Isnin, 20 Februari 2017

Terus Mencintaimu - Bab 6






“OKEY! Aku tahu. Kau janganlah risau. Aku tak lupa,” kata Iris sambil memutarkan stereng kereta membelok ke kanan jalan.
“Aku cuma nak ingatkan kau saja. Takut kau lupa,” balas Zakry dari hujung talian.
“Aku tak lupa, Zack. Thanks kerana ingatkan aku,” ucap Iris bernada ikhlas.
Zakry sekadar mengangguk. Nafas ringan dilepaskan.
“Minggu depan mak nak buat kenduri.”
“Kenduri?”
“A’ah. Dah lama tak buat kenduri lepas….”
“Kalau kau perlukan bantuan, beritahu aku.”
Iris tidak membalas. Zakry sengaja memintas kata-katanya. Pasti Zakry tidak mahu dia mengingati kisah lama.
“Aku tunggu kau kat tempat biasa.”
“Okey! Aku akan datang.”
Zakry menghela nafas lega. Ucapan syukur meniti di benak hati. Bersyukur kerana Iris sudah boleh menerima kenyataan.
“Aku letak dulu. Apa-apa nanti aku call kau,” suara Iris dari hujung talian.
“Apa-apa hal jangan lupa beritahu pada aku,” pesan Zakry bernada lembut.
“I will, Zack. Kau satu-satunya sahabat aku dunia dan akhirat. Thanks for being my friend,” balas Iris bernada ikhlas. Sungguh, dia terhutang budi dengan Zakry selama ini.
“Kau seorang yang ikhlas dan jujur. Disebabkan itu aku berminat nak berkawan dengan kau daripada orang lain,” balas Zakry pula.
Iris hanya mendengar. Kata-kata Zakry meniti di minda saat ini.
“Kau masih mencari dia, Iris?” Zakry bertanya. Sekadar ingin tahu.
Iris tidak membalas. Apa jawapan yang harus diberikan kepada Zakry?
“Mungkin dia….”
“Aku yakin aku akan jumpa dengan dia, Zack,” pintas Iris berserta nafas ringan.
“Kalau kau tak jumpa, macam mana?”
Iris membisu. Dia mencari jawapan kepada pertanyaan Zakry.
“Tak apalah, Iris. Aku doakan kau berjumpa dengan dia semula,” suara Zakry.
Pasti, Iris tidak ada jawapan kepada pertanyaannya tadi. Ada baiknya dia menghentikan topik itu. Khuatir Iris akan mengingatinya.
Iris masih tidak membalas. Kereta sudah lama diberhentikan di bahu jalan. Memberi sepenuh tumpuan kepada perbualan mereka berdua.
“Aku letak dulu. Apa-apa nanti jangan lupa beritahu pada aku.” Zakry berpesan untuk kesekian kali.
“Okey! Jumpa malam nanti,” balas Iris lalu mematikan talian.
Nafas ditarik dan dilepaskan ringan. Disandarkan tubuh ke kusyen kereta sambil memikirkan pertanyaan Zakry.
“Aku yakin, Zack. Aku yakin yang suatu hari nanti aku akan berjumpa dengan dia,” suara Iris sendirian. Memberi keyakinan kepada dirinya sendiri.
Setelah beberapa minit menenteramkan perasaan, Iris menyambung pemanduan. Jam di dashboard dipandang. Masa sudah merangkak ke angka lapan tiga puluh minit pagi.
“Ya Allah!” ucap Iris tatkala terdengar dentuman kuat dari arah belakang kereta.
Dia segera memberhentikan kereta lalu mengintai dari cermin pandang belakang. Sebuah kereta telah melanggar keretanya.
“Haish!!! Pagi-pagi dah buat hal,” rengus Iris lalu mematikan enjin kereta.
“Mata tu letak kat kepala lutut agaknya,” bebel Iris pula sambil keluar dari dalam perut kereta. Langkah dibawa menghampiri belakang kereta untuk melihat.
“Aduh! Habis kemek buntut kereta aku. Kena mintak ganti rugi ni,” kata Iris sebaik sahaja melihat kerosakan keretanya. Kemudian, dia menghalakan mata ke arah kereta yang melanggarnya tadi. Melihat pemandu kereta tersebut.
Hanif sedikit terkejut. Bagaimana dia boleh melanggar kereta orang? Diraup wajah sambil melepaskan dengusan ringan. Dikerling jam di pergelangan tangan buat seketika. Khuatir dia akan terlewat menghadiri mesyuarat di Putrajaya.
“Encik!” Iris menegur sambil mengetuk cermin tingkap kereta.
Hanif menghalakan mata ke arah yang mengetuk. Terkejut tatkala melihat wajah yang berada di luar keretanya.
Iris turut sama terkejut. Tidak menyangka akan berjumpa dengan pemuda itu lagi.
“Tak ada orang lain lagi ke aku nak jumpa?” bisik Iris sendirian. Dilihatnya Hanif sudah menapak keluar dari dalam perut kereta.
So?” tanya Hanif sebaik sahaja keluar. Dia bersandar lalu berpeluk tubuh.
So?” ulang Iris berkerut dahi.
“Berapa?”
Iris tersenyum sinis. Lelaki itu seorang yang berlagak.
“Kau beritahu saja berapa. Aku bayar.”
“Seribu.”
What?”
One thousand.”
“Kau ingat kereta kau tu BMW? Audi? Porsche? Range Rover?” Hanif menyindir.
Iris yang mendengar ketawa kecil. Wajah sinis Hanif ditatap buat seketika.
“Setakat Myvi cabuk dah nak berlagak,” cebik Hanif, meluat.
“Kau peduli apa kalau aku berlagak dengan Myvi aku ni.”
Hanif masih lagi mencebik. Wajah Iris di hadapan dipandang dari atas ke bawah.
“Kalau kau tak ada duit, beritahu sajalah. Tak payah nak berlagak sangat la,” sindir Iris pula berserta ketawa kecil.
Hanif menggenggam erat tangan. Sakit hatinya mendengar sindiran Iris.
So, kau ada duit ke tak? Kalau tak ada, kita bawa kes ni ke balai.” Iris berpeluk tubuh sambil bersandar di bonet kereta.
“Huh! Kau ingat aku tak mampu?”
Maybe!”
Hanif mendengus kasar. Terasa dicabar oleh gadis itu. Tanpa berlengah, dikeluarkan dompet dari dalam poket belakang seluar. Dibuka lalu ditarik beberapa keping not RM100 dan dihulurkan kepada Iris.
“Harga kau!” Hanif menekan suara. Huluran masih tidak dibalas.
Iris memandang wang kertas yang dihulur. Senyuman kecil terbit di bibir. Sudah beberapa kali mereka berjumpa secara tidak sengaja. Pemuda itu masih dengan lagaknya. Masih dengan egonya.
“Kenapa? Tak cukup?”
Hanif mengeluarkan lagi beberapa keping not RM100. Dihulurkan kepada Iris namun gadis itu tidak membalas huluran.
Iris tidak membalas. Dia melangkah menuju ke kereta semula. Dia memandang Hanif buat seketika berserta senyuman yang manis.
“Nanti aku hantar bil pada kau,” suara Iris lalu masuk ke dalam kereta.
Hanif yang melihat melepaskan dengusan kasar. Panas hatinya ketika ini. Iris sengaja memperlekehkannya. Sengaja menjatuhkan maruahnya.
“Sial! Tak guna punya perempuan!” marah Hanif seraya menendang tayar kereta.
“Aduh!” rengek Hanif kemudian.
Dia memandang kiri dan kanan. Adakah tindakannya tadi dilihat orang? Rasa sakit di hati masih lagi bersisa. Acapkali Iris memalukannya.
“Kau ingat kau hebat sangat ke? One day kau akan kenal siapa aku yang sebenarnya, Iris Eryna,” kata Hanif penuh azam. Digenggam erat tangan sambil menahan rasa sakit di hati. Dia yakin akan mengenakan Iris suatu hari nanti.


“HAI, tegang saja muka tu aku tengok, kenapa?” tegur Aidil tatkala terlihat Hanif.
Hanif tidak membalas. Dia melangkah masuk ke dalam bilik. Panas hatinya hari ini.
“Apa hal ni?” Aidil masih lagi bertanya. Pasti ada perkara yang membuatkan Hanif beriak tegang sebegitu.
“Sakit hati aku ni kau tahu tak?” balas Hanif berserta dengusan kasar.
“Iyalah! Tapi sebab apa?” tanya Aidil lagi. Duduk dilabuhkan berhadapan dengan Hanif. Wajah kawannya itu ditatap meminta penjelasan.
Hanif mendengus lagi. Sejak peristiwa pagi tadi dia berperasaan marah dan benci. Malah, dia juga tidak ada mood ketika bermesyuarat. Mujurlah mesyuarat itu sekadar mesyuarat biasa dan tidak melibatkan projek.
“Macam mana dengan meeting? Okey tak?”
“Tak okey!”
Aidil mengangguk perlahan. Pasti ada seseorang yang telah membuatkan Hanif berasa marah dan tegang sebegitu.
“Siapa?” Aidil sekadar menduga.
“Minah tak guna! Dia fikir dia hebat sangat?” marah Hanif sedikit tegang.
Aidil tersenyum. Dugaannya benar belaka. Seseorang telah mendatangkan kemarahan Hanif. Siapa yang dimaksudkan oleh Hanif itu?
“Ikutkan hati aku tadi, mahu penampar aku bagi,” sambung Hanif lagi. Meluahkan kemarahan di hadapan Aidil.
“Okey! Aku tahu kau tengah marah. So, siapa yang kau marahkan ni?” soal Aidil ingin tahu.
Belum pernah lagi Hanif berkeadaan begitu. Jika ada pun hanya kemarahan biasa sahaja. Majikan kepada pekerja.
“Berani betul dia perlekehkan aku. Jatuhkan maruah aku. Haishh!!! Sakit hati aku ni, kau tahu tak?” luah Hanif sambil memukul lembut dada sendiri.
Aidil tidak membalas. Diputarkan memori lama. Wajah seseorang menyapa mata. Hanya ‘dia’ yang sering menjadi mangsa kemarahan Hanif. Sejak dulu lagi, hanya ‘dia’ yang membuatkan hidup Hanif tidak aman.
Kebencian Hanif terhadap ‘dia’ sukar untuk dibendung dan sehingga ke hari ini, kawannya itu masih menyimpan dendam terhadap ‘dia’. Hari ini, dia melihat kebencian dan kemarahan yang sama. Siapa yang Hanif maksudkan? Adakah orang itu bakal senasib dengan ‘dia’?
“Tolong hantar aku ke Shah Alam nanti,” ujar Hanif sebaik sahaja kemarahannya reda. Aidil di hadapan dipandang.
“Hantar kau? Kereta kau?” soal Aidil kurang jelas.
“Bengkel!” jawab Hanif, sepatah.
Aidil berkerut dahi.
“Aku langgar kereta minah tu pagi tadi. Nasib baik aku tak lambat hadir meeting tu.” Hanif menjelaskan kedudukan sebenar. Nafas dihela ringan.
“Minah? Minah mana?” Aidil berminat. Nama serta wajah seseorang meniti di minda ketika ini. Adakah Iris Eryna yang dimaksudkan oleh Hanif itu?
“Minah yang kau banggakan sangat tu la.” Hanif mencebik meluat.
Aidil yang melihat ketawa kecil. Dia menggelengkan kepala seketika.
“Dia fikir dia bagus sangat. Dia belum kenal dengan aku lagi.”
“Memang dia bagus.”
Hanif menoleh mendengar jawapan Aidil.
“Memang dia bagus dan hebat. Aku kagum dengan dia. Dalam setahun, dia berjaya dapatkan tender serta projek dari company besar dan terkenal.”
Hanif tidak membalas. Dia masih mencebik.
“Belum pernah aku jumpa orang seperti dia.”
Hanif masih membisu. Dia memandang wajah Aidil seketika.
“Kalau kita ada staf macam dia, confirm company kita tersenarai di bursa saham Malaysia,” suara Aidil lagi. Senyuman meniti di bibir.
“Huh! Tak ingin aku ambil dia jadi staf company ni. Tak pasal-pasal, dia pijak kepala kita nanti,” balas Hanif kurang setuju.
Aidil masih lagi tersenyum. Wajah Hanif dipandang.
“Dia cantik dan ayu,” puji Aidil kemudian lalu tersengih.
“Cantik? Ayu? Mata kau tu rabun agaknya,” sindir Hanif sambil menjeling.
Tergelak Aidil melihatnya. Dia bingkas bangun dari duduk lalu mengemaskan penampilan. Jam di pergelangan tangan dipandang seketika.
“Aku balik bilik dulu. Pukul berapa kau nak aku hantar ke Shah Alam?”
“Tunggu mekanik aku call. Nak confirmkan kerosakan.”
“Okey! Apa-apa nanti beritahu aku.”
Hanif sekadar mengangguk. Matanya menghantar langkah Aidil yang sudah menghampiri pintu bilik.
“Jangan lupa pertemuan kau malam nanti,” pesan Aidil sambil memulas tombol pintu bilik. Menunggu untuk beredar dari situ.
Hanif berkerut dahi. Bagaimana Aidil tahu tentang pertemuan malam nanti?
“Macam mana….”
“Haidar call aku minta remind pada kau,” pintas Aidil lalu menghilangkan diri. Pasti persoalan itu yang ditanya oleh Hanif.
Hanif sedikit tersentak mendengar jawapan Aidil. Adakah selama ini Haidar meminta Aidil menjadi penyampainya? Acapkali Aidil mengingatkannya tentang pertemuan keluarga. Mungkinkah Aidil diupah atau diarah oleh ayah atau Haidar untuk memerhatikannya?



1 ulasan: