapa Hanif berkata begitu?
“Kalau
kau nak balik kampung, kau baliklah. Aku tak ada kena-mengena dengan kampung
tu. Aku dah lama lupa di mana asal usul aku dulu.”
Haidar
tidak membalas. Wajah Hanif ditatap seketika.
“Selama-lamanya
aku tak akan lupa dengan apa yang pernah terjadi dulu, Haidar. Sehingga sekarang,
aku masih berdendam dan membenci.”
“Dendam
dan benci akan memakan diri kau sendiri, Hanif.”
“Kau
tak rasa dengan apa yang aku rasa. Peristiwa tu tinggalkan kesan mendalam dalam
diri aku.”
“Aku
tahu. Tapi, peristiwa tu dah lama. Kalau orang yang kau benci dan dendam tu
sudah tiada, kau tetap tak akan maafkan dia?”
“Selama-lamanya
aku tak akan memaafkan dia. Kalau dia berlutut depan aku sekali pun, aku tetap
dengan pendirian aku ni.”
Haidar
menggelengkan kepala. Hanif masih menyimpan perasaan dendam dan benci. Sampai
bila Hanif akan berperasaan begitu? Adakah tidak ada kata-kata maaf buat
‘orang’ itu? Wajah seseorang menyapa mata ketika ini. Apa khabar dengan wajah
itu?
“Selama-lamanya
aku tak akan lupa dengan apa yang dia dah buat pada aku,” ujar Hanif lagi.
Peristiwa lama menerjah ke kotak fikiran.
“Ikut
suka hati kau la, Hanif. Kau jangan lupa, Allah Maha Berkuasa. Kalau Allah nak
terbalikkan perasaan kau, sekelip mata sahaja akan berlaku. Mungkin dia
bersalah mungkin juga dia tidak bersalah. Tapi kau kena ingat. Kau bukan tuhan
untuk menghukum dia,” terang Haidar panjang lebar. Nafas dihela ringan.
Hanif
hanya mendengar. Bagaikan masuk telinga kanan keluar telinga kiri sahaja.
“Aku
pasti dan yakin, dia tak bersalah dalam kes kau tu. Dia….”
“Dia
penyebab kau lumpuh, Haidar. Kau dah lupa?” pintas Hanif, laju.
“Aku
lumpuh bukan disebabkan dia. Takdir Allah dan aku percaya kepada Qadaq dan
Qadar Allah. Lagipun, aku tak anggap dengan apa yang terjadi pada aku dulu
adalah disebabkan dia.” Haidar berterus-terang. Kenapa Hanif mengungkit kisah
itu?
“Walau
apa pun, dia tetap bersalah.” Hanif bertegas.
“Suatu
hari nanti kau akan tahu kebenarannya, Hanif,” balas Haidar lalu tersenyum.
Hanif
tidak membalas. Matanya menatap wajah Haidar yang sedang tersenyum. Apa maksud
Haidar dengan kata-kata itu? Kebenaran apa yang dimaksudkan oleh Haidar? Belum
sempat dia membuka mulut, kelibat Encik Qamarul menyapa mata.
“Maaf
kalau ayah lambat,” suara Encik Qamarul setibanya di hadapan Haidar dan Hanif.
Dilabuhkan duduk di kerusi berhadapan dengan Haidar dan Hanif.
Haidar
segera mendapatkan Encik Qamarul. Tangan ayahnya dicium berserta senyuman di
bibir. Wajah Encik Qamarul ditatap seketika. Sedikit pucat dan lesu.
Hanif
turut mengikut tingkah laku Haidar. Duduk dilabuhkan semula dan menanti butir
bicara daripada Encik Qamarul.
“Ayah
sihat?” Haidar memulakan perbualan.
“Sihat
alhamdulillah,” jawab Encik Qamarul sambil mengangguk.
“Bila
ayah balik? Bukan sepatutnya ayah balik minggu lepas?” tanya Hanif pula.
Encik
Qamarul memandang wajah Hanif buat seketika. Anak bongsunya itu seorang yang
tegas, keras kepala dan ego. Perubahan itu disebabkan peristiwa yang berlaku
beberapa tahun yang lepas.
“Ayah!”
Haidar memanggil. Matanya tepat ke wajah Encik Qamarul.
Encik
Qamarul sedikit tersentak. Nafas ditarik dan dilepaskan ringan. Wajah Haidar
dan Hanif dipandang silih berganti.
“Ayah,
kenapa?” Haidar bertanya pula. Rasa kurang enak hadir di hati tatkala melihat
tingkah laku Encik Qamarul.
“Ayah
ada perkara nak beritahu pada kamu berdua,” suara Encik Qamarul yang sejak tadi
membisu dan memerhati.
“Perkara
apa? Macam serius saja,” kata Hanif lalu ketawa kecil.
“Perkara
apa, ayah?” Haidar berdebar-debar.
“Ayah
dah buat keputusan. Ayah nak jual syarikat dan menetap di kampung,” beritahu
Encik Qamarul.
“What?!!!” Hanif yang mendengar bingkas
bangun dari duduk. Terkejut mendengar kenyataan Encik Qamarul.
“Kalau
itu yang terbaik buat ayah, Haidar ikut saja,” kata Haidar, tenang.
“Kau
dah gila ke, Haidar? Takkan kau setuju dengan keputusan ayah?” soal Hanif
sedikit tegang.
“Aku
masih berfikiran waras.” Haidar berpeluk tubuh sambil bersandar ke kerusi.
Wajah tegang Hanif ditatap seketika.
Hanif
mendengus kasar. Sakit hatinya mendengar kata-kata selamba Haidar.
“Ayah
harap kamu berdua setuju dengan keputusan ayah.” Encik Qamarul membuat
permintaan. Berharap Hanif dan Haidar bersetuju dengan keputusannya itu.
“Haidar
tak ada bantahan. Mana yang baik untuk ayah, Haidar sokong,” balas Haidar
berserta senyuman di bibir.
Encik
Qamarul menarik nafas lega. Dia menghalakan mata ke wajah Hanif. Tegang sahaja
wajah Hanif dilihatnya. Adakah Hanif tidak setuju dengan keputusannya itu?
“Hanif!”
panggil Encik Qamarul kemudian.
Hanif
menghembus nafas keras. Tanpa membalas, dia segera beredar dari situ. Sungguh,
dia tidak percaya yang Encik Qamarul sanggup menjual Harmoni Sdn Bhd. Syarikat
yang telah lama diusahakan oleh ayahnya itu. Kepala menggeleng perlahan. Tidak
setuju dengan keputusan Encik Qamarul.
“Biarlah
ayah. Lambat laun nanti Hanif akan terima keputusan ayah,” suara Haidar sekadar
menyedapkan hati Encik Qamarul.
Encik
Qamarul mengangguk perlahan. Senyuman diberikan kepada Haidar. Anaknya itu seorang
yang bersikap terbuka. Senang dengan sikap Haidar. Semoga Hanif sedar dan
berubah sikap suatu hari nanti. Doa Encik Qamarul buat Hanif.
“WHAT?! Kau jumpa dengan
mamat tu lagi?” tanya Zakry inginkan kepastian.
Iris
sekadar mengangguk. Air minuman dihirup perlahan. Wajah pemuda tersebut menyapa
mata ketika ini.
Zakry
melepaskan ketawa.
“Apasal
kau gelak?” soal Iris berserta kerutan di dahi.
“Jodoh!”
balas Zakry, sepatah.
Iris
masih berkerut dahi. Apa maksud Zakry?
“One day, kau dan dia berjodoh.”
Tersedak
Iris mendengarnya. Dicapai tisu lalu mengelap mulut. Berjodoh? Ulang Iris dalam
hati.
“Kalau
dah selalu jumpa, tak mustahil berjodoh.” Zakry masih lagi mengusik. Senyuman
diberikan kepada Iris.
“Berjodoh?
Zack… Zack…” Iris menggeleng perlahan.
“Kenapa?
Kau tak percaya dengan perancangan Allah?” Zakry menduga.
Iris
tidak membalas. Perancangan Allah! Ayat itu sedang berlegar-legar di minda. Siapa
dia untuk menolak perancangan Allah? Dia percaya dengan apa yang telah Allah tetapkan
buat dirinya selama ini.
“Sebaik-baik
perancangan manusia, baik lagi perancangan Allah.” Zakry masih lagi bersuara.
Wajah Iris di hadapan dipandang seketika.
“Aku
dan dia? Berjodoh?” suara Iris yang sejak dari tadi membisu.
Zakry
hanya memandang. Menanti butir bicara seterusnya daripada Iris.
“Sinar
mata dia penuh dengan kebencian.”
Zakry
cuba untuk memahami ayat Iris.
“Dia
seorang yang pendendam.”
“Macam
mana kau tahu?”
Iris
tersenyum mendengar pertanyaan Zakry. Itulah yang dilihatnya terhadap Hanif.
Pemuda itu seorang yang berlagak dan ego.
“Kau
tengok dia pun kau dah boleh nilai dia macam mana orangnya. Sombong! Berlagak
dan ego!”
“Tapi,
semua tu boleh runtuh dengan kasih dan sayang.”
“Kasih
dan sayang juga boleh mewujudkan kebencian dan kemarahan di hati.”
Zakry
terkedu. Ada benarnya kata-kata Iris.
“Aku
tak layak untuk sesiapa, Zack,” ujar Iris, perlahan.
“Kenapa
kau cakap macam tu?” Zakry bertanya. Ingin tahu.
Iris
membuang pandang ke luar restoran. Peristiwa lama menujah ke kotak fikiran.
Peristiwa yang meninggalkan kesan luka di hati. Sehingga ke hari ini, luka itu
masih bersisa.
“Kau
kena yakin dan percaya, Iris. Kalau kau tak cuba, macam mana kau nak tahu yang
kau layak ataupun tidak untuk sesiapa.”
Iris
menghela nafas ringan. “Aku tetap tak layak untuk sesiapa, Zack.”
Zakry
tidak membalas. Matanya tertumpu ke wajah Iris. Riak kelukaan terlukis di wajah
itu. Adakah Iris sedang mengingati kisah lama? Kisah yang telah meragut
kebahagiaan Iris. Malah, kisah itu telah menyebabkan Iris kehilangan sesuatu
yang berharga.
“Aku
nak ke ladies sekejap,” kata Iris
bingkas bangun. Menyedari yang matanya mulai berkaca-kaca.
“Kau
okey?” Zakry bertanya dalam nada risau.
Iris
sekadar tersenyum. Dia melangkah keluar dari ruangan meja itu menuju ke ladies. Dia perlu menenteramkan hati dan
perasaan. Peristiwa lama mencengkam diri di waktu ini.
“Aduh!”
rengek Iris kemudian.
kisah apakah di sebalik semua itu?
BalasPadamkak ros next heheehehe