Tengku Hariz menyandarkan badan di
kepala katil. Sedari tadi dia memerhatikan Aisya yang sedang ralit menatap laptop. Entah mengapa hatinya berasa
tidak enak melihatkan wajah keruh Aisya. Sesekali jelas kerutan di dahi Aisya,
seperti sedang memikirkan sesuatu lagaknya. Apa yang sedang difikirkan oleh
Aisya? Apa yang membuatkan wajah Aisya mendung dengan tiba-tiba? Soalan yang
memerlukan jawapan.
“Aisya ada masalah ke?” tanya Tengku
Hariz berbasa-basi.
“Masalah? Masalah apa?” ulang Aisya
acuh tak acuh. Matanya masih tertancap ke screen
laptop.
Tengku Hariz melepaskan keluhan ringan.
Buku yang berada di tangan di tutup dan diletakkan di atas meja solek di sisi
katil. Dia bingkas bangun dan menghampiri Aisya yang sedang duduk di meja study. Wajah Aisya ditatap sayang.
“Aisya jangan nak bohong dengan abang.
Abang tau ada perkara yang Aisya cuba sembunyikan dari abang. Riak di muka
Aisya tu pun dah bagitau pada abang yang Aisya ada masalah,” kata Tengku Hariz
cuba menduga perasaan Aisya. Dia yakin dengan kata-katanya itu.
Aisya mendengus perlahan. Mustahil dia
akan memberitahu Tengku Hariz akan perasaan cemburunya itu. Ya, cemburu. Itulah
yang dirasakannya tatkala melihat Tengku Hariz berpelukan dengan Marlisa siang
tadi. Bagaikan gugur jantung dirasakan selepas melihat kemesraan mereka berdua.
Jika Tengku Hariz boleh berbuat begitu di hadapan matanya, bagaimana di
belakangnya pula? Tanpa disedari, air mata mulai bergenang di tubir mata.
Pantas dia mengerdipkan matanya beberapa kali agar tidak jatuh membasahi pipi.
“Kenapa ni? Abang ada buat salah dengan
Aisya ke? Kalau ada, abang minta maaf,” ujar Tengku Hariz lembut. Dia dapat
merasakan ada bebanan yang sedang ditanggung oleh Aisya.
“Tak ada apa. Mungkin penat siang tadi
tak hilang lagi kot,” dalih Aisya perlahan. Dia menutup laptop yang telah di shut
downkan. Selepas meletakkannya di atas meja study, dia bangun dan menuju ke almari pakaian. Selimut dikeluarkan
dari dalam almari dan tilam yang terletak di bawah katil ditarik. Kemudian itu,
dia merebahkan diri di atas tilam itu. Tengku Hariz yang melihatnya berkerut
seribu.
“Aisya, kenapa tidur kat bawah?” tanya
Tengku Hariz tidak mengerti. Tiada batasan lagi di antara mereka berdua. Mereka
sudah menjadi suami isteri yang sah.
“Inikan tempat saya. Kan dari dulu
lagi, di bawah nilah tempat saya tidur,” jawab Aisya seakan menyindir. Memang
itulah yang dirasakannya. Kenangan lalu masih lagi berbekas di dalam hati.
Tengku Hariz tersentak dengan jawapan
Aisya. Ternyata Aisya masih lagi mengingati kisah silam. Jika tidak mustahil
Aisya akan menyindirnya begitu. Ya ALLAH, bagaimana untuk aku hapuskan rasa
bersalah aku ni, rintih Tengku Hariz di dalam hati.
“Aisya tidurlah kat atas katil tu, biar
abang tidur kat bawah,” cadang Tengku Hariz. Dia duduk di birai katil dengan
perasaan yang sebak. “Pergilah, abang tak nak badan Aisya sakit disebabkan
tidur kat bawah ni,” pujuk Tengku Hariz lembut. Tidak sampai hati membiarkan
Aisya tidur di bawah lagi.
“Tak apa, saya tak kesah. Dahlah… saya
penat, nak tidur,” tolak Aisya lembut. Rasa cemburu masih menebal dan dia tidak
mahu Tengku Hariz mengesan akan perasaan cemburunya itu.
Dia ni tak faham bahasa ke. Aku malulah
kalau dia dapat kesan perasaan aku sekarang ni. Hisy… kenapa sakit sangat hati
aku ni lepas tengok diorang berpeluk, gerutu Aisya. Matanya cuba dipejamkan,
tetapi matanya itu seakan memahami perasaannya.
Tengku Hariz mengeluh ringan. Mukanya
diraup sekali. Sudah lama dia mengenali Aisya. Jika Aisya tidak mahu, jangan
sesekali memaksa, kelak dia sendiri yang akan melopong. Melopong kerana
dipulaukan dan dimarahi oleh Aisya nanti.
“Suka hati Aisyalah. Nanti jangan
salahkan abang kalau esok pagi Aisya bangun, abang ada di sebelah Aisya, siap
peluk Aisya lagi. Masa tu Aisya jangan salahkan abang,” kata Tengku Hariz
sengaja mengusik Aisya. Kemudian, dia tertawa kecil dengan kata-katanya itu.
Peristiwa beberapa tahun yang lalu masih segar di ingatan. Betapa bahagianya
dia di waktu itu.
“Kenapa nak peluk Aisya? Pergilah peluk
perempuan tu, lagi seronokkan!” luah Aisya geram. Dia membuangkuskan dirinya di
bawah selimut. Mungkin malu ataupun tidak, dia sendiri tidak tahu. Aduh!!
Kenapa aku boleh terlepas cakap ni? Nampak sangat aku cemburu. Buat malu aku
ajelah. Aisya mengutuk dirinya sendiri.
Tengku Hariz yang berkira-kira untuk
naik ke atas katil, tersentak mendengar kata-kata Aisya. Perempuan? Perempuan
mana yang dikatakan oleh Aisya itu? Dia menggaru-garu kepalanya yang tidak
gatal. Perempuan? Desis hatinya lagi. Ya ALLAH, apasal la aku ni bodoh sangat.
Tengku Hariz memarahi dirinya sendiri. Dia nampak aku peluk dengan Marlisa ke?
Mesti dia nampak, kalau tak mustahil dia boleh sindir aku macam tu tadi. Tengku
Hariz bersoal jawab dalam hatinya sendiri.
“Aisya…” panggil Tengku Hariz romantis.
“Aisya cemburu ya,” duga Tengku Hariz sambil tersenyum. Dia menarik selimut
yang membungkus Aisya dengan perlahan sehingga menampakkan muka Aisya. Senyuman
nakal menghiasi bibirnya.
“Siapa cemburu? Jangan nak perasanlah!”
bidas Aisya keras. Mukanya sudah pun merona merah. Malu apabila perasaan
cemburunya dapat dikesan oleh Tengku Hariz. Dia juga cuba menahan getaran di
dada. Terasa jantungnya berdegup dengan kencang.
Tengku Hariz tersenyum meleret. Dia
dapat melihat rona merah di pipi Aisya. Ternyata Aisya cemburu. Cemburu seorang
isteri apabila melihat si suami berpelukan dengan perempuan lain.
“Sayang… abang dengan Lisa tak ada
apa-apa hubungan. Apa yang sayang tengok tadi tu, bukan seperti apa yang sayang
fikirkan,” pujuk Tengku Hariz penuh kelembutan. Dia menarik lembut muka Aisya
agar memandangnya. Lama mata mereka bertaut.
i likeeee.... lmbt nye nk kuar versi cetak....... eee.. malu aisya... jeles ek..
BalasPadamhehe.. 2lah.. sblm ni TH aje y selalu cemburu.. kali ni Aisya pulak.. :)
Padamrindunyer kat HM...tq akak..aisya cemburu..heheehe..cemburu tandanye sayang... mestila aisya sayang kat haris..heheehe
BalasPadamhehe.. baru npk Aisya cemburu. seblm ini Aisya bersikap cool aje even npk TH bercium ngan Fatin.. huhu.. :D
Padam