“AKU
harap kita dapat projek ni,” suara Aidil penuh harapan.
Hanif
hanya mendengar. Kakinya melangkah menuju ke bilik mesyuarat yang telah ditetapkan.
Jauh di sudut hati, dia turut mengharapkan perkara yang sama.
“Kau
okey tak?” tanya Aidil tatkala menyedari kebisuan Hanif.
“Aku
okey!” balas Hanif senafas.
Meliar
matanya melihat keadaan ruang legar di hadapan bilik mesyuarat. Beberapa orang berpakaian
formal sudah memenuhi ruang legar itu. Adakah mereka semua menyimpan harapan
yang sama dengannya? Mendapatkan projek Tan Sri Kamal.
“Aku
ke tandas sekejap,” ujar Aidil, perlahan.
Hanif
sekadar mengangguk. Matanya menghantar langkah Aidil yang sedang menuju ke
tandas. Kemudian, dia menghampiri sofa yang berada di ruangan itu lalu
melabuhkan duduk. Nafas dihela ringan.
“Iris
Eryna!” tegur Dato Mazlan berserta senyuman di bibir.
“Apa
khabar dato?” sapa Iris, ramah.
“I
sihat. Bertambah sihat lepas jumpa dengan you.” Dato Mazlan ketawa kecil. Wajah
Iris di hadapan ditatap mesra.
“Ada-ada
sajalah dato ni,” balas Iris turut sama ketawa.
Hanif
yang mendengar mencebik meluat. Perempuan kalau tak melayan, memang tak sah, cebik
Hanif dalam hati.
“Kalau
saya dapat projek ni, dato kena belanja saya selama sebulan.”
“Sebulan?
Demi you, setahun pun I sanggup.”
Iris
yang mendengar ketawa kecil. Lelaki tua tak sedar diri! Kutuk Iris dalam hati.
Bertambah
meluat Hanif mendengarnya. Rasa nak muntah pun ada juga.
“Kalau
you dah bosan bekerja dengan Rashid, you datang jumpa dengan I. I akan beri
lebih dari yang Rashid beri,” suara Dato Mazlan bernada harapan.
Iris
tidak membalas. Sejak dari dulu lagi Dato Mazlan menginginkan dia bekerja di
syarikatnya. Lelaki tua itu sanggup menawarkan dua kali ganda dengan apa yang
diperolehinya di syarikat Dato Rashid.
Walau
berapa yang ditawarkan oleh Dato Mazlan, dia tidak akan meninggalkan syarikat
Dato Rashid. Sudah lama dia bekerja di situ. Malah, Dato Rashid sudah dianggap
seperti ayahnya. Mustahil dia akan mengkhianati kepercayaan Dato Rashid.
“I
masuk dulu. Kali ni I pasti berjaya,” ujar Dato Mazlan.
“Jika
rezeki memihak kepada dato, In shaa Allah projek tu akan jadi milik dato,”
balas Iris berserta senyuman di bibir.
Dato
Mazlan sekadar tersenyum. Dia beredar dari situ menuju ke bilik mesyuarat. Iris
yang melihat menghela nafas lega. Diperhatikan keadaan sekeliling. Kebanyakan
mereka sudah beredar dari ruangan itu menuju ke bilik mesyuarat.
Hanif
yang melihat beberapa orang sudah meninggalkan ruangan bingkas bangun dari
duduk. Dia mengerling jam di pergelangan tangan. Masa baru merangkak ke angka
sepuluh pagi. Matanya mencari kelibat Aidil namun kawannya itu tidak juga
muncul-muncul.
“Mana
pula Aidil ni pergi? Takkan lama sangat kat tandas tu?” rungut Hanif sendirian.
Dengusan ringan terlepas daripada bibir.
“Kalau
ya pun nak melepas, sikit-sikit sudahlah,” bebel Hanif pula.
Tanpa
menunggu, dia segera menoleh ke belakang untuk beredar dari situ. Ada baiknya
dia menunggu Aidil di dalam bilik mesyuarat sahaja. Namun, langkahnya terhenti
tatkala terpandang seorang gadis yang kebetulan sedang memandang ke arahnya.
Iris
sedikit tergamam. Tidak menyangka dia akan berjumpa dengan lelaki itu lagi. Apa
lelaki itu buat di sini? Persoalan yang menerjah ke kotak fikiran ketika ini.
“Yang
kau bodoh sangat, kenapa? Dah tentulah dia datang pasal projek tu.” Iris
mengutuk dirinya sendiri.
Tanpa
berlengah, dia melangkah menuju ke bilik mesyuarat. Tidak diendahkan pemuda itu
yang sedang memandang ke arahnya.
“Hanif!”
tegur Aidil seraya memegang bahu Hanif.
Hanif
terkejut. Diurut dadanya yang bergetar laju.
“Sorry kalau aku mengejutkan kau,” kata
Aidil bernada kesal. Dilihatnya wajah Hanif yang sedikit pucat.
Hanif
tidak membalas. Matanya tertumpu kepada langkah gadis yang baru ditemuinya tadi.
Seakan pernah melihat wajah gadis itu. Adakah gadis yang sama? Gadis yang telah
memalukannya pada minggu lepas?
“Kau
kenapa?” tegur Aidil.
Sejak
dari tadi dia melihat tingkah laku Hanif. Apa yang sedang dipandang oleh kawan
baiknya itu? Adakah Hanif berasa berdebar saat ini?
“Tak
ada apa. Jomlah masuk!” balas Hanif sambil memulakan langkah.
Aidil
berkerut dahi. Langkah Hanif diperhati penuh minat. Otaknya memikirkan tingkah
laku Hanif sebentar tadi. Seperti ada sesuatu yang cuba disembunyikan oleh
Hanif? Tetapi, apa dia?
“TAK
ada rezeki untuk kita,” ujar Aidil berserta keluhan ringan sebaik sahaja keluar
dari bilik mesyuarat. Mereka yang berada di situ turut berbual sesama sendiri.
Hanif
hanya membisu. Matanya terpahat kepada susuk tubuh Iris.
“Ingatkan
kita boleh dapat projek tu. Tapi…” Aidil mematikan ayat. Rasa kecewa menghuni
di hati.
Hanif
masih memandang Iris. Gadis itu sedang berbual mesra sambil ketawa kegembiraan.
Pasti gadis itu sedang meraikan kejayaan mendapat projek Tan Sri Kamal.
“Gadis
tu hebat!” puji Aidil seraya memandang wajah Hanif.
Hanif
yang mendengar menoleh.
“Dah
banyak kali dia dapat projek. Aku kagum dengan dia,” suara Aidil lagi. Matanya
memandang ke arah Iris yang berada hampir dengan mereka berdua.
Semakin
erat genggaman di tangan Hanif. Kata-kata pujian Aidil mewujudkan rasa benci di
hati. Gadis itu hebat! Hatinya mengulangi kata-kata Aidil.
“Kita
pun tak setanding dia,” puji Aidil pula. Susuk tubuh Iris masih dipandang.
“Hebat
la sangat!” Hanif mencebik. Dia segera beredar dari situ.
Aidil
yang melihat berkerut dahi. Langkah Hanif dipandang. Apa yang tidak kena dengan
kawan baiknya itu?
“We meet again!” tegur Iris berserta senyuman
di bibir.
Hanif
mematikan langkah. Ditatap wajah Iris di hadapan. Rasa menyampah melihat
senyuman di bibir gadis itu. Aidil di sisi turut sama mematikan langkah.
“Tahniah!”
ucap Aidil kemudian.
“Thanks!” balas Iris.
Aidil
sekadar tersenyum.
“Nice presentation!” puji Iris, ikhlas.
Hanif
mencebik meluat. Bertambah tahap kebenciannya terhadap gadis itu.
“You pun tak kurang hebat.”
“Tapi
kami tetap tak dapat projek tu.”
“In
shaa Allah, kalau bukan projek ni, mungkin projek lain company awak akan dapat.”
“Huh!
Kau guna apa untuk dapatkan projek ni?” sampuk Hanif setelah sekian lama
membisu. Wajah Iris ditatap sinis.
Iris
berkerut dahi. Apa maksud pemuda itu?
“Kalau
kau tak pakai, mustahil kau akan dapat projek tu. Entah-entah… kau guna taktik
kotor. Iyalah! Macam…..”
“Hanif,
tak baik buruk sangka.” Aidil menegur. Kurang senang dengan kata-kata Hanif.
Adakah Hanif tidak percaya kepada rezeki Allah?
Iris
tidak membalas. Faham dengan maksud kata-kata Hanif. Pasti Hanif menuduhnya
menggunakan taktik kotor untuk mendapatkan projek. Dia tersenyum seketika.
“Jumpa
lagi!” ujar Iris selepas itu.
Tanpa
menunggu, dia beredar dari situ. Sempat matanya mengerling ke wajah Hanif.
Tegang wajah itu dilihatnya.
“Sinar
matanya penuh dengan kebencian,” bisik Iris lalu melajukan langkah.
“SORRY kalau saya susahkan
awak,” suara Zulaikha bernada kesal.
“Apa
pulak susahnya? Kita kan kawan,”
bidas Haidar, lembut.
Zulaikha
hanya tersenyum. Matanya memandang tingkah laku Haidar yang sedang menukar
tayar kereta. Rasa bersyukur kerana mempunyai kawan seperti Haidar. Seorang
yang ringan tulang dan prihatin.
“Okey,
done!” suara Haidar kemudian.
Zulaikha
tersentak.
“Tayar
tu dah tak boleh pakai. Dah rosak. Nanti saya belikan tayar spare yang baru,” beritahu Haidar sambil
menyeka peluh di dahi.
Zulaikha
tidak membalas. Diperhatikan tayar kereta yang sudah siap ditukar. Senyuman
diberikan kepada Haidar.
“Terima
kasih, awak,” ucap Zulaikha bernada ikhlas.
Haidar
sekadar tersenyum. Peralatan disimpan ke dalam bonet kereta. Setelah itu,
disandarkan tubuh ke kereta sambil memandang ke wajah Zulaikha. Melepaskan
lelah buat seketika.
“Jom
saya belanja awak makan. Dah masuk tengah hari ni,” pelawa Zulaikha, ramah
sambil melihat jam di pergelangan tangan. Masa sudah menghampiri ke angka dua
belas tiga puluh minit.
Haidar
turut sama memandang jam di pergelangan tangan. Dia berfikir sejenak. Ada
baiknya dia bersetuju dengan pelawaan Zulaikha. Kebetulan hari ini dia cuti.
“Boleh
juga,” balas Haidar berserta anggukan kecil.
Zulaikha
turut sama mengangguk. Lantas, dia menghampiri kereta lalu membuka daun pintu.
Peluh dingin sudah membasahi tudung yang dipakainya itu.
Haidar
melangkah menuju ke kereta yang diparkir tidak jauh dari situ. Nafas ditarik
dan dilepaskan ringan. Matanya melihat sekeliling kawasan. Sedikit lengang
kerana jalan itu bukanlah jalan utama.
“Awak!”
Zulaikha memanggil.
Haidar
yang mendengar memandang ke arah Zulaikha. Kenapa Zulaikha memanggilnya? Riak
cemas terlukis di wajah gadis itu.
“Hati-hati!”
Zulaikha menjerit kecil.
Haidar
berkerut dahi. Kenapa Zulaikha menjerit? Dia meliarkan mata melihat sekeliling
kawasan.
“Ya
Allah!” sebut Haidar sedikit terkejut. Hampir, dia dilanggar oleh sebuah kereta
yang datang dengan tiba-tiba.
“Awak
okey?” Zulaikha bertanya. Dia berlari anak menghampiri Haidar.
“Alhamdulillah.
Saya okey!” balas Haidar sambil mengurut dada yang sedang bergetar hebat.
Dihalakan mata ke arah sebuah kereta yang sudah pun berhenti di tepi jalan.
“Bawa
kereta macam apa entah. Tak nampak ke orang kat tepi ni?” marah Zulaikha
berserta dengusan kasar.
Haidar
hanya membisu. Kereta yang berhenti hampir dengan mereka berdua dipandang.
Seperti ada yang tidak kena pada kereta itu.
“Nasib
baik sempat mengelak. Kalau tak sempat tadi, macam mana?” Zulaikha masih lagi
meluahkan ketidakpuasan di hati. Tajam matanya ke arah kereta yang dimaksudkan.
Haidar
masih tidak membalas. Dia melangkah menghampiri kereta yang sudah
diberhentikan. Berkerut dahinya memandang kereta itu.
Zulaikha
hanya memandang. Apa yang sedang cuba Haidar lakukan?
“Ya
Allah! Cik! Cik!” Haidar memanggil. Terkejut melihat seorang gadis yang sudah
tidak sedarkan diri.
Zulaikha
yang mendengar segera melangkah menghampiri Haidar. Apa yang telah berlaku?
“Cik!
Cik!” panggil Haidar lagi. Cermin tingkap diketuk beberapa kali namun tidak ada
tindak balas dari gadis itu.
“Kenapa,
awak?” tanya Zulaikha setibanya di sisi Haidar.
“Awak,
tolong saya ambilkan beg di kereta,” pinta Haidar beriak cemas.
Zulaikha
mengangguk. Dia membawa langkah menuju ke kereta Haidar. Perasaan cemas turut
menumpang di hati. Kenapa dengan gadis itu?
“Cik!
Cik!”
Haidar
memanggil buat kali yang ketiga. Daun pintu kereta cuba ditarik. Nafas lega
dilepaskan tatkala pintu kereta dibuka. Lantas, tangan gadis itu ditarik lembut
lalu memeriksa nadinya.
“Awak!”
suara Zulaikha, tiba-tiba. Dihulurkan beg kepada Haidar.
“Thanks, Ika!” ucap Haidar, lembut.
Tanpa
berlengah, stethoscope dari dalam beg
dikeluarkan. Degupan jantung gadis itu diperiksa. Sudah menjadi kebiasaan bagi
Haidar untuk membawa beg peralatan perubatannya setiap kali keluar ke mana-mana.
Sekadar persediaan sekiranya menghadapi kecemasan.
“Macam
mana?” tanya Zulaikha, ingin tahu.
“Cuma
pengsan,” beritahu Haidar sambil meletakkan
stethoscope di leher.
Zulaikha
mengangguk perlahan.
“Aduh!”
suara Iris, perlahan.
Haidar
dan Zulaikha tersentak. Masing-masing menghalakan mata ke wajah Iris.
“Cik
tak ada apa-apa?” tanya Haidar, prihatin.
Iris
yang mendengar sedikit terkejut. Dia menghalakan mata ke arah yang bertanya.
“Cik
nyaris nak terbabas tadi dan hampir nak melanggar saya,” beritahu Haidar lagi.
Iris
terpinga-pinga. Disentuh kepalanya yang berasa sakit.
“Nasib
baik kawan saya mengelak. Kalau tidak, tak pasal-pasal kena langgar dengan
cik,” luah Zulaikha kurang senang.
Haidar
memandang wajah Zulaikha. Dia memberi isyarat kepada gadis itu. Kurang senang
mendengar kata-kata Zulaikha.
“Maaf!
Saya tak faham dengan apa yang cik cakapkan ni,” suara Iris sebaik sahaja
menstabilkan pernafasan. Sungguh, dia tidak tahu apa yang sedang berlaku ketika
ini.
“Maafkan
kawan saya. Sebentar tadi, cik nyaris nak melanggar saya.” Haidar
berterus-terang. Wajah Iris di hadapan ditatap seketika.
Iris
mengangguk lemah. Barulah dia teringat dengan apa yang terjadi. Entah kenapa
kepalanya berasa sakit dengan tiba-tiba. Pandangannya sedikit kabur. Maka dari
itu, dia cuba untuk memberhentikan kereta di bahu jalan. Tetapi, tayar keretanya
telah melanggar sesuatu dan dia tidak dapat mengawal stereng lalu terbabas di
bahu jalan. Sempat juga dia menekan brek kecemasan.
“Cik
tak ada apa-apa?” Haidar bertanya lagi. Wajah gadis itu masih ditatap dengan penuh
minat.
Iris
memandang wajah Haidar. Lama dia memerhatikan wajah itu. Seminit kemudian, dia
melarikan wajah tatkala terdengar deheman dari arah Zulaikha.
“Cik
okey ke tak ni?” tanya Zulaikha pula.
Berkerut
dahinya melihat Iris. Pandangan gadis itu terhadap Haidar menghadirkan rasa
cemburu di hati. Kenapa gadis itu memandang Haidar sebegitu sekali?
“Haa..
okey! Saya okey!” balas Iris sebaik
sahaja tersedar.
Agak
lama dia memandang wajah Haidar. Entah kenapa wajah itu menghadirkan rasa sebu
di hati. Adakah wajah itu pernah dilihat sebelum ini?
“Alhamdulillah
kalau cik dah okey.”
“Terima
kasih kerana membantu.”
“Kita
sesama Islam saling memerlukan dan bantu membantu. Mana tahu suatu hari nanti,
cik pula yang bantu saya.”
Iris
sekadar tersenyum. Ada benarnya kata-kata pemuda itu.
“Kalau
tak ada apa-apa lagi, saya minta diri dulu. Terima kasih kerana membantu,” ujar
Iris kemudian. Senyuman diberikan kepada Haidar dan Zulaikha.
“Cik
boleh…”
“In
shaa Allah, boleh!” pintas Iris. Pasti pemuda itu risau jika dia memandu kereta
dalam keadaan belum stabil.
Haidar
mengangguk faham. Diamati wajah gadis itu buat seketika.
“Saya
minta diri dulu,” pamit Iris sambil menarik daun pintu kereta.
“Hati-hati,
cik,” pesan Haidar bernada ikhlas.
“Jumpa
lagi,” suara Zulaikha yang sejak dari tadi mendengar dan membisu.
Iris
tersenyum. Tanpa menunggu, dia menghidupkan enjin kereta dan beredar dari
kawasan itu. Otaknya sedang memikirkan sesuatu. Entah apa yang difikirkannya
itu dia sendiri tidak pasti.
“Jom!”
ajak Zulaikha selepas itu.
Haidar
menoleh ke wajah Zulaikha. Dia tersenyum buat seketika. Masih teringat
pandangan gadis itu tadi. Pandangan yang sukar untuk dimengertikan. Sinar mata
gadis itu seperti pernah dilihat sebelum ini. Tetapi, di mana?
terbaek... nak lg hehehe
BalasPadam