BAB
8
“Mana boleh dia buat aku macam ni.
Sesuka hati dia aje nak tukarkan aku. Apa dah tak ada orang lain lagi ke dia
nak ambil,” rungut Liyana di hadapan Fazura. “Mentang-mentanglah dia bos, nak
tunjuk lagak dengan akulah tu. Benci betullah!!” tambah Liyana lagi.
Sakit hatinya apabila mendapat arahan
daripada pihak pengurusan memintanya ditukarkan ke bahagian pentadbiran. Yang
menambahkan kesakitan di hatinya apabila dia diletakkan di bawah pengurusan
Amirul, menjadi pembantu Amirul. Huh!!
Fazura yang mendengar sekadar
menggeleng. Kadang-kadang dia sendiri tidak tahu bagaimana untuk memberi
nasihat. Liyana kawan baiknya manakala Amirul bosnya. Hisy… pening kepala aku
dibuatkan diorang berdua ni, rungut Fazura di dalam hati.
“Yang kau senyap aje ni kenapa? Bagilah
idea macam mana aku nak tolak arahan dia tu,” sergah Liyana keras. Sakit
hatinya melihatkan kebisuan Fazura.
Fazura tersentak dari lamunan. Sebentar
tadi, otaknya ligat memikirkan tentang Amirul dan Liyana. Bagiamana untuk
merapatkan hubungan mereka berdua? Hatinya kuat menyatakan yang mereka berdua
memendam perasaan antara satu sama lain.
“Aku tengah fikirlah ni. Kau ni pun
satulah Lia. Yang kau gelabah macam beruk terkena air panas ni kenapa?
Relakslah! Kan lagi bagus kalau kau bawah dia. Lagi senang kau nak kenakan
dia,” cadang Fazura. Mungkin dengan cara ini, Liyana dapat berkenalan dengan
Amirul lebih rapat lagi.
“Eh… mana ada aku gelabah. Aku cuma tak
suka nak tengok muka dia. Bukannya handsome
mana pun,” bidas Liyana pantas. Dia tersenyum pahit.
“Sudahlah Lia. Macamlah baru sehari aku
kenal kau,” cebik Fazura seraya bangun. Dia mengerling ke jam tangannya. Waktu
rehat semakin ke penghujung.
“Aku naik dululah Lia. Banyak kerja
yang aku nak settlekan. Good luck!” ujar Fazura berserta senyuman
leretnya.
Liyana sekadar memerhati kelibat Fazura
menjauh darinya. Dia perlu mententeramkan perasaan buat seketika. Sungguh tidak
menyangka yang Amirul mengotakan kata-katanya. Peristiwa dua hari yang lepas
terimbau di ruang matanya.
“Siapa pulak tu?” tanya Fazura sambil
cuba membuka pintu pagar rumah.
Jam di tangan dikerling seketika. Masa
menginjak ke angka dua belas malam. Terlalu lama mereka berdua membeli-belah di
pasaraya tadi selepas membeli makanan.
“Kau
ada jemput sesiapa ke Zura? Kot-kotlah kau nak buat kenduri dengan nasi bungkus
kau tu,” kata Liyana dan tertawa kecil.
Mereka berdua memerhatikan kereta BMW
berwarna Hitam yang baru diparkirkan tidak jauh dari halaman rumah mereka.
Kelihatan seorang lelaki keluar dari perut kereta tersebut. Terkejut Fazura dan
Liyana melihatnya.
“Hisy… apa dia buat kat sini? Macam
mana dia tau rumah kau ni Zura?” sungut Liyana tidak senang.
“Kau ni kalau nak tanya soalan, biarlah
logik sikit. Ini tidak, soalan mengalahkan budak darjah dua aje,” bebel Fazura.
Liyana menggaru kepalanya yang tidak
gatal. Kurang mengerti akan maksud Fazura itu.
“Diakan bos!” sambung Fazura melihatkan
muka pelik Liyana.
“Eh…. ya tak ya jugak. Apalah kau ni
Lia,” kutuk Liyana kepada dirinya sendiri.
Mereka memerhatikan sahaja langkah
Amirul yang semakin menghampir. Entah mengapa ada debaran di dada Liyana.
Jantungnya berdegup dengan kencang tatkala melihat penampilan Amirul. Tampak
santai dan menawan. Kenapa aku tak perasaan penampilannya tadi, bisik hati
Liyana.
“Aku masuk dululah Lia. Aku rasa dia
nak jumpa kau tu,” pamit Fazura tanpa disuruh.
“Zura… aku…” ada getaran dari suaranya
itu.
“Good
luck!!” ucap
Fazura dan menapak masuk ke dalam rumah. Liyana hanya memerhati dari ekor
matanya sahaja. Dalam hatinya hanya ALLAH sahaja yang tahu betapa gelabahnya
dia ketika itu.
“Buat apa datang sini?” tanya Liyana
kasar setibanya Amirul di hadapannya.
“Kau macam tak suka aje aku datang
sini. Kalau Harris yang datang, mesti kau tak sekasar ini kan?” sindir Amirul
geram. Terkejut dengan penerimaan Liyana.
“Itu hak saya. Encik Amirul tak ada
kena-mengena dengannya,” bidas Liyana dan berpeluk tubuh.
“Siapa kata tak ada kena-mengena dengan
aku. Aku ni bakal suami kau. Semua tentang kau, aku perlu tahu dan ambil tahu,”
bidas Amirul pula.
“Hello… tolong sikit ya Encik Amirul. Saya
tak pernah pun declare yang encik ni
bakal suami saya. Tak ingin saya bersuamikan lelaki macam encik ni. Egois,
sombong, berlagak dan lain-lain adik-beradik sepupu sepapatlah.” Liyana
memprotes. Perasan!
Panas telinga Amirul mendengarnya.
Liyana di hadapan di pandang tajam.
“Kau jangan nak naikkan darah aku
Liyana,” marah Amirul sambil menggenggam penumbuknya.
“Suka hati sayalah!” balas Liyana acuh
tak acuh. “Daripada saya layan Encik Amirul, baik saya layan kucing kat dalam
rumah saya ni. Kalau tak ada apa-apa lagi, saya masuk dululah. Terasa panas
pulak malam ni,” sambung Liyana dan menapak jalan masuk ke rumah.
Belum sempat kakinya melangkah,
lengannya sudah ditarik oleh Amirul membuatkan dia terdorong ke belakang.
“Aku bagi amaran kat kau. Aku tak suka
kau berkawan dengan Harris. Aku tak suka kau keluar dengannya. Kau hak aku dan
aku takkan lepaskan kau. Aku akan pastikan kau terikat dengan aku sampai
bila-bila,” tengking Amirul kasar.
Terkedu Liyana seketika. Bagaikan batu
konkrit menghempap badannya ketika itu. Terkebil-kebil matanya memandang
Amirul. Benarkah apa yang diperkatakan oleh Amirul itu?
“Encik Amirul ugut saya?” tanya Liyana
inginkan kepastian.
Namun persoalannya itu dibiarkan oleh
Amirul tanpa berjawab. Amirul melangkah pergi sebaik sahaja dia melepaskan
lengan Liyana dari genggamannya.
“Apa maksud dia hari tu? Aku hak dia?
Dia takkan lepaskan aku? Dia nak aku terikat dengan dia sampai bila-bila? Hisy…
makin pening kepala aku dibuatnya,” gerutu Liyana sendirian. Untuk tidak
menyesakkan fikirannya lagi, lantas Liyana mengangkat kaki beredar dari situ.
“Kenapa kau tukarkan Liyana?” tanya
Harris tidak berpuas hati.
“Bukan aku, papa!” jawab Amirul acuh
tak acuh.
“Pak Long? Tapi kenapa?”
Amirul menutup fail yang dibacanya. Dia
mengangkat muka dan memandang tepat ke muka tegang Harris. Apa perasaan Harris
jika dia tahu Liyana tu bakal isteri aku, bisiknya.
“Aku tak tahu Ris. Semua ni keputusan
papa. Papa nak Liyana bekerja bawah aku,” dalih Amirul cuba menyembunyikan
kebenaran.
Sebenarnya dia yang mengkehendakkan
Liyana berada di sisinya, di hadapan matanya. Entah mengapa, dia sendiri tidak
pasti. Adakah dia sudah jatuh cinta pada Liyana? Oh no… no… mustahil aku jatuh cinta pada dia, hatinya pantas membidas.
Harris tidak senang duduk. Keputusan
Tan Sri Khalil menyesakkan nafasnya. Bagaimana untuk melepaskan Liyana? Selama
beberapa bulan bekerjasama dengan Liyana, dapat dirasakan kebahagiaannya.
Bahagia berada di sisi Liyana. Sehari tak pandang, rindu rasanya. Hatinya
sentiasa berbunga riang. Dan dia yakin yang dia sudah jatuh cinta dengan gadis
itu.
“Kalau dah itu keputusan Pak Long, aku
tak boleh nak kata apa,” keluh Harris sambil meraup muka. Mungkin kecewa dengan
keputusan Tan Sri Khalil.
“Yang kau terlebih emo ni kenapa? Bukannya kau tak boleh jumpa dengan dia lagi. Satu
bangunan dan bezanya satu tingkat aje,” balas Amirul dan tergeleng kecil.
Tak faham aku dengan dia ni. Apa yang
dipandangkan sangat dengan perempuan tu, bukannya cantik mana pun, gerutu
Amirul.
“Aku bukannya emo, tak sampai hati nak lepaskan dia. Hari-hari aku dah pandang
dia, lepas ni aku nak pandang apa pulak. Rul… aku rasa aku dah jatuh cinta
dengan dialah,” luah Harris jujur.
Tergamam Amirul mendengarnya. Jika
sebelum ini Harris tidak pernah berterus-terang akan perasaannya, dan hari ini
dia mendengarnya dari mulut Harris sendiri. Cemburukah aku? Hisy… mana ada aku
cemburu. Lantak dialah nak suka kat siapa, hak dia. Lagipun Liyana tu bukan taste aku. Macam Betty Suarez rupanya. Dressing
dia… mak oii… kalah orang gaji aku kat rumah tu, kata akalnya berbisik. Ya ke
Amirul? Bukan ke kau akui dulu yang dia menawan walaupun hanya berbaju kurung.
Kau ni Amirul, cakap tak serupa bikinlah, hatinya yang lagi satu membidas.
“Aku nak luahkan perasaan aku pada
dialah Rul. Agak-agaknya dia terima tak cinta aku ni?” sambung Harris berserta
senyuman di bibir.
“Ha… kau cakap apa Ris?” tanya Amirul
seakan tersedar dari lamunannya.
“Ya ALLAH, kau mengelamun ke? Apalah
kau ni Rul. Tak pelah, aku balik bilik aku dululah. Aku nak jumpa Liyana kejap
sebelum dia naik ke atas ni,” ujar Harris seraya bangun.
“Yalah, aku pun nak turun ni. Baru aku
teringat, Shasha nak jumpa aku lepas kerja ni,” balas Amirul turut sama bangun.
“Oh… pergi datinglah ni. Kiranya kau dah baik dengan Shashalah ya. Kali ni
siapa pulak yang mengalah, kau ke dia?” komen Harris sambil melangkah menuju ke
pintu bilik.
Amirul sekadar membisu. Tidak tahu
bagaimana untuk menjawabnya. Dia sendiri masih lagi terkejut selepas mendapat
panggilan telefon daripada Shasha. Hal apa yang ingin dibincangkan oleh Shasha,
dia sendiri tidak pasti.
“Mesti kau yang mengalahkan? Tak pelah
Rul, aku cuma nak nasihatkan kau. Sekali sekala kau kena gunakan ego lelaki kau
tu. Nanti bila dia dah pijak kepala kau tu, baru kau nak sedar dan menyesal,”
nasihat Harris dan berlalu pergi dari situ.
Amirul hanya memerhati dari ekor
matanya sahaja. Ada benarnya kata-kata Harris itu. Dia perlu menggunakan ego
lelakinya apabila berhadapan dengan Shasha. Tetapi kenapa apabila berhadapan
dengan Liyana, ego lelakinya melebihi dari perasaannya.
Liyana mengerling jam di tangan. Masih
berbaki satu jam sebelum dia memulakan kerjanya di Butik Idaman. Dia menopang
dagu di meja kerjanya. Terasa bosan dirasainya waktu itu. Sungguh dia tidak
bersetuju diarahkan bertukar ke bahagian pentadbiran. Jiwanya lebih kepada
bahagian operasi, malah Harris seorang ketua yang baik. Huh!! Sebuah keluhan
terlepas dari bibirnya. Bagaimana dengan hari-hari yang mendatang? Adakah
Amirul seorang ketua yang baik seperti Harris? Kenapalah nasib aku ni malang?
Rasa terseksa yang amat sangat. Aku perlukan udara untuk bernafas. Sesak nafas
aku dibuatnya. Ibu, Lia rindukan ibu. Ibu tak rindukan Lia ke? Rintih Liyana
sendirian. Entah mengapa matanya mulai berkaca. Rasa rindu mencengkam hebat
dirinya waktu itu.
“Kau nak balik dengan aku tak Lia?”
tanya Fazura mengejutkan Liyana. Pantas dia menyeka air matanya yang hampir
gugur.
Terjegil mata Fazura melihatnya. Wajah
Liyana diamati dalam-dalam. Seperti ada sesuatu yang membuatkan wajah itu
bermuram duka. Mungkinkah disebabkan pemindahan dari bahagian operasi ke
bahagian pentadbiran membuatkan Liyana sedih. Mustahil!! Tidak mungkin Liyana
bersedih tentang perkara itu. Hanya kerana keluarga bisa membuatkan Liyana
sesedih begitu. Ya, tentang ayah serta keluarganya. Sejak dari dulu lagi,
Liyana akan bersedih jika mengenangkan tentang keluarganya. Jika perkara lain,
mustahil Liyana akan sesedih itu even
dia pernah kemalangan suatu masa dahulu.
Fazura menapak masuk ke dalam bilik
Liyana. Cantik dan menarik bilik yang disediakan buat Liyana. Warna purple light dan dipadankan dengan
perabot buatan Itali menampakkan kemewahan di dalam bilik itu. Liyana
ditukarkan ke bahagian pentadbiran atas arahan Tan Sri Khalil melalui Amirul
kerana Amirul mengkehendakkannya begitu. Sungguh bertuah Liyana. Bakal menjadi
menantu Tan Sri Khalil. Pasti ramai yang akan menggigit jari sendiri apabila
mendapat tahu perkara itu. Bagaimana pula reaksi Harris? Sukar untuk
membayangkan jika situasi itu berlaku suatu hari nanti.
“Lia… kau kenapa ni?” tegur Fazura dan
duduk bersebelahan Liyana. Dipeluk bahu kawan baiknya itu. Cuba untuk menenangkan
perasaan sedih kawannya itu.
Liyana menyeka air matanya. Entah
bagaimana air matanya itu boleh gugur, dia sendiri tidak menyedarinya. Apa yang
dirasakan waktu itu hanyalah kerinduan pada keluarga. Begitu berat untuk
ditanggung olehnya lagi. Sukar untuk menerima kenyataan bahawa dia diabaikan
oleh keluarganya sendiri terutama Dato’ Zulkifli. Sehingga ke hari ini, hatinya
masih tertanya-tanya kenapa Dato’ Zulkifli membencinya dan sekali gus
mengabaikannya. Dia juga punya keinginan untuk disayangi oleh keluarganya
sendiri. Dia juga punya hati dan perasaan. Dia juga punya rasa sakit, kecewa
dan sedih jika diperlakukan sebegitu.
“Sudahlah Lia. Aku tak yakin kau sedih
disebabkan penukaran kau ni. Aku pasti kau sedih disebabkan keluarga kaukan?”
duga Fazura. Itulah yang dirasakan melihatkan kesedihan Liyana.
Liyana mengangguk lemah. Fazura memang
pandai menduga perasaannya. Selama mereka berdua berkawan, Fazura yang banyak
memberi semangat dan kekuatan buatnya. Fazura juga yang banyak membantu dari
segi kewangan walaupun pada dasarnya dia lebih berkemampuan daripada Fazura
sendiri. Namun apakan daya, dia terpaksa mencari kehidupannya sendiri. Mencari
kehidupan yang telah lama menghilang disebabkan sikap dan perangai Dato’
Zulkifli terhadapnya.
“Aku rindukan mereka Zura. Tapi,
berbaloi ke kerinduan aku ini. Aku rasa terseksa menanggung kerinduan ini.
Perlukah aku melawat mereka Zura?” luah Liyana sambil menatap wajah Fazura.
Meminta pendapat dari kawan baiknya itu.
“Erm… susah aku nak bagi pendapat Lia.
Kau pejamkan mata, dengar kata hati kau sendiri. Kau akan dapat jawapannya.”
Hanya itu yang mampu dikatakan oleh Fazura.
“Ya… aku kena tanya pada hati aku
sendiri. Tapi, boleh ke hati bercakap. Hati tu ada mulut ke?” tanya Liyana
lurus. Sengaja menceriakan suasana dan tidak mahu terus-terusan di harung
kesedihan.
“Mulut?” ulang Fazura berserta kerutan
di dahi. “Kau ni Lia, kalau tak kenakan aku sehari, memang tak sah. Tadi
menangis berbagai-bagai, sekarang gelak pulak. Hisy… sakit hati aku dengan kau
nilah Lia,” bebel Fazura tatkala menyedari dirinya dipermainkan oleh Liyana.
Liyana tersengih. Sengaja mengusik
Fazura. Dia akan rasa lebih tenang selepas ketawa. Dengan ketawa dapat
menghilangkan rasa tekanannya itu.
“Alah… itu pun nak marah ke? Usik sikit
pun tak boleh. Sejak bila pulak kau jadi sensitif ni?” komen Liyana seraya
bangun.
“Kau tu memang. Tapi, aku lebih suka
tengok kau macam ni dari kau bersedih. Kalau kau bersedih, aku turut sama
bersedih Lia. Sehari tak tengok kau ketawa, macam pelik aje aku rasanya,” jelas
Fazura turut sama bangun.
Itulah yang dirasakannya selama ini.
Usikan Liyana sudah sebati dalam dirinya. Jika tidak melihat wajah ceria
Liyana, bermacam-macam akan difikirkan olehnya tentang Liyana. Kadang-kadang
dia juga merasa pelik dengan sikap dan perangai Liyana. Jika Liyana bersedih,
hanya untuk beberapa minit dan kemudian itu, dia akan melihat wajah ceria
Liyana. Mungkin Liyana memendam segala kedukaan dan kesedihannya selama ini dan
tidak mahu dikesan olehnya.
“Kau nak tumpang aku tak?” tanya Fazura
dan menapak ke muka pintu bilik.
“Aku kerjalah Zura. Tak apalah, kau
baliklah dulu. Pandai-pandai akulah nak balik nanti,” jawab Liyana seraya
mencapai beg sandangnya.
“Kalau macam tu, aku balik dululah.
Sampaikan salam aku pada Kak Marina,” ujar Fazura dan berlalu pergi dari situ.
Liyana sekadar mengangguk. Dia turut
sama menapak keluar dari bilik setelah mengunci biliknya. Bilik yang disediakan
oleh Amirul. Jawatannya masih sama, hanya ketuanya sahaja yang bertukar. Dari
Harris kepada Amirul a.k.a mamat hingus. Liyana tersenyum sendiri dengan
gelaran yang diberikannya itu. Memang berhingus pun!
“I minta maaf Rul,” ucap Shasha dan
meraih tangan Amirul.
Amirul mendengus. Dia membiarkan sahaja
Shasha meraih tangannya tanpa berniat untuk menolak. Entah mengapa dia tidak
merasakan apa-apa pada pegangan Shasha. Jika dulu, jantungkan akan berdegup
dengan kencang sebaik sahaja dia bersentuhan dengan Shasha. Mungkinkah
perasaannya terhadap Shasha semakin menjauh setelah apa yang Shasha lakukan
sebulan yang lepas? Cabaran Shasha memintanya berkahwin dengan sesiapa sahaja
membuatkan dia tidak yakin dengan cinta Shasha terhadapnya.
“Rul, I tahu I bersalah pada you. I
cabar you berkahwin tapi takkan you sahut cabaran tu. I sengaja nak uji
kesetiaan you aje,” sambung Shasha lagi. Dan kali ini tangan Amirul di elus
lembut.
“Amirul… please… jangan buat I macam ni. Sebulan you mogok macam setahun
rasanya. I terseksa menanggung rindu pada you Rul,” tambah Shasha pula.
Mengharapkan Amirul mendengar luahan hatinya itu.
Amirul melepaskan keluhan berat.
Hatinya sayu melihat wajah sedih Shasha. Tidak dinafikan yang hatinya masih
menyintai dan menyayangi Shasha. Walaupun kadang-kala sikap dan perangai Shasha
mencabar ego lelakinya. Perlukah dia memaafkan Shasha dan menerima Shasha
semula?
“I…” Amirul berjeda. Sukar untuk
menuturkan kata-kata.
“Please
Rul… maafkan I. Kita baik semula okey!
I janji lepas ni, I akan dengar cakap you. Kalau you minta I berkahwin dengan
you, I sanggup dan I dah bersedia untuk ke arah itu,” pintas Shasha. Tangannya
masih menggenggam erat tangan Amirul.
“Jangan pandai berjanji Shasha. Kelak
you yang akan memungkirinya,” bidas Amirul keras.
Sukar untuk mempercayai kata-kata
Shasha itu. Sebelum ini sudah berkali-kali dia melamar Shasha, tetapi satu pun
tidak di ambil kira oleh Shasha. Kenapa hari ini baru Shasha bersetuju untuk
mendirikan rumah tangga?
“I tahu Rul. Tapi percayalah, I
betul-betul dah bersedia untuk berumah tangga. I tak nak kehilangan you. I
sayang dan cintakan you Rul,” luah Shasha lagi. Berharap agar Amirul
mempercayai akan kata-katanya itu.
Amirul tersenyum hambar. Otaknya ligat
berputar memikirkan perubahan Shasha. Kenapa Shasha berubah dengan tiba-tiba?
Apa yang membuatkan Shasha berubah? Perlukah dia percaya dengan kata-kata Shasha
lagi? Bagaimana dengan cabaran Shasha yang menyuruhnya berkahwin dengan orang
lain? Perlukah dia menyahut cabaran itu atau memandang sepi cabaran tersebut?
Sesak nafasnya memikirkan kesemua persoalan itu.
“Kenapa tak bagitau dulu kalau nak
datang?” tanya Datin Suraya. Seakan kurang menyenangi akan kedatangan Liyana.
Tersentak Liyana dengan pertanyaan
Datin Suraya. Perlukah diberitahu terlebih dahulu akan kedatangannya sedangkan
dia berhak untuk balik ke rumah pada bila-bila masa sahaja. Sungguh dia terasa
akan pertanyaan itu. Namun dia cuba untuk mengawal riak di wajahnya.
Setelah puas berfikir petang tadi, dia
bertekad untuk pulang ke rumah untuk melawat keluarganya. Dia telah meminta
cuti daripada Marina semata-mata untuk melepaskan kerinduannya terhadap
keluarga. Tetapi tidak menyangka, begitu penerimaan Datin Suraya terhadapnya
kini.
“Nak balik rumah sendiri kena bagitau
dulu ke ibu?” tanya Liyana seakan menyindir. Bukan niatnya untuk berkurang
ajar, tetapi hatinya terasa dengan pertanyaan Datin Suraya tadi.
Tergamam Datin Suraya dengan sindiran
Liyana itu. Sungguh dia tidak menyedari akan apa yang dituturkannya tadi.
“Lia singgah kejap aje. Nak tengok ibu
dan ayah. Tapi, kalau kedatangan Lia ni tidak menyenangkan di hati ibu, Lia
minta maaf. Lepas ni Lia takkan datang lagi ke rumah ni,” sambung Liyana. Dia
membawa kakinya ke pintu utama. Sungguh dia terasa dengan penerimaan Datin
Suraya.
“Lia… ibu minta maaf. Ibu tak sengaja,”
ucap Datin Suraya sambil meraih tangan Liyana.
“Tak apalah ibu. Lia dah biasa dengan
semua tu. Lia minta diri dulu,” balas Liyana sambil bersalaman dengan Datin
Suraya. Entah kenapa, sejak akhir-akhir ini, hatinya begitu sensitif jika
sesiapa memperlakukannya sebegitu.
“Ha… buat apa balik ke rumah ni? Dah
tak boleh nak hidup kat luar tu lagi dah ke? Kamu balik ni nak minta duit dari
ibu kamu pulak?” suara Dato’ Zulkifli tiba-tiba dari arah anak tangga rumah.
Tersentak Liyana dengan sindiran Dato’
Zulkifli itu. Seraya dia menoleh ke arah Dato’ Zulkifli yang sedang melangkah
menuju ke ruang tamu. Kenapa kedatangannya dipertikaikan oleh semua orang?
“Lia bukan nak minta duit dengan ibu.
Lia datang nak melawat ibu dan ayah. Salah ke kalau Lia datang melawat?” suara
Liyana sebak. Matanya mulai berkaca.
“Kami belum nak mati lagi. Kalau kamu
datang nak minta duit, satu sen pun aku takkan baginya,” kata Dato’ Zulkifli
tegas.
“Setakat ini, alhamdulillah. Lia masih
boleh hidup dengan rezeki yang Lia perolehi. Maafkan Lia kalau kedatangan Lia
mengganggu ketenteraman Dato’ Zulkifli dan Datin Suraya. Lia minta diri dulu,”
balas Liyana dan segera membawa diri keluar dari rumah itu. Lebih lama dia di
situ, entah apa lagi yang akan dihamburkan oleh Dato’ Zulkifli. Sungguh hatinya
terguris dengan penerimaan ayah dan ibunya.
“Lia… Lia…” panggil Datin Suraya.
Namun panggilan itu tidak disahut oleh
Liyana. Liyana pergi membawa hati yang terguris atas sikap Dato’ Zulkifli dan
Datin Suraya.
nantikan babak romantik Amirul dan Liyana slps ini.. thank u coz sudi membaca GB... ;)
kak.. awat pendek skett.. hehehe.. bezzz!! can't wait for next n3.. n tq for dis n3
BalasPadamalamak!! pendek ke?? akak rs dh pnjg dh tue.. huhu..
Padamalmost welcome dear.. thanks coz layan GB.. ;)
sedihnya ..keluarga lia buat dia macam orang luar.. bagi la ayah lia sedar dan lebih hargai dan sayang lia..
BalasPadamBila penulis nak sambung lagi.. sambung la hari-hari.. best la cite ni..
erm, jwpnnya ada dlm bab seterusnya..
Padamsmbg hari2?? nti jemu pulak bc GB ni.. hihi..
apa2 pn thank u coz membaca GB.. :)
Thanks for the new entry .... pendek juga lah this entry ... kalau boleh update new entry everyday boleh tak?? Patiently waiting for the nxt entry .. tak sabarlah ... sedih part dia disingkirkan oleh keluarganya .. Fr Aida "Perth"
BalasPadamalamak!! ya ke Aida pendek.. hurm, kena pnjgkan ckt ni.. nti sy edit blik n tmbh apa2 y sesuai dlm bab ni.. Insya-ALLAH, sy akn update slps 2/3 hr.. agak2 blh x mcm 2??? hihi.. :D
Padamgeram betul lahh ngn dato' zulkifli ni...eeeee!!!!emo lak!
BalasPadamhehe.. jgn emo2 kak.. lps ni happy2 pulak.. ;)
Padam