“ERY!” tegur Encik Qamarul.
Ery yang sejak dari
tadi menanti segera menghampiri Encik Qamarul. Berdebar-debar ketika ini.
Menanti perkhabaran daripada Encik Qamarul.
“Macam mana uncle?”
tanya Ery tidak sabar.
Encik Qamarul menanggalkan
cermin mata lalu meraup wajah. Keluhan berat terlepas daripada bibir.
“Macam mana uncle?”
Ery mengulangi pertanyaannya tadi.
Encik Qamarul masih lagi
membisu. Matanya memandang wajah Ery yang sedang menanti jawapan darinya.
“Uncle!” seru Ery
pula. Semakin berdebar jantungnya melihatkan reaksi Encik Qamarul yang hanya
membisu.
“Kau buat apa kat sini?”
Marah satu suara dari arah belakang.
Ery dan Encik Qamarul yang
mendengar terkejut. Serentak mereka menoleh ke arah yang bersuara. Wajah Hanif
Qairin menyapa mata mereka berdua.
“Kau buat apa kat sini?”
ulang Hanif berserta pandangan tajam.
Ery menelan liur. Wajah
Hanif dipandang berserta perasaan takut.
“Aku tanya, kau buat apa
kat sini?” Hanif masih lagi bertanya. Dikepalkan tangan. Wajah Ery di hadapan
dipandang bagai nak telan sahaja.
“Hanif!” Encik Qamarul
menegur. Kurang senang dengan tingkah laku anaknya itu.
Hanif mendengus kasar.
Tanpa membalas, dia beredar dari situ menuju ke bilik rawatan. Semakin dia
berdendam terhadap Ery.
“Maafkan Ery, uncle.
Ery….”
“Tak apa, Ery. Bukan salah
Ery.” Encik Qamarul memintas. Sekadar menghalau rasa di hati Ery.
Ery menunduk memandang kaki
sendiri. Rasa bersalah menghuni di hati. Bersalah atas apa yang berlaku
terhadap Haidar Qairen.
“Mari Ery!” pelawa Encik
Qamarul.
“Ha….” Ery sedikit
tersentak.
“Kita tengok Haidar,”
beritahu Encik Qamarul.
“Ery…. Ery….” Ery
tersekat-sekat.
“Jangan risau. Uncle akan
tegur Hanif,” balas Encik Qamarul berserta senyuman.
Ery tersenyum hambar
berserta anggukan di kepala. Perlahan-lahan dia melangkah mengekori langkah
Encik Qamarul menuju ke bilik rawatan. Berdedar-debar ketika ini. Bagaimana
untuk berhadapan dengan Hanif semula?
“MACAM mana keadaan anak saya, doktor?” tanya Encik
Qamarul setibanya di bilik rawatan. Matanya memandang ke tubuh Haidar yang
sedang berbaring di atas katil.
“Tak ada apa yang perlu
dibimbangkan. Keadaan anak encik stabil,” beritahu doktor yang bernama Faizul
itu.
“Alhamdulillah,” ucap Encik
Qamarul berserta nafas lega.
“Bila dia sedar nanti, kita
beritahu perkara yang sebenarnya,” cadang Doktor Faizul.
“In shaa Allah, doktor.
Saya harap anak saya dapat terima keadaannya ketika ini,” balas Encik Qamarul,
berat.
“Mudah-mudahan, encik. Saya
akan bawakan kes anak encik ke pihak tertentu. Sama-sama kita berusaha agar
Haidar kembali pulih,” kata Doktor Faizul bernada nasihat. Bahu Encik Qamarul
disentuh lembut.
Encik Qamarul sekadar
mengangguk lemah. Matanya tidak lekang dari memandang ke wajah Haidar. Berdoa
agar anaknya dapat menerima dengan apa yang terjadi ketika ini.
“Saya minta diri dulu.
Kalau ada apa-apa, boleh panggil saya di bilik atau nurse yang
bertugas,” ujar Doktor Faizul, lembut.
“Baiklah, doktor. Terima
kasih,” ucap Encik Qamarul berserta senyuman.
Doktor Faizul mengangguk.
Dia beredar dari bilik rawatan itu. Senyuman diberikan kepada Encik Qamarul dan
Ery.
“Uncle!” panggil Ery
tatkala kelibat Doktor Faizul menghilang.
Encik Qamarul menghalakan
mata ke wajah Ery.
“Boleh saya jaga Haidar?”
pinta Ery, bergetar.
“Jaga?” Encik Qamarul
berkerut dahi.
“Saya nak tebus kesalahan
saya. Benarkan saya jaga Haidar,” beritahu Ery lalu menunduk. Rasa bersalah
membelenggu diri ketika ini.
Encik Qamarul tidak
membalas. Dia melabuhkan duduk di birai katil. Keluhan berat dilepaskan untuk
kesekian kali.
“Please uncle!
Benarkan Ery jaga Haidar. Ery akan cuba sembuhkan Haidar.” Ery merayu.
Berharap, Encik Qamarul bersetuju dengan permintaannya itu.
“Ery, uncle….”
Encik Qamarul termati
kata-kata. Dia bingkas bangun lalu menghampiri Ery.
“Please uncle!” Buat
kali ketiga Ery merayu namun lelaki tua itu masih membisu.
“Uncle keluar
sekejap,” balas Encik Qamarul, lemah.
Tanpa menunggu, dia
melangkah beredar dari bilik itu. Dia perlu menenangkan hati dan perasaan. Walaupun
dia beriak tenang, jauh di sudut hati, perasaan risau tetap ada. Risau akan
penerimaan Haidar sebaik sahaja sedar nanti. Adakah Haidar dapat menerima
keadaannya yang lumpuh?
Ery hanya memandang.
Keluhan berat terlepas daripada bibir. Dia menghalakan mata ke wajah Haidar.
Semakin bersalah tatkala melihat wajah itu. Disebabkan dia, Haidar menerima
akibat. Bagaimana untuk menebus segala kesalahan tersebut?
“Kau buat apa kat sini?”
tegur Hanif dari arah muka pintu bilik.
Ery yang baru hendak
membetulkan selimut Haidar tersentak.
“Jangan kau berani nak
sentuh Haidar!” Hanif memberi amaran.
Ery mematikan tingkah laku.
Dia memandang ke wajah tegang Hanif. Sejak dari dulu lagi Hanif membencinya.
Sebab apa? Dia sendiri tidak pasti. Puas dia berfikir namun dia tidak menemui
jawapan. Kenapa Hanif begitu membencinya?
“Kau ni memang tak tahu
malu, kan?” Hanif bersuara sinis.
Ery hanya mendengar. Tidak
berniat untuk membalas. Matanya memerhati tingkah laku Hanif yang sedang mundar
mandir di hadapannya.
“Dan tak faham bahasa,”
sambung Hanif masih sinis.
“Hanif, aku….”
“Kau berambus dari sini!
Aku benci tengok muka kau!” marah Hanif seraya menolak kasar tubuh Ery.
Ery tersentak. Tolakan
Hanif begitu menyakitkan.
“Sampai mati aku takkan
maafkan kau atas apa yang terjadi pada Haidar. Kau akan terima balasannya
nanti,” amarah Hanif sambil menolak kasar tubuh Ery.
Terlalu lama dia mendendami
Ery. Ditambah dengan apa yang berlaku kepada Haidar ketika ini. Disebabkan Ery,
Haidar mengalami kecederaan dan disahkan lumpuh. Ikutkan hati, mahu sahaja dia
membunuh Ery di hadapannya itu.
“Hanif, aku….” Sukar untuk
Ery bersuara. Dia menahan kesakitan akibat tingkah laku Hanif. Sedaya upaya
Hanif menolaknya supaya keluar dari bilik itu.
“Kau berambus!” amarah
Hanif seraya menutup pintu bilik dengan kasar.
Terhenjut tubuh Ery dengan
tingkah laku Hanif itu. Dia meraba lengannya yang berasa sakit. Dipejamkan mata
sambil cuba mencari kekuatan.
Setelah hampir sepuluh
minit menenteramkan diri, Ery melangkah pergi dari situ. Dia perlu mencari
peluang untuk berjumpa dengan Haidar. Meminta maaf daripada pemuda itu atas apa
yang telah berlaku. Semoga dia berpeluang untuk berjumpa dengan Haidar nanti.
Getaran dari arah telefon
mematikan langkahnya. Poket seluar digagau lalu mengeluarkan telefon bimbit.
Ditatap nama di skrin buat seketika.
“Ada apa?” tanya Ery sebaik
sahaja talian bersambung.
“Aku ada perkara nak
beritahu pada kau,” balas Alif dari hujung talian.
“Pasal apa?”
“Haidar!”
“Haidar?”
“Sebenarnya Ery….”
Belum sempat Alif
meneruskan ayat, telinganya disapa dengan jeritan seseorang. Diamati dan cuba
untuk mengetahui dengan apa yang terjadi.
“Ery!” panggil Alif
kemudian.
Terima kasih sudi baca.
:*
:*
Tiada ulasan:
Catat Ulasan