BAB 7
Liyana menongkat dagunya sendiri. Sudah beberapa kali
keluhan terlepas dari bibirnya. Masalah yang dihadapi, semakin lama semakin
rumit. Dia tidak tahu bagaimana untuk menyelesaikannya. Kepalanya bagaikan nak
meletup memikirkannya. Terasa serabut di kepala dan sesak nafas sehinggakan
susah untuknya bernafas secara normal. Huh! Keluhan ringin dilepaskan untuk
kesekian kalinya.
Liyana bangun dari duduknya. Dengan langkah yang longlai,
dia menuju ke pantry untuk membuat
secawan milo panas. Dia menarik laci, dan mencari milo 3 in 1 di dalamnya. Cawan
dicapai dan air panas dituangkan ke dalam cawan tersebut. Milo 3 in 1
diletakkan ke dalam dan dikacau. Setelah selesai, dia melabuhkan duduknya di
atas kerusi yang tersedia di pantry
itu.
“Lia apa khabar? Kenapa lama tak jenguk ibu dan ayah?” tanya
Datin Suraya sebaik sahaja melihat kelibat Liyana di hospital. Dipeluk erat
anak bongsunya itu. Melepaskan kerinduan yang bertamu selama tiga bulan ini.
Liyana tersenyum pahit. Pada mulanya dia tidak berniat untuk
melawat ayahnya di hospital. Disebabkan rasa tanggungjawabnya sebagai seorang
anak, nak tak nak, digagahkan juga dirinya ke hospital. Mujurlah dia meminjam
kereta Fazura, jika tidak, mustahil dia akan tiba di KL pada malam itu juga.
“Lia sihat ibu. Lia sibuk sikit sebab itu Lia tak datang
jenguk ibu dan ayah.” Liyana memberi alasan. Tetapi hakikat sebenarnya,
bukanlah sebegitu. Maafkan Lia kerana berbohong, desis hatinya.
“Sibuk melepak, merayau sana sini, mana nak ada masanya
menjenguk kita,” sindir Dato’ Zulkifli membuatkan Liyana dan Datin Suraya
terkejut.
Liyana menoleh. Dato’ Zulkifli sedang memandang tajam ke
arahnya. Tanpa menghiraukan pandangan Dato’ Zulkifli, pantas Liyana menghulur
tangan untuk bersalam. Namun seperti biasa, Dato’ Zulkifli tetap akan menepis
dan menolak. Liyana menahan dalam hati. Hanya ALLAH sahaja yang tahu betapa
hiba dan sedih perasaannya kala itu.
“Hisy abang ni. Ada ke cakap macam tu. Budak tu penat pun
tak hilang lagi, awak dah membebel,” marah Datin Suraya. Tidak suka
terus-terusan Dato’ Zulkifli memarahi anak bongsunya itu.
“Tak mengapalah ibu. Lia datang pun sebab nak lawat ayah.
Kalau ayah dah sihat, Lia minta diri dulu,” sampuk Liyana tidak mahu ibu dan
ayahnya bertekak kerananya.
“Elok sangatlah tu. Lebih lama kamu di sini, naik darah aku
dibuatnya,” kata Dato’ Zulkifli membuatkan Liyana terpana seketika.
Kenapa ayah? Kenapa ayah buat Lia macam ni? Apa salah Lia
pada ayah sehinggakan ayah membenci Lia sebegitu rupa? Rintih hatinya.
“Lia minta diri dulu ibu. Sampaikan salam Lia pada abang dan
Kak Laila,” ujar Liyana dan bersalaman dengan Datin Suraya. Seminit kemudian,
kelibatnya hilang dari pandangan mata ayah dan ibunya. Membawa hati yang
semakin parah.
“Lia!! Kat sini rupanya kau,” sergah Maziah menghalau
lamanun Liyana pada peristiwa seminggu yang lepas.
“Kush semangat kau ni Maz, terkejut beruk aku dibuatnya.
Beruk pun tak terkejut macam aku tau,” gerutu Liyana sambil mengurut-urut
dadanya yang berombak kencang.
“Habis tu, dah aku panggil kau berkali-kali tak juga sahut-sahut,
aku sergahlah!” bela Maziah dan melabuhkan duduk berhadapan Liyana. Cawan
berisi milo milik Liyana dicapai lalu diteguknya perlahan.
“Air aku tu…” tegah Liyana.
“Alah, kau buatlah lain. Sedap pulak aku tengok air kau ni,”
balas Maziah dan meneruskan hirupannya.
Liyana menggelengkan kepala. Selama hampir dua bulan dia
bekerja di Samudera Holding, selain Fazura, Maziah merupakan rakan sepejabat yang
paling sporting. Suka mengusik dan
diusik. Cakap ikut sedap mulut dan lepas. Namun Maziah tidak pernah ambil hati
dengan usikan dan gurauan itu. Bagi Maziah dengan bergurau, kita dapat
melepaskan stress yang membelenggu
diri kita dan dengan ketawa, segala kesedihan dan masalah yang dihadapi oleh
kita akan terbang dan tenggelam dalam ketawa kita itu.
Benar apa yang dikatakan oleh Maziah, begitu juga dengan
dirinya, turut berpendirian sama dengan Maziah. Hidup perlu ada warna warni.
Jika tidak, kelamlah hidup kita. Dan Liyana mengambil pendekatan dengan
menggembirakan diri sendiri demi menutup segala kedukaan dan kelukaan di hati.
Ya, senyum. Dengan senyuman, segala masalah dapat dihapuskan dari kotak
fikiran. Dengan ketawa, dia lupa dengan perasaan menangis. Dia lupa bagaimana
hendak menangis. Dia lupa erti sebenar menangis itu.
“Oiii makcik, mengelamun pulak dianya,” sambil menepuk dahi
Liyana.
“Apa ni Maz. Sakitlah!!” rengek Liyana manja sambil
mengusap-usap dahinya yang terasa sakit.
“Dah tu, panggil tak berjawab, aku cepuklah sikit,” balas Maznah.
Liyana mencebik. Matanya tertancap ke muka Maznah yang
sedang menjamah biskut kering. Sejak bila biskut itu ada di hadapannya, dia
sendiri tidak pasti.
“Ya ALLAH, lupa aku nak bagitau kau Lia,” sambil menepuk
dahi. “Tan Sri Khalil nak jumpa kau kat biliknya. Setengah jam yang lepas dia
dah pesan kat aku. Mampus aku!!” sambung Maznah bernada cemas. Matanya
mengerling ke jam di tangan seketika.
“Ha…. Tan Sri nak jumpa aku?” soal Liyana kalut.
Alamak!! Bala apa lagi ni. Buat apa dia nak jumpa dengan
aku. Sah! Ni mesti anak kesayangan dia mengadu kat papa dia pasal aku pijak
kaki dia seminggu yang lepas. Hisy… macam budak-budaklah. Tak matang langsung,
rungut Liyana di dalam hati.
Liyana mengatur langkah menuju ke tingkat atas. Dia
melemparkan sebuah senyuman buat Fazura sebaik sahaja melalui meja gadis itu.
Entah mengapa hatinya berdebar-debar malah jantungnya berdegup dengan laju mengalahkan
F1 gayanya. Itu belum lagi masuk, kalau dah masuk, haru biru gamaknya. Perlukah
aku berterus-terang dengan Tan Sri Khalil? Kalau aku tak bagitaunya, pasti
Amirul akan terus-terusan marah dan ugut aku. Tapi, kalau tiba-tiba Tan Sri kena
heart attack, tak ke naya aku
dibuatnya. Hisy!! Simpang malaikat empat puluh empat. Liyana bersoal jawab di
dalam hati.
Tanpa disedari, dia sudah pun berada di dalam bilik Tan Sri
Khalil selepas mendapat arahan masuk. Dilihatnya seorang wanita berusia dalam
lingkungan lima puluhan sedang duduk santai di sofa. Dia melemparkan senyuman
kepada wanita tersebut. Kemudian, dia mengalihkan pandangan ke arah Tan Sri
Khalil dan akhirnya jatuh ke wajah Amirul. Huh! Benci betul aku tengok muka dia
tu. Mengalahkan singa kat dalam zoo rupanya. Handsome lagi beruk dari muka dia tu. Eh, beruk tu handsome ke? Apalah kau Lia, itu pun kau
tak boleh nak bezakan.
“Lia, kenalkan isteri saya, Puan Sri Marissa,” mulai Tan Sri
Khalil.
“Assalamualaikum Puan Sri,” ucap Liyana dan bersalaman
dengan Puan Sri Marissa. Dirasakan ada usapan lembut di kepalanya. Ini yang buat
aku nak menangis ni, desis hatinya. Kejap, kejap… macam pernah dengar aje nama
ni. Tapi, di mana ya?
“Waalaikumussalam, Lia apa khabar?” balas Puan Sri Marissa.
“Sihat alhamdulillah. Puan Sri?” tanya Liyana pula berserta
senyuman.
“Auntie sihat
alhamdulillah. Auntie nak ucapkan
terima kasih pada Lia kerana selamatkan Uncle
dari dilanggar kereta dulu. Tak terbalas budi Lia tu selama-lamanya,” jelas
Puan Sri Marissa.
“Eh… tak perlulah nak balas-balasnya. Lia ikhlas, lagipun
kebetulan Lia lalu masa tu. Kalau orang lain tentu akan buat perkara yang sama
juga,” bidas Liyana lembut.
Liyana mengerling ke arah Amirul yang masih membatu seperti
patung cendana lagaknya. Kelihatan Amirul sedang mencebik ke arahnya. Tu nak
kutuk akulah tu. Macamlah cantik sangat mulut tu. Macam mulut itik, adalah. Aku
potong buat sup mulut, baru tahu, kutuk Liyana.
Suasana hening seketika. Masing-masing melayan perasaan
sendiri. Liyana kurang selesa dengan keadaan itu. Tambah-tambah apabila
berhadapan dengan Amirul. Makin meluat dia melihat muka tak cukup acuan di
hadapannya itu.
“Tan Sri…”
“Liyana…”
Serentak Liyana dan Tan Sri Khalil bersuara. Kedengaran
suara ketawa dari arah Puan Sri Marissa. Amirul pula dari tadi asyik mencebik
ke arahnya.
“Awak nak cakap apa Liyana?”
“Tan Sri cakaplah dulu,” ujar Liyana.
“Ladies first!!”
Liyana menggaru kepalanya yang tidak gatal. Bagaimana untuk
memulakan bicara? Dia perlu menyelesaikan masalah yang di timbulkannya sebelum
ini. Ugutan dari Amirul, masih terngiang-ngiang di gegendang telinga.
“Erk…. sebelum tu Lia nak tanya, Tan Sri ada masalah lemah
jantung tak?” soal Liyana teragak-agak. Kang dibuatnya jantung dia berhenti
gara-gara apa yang aku nak ceritakan ni, tak ke jadi kes pulak. Tak pasal-pasal
aku dituduh penyebab kematian. Huh! Tak nak aku masuk penjara. Aku belum kahwin
lagi, muda lagi nak digelar banduan. Kush semangat, minta dielakkan. Liyana
mengucap di dalam hati.
“Apa pulak kena-mengena dengan masalah lemah jantung ni?”
tanya Tan Sri Khalil dan ketawa. Puan Sri Marissa disisi turut sama ketawa.
Amirul? Lantak dialah!
“Manalah tau kan Tan Sri ada lemah jantung. Tak pasal-pasal
Lia jadi warga Penjara Tapah pulak.” Selamba Liyana menuturkannya.
Pecah ketawa Tan Sri Khalil dan Puan Sri Marissa. Amirul
yang dari tadi menahan ketawa, turut memecahkan ketawanya. Tak malu. Orang tak
suruh ketawa, dia sibuk nak ketawa. Macam Hantu Kak Limah dah aku tengoknya,
rungut Liyana.
“Awak ni Liyana, kelakar juga orangnya ya. So, apa perkara yang awak nak bagitaukan
pada saya ni? Jangan risau, jantung saya masih sihat lagi,” ujar Tan Sri Khalil
berserta sisa ketawanya.
“Lia nak bagitau Tan Sri perkara yang
sebenarnya. Antara Lia dengan Encik Amirul, tak ada apa-apa hubungan istimewa.
Lia cuma berlakon saja depan Tan Sri hari tu. Jujur Lia katakan yang Lia tak
pernah cintakan Encik Amirul, apatah lagi mempunyai hubungan cinta dengannya,”
jujur Liyana menjelaskannya. Berharap semuanya akan baik sediakala seperti yang
diminta oleh Amirul.
“Ha.. mana satu yang betul ni Rul? Hari
tu Rul kata dah lama kenal dengan Lia. Dah dua tahun bercinta. Sekarang ni Lia
kata lain pulak. Jangan-jangan kamu berdua ni sengaja nak main-mainkan mama
dengan papa tak?” tegas Puan Sri Marissa bertanya. Dia memandang Amirul dan
Liyana silih berganti.
“Betullah mama. Rul tak tipu. Memang
kami dah lama kenal dan ada hubungan cinta. Liyana marahkan Rul, sebab itu dia
cakap merapu macam tu,” suara Amirul yang sedari tadi membisu. Bingkas dia bangun dari
duduknya dan menghampiri Liyana. Dipautnya bahu gadis itu dan tersenyum nakal.
“Kalau kau pandai berlakon, aku lagi
pandai,” bisik Amirul perlahan di telinga Liyana.
Gullppp!!
Terasa kelat air liur yang ditelan
Liyana. Matanya jatuh ke pautan Amirul. Terasa ingin menolak Amirul biar jatuh
terjelepuk mencium lantai. Tetapi, mengenangkan Tan Sri Khalil dan Puan Sri
Marissa berada di hadapan, niat itu dibatalkan sahaja.
“Habis tu Rul, rancangan untuk meminang
Liyana, jadi ke tak?” tanya Tan Sri Khalil inginkan kepastian. Ada riak teruja
di wajahnya. Tidak sabar untuk bermenantukan Liyana.
“Jadi papa!” balas Amirul berserta
senyuman kemenangan.
Tu dia. Jawapan yang lagi bernas
mengalahkan padi bernas yang dijual di pasaraya. Dia nak meminang aku? Biar
betul. Tidak… tidak sama sekali. Aku takkan biarkan perkara ini berlaku. Apakah
aku sedang bermimpi? Ya, aku harap semua ini cuma mimpi. Lantas dicubit pipinya
sendiri untuk memastikan samada dia bermimpi ataupun tidak. Dan akhirnya dia
terkaku di situ sebaik sahaja dia merasakan kesakitan akibat cubitannya itu. Ya
ALLAH, aku berserah semuanya pada-MU.
“Gila ke apa Encik Amirul ni. Bukan ke
Encik Amirul yang suruh saya terangkan perkara sebenarnya pada Tan Sri. Jadi
kenapa Encik Amirul menyimpangkannya semula,” marah Liyana tidak tertahan. Panas
di hati tidak mungkin dapat disejukkan dengan hanya meminum beribu ais batu.
Terkedu dia mendengar perancangan yang
telah dibuat oleh keluarga Tan Sri Khalil. Difikirkan dengan menjelaskan duduk
perkara yang sebenar, Tan Sri Khalil akan menarik balik niat untuk meminangnya,
ternyata fikirannya meleset. Semua itu gara-gara lakonan hebat Amirul di depan
keluarganya tadi. Sudahlah masalah lama belum lagi selesai, kini timbul pula masalah
baru. Apa aku nak buat ni? rintihnya hiba.
“Kau yang mulakan dulu, jadi aku
akhirkannya pula,” selamba Amirul menjawabnya tanpa rasa bersalah sedikit pun
pada Liyana.
Ya, pada mulanya dia tidak menginginkan
perkahwinan ini. Tetapi, setelah ditolak dan ditambah, dibahagi dan didarab,
akhirnya dia bersetuju dengan perancangan Tan Sri Khalil. Cabaran yang
diberikan oleh Shasha juga menjadi sebab dan penyebab dia bersetuju dengan
rancangan itu. Disamping itu, sikap Liyana terhadapnya selama ini, membuatkan
ego lelakinya terasa tercabar. Dia ingin mengenakan Liyana secukup-cukupnya.
Sekiranya Liyana bermain dengan api, dia juga turut akan bermain dengan api.
Biar sama-sama terbakar dan puas hati.
“Kan saya dah jelaskan semuanya tadi,”
lirih Liyana menuturkannya.
Sebak mengharung dirinya kini.
Bagaimana untuk menceritakan kisah ini kepada keluarganya? Terimakah mereka
nanti terutamanya Dato’ Zulkifli?
“Memang pada mulanya aku nak kau
jelaskan perkara sebenarnya pada papa aku. Tetapi, selepas apa yang kau dah
buat pada aku seminggu yang lepas, tak semudah itu untuk aku lepaskan kau. Aku
nak tengok sejauh mana hebat lakonan kau tu Liyana,” kata Amirul dan berbisa di
pendengaran Liyana.
Liyana terjelepuk di lantai. Tidak ada
setitis pun air mata yang mengalir membasahi pipinya. Sudah keringkah air
matanya itu? Ataupun sudah tidak ada perasaan menangiskah dalam hatinya itu?
Apa yang harus dilakukannya waktu ini? Berserah pada ALLAH semuanya. Menerima
semuanya dengan hati yang terbuka dan ikhlas tanpa memikirkan perasaan sendiri.
“Dah… tak payahlah kau nak sesali
dengan apa yang terjadi. Kau bersiap sedia sajalah selepas ini. Aku akan seksa
hidup kau sehingga bengkak hati kau untuk berlakon lagi sepertimana bengkaknya
kaki aku yang kau buat seminggu yang lalu,” sindir Amirul berserta ketawa
mengejek.
Seminit kemudian dia menghilangkan diri
dari pandangan mata Liyana. Masih kedengaran gelak tawanya di telinga Liyana.
Sungguh menjengkelkan bagi Liyana.
Liyana melabuhkan duduk di bangku yang tersedia
di situ. Hatinya walang dengan apa yang berlaku. Kenapa dia dihukum sehebat
ini? Kenapa dia perlu menghadapi semua ini? Bagaimana untuk berhadapan dengan
ayah dan ibunya? Perlukah dia membelakangkan orang tuanya? Dia tidak mahu orang
lain mengetahui akan salasilahnya. Dia belum bersedia untuk menceritakan semua
itu. Dia belum membuktikan dirinya kepada Dato’ Zulkifli yang dia boleh hidup
berdikari dan berdiri di atas kakinya sendiri. Dia belum mencapai impiannya
untuk menjadi seorang Pereka Fesyen. Ya, cita-citanya selama ini dan jika
diberi peluang, dia ingin melanjutkan pelajarannya ke luar negara dalam bidang
Rekaan Fesyen. Arrghhhh!! Apa yang harus aku lakukan, jerit hatinya.
Lia, jangan mudah mengalah. Jika dia
bermain dengan api, kau juga perlu bermain dengan api. Kau buktikan padanya
yang kau bukanlah selemah yang difikirkan olehnya, kata hatinya berbisik.
Bagaimana kalau dia lebih licik dari
kau Lia? Dia sendiri mengaku yang dia punya agenda sendiri menerima cadangan
papanya, akalnya pula bersuara.
Ya memang, dia licik. Manalah tahukan
selicik-licik dia, akhirnya tersunggur di hadapan kau Lia. Apa kau dah lupa,
janji yang nak kau kotakan sebelum ini. Kau nak buat dia tergoda dengan kau.
Kau nak buat dia termakan dengan kata-katanya sendiri. Ha, masa inilah kau kena
gunakan kepakaran kau tu Lia, hati jahatnya berbicara lagi.
Liyana mengangkat muka yang sedari tadi
menekur ke rumput. Senyuman nakal terbias di wajah. Kata-kata nakal telah
memberikan dia idea dan perancangan untuk mengenakan Amirul. Dia masih ingat
dengan janjinya untuk membuat Amirul termakan dengan kata-katanya dulu. Dia perlu
buktikan yang dia bukanlah seperti Betty
Suarez yang dipadankan oleh Amirul itu. Ya, dia akan buktikan semua itu.
Dan pada hari itu, dia berharap dia akan merasa puas berserta senyuman kemenangan.
“Hai… dari tadi akak tengok muka macam
mati laki aje ni kenapa?” tegur Marina dan melabuhkan duduk di hadapan Liyana.
Liyana melepaskan keluhan berat.
Keluhan yang tiada penghujungnya. Otaknya sarat dengan masalah. Masalah yang
tidak mungkin akan diselesaikan dalam masa terdekat ini.
“Kalau mati laki, tak adanya saya monyok macam ni Kak Ina,” jawab Liyana
lemah.
“Habis tu, macam mana pulak?”
“Dah nak mati… matilah. Buat apa saya
nak monyok, saya carilah yang lain,”
balas Liyana dan tergelak. Sengaja mengusik kakak kesayangannya itu.
“Hisy budak ni. Kalau sehari tak mengusik
akak, tak sah gamaknya ya,” rajuk Marina sambil mencubit lengan Liyana.
“Aduh!! Kak Ina ni macam ketamlah.
Hilang RM1000 tau,”
“Apa pulak kena-mengena dengan RM1000?”
tanya Marina lurus.
Alamak kakakku seorang ni. Lurus bendul
betullah! Kutuk Liyana di dalam hati.
“Duit hantaran Lialah Kak Ina,” jawab
Liyana dan tersengih.
“Kena lagi aku ni!” getus Marina dan
menepuk dahinya sendiri.
Liyana tertawa melihat gelagat Marina.
Semenjak bekerja di Butik Idaman, pelbagai perkara yang dipelajari oleh Liyana.
Perkara yang paling digemarinya iaitu menjahit, kini sudah menjadi hobinya
pula. Sekali sekala dia akan menjahit baju jika diberi kebenaran oleh Marina. Sekali
sekala juga dia akan menjahit manik. Sekali-sekala dia akan mereka beberapa
pakaian dan ditunjukkan kepada Marina.
Jika diberi peluang, ingin sahaja dia
menjahit kesemua rekaan pakaiannya itu. Namun memandangkan masa tidak
mengizinkan, niatnya itu dibiarkan sahaja. Mungkin suatu hari nanti dia akan
mereka pakaian dari hasil rekaannya itu.Terasa seronok melakukan kerja itu
walaupun ianya memerlukan sepenuh perhatian dan tumpuan terhadapnya. Janji
puas!!
“Assalamualaikum…” sapa seseorang dari
luar menghentikan perbualan mereka berdua.
“Waalaikumussalam,” jawab Marina dan
Liyana serentak. “Lia pergi tengok siapa yang datang tu,” arah Marina.
Liyana mengangguk. Lantas dia mengatur
langkah ke hadapan untuk melihat gerangan yang memberi salam. Terjegil matanya
melihat kelibat yang sedang berdiri di hadapannya itu. Puan Sri Marissa!! Detik
hatinya. Alamak! Macam mana nak buat ni? Aku tak naklah dia tahu yang aku kerja
kat sini. Apa pulak kata dia nanti? Lagipun Kak Ina tak tahu aku kerja kat
Samudera Holding. Monolog Liyana. Dia menyorokkan muka dari pandangan Puan Sri
Marissa. Mujurlah Puan Sri Marissa membelakanginya, jika tidak, pecah rahsianya
selama ini.
Tatkala Puan Sri Marrisa menoleh ke
belakang, dengan pantas dia menyorokkan muka di sebalik baju-baju yang
bergantungan di situ. Dia melangkah ke belakang setapak demi setapak. Penuh
berhati-hati dia melakukannya. Lagak seperti James Bond gayanya. Melindungi diri sendiri daripada penjahat.
Liyana tersengih seketika memikirkannya.
“Lia!!” jerit kecil Marina tatkala
terlanggar Liyana.
Dengan pantas Liyana menoleh. Sengihan
dihadiahkan buat Marina.
“Kenapa ni? Kenapa tak layan pelanggan
tu? Dah macam tikus mondok pulak akak tengoknya,” tegur Marina berserta kerutan
di dahi. Apasal dengan budak ni?
“Err… Kak Ina, Lia ada barang nak ambil
kat dalam. Kak Ina ajelah yang layan pelanggan tu. Lagipun Lia tak kenallah!”
dalih Liyana dan masih tersengih. Tanpa menunggu balasan dari Marina, dia
segera berlalu pergi dari situ. Lebih lama dia di situ, macam-macam pula yang
akan dipersoalkan oleh Marina nanti.
“Macam-macamlah budak ni!” getus Marina
dan tergeleng kecil. Seminit kemudian, dia menapak ke hadapan untuk melayan pelanggan tersebut.
“Eh… Puan Sri. Maaf terlambat sikit,”
ujar Marina sebaik sahaja menyedari gerangan pelanggannya itu.
“Tak apa Ina. Saya datang ni pun nak
tengok-tengok aje. Manalah taukan ada stok baru sampai,” balas Puan Sri Marissa
dan mengusir rasa bersalah Marina.
“Ada Puan Sri, nanti kejap saya
ambilkan di belakang,” kata Marina dan mengatur langkah menuju ke belakang.
“Tak perlulah Ina. Kemudian-kemudianlah
saya tengoknya,” tegah Puan Sri Marissa. Langkah Marina mati di situ juga.
“Saya berkenan dengan jahitan manik ni. Cantik dan kemas. Siapa yang jahitnya?”
puji Puan Sri Marissa sambil membelek-belek jahitan manik pada sehelai baju.
“Oh yang tu. Memang cantik dan kemas
Puan Sri,” puji Marina pula. “Staf baru saya yang jahitnya Puan Sri,” ujarnya
pula.
“Staf baru? Awak dah ada staf baru ke
Ina?” ulang Puan Sri Marissa berserta kerutan di dahi. Setahunya staf Marina
sudah lama berhenti kerana menyambung pengajian di universiti.
“A’ah Puan Sri. Dia buat part time kat sini saja. Jadilah
daripada tak dapat orang langsung. Zaman sekarang mana ada orang yang nak
bekerja di kedai-kedai atau butik,” komen Marina sambil mencapai sehelai baju
buat Puan Sri Marissa.
“Yalah, betullah tu. Habis tu dia ada
kerja tetap ke?”
“Katanya ada. Tapi tak tahu pulak saya
kerja apa. Budaknya pun baik, hormat orang tua dan cantik. Kalau Puan Sri
jumpa, gerenti amik jadi menantu punyalah,” cerita Marina lagi sedikit teruja.
Dia membayangkan kalau Liyana bergandingan dengan anak Puan Sri Marissa,
Amirul. Cukup sepadan dan secocok. Memikirkan itu membuatkan dia tersenyum
sendiri.
Hisy Kak Ina ni, puji aku lebih-lebih
ni kenapa? Kalaulah Kak Ina tahu yang memang aku akan jadi menantunya, mesti
terkejut beruklah Kak Ina tu. Entah-entah beruk pun tak terkejut macam dia,
kata hati Liyana dan ketawa kecil. Dia mengintai-intai sambil mendengar
perbualan di antara Marina dan Puan Sri Marissa.
“Ye ke Ina. Erm… kalau ikutkan bolehlah
juga kenal-kenal. Tapi, Amirul tu dah ada pilihan sendiri. Pilihan Tan Sri
juga. Tunggu masa aje nak langsungnya,” beritahu Puan Sri Marissa sambil
mencapai baju yang dihulurkan oleh Marina sebentar tadi.
“Dengan girlfriend yang selalu dia bawa tu ke Puan Sri?” tanya Marina ingin
tahu. Teringat gadis yang pernah dibawa oleh Amirul suatu masa dahulu.
“Girlfriend?” ulang Puan Sri Marissa berserta
kerutan.
Amirul ada girlfriend? Ah! Mungkin Liyana la kot yang dimaksudkan Marina ni,
putus Puan Sri Marissa di dalam hati.
“Yalah tu kot. Eh Ina, saya amik yang
ni ajelah. Kenan betul saya dengan jahitan manik ni. Nanti kenalkan saya dengan
tukang jahitnya ya,” putus Puan Sri Marissa setelah lama membelek dan mencari.
Lalu dihulurkan baju tersebut kepada Marina.
“Insya-ALLAH, nanti saya kenalkan Puan
Sri dengan Lia,” balas Marina sambil membaluti baju tersebut dengan plastik
yang telah dikhaskan.
“Lia?” ulang Puan Sri Marissa seakan
berbisik. Liyana ke? Mungkin orang lain kot. Bukannya Lia sorang aje yang pakai
nama tu. Berjuta-juta orang punya nama yang sama. Puan Sri Marissa membuat
kesimpulannya sendiri.
Liyana berdehem sebaik sahaja Puan Sri
Marissa keluar dari butik tersebut. Dia menyambung semula kerjanya yang
tertangguh sedari tadi. Nasib baik dia tidak bertemu dengan Puan Sri Marissa,
jika tidak, menjadi masalah yang lain pulak.
“Ha… yang tersengih-sengih kat situ tu
kenapa?” tegur Marina berbaur tegas.
“La.. nak sengih pun tak boleh ke? Kang
buat muka tikus mondok baru tau,” bidas Liyana bernada usikan.
“Tau ke rupa tikus mondok tu macam
mana?”
“Apa pulak tak tahunya. Jerry tukan tikus. Macam-macam rupa dia
buat tau,”
“Jerry?
Jerry mana pulak ni? Pakwe kamu ke Lia?” tanya Marina dengan lurus
bendulnya.
“Ya ALLAH Kak Ina ni,” sambil menepuk
dahinya sendiri. “Kak Ina ni tengok televisyen ke tak? Jerry tukan tikus dalam kartun Tom
& Jerry. Tulah, orang suruh tengok televisyen, Kak Ina dengar radio,
manalah nak samanya. Tengok dengan dengar, kan beza tu,” bebel Liyana panjang
lebar. Seminit kemudian, dia ketawa terbahak dengan kata-katanya itu.
“Kamu nikan Lia. Geram betul
dibuatnyalah!!” gerutu Marina geram. Panas mukanya menahan geram. Liyana suka
mempermain-mainkan serta mengusiknya. Namun dia tidak pernah mengambil hati
dengan semua gurauan Liyana. Jika tiada Liyana, terasa sunyi dirinya itu.
“Kak Ina…” panggil Liyana setelah
keadaan kembali reda.
“Ada apa?” tanya Marina. Dia mencapai
baju lalu menggosoknya.
Liyana sekadar memerhati.
“Anak Puan Sri Marissa tu dah ada girlfriendkan?” tanya Liyana ingin tahu.
“A’ah. Kan akak ada bagitau Liyana hari
tu. Amirul pernah bawanya sekali dua kat butik ni,” cerita Marina bernada
serius.
Liyana mengangguk. Terasa hatinya
terusik mendengar penjelasan Marina. Mengapa? Dia sendiri tidak tahu. Benarlah
firasatnya sebentar tadi. Amirul punya kekasih pilihan hati. Tetapi, kenapa
Amirul ingin berkahwin dengannya? Adakah kerana sikapnya terhadap lelaki itu
membuatkan lelaki itu rasa tercabar? Tetapi, kenapa Amirul masih mahu
meneruskan rancangan Tan Sri Khalil? Seperti ada sesuatu yang cuba
disembunyikan oleh Amirul dari keluarganya. Seperti juga Amirul punya agenda
tersendiri. Jika benar apa yang difikirkan itu, bagaimana cara untuk
menyelesaikannya pula? Buntu, buntu Liyana memikirkannya.
“Apa keputusannya?” tanya Fazura dan
melabuhkan duduk di birai katil. Liyana di hadapan di pandang mesra.
“Keputusan periksa aku ke?” tanya
Liyana pula. Sengaja mengusik Fazura.
“Kau jangan nak main-mainlah Lia. Aku
tanya kau elok-elok, boleh pulak kau buat lawak. Aku sekeh karang baru tau,” marah Fazura namun masih ada nada
usikannya.
“Alahai, aku ingatkan kau nak tahu
keputusan periksa aku. Lain kali Zura, kalau nak bertanya pada aku, kena buat
ayat mengikut format SPM, so nanti
aku jawabnya ikut format ‘U’. Up sikit
dari kau,” usik Liyana dan tertawa. Geli hati dengan ayatnya sendiri.
“Gggrrrr!!! Lia!!” geram Fazura dan
mencapai bantal peluk Liyana lalu memukul Liyana. Geram mendengar usikan Liyana
itu.
“Apa ni main pukul-pukul. Aku mengadu
kat Amirul baru tau,” jerit kecil Liyana dan cuba mengelak daripada dipukul
oleh Fazura.
“Apa kau kata Lia?” tanya Fazura seraya
memberhentikan tingkahnya.
“Apa yang aku kata?” ulang Liyana
berserta kerutan di dahi.
“Kau nak mengadu dekat siapa tadi?”
“Siapa?” sambil menggaru-garu kepala.
“Kalau tak silap telinga aku nilah,
nama Amirul yang kau sebut tadi,”
“Ha… Amirul. Eh, mana ada.
Pandai-pandai kau aje nak buat spekulasi. Aku ni bukannya artis yang kau nak
spekulasikan,” bidas Liyana keras. Cuba menutup rasa malu yang sedang menggebu
dalam dirinya itu.
“Alah… aku bukan pekak lagilah. Mulut
kata benci, hati kata… ‘Amirul, I love you’, ejek Fazura dan tertawa besar.
“Hey… tolong sikit. Gelilah aku
dengarnya,” bentak Liyana seraya bangun. Dia melangkah jalan menuju ke ruang
tamu.
Fazura mencebik. Dia membuntuti Liyana
menuju ke ruang tamu. Dicapainya remote
dan dihidupkan televisyen. Dan matanya tertancap di situ.
“Aku pelik la dengan Amirul. Hari tu
beria-ria suruh aku jelaskan pada Tan Sri Khalil perkara yang sebenar. Aku pun
jelaskanlah ke semuanya. Aku bagitau Tan Sri Khalil yang aku cuma berlakon aje
selama ini,” cerita Liyana sambil duduk di sisi Fazura.
“Jadi, apa kata Tan Sri Khalil?” tanya
Fazura teruja. Dia menarik badannya mengadap Liyana.
“Tan Sri tak kata apa, tapi Puan Sri
Marissa,” jawab Liyana berserta keluhan.
“Ya ke Lia!!” sedikit teruja. “Hai
sampai bawa jumpa Puan Sri. Kiranya seriuslah Tan Sri tu nak bermenantukan
kau,” duga Fazura berserta senyuman mengusik.
Liyana melepaskan keluhan berat untuk
kesekian kalinya. Dia sekadar mengangguk dan pasti Fazura mengerti akan maksud
anggukannya itu.
“Eh.. seronoknya kau Lia. Dapat jadi
menantu Tan Sri. Bolehlah aku tumpang sekaki ya,” sorak Fazura dan tersengih.
“Banyaklah kau punya kaki. Bukan saja
kaki, dengan tangan-tangan kau pun aku tak kasi tumpang tau,” bidas Liyana dan
tergelak. Sengaja mengusik Fazura.
Fazura yang mendengar, segera mencubit
lengan Liyana. Geram hatinya kerana selalu dipermain-mainkan oleh Liyana.
Kebiasaannya, dia yang selalu menjadi mangsa usikan Liyana. Tidak dapat
dibayangkan bagaimana hidupnya tanpa Liyana selepas Liyana berkahwin nanti.
“Yang buat aku terkejut Zura…” Liyana
berjeda seketika. “Amirul yang nak teruskan perkahwinan ni. Aku tak pasti
samada dia jujur dan ikhlas atau ada muslihat di sebaliknya. Mana mungkin dia
nak berkahwin dengan aku yang tak ada apa-apa ni,” sambung Liyana. Dia
menyandarkan badan ke sofa. Sedari siang tadi, otaknya sudah dikerah untuk
berfikir sebab dan kenapa Amirul ingin meneruskan rancangan itu.
“Kau sendiri macam mana? Hati kau kata
apa?” tanya Fazura ingin menduga hati Liyana. Dia pasti Liyana sudah mulai
jatuh cinta atau suka kepada Amirul. Dari riak wajah Liyana, sudah membuktikan
segala-galanya.
“Hati aku? Manalah hati aku ni pandai
cakap. Kau ni pun satulah Zura. Cuba tanya soalan tahap ‘U’. Ini tidak, soalan
mengalahkan budak tiga tahun aje,” kata Liyana seraya bangun. Dia perlu
menyelamatkan diri daripada Fazura. Lantas dia menuju ke bilik dan menguncikan
diri di dalamnya. Kedengaran ketukan dari luar pintu. Ternyata Fazura marah
dengan usikannya tadi.
“Lia, buka pintu ni. Kau ni tak
habis-habis nak usik aku ya. Tak pe, esok kau pergi kerja sendiri. Jangan nak
tumpang aku!!” gertak Fazura sambil tangannya mengetuk pintu bilik Liyana.
Alamak! Dibuatnya Zura betul-betul
tekad, matilah aku. Takkan aku nak naik bas atau teksi kot. Hisy Zura ni, tak boleh
nak bergurau sikitlah. Nak mengamuk aje kerjanya, bebel Liyana dan membuka
pintu biliknya. Sebuah senyuman manis dihadiahkan buat kawan baiknya itu.
“Sorrylah
Zura. Bukan niat aku nak mengusik kau,” pujuk Liyana lembut. Matanya memandang
tepat ke muka Fazura yang masam mencuka.
Fazura berpeluk tubuh. Dia hanya
membatukan diri di hadapan Liyana. Tidak ada sepatah perkataan pun yang keluar
dari mulutnya itu. Tahu pun kau takut Lia!! Desisnya.
“Okey…
okey… aku
bagitau semuanya pada kau. Dah, dah… muka tu jangan nak masam mencuka pulak.
Kau pernah rasa ke cuka tu masam atau tak?” pujuk Liyana lagi mengaku kalah.
Mungkin dengan cara ini, bebanannya juga akan berkurangan.
Selama ini, hanya Fazura tempatnya
meluahkan masalah. Walaupun Fazura sering makan hati dengan sikap dan
perangainya, Fazura tetap berada di sampingnya susah mahupun senang. Jika tiada
Fazura, seakan-akan hilang sayapnya yang sebelah. Fazura sumber kekuatan dan
semangat buatnya. Fazura juga orang yang paling disayanginya selain daripada
keluarganya.
“Lia… aku laparlah. Jom, temankan aku
pergi beli makanan,” rengek Fazura mematikan lamunan pendek Liyana. Seminit
kemudian, dia mengangguk. Ikutkan ajelah!
“Betul ke Rul?” tanya Harris inginkan
kepastian.
“Betul apanya?” tanya Amirul semula.
“Aku dengar kau nak kahwin. Betul ke?”
ulang Harris. Pandangannya jatuh ke muka Amirul.
Tersentak Amirul mendengarnya. Air yang
diminumnya hampir tersedak. Dia cuba mengawal riaknya agar tidak dikesan oleh
Harris.
“Siapa bagitau kau Ris?”
“Pak Long bagitau aku petang tadi.
Betul ke? Dengan Shasha ke?” tanya Harris bertubi-tubi. Teruja untuk
mengetahuinya.
Amirul menggaru kepalanya yang tidak
gatal. Dia memaksa dirinya untuk tersenyum. Bagaimana untuk memberitahu Harris
perkara yang sebenarnya? Jika dia memberitahu perkara yang sebenarnya, apa
anggapan Harris terhadapnya nanti? Apakah Harris akan menuduhnya sebagai
perampas sedangkan dia sendiri tahu akan perasaan Harris terhadap Liyana?
Perlukah dia berbohong? Dia memicit-micit kepalanya yang tidak sakit. Buntu
memikirkannya.
“A’ah… dengan Shasha,” bohong Amirul.
Jika itu dapat melegakan hati Harris, dia sanggup melakukannya. Dia tidak mahu
melukakan hati Harris.
“Oh… tercapai juga impian kau nak
berkahwin dengan Shasha tu. Baguslah! Aku doakan kau bahagia,” ucap Harris
berserta anggukan kecil.
Amirul sekadar tersenyum. Mungkin ini
cara yang terbaik buat semua.
Suasana hening seketika. Masing-masing
melayan perasaan sendiri. Amirul membuang pandang melihat keadaan sekeliling
gerai makanan yang menjadi persinggahan mereka berdua. Suasana hingar-bingar
kerana kebanyakkan pelanggan sedang melayan EPL di televisyen.
“Lia…” panggil Harris menyentakkan
Amirul. Pantas dia menoleh untuk melihat.
“Harris! Buat apa kat sini?” tanya
Liyana terkejut.
“Nak buat fashion show kat sini,” jawab Harris berbaur usikan.
Liyana tertawa kecil mendengarnya.
Harris sudah pandai mengusiknya. Itu yang membuatkan dia berasa selesa di sisi Harris.
“Lia buat apa kat sini?” tanya Harris
memulangkan soalan yang sama. Seminit kemudian, dia menepuk dahinya sendiri.
Menyedari akan pertanyaannya itu.
“Saya berlakon kat sini,” balas Liyana
berserta tawanya. Geli hati melihat reaksi wajah Harris.
Memang kau pandai berlakon pun, cebik
Amirul di dalam hati.
“Saya temankan Zura. Tu ha dia. Tengah
bayarkan order kami tadi,” beritahu
Liyana sambil mengunjukkan Harris ke arah Fazura.
Harris mengangguk. Matanya dihalakan ke
arah yang ditunjukkan oleh Liyana tadi. Terlihat Fazura sedang membuat
pembayaran di kaunter.
“Ha Rul. Yang kau senyap aje ni kenapa?
Takkanlah kau tak kenal dengan Lia?” tegur Harris sebaik menyedari kebisuan
Amirul.
Amirul tersenyum pahit. Tidak mahu
menyampuk dalam perbualan mereka berdua. Namun jauh di sudut hati, dia
merasakan ada perasaan lain yang sedang memberontak hebat. Apakah perasaan itu?
Dia sendiri tidak pasti.
“Rul, aku nak cakap dengan Lia kejap.
Kau tunggu ya,” pinta Harris seakan berbisik.
Bulat mata Amirul mendengarnya. Entah
mengapa perasaannya seakan terusik dengan permintaan Harris itu. Anggukan kecil
yang mampu diberikan oleh Amirul dalam masa hatinya berperang hebat.
Tanpa menunggu masa, Harris segera
bangun dari duduknya. Dia menarik tangan Liyana agar mengekorinya. Tersentak
Liyana dengan perlakuan Harris itu. Mahu tidak mahu, dia terpaksa akur. Sempat
dia mengerling ke arah Amirul. Terpancar ketegangan di wajah itu. Apakah
maksudnya?
“Ada apa Harris?” tanya Liyana sebaik
sahaja mereka berdua menjauhi Amirul. Tangannya ditarik dari genggaman Harris.
“Hujung minggu ni, Lia free tak? Ris nak ajak Lia keluar,”
jawab Harris perlahan. Malu dengan pelawaannya itu.
“Err… tak tentu lagilah Ris. Nanti Lia
bagitau Ris kalau Lia free,” ujar
Liyana tersekat-sekat. Sukar untuk membuat keputusan.
“Tak pelah kalau dah macam tu. Nanti
kalau Lia free, Lia bagitau pada
Ris,” balas Harris dan tersenyum. Cuba menghilangkan rasa kecewanya itu.
Melihatkan riak kecewa di wajah Harris,
membuatkan Liyana rasa bersalah. Sukar untuknya membuat keputusan. Jika dia
menerimanya, apa pula kata Amirul. Hisy… yang aku fikirkan perasaan dia tu kenapa?
Bukannya dia ada kena-mengena dengan aku pun, hatinya menyangkal. Dan jika dia
menolaknya, Harris pasti rasa kecewa. Walaupun sekadar berkawan, hati Harris
perlu dijaganya juga.
“Macam nilah Ris. Lia tak boleh
berjanji dengan Ris. Tapi, Lia akan cuba luangkan masa untuk Ris,” pujuk Liyana
lembut. Semoga dapat menggembirakan hati Harris.
Mendengarkan kata-kata Liyana, pantas
Harris mencapai tangan Liyana dan mengelusnya lembut. Ucapan terima kasih
meniti di bibirnya. Hatinya berbunga riang. Sudah terangka rancangan buat
dirinya dan Liyana. Dia akan pastikan Liyana gembira pada hari itu.
“Lia… jom!!” ajak Fazura mematikan
perbualan mereka berdua.
Pantas Liyana menarik tangannya dari
pegangan Harris. Dia melangkah menuju ke arah kereta Fazura. Dilihatnya Fazura
sudah pun menghidupkan enjin kereta. Bersedia untuk beredar dari situ. Hisy
Zura ni, tak menyempat betul. Tadi dia yang beria ajak kita, sekarang dia pulak
yang nak cepat, rungut Liyana sendirian.
“Lia balik dulu,” ujar Liyana dan
segera masuk ke dalam perut kereta.
Seminit kemudian kereta Fazura menghilang
di sebalik kepekatan malam.
“Hati-hati Fazura,” pesan Harris sambil
melambai tangan ke arah Liyana dan Fazura. Terpancar riak gembira di wajahnya
itu. Kemudian dia melangkah jalan menuju ke kereta. Amirul sudah pun menantinya
di situ.
“Yang kau tersenyum-senyum macam orang
angau ni kenapa?” tanya Amirul. Pelik melihat gelagat sepupunya itu.
“Mestilah senyum. Niat aku nak keluar dating dengan Lia tercapai juga
akhirnya,” riang Harris dan masih lagi tersenyum.
Berderau Amirul mendengarnya. Harris
keluar dating dengan Liyana? Betulkah
apa yang didengarnya itu? Atau Harris sekadar berangan-angan sahaja. Ah! Tidak
mungkin Harris akan menipunya. Baru tadi Harris memberitahu akan niatnya untuk
berdating dengan Liyana. Dan Liyana
bersetuju untuk keluar bersama Harris.
Hisy.. kenapa hati aku rasa sakit ni?
Takkanlah aku cemburu dengan diorang kot? Aku bukannya ada perasaan apa-apa pun
pada perempuan tu, soal Amirul di dalam hati. Berkerut-kerut dia memikirkannya
dan dia perlu mencari jawapan pada persoalannya itu.
yeahhh..!! bunga2 cemburu maii dah.. kak, sila la berbaik ati lg yer ngan kteorg.. boleh dpt n3 tiap2 hari.. hehehe..:)
BalasPadamhuhu.. amboi3, suka benor ya adikku sorg ni.. hurm, klu ada permintaan, Insya-ALLAH, akak akn tunaikannya.. ;)
Padambesttt la citerr nii.. Eliza
BalasPadamnak lagi...hehehhe
rindu kt HM
thank you Liza.. Insya-ALLAH, tunggu sambungannya ya.. hurm, sy pn rindu jg kat HM.. doa2kan HM cepat keluar.. pihak KN tgh edit HM.. ;)
Padamtq writer,,haha amirul cemburu ehh...hehe,,kesian kat liyana..
BalasPadammostly welcome.. bab seterusnya akn terserlah cemburu Amirul 2... huhu.. :D
Padamerm, dah pandai cemburu nampak amirul...hihi :)
BalasPadam