BAB 6
“Lia!!” panggil Harris sedikit menjerit.
Liyana menoleh. Terlihat Harris sedang berlari ke arahnya.
Hisy, nak apa lagi si Harris ni. Tak habis-habis nak berkepit dengan akulah,
gerutu Liyana sendirian. Dia melemparkan sebuah senyuman buat Harris.
“Jom!” ajak Harris sambil menarik tangan Liyana.
“Eh… jom ke mana?” tanya Liyana dan menarik tangannya dari
pegangan Harris.
“La… naik dengan sayalah,” balas Harris dan tersenyum.
“Tak mengapalah Harris. Lia naik dengan Fazura aje. Lia dah
janji dengan Fazura,” tolak Liyana lembut. Tidak mungkin dia akan mengikut
Harris. Khuatir akan dipandang serong oleh pekerja-pekerja lain di syarikat
itu.
“Lia bagitaulah Fazura yang Lia naik dengan Harris,” cadang
Harris berserta wajah simpati.
Aduh! Gawat ni. Macam mana aku nak tolak ni? Zura… mana
pulak Zura ni pergi? Aku dah naik rimas dengan perangai Harris ni, getusnya.
“Tak pelah. Lia betul-betul dah janji dengan Zura. Kesian
pulak dia drive sendiri tanpa teman,”
tolak Liyana lagi. Berharap alasannya itu cukup kukuh untuk menolak pelawaan
Harris.
“Erm… baiklah. Tapi dengan syarat, balik KL nanti, Lia naik
dengan saya.” Harris terpaksa mengaku kalah. Jauh di sudut hati, dia ingin
Liyana menemaninya dalam perjalanan menuju ke Teluk Batik. Alangkah seronoknya
jika ianya berlaku.
“Harris!!” laung Amirul dari jauh.
Serentak Liyana dan Harris menoleh. Amirul menapak jalan
menuju ke arah mereka berdua. Liyana mengeluh berat. Ingin saja dia berlalu
pergi dari situ. Tidak mahu bertentang mata dengan Amirul. Kata-kata hina
Amirul masih lagi tersemat dalam kotak fikiran. Dan tidak mungkin dia akan
melupakannya begitu sahaja.
“Aku ikut kaulah. Aku malas nak drive,” ujar Amirul sebaik sahaja dia berhadapan dengan Harris.
“Lia minta diri dulu. Nak cari Fazura,” celah Liyana dan
berlalu pergi dari situ. Terasa sesak nafasnya tatkala berhadapan dengan
Amirul.
Harris sekadar mengangguk. Ekor matanya sahaja mengekori
langkah Liyana hingga hilang dari pandangan mata. Kemudian, dikalihkan
pandangan ke muka Amirul pula.
“Kau ni kacau daunlah. Tak senang aku nak berdating dengan Lia,” marah Harris sengaja
membuatkan Amirul rasa bersalah.
“Kau serius ke dengan dia?” soal Amirul ingin tahu. Mereka
berdua melangkah jalan menuju ke parkir kereta. Amirul akan menumpang kereta Harris
untuk ke Teluk Batik.
Harris membolos masuk ke dalam kereta. Dia menghidupkan
enjin kereta sementara menunggu Amirul meletakkan bagasi ke dalam bonet kereta.
Selepas itu, Amirul masuk ke dalam kereta dan memakai tali pinggang keledar.
Harris menggerakkan keretanya perlahan dan mengekori kereta Fazura dari
belakang. Soalan Amirul tadi, dipandang sepi.
“Kau serius ke dengan dia?” ulang Amirul kepada soalannya
tadi.
“Siapa?” tanya Harris pura-pura lurus.
“Liyana!”
“Kalau aku kata serius macam mana?” duga Harris berserta
senyuman. Tumpuan diluruskan kepada pemanduannya.
Amirul mencebik. Belum pernah dia melihat Harris segembira
ini. Liyana benar-benar membuatkan Harris angau dan jatuh cinta. Sungguh licik
Liyana memainkan peranan. Bukan sahaja Harris yang tertipu, malah dirinya juga
tertipu dengan lakonan hebat Liyana.
“Kalau kau serius baguslah. Tapi aku nasihatkan kau agar
lebih berhati-hati. Jangan mudah percaya dengan mulut manis seorang perempuan.
Aku tak nak kau alami perkara yang sama seperti Azlin dulu,” nasihat Amirul
ikhlas.
Itulah yang diharapkan oleh Amirul. Dia tidak mahu Harris
kecewa buat kali yang kedua. Dan dia tidak sanggup melihatnya.
“Insya-ALLAH. Kali ini aku yakin Liyana bukan seperti Azlin.
Aku harap kau doakan untuk aku agar hubungan aku dengan Lia berjalan dengan
lancar,” pinta Harris dan masih tersenyum.
Amirul mengangguk. Entah mengapa hatinya merasa cemburu
melihatkan kegembiraan di wajah Harris. Selama dia bercinta dengan Shasha,
belum pernah sekali dia merasa gembira seperti Harris. Setiap kali berjumpa,
ada sahaja perkara yang menjadi isu pergaduhannya dengan Shasha. Entah sampai
bila dia akan berkeadaan sebegitu, dia sendiri tiada jawapannya.
“Aku susah hatilah Zura. Apa yang perlu aku buat? Perlukah
aku berterus-terang dengan Tan Sri Khalil?” Liyana menyuarakan rasa gusarnya.
Segalanya sudah pun diceritakan kepada Fazura. Hanya Fazura sahaja tempat
untuknya mengadu segala resah gelisah.
“Tulah kau. Kalau ya pun nak berlakon, agak-agaklah.
Sekarang tengok, apa dah jadi. Makan sendirilah kau punya lakonan tu,” kutuk
Fazura tidak berlapik.
“Kalau kau nak kutuk, baik aku tak payah cerita,” rajuk
Liyana dan memuncungkan mulut.
“Kau ni, tak boleh kena tegur sikit. Sikit-sikit nak
merajuk, sikit-sikit nak merajuk. Aku panggil Harris baru tau. Biar dia aje
yang pujuk kau,” usik Fazura dan tersenyum nakal.
“Hisy kau ni. Tak ada nama lain ke kau nak sebut.
Balik-balik nama Harris tu juga yang kau sebutkan. Aku dengan dia tak ada
apa-apalah. Kami berkawan aje,” bidas Liyana dan mencebik.
“Ala… macamlah aku tak tahu. Mulut kata tak nak, hati kata
nak!” giat Fazura dan tergelak.
“Hahaha… lawaknya. Kau boleh masuk Maharaja Lawaklah Zura.
Belum uji bakat, kau dah layak dulu dah,” ujar Liyana berserta ketawa kecil.
“Pasal apa pulak?” tanya Fazura berserta kerutan.
“Sebabnya muka kau pun dah cukup lawak bagi diorang. Dah tak
payah nak uji bakat,” sahut Liyana dan ketawa besar.
“Kurang tiga sukulah otak kau ni Lia. Kalau masuk Tanjung
Rambutan, dah memang layak benar,” usik Fazura pula seraya mencubit paha
Liyana.
Liyana mengaduh sakit. Seminit kemudian, mereka berdua
ketawa mengenangkan tingkah masing-masing. Bagi Liyana, tidak ada apa yang
perlu dirasakan dengan kata-kata Fazura. Sudah teranggap biasa dengan situasi
itu. Sekadar gurauan dan menggembirakan hati masing-masing.
Setibanya mereka di destinasi, masing-masing menuju ke bilik
yang telah ditetapkan. Tiada aktiviti yang dijalankan pada petang itu. Mereka
diberi kebebasan untuk melakukan apa-apa aktiviti sebelum acara malam nanti.
Liyana mengambil keputusan untuk berjalan-jalan di persisiran pantai. Manakala
Fazura, hanya terbongkang tidur di dalam bilik mereka. Mungkin kepenatan
memandu kereta membuatkan Fazura keletihan. Ada juga Liyana menawarkan diri
untuk memandu, tetapi dihalang keras oleh Fazura. Sudahnya, Liyana hanya
menjadi penumpang setia sepanjang perjalanan tadi.
Liyana melabuhkan duduk di atas pasir. Ketenangan petang
itu, begitu mengasyikkan. Terasa ingin duduk berlama di situ sambil melayan
perasaan. Jika diikutkan hati, mahu sahaja dia berenang ke pantai sekadar
melepaskan lelah yang selama ini membelenggu diri. Sudah menjadi kebiasaan
melepaskan segala masalah dengan berenang. Terasa kepuasan apabila berenang.
Liyana melepaskan keluhan berat. Hampir sebulan dia tidak
mengetahui berita tentang keluarganya. Adif juga tidak menelefonnya selepas
pertemuan mereka di restoran dahulu. Dia juga takut untuk menelefon ibunya.
Dikhuatiri akan dimarahi oleh Dato’ Zulkifli. Pernah sekali dia menelefon
ibunya, namun panggilannya itu dijawab oleh Dato’ Zulkifli. Dia dimarahi dan
dituduh meminta duit daripada Datin Suraya. Sungguh berat pertuduhan Dato’
Zulkifli itu. Salahkah dia menelefon sekadar untuk melepaskan kerinduan yang
bertamu di dalam hati? Salahkah dia menelefon sekadar untuk bertanya khabar
tentang keluarganya itu?
Liyana menyeka air matanya. Dia menarik nafas dan
melepaskannya lembut. Otaknya ligat memikirkan beberapa soalan. Soalan yang
tidak pernah putus sehingga ke hari ini. Adakah keluarganya sudah melupakannya?
Adakah dirinya tidak begitu penting buat keluarganya? Jika difikirkan, sungguh
menyesakkan nafas. Ditahan perasaan daripada merintih hiba, daripada merayu
hiba. Perlukah dia menangis, merayu-rayu kepada keluarganya? Dia tidak perlu
berbuat begitu. Hanya dengan cara menggembirakan diri sendiri sudah cukup
menyeksakan, sudah cukup mendera hatinya. Bagaimana untuknya menghadapi semua
itu lagi? Cukup kuatkah untuknya lagi?
“Kau dah bagitau papa aku perkara yang sebenarnya?” tanya
seseorang membuatkan lamunan Liyana bertempiaran lari.
Hisy, siapa pulak yang mengganggu-gugat ketenangan aku ni?
Sibuk betullah! Tak boleh tengok orang senang sikit, marah Liyana dan mendengus
kasar. Seraya itu dia menoleh. Waduh!! Mamat hingus ni lagi. Mencemarkan
pemandangan aku betullah!
“Kau dah bagitau belum?” desak Amirul sedikit kasar.
“Belum!” jawab Liyana sepatah.
Bingkas Liyana bangun untuk beredar dari situ. Lebih lama
dia di situ, ada saja ayat yang akan dihamburkan oleh mamat hingus itu nanti.
“Bila kau nak bagitaunya?” Amirul masih tidak berpuas hati.
Pantas lengan Liyana ditarik kasar membuatkan Liyana terdorong ke belakang.
Part ni yang aku tak suka ni. Sesuka hati mak bapak dia aje nak
main tarik-tarik. Sekali aku cukur kepala tu sampai botak, baru dia tahu. Free-free nanti jadi macam banduan kat
Penjara Tapah tu, gerutu Liyana dan tersengih. Ee… tak dapat aku bayangkan
macam mana muka dia tu nanti kalau botak, sambungnya dan ketawa mengekek. Geli
hati memikirkannya.
“Oii… yang kau tersengih-sengih macam kerang busuk tu
kenapa? Dah pulak tu ketawa mengalahkan Pontianak Sundal Malam aje aku dengarnya,”
tegur Amirul. Sakit pula hatinya melihat tingkah Liyana itu.
Liyana menekup mulut. Sedar akan keterlanjurannya itu.
“Erk… tak ada apa-apa,” sangkal Liyana laju.
“Jadi bila kau nak bagitau papa aku?” ulang Amirul kepada
soalan yang sama.
“Kalau saya rasa nak bagitaunya, saya bagitaulah,”
“Apa maksud kau? Kau ingat papa aku tu makanan ke yang kau
boleh main rasa-rasa pulak. Atau kau sebenarnya suka dijodohkan dengan aku.
Bolehlah kau kaut semua harta papa aku. Kaukan pelakon terhebat mengalahkan pelakon
Rosminah Sidek. Macam-macam kau boleh buat untuk yakinkan papa aku tu,
betulkan?” tuduh Amirul tidak berlapik.
Dusss!! Sebiji batu mengenai kepala Liyana. Sungguh tidak
menyangka begitu anggapan Amirul terhadapnya. Begitu sekali pertuduhan Amirul
terhadapnya. Apakah dia seorang yang terdesak ingin merampas harta Tan Sri
Khalil? Apakah dia tidak punya harga diri dan maruah?
Dia ni menguji keayuaan aku betullah. Sesedap mulut dia aje
nak tuduh aku macam tu. Ada ke dia bandingkan aku dengan Rosminah Sidek. Kalau
dia bandingkan aku dengan Siti Saleha ke, Erra Fazira ke, adalah juga bestnya. Hisy… ada yang nak kena ni. Tak
tersior aku dengan harta bapak kau tu.
Harta bapak aku pun banyak, tak terhabis dibuatnya, marah Liyana. Mustahil ayah
akan serahkan hartanya pada aku, kata akalnya membidas.
“Encik Amirul ni memang suka kat saya ya?” tanya Liyana
sinis.
“Apa maksud kau?” tanya Amirul pula mematikan pertanyaan
Liyana.
Berkerut-kerut dia memandang Liyana. Dia kata aku suka kat
dia? Uwekkk!! Nak termuntah aku dibuatnya, kutuk Amirul.
“Yalah… dari hari tu lagi Encik Amirul ni asyik main
tarik-tarik lengan saya, tangan saya, badan saya. Apa best sangat ke badan saya ni hinggakan Encik Amirul suka sangat nak
tariknya,” balas Liyana bernada sindiran.
Berkerut dahi Amirul mendengarnya. Dengan pantas dia
melepaskan pegangannya. Terasa malu apabila disindir sebegitu. Tidak dinafikan dengan
kata-kata Liyana itu. Sejak pertemuan mereka sebulan yang lepas, dia banyak
menyentuh badan gadis itu. Darjah kemarahan terhadap Liyana semakin meluap.
Ha… tau pun takut. Dia ingat aku ni apa, sesuka hati mak
bapak dia aje nak main pegang-pegang. Belum sempat suami aku pegang, dia dah
pegang dulu. Hisy… kurang dah saham aku kalau dia dah sentuh aku. Tak bolehlah
aku nak demand-demand sikit dengan
bakal suami aku nanti, monolog Liyana.
“Terima kasih Encik Amirul. Lepas ni tolong jangan
pegang-pegang saya ya. Saya saman Encik Amirul baru tahu,” kata Liyana sambil
mengusap lembut lengannya yang terasa sakit. Macam cengkam harimau aje mamat
hingus ni. Sakitnya, Ya ALLAH… hanya aku saja yang tahu, bebel Liyana.
“Aku bagi masa seminggu untuk kau settlekan masalah ni. Kalau kau tak settle-setlekannya, tahulah nasib kau kat syarikat tu,” ugut Amirul
dan berkira-kira untuk berlalu pergi.
“Encik Amirul dah lupa dengan apa yang Encik Amirul katakan
dulu?” suara Liyana mematikan niat Amirul untuk beredar dari situ. Kata-kata
Amirul berlegar-legar di kotak fikiran.
“Apa yang aku kata?” ulang Amirul ingin tahu. Ada ke aku
kata apa-apa kat dia?
Liyana tersenyum sinis. Amirul di hadapan diperhati dari
atas ke bawah. Dia menggaru-garu dagunya sendiri. Lagak seperti orang yang
sedang berfikir sahaja. Dalam hati, hanya tuhan saja yang tahu. Betapa kecut
perutnya melihat pandangan tajam Amirul itu. Dalam masa yang sama, dapat
dirasakan ada debaran hebat yang sedang bergendang laju di dalam hatinya.
Bagaikan pelari pecut 100m jantungnya berdegup. Apakah itu?
“Encik Amirul dah tergoda dengan sayakan? Kalau tidak,
kenapa Encik Amirul sahaja yang tidak berterus-terang? Kenapa perlu tunggu saya
yang kena jelaskan pada Tan Sri Khalil?” jelas Liyana sambil berpeluk tubuh.
Senyuman sinis terukir di bibir.
“Jangan nak perasanlah! Tak ada maknanya aku nak tergoda
dengan kau. Kau yang buat hal dulu, kaulah yang kena settlekannya,” protes Amirul keras. Gila apa!!
Seperti yang sudah dijangkakan oleh Liyana, Amirul pasti
akan menafikannya. Jawapan tak boleh blah
betul. Carilah jawapan yang bernas sikit, kutuk Liyana.
“Erm… kalau bukan tergoda…” Liyana berjeda seketika. “Jangan-jangan
Encik Amirul yang teringan nak beristerikan saya, betul tak?” duga Liyana
sambil menjongketkan kening. Matanya jatuh ke muka Amirul. Meletus ketawanya
selepas menuturkan kata-kata itu.
“Kau jangan nak perasanlah! Tak ingin aku nak
memperisterikan kau yang mengalahkan Betty
Suarez ni. Tengok kau pun aku tak seleralah!” sangkal Amirul sekali lagi
dengan keras. Dengusan kasar kedengaran dari arahnya itu.
Tersentak Liyana mendengarnya. Buat kesekian kalinya, dia
terasa dengan kata-kata Amirul. Namun dia cuba mengusir rasa hati daripada
terkesan oleh Amirul. Riak di wajah dikawal sebaik mungkin. Kau kata tak ada
selera? Tak pe, satu hari nanti, kau akan selera tengok aku. Betul-betul
mencemarkan kesucian hati akulah dia ni, gerutu Liyana.
“Encik Amirul pun janganlah nak perasan. Tak ingin saya
bersuamikan orang seperti Encik Amirul ni. Dahlah panas baran, berhingus pulak
tu, tak handsome, mulut mengalahkan
perempuan. Daripada Encik Amirul, ada baiknya saya pilih Encik Harris,” bidas
Liyana selamba dan tersenyum kecil. Tidak mahu dianggap kalah oleh Amirul. Hai
Harris, nasib kaulah diguna-gunakan, bisik hati Liyana.
Bertambah panas Amirul mendengarnya. Kelancangan mulut
Liyana yang tidak berinsuran itu membuatkan dirinya terasa dihina dan dipandang
rendah oleh gadis itu. Tatkala dia dibandingkan dengan Harris, membuatkan
darjah kemarahannya mendidih. Tidak dinafikan Harris mempunyai perasaan
terhadap Liyana dan Harris sendiri mengakui di hadapannya tadi.
“Dan lagi satu, orang seperti saya yang mengalahkan Betty Suarez ini masih ada yang nak.
Encik Amirul tahu jawapannya bukan?” tambah Liyana dan ketawa.
Aku lagi lawa dari Bettylah!
Tak pe, dia belum tahu dan kenal siapa aku lagi. Tunggu kau, aku akan terbeliakkan
mata kau nanti. Sampai juling-juling mata kau tu aku buatkan. Masa tu taulah
kau langit tu tinggi atau rendah. Jangan nak ikut sedap mulut aje kutuk aku. Jangan
nak pandang aku sebelah mata aje. Aku pastikan kau tergoda dengan aku. Aku ni
pantang betul orang cabar aku. Kata-kata kau dulu aku semat kemas dalam hati
aku ni. Walaupun ianya menyakitkan hati, tapi aku yakin kau akan menelan
kata-kata kau semula. Liyana berazam pada dirinya sendiri. Entah mengapa air
matanya mengalir perlahan membasahi pipi. Selama beberapa hari ini, mudah
sahaja dia menitiskan air mata. Mungkin kerana terlalu memikirkan tentang
keluarganya.
“Kau ke mana?” tanya Fazura sebaik sahaja terlihat kelibat
Liyana masuk ke dalam bilik.
“Jalan-jalan kat tepi pantai kejap,” jawab Liyana dan melabuhkan
duduk di birai katil.
“Oh… kau tak bawa handphone
ke? Tadi Harris call aku tanya pasal
kau,”
“Dia nak apa?”
“Dia nak jumpa kaulah, apa lagi. Rindulah tu,” usik Fazura
dan tertawa kecil.
Liyana mencebikkan bibir. Meluat mendengar usikan Fazura. Tidak
habis-habis Fazura nak kenen-kenenkannya dengan Harris. Liyana tergeleng kecil
memikirkannya.
“Zura, aku dengan Harris berkawan aje dan tak lebih dari
itu. Aku tak nak dia menaruh harapan pada aku. Kau sendiri tahukan hidup aku
macam mana? Terumbang-ambing, dah macam anak pelarian Somalia aje aku ni,”
bidas Liyana dan bangun dari duduknya. Dia mencapai telefon bimbit dan menyemak
panggilan masuk, ternyata kesemuanya nombor telefon Harris.
“Ala… alasan aje kau tu,” bidas Fazura pula.
“Zura, macam mana aku nak settlekan masalah aku dengan Tan Sri Khalil tu. Tadi Amirul dah
bagi warning kat aku lagi. Dalam masa
seminggu ni, aku kena settlekannya.
Kalau tak, dia akan berhentikan aku kerja.” Liyana berterus-terang. Berharap
Fazura akan menyumbang sedikit cadangan buatnya.
Fazura mengeluh berat. Dia menghampiri Liyana yang sedang
berdiri di jendela sambil berpeluk tubuh. Wajah Liyana dipandang sayang.
Terpancar kekusutan pada wajah itu.
“Apa perasaan kau pada Amirul?” tanya Fazura sekadar menduga
perasaan Liyana.
“Erk… aku… aku…” tersekat-sekat Liyana bersuara.
“Kau ada perasaan pada diakan?” tebak Fazura.
“Entahlah Zura. Tiap kali aku berhadapan dengan Amirul,
jantung aku berdegup dengan kencang. Ada debaran dalam hati aku ini. Perasaan
ini tak sama bila aku berhadapan dengan Harris. Aku sukakan Harris. Tapi, suka
aku pada Harris sepertimana aku sukakan abang aku, Adif. Harris mengingatkan
aku pada Adif,” jujur Liyana. Itulah yang dirasakan selama dia berkawan dengan
Harris.
“Maknanya kau memang ada hati dengan Amirullah ya,” teka
Fazura sambil mengangkat kening.
Liyana hanya membisu. Mengangguk tidak, menggeleng pun
tidak. Tiada jawapan pada tekaan Fazura itu. Apa yang dirasakan itu sekadar
khayalan sahaja. Tidak mungkin dia jatuh cinta pada mamat hingusan itu. Dan dia
berharap semua itu bohong belaka.
“Hisy, buruk benarlah kau buat rupa macam tu. Dah macam
beruk kat zoo pulak aku tengoknya,” usik Liyana tatkala melihat Fazura
mengangkat-angkat keningnya sendiri.
“Banyaklah kau punya beruk. Aku bertukar gorilla baru kau
tahu,” balas Fazura tidak mahu mengalah. Mukanya sudah mencuka. Merajuk!
“Maafkan aku. Terima kasih kerana kau mengambil berat
tentang aku. Terima kasih kerana sentiasa berada di sisi aku. Kalau kau tak
ada, bagaimana aku nak tempuhi hidup ini berseorangan,” luah Liyana ikhlas. Dia
menggenggam erat tangan Fazura.
“Aku akan sentiasa di sisi kau Lia. Kalau kau bersedih, aku
juga turut bersedih. Kalau kau merasa sakit, aku juga akan merasa sakitnya,”
balas Fazura berserta senyuman di bibir. Sungguh itulah yang dirasakan selama
dia mengenali dan berkawan dengan Liyana. Hanya Liyana segala-galanya buat
Fazura.
“Adif, dapat call Lia?”
tanya Datin Suraya. Riak cemas jelas terukir di wajahnya.
“Tak dapat ibu. Di luar kawasan,” beritahu Adif jujur.
“Adif kenal tak kawan-kawan Lia?” tanya Datin Suraya lagi.
Adif sekadar menggeleng. Selama ini dia tidak pernah
mengambil tahu dengan siapa Liyana berkawan. Hanya Fazura sahaja yang Adif
kenal. Itupun secara kebetulan Liyana memperkenalkan dia dengan Fazura. Selain
itu, siapa kawan-kawan Liyana, keluarganya juga tidak pernah ambil peduli.
Termasuklah dirinya. Malu untuk mengaku sebagai abang Liyana jika semua tentang
Liyana tidak diambil berat. Dan hari ini, semuanya menjadi rumit. Bagaimana untuk
memberitahu tentang Dato’ Zulkifli kepada Liyana?
“Adif cuba call
lagi. Ibu masuk dalam tengok ayah kejap,” ujar Datin Suraya dan berlalu pergi
dari situ menuju ke bilik rawatan Dato’ Zulkifli.
Adif mengangguk. Lantas dia cuba mendail nombor telefon
Liyana semula. Namun masih tiada jawapan. Yang ada suara operator yang meminta meninggalkan
pesanan. Laila sudah diberitahu, namun batang hidung adiknya yang sorang itu,
tidak juga muncul-muncul. Kadang-kadang pening kepalanya memikirkan perangai
Laila. Sikap panas baran dan memberontak Laila menguji kesabarannya sebagai seorang
abang. Laila sering membandingkan dirinya dengan Liyana. Tidak dinafikan dia
lebih menyayangi Liyana daripada Laila. Liyana sentiasa membuatnya tersenyum
dan berasa tenang, tetapi Laila? Huh! Tahu-tahu sajalah perangai Laila yang
terlebih manja dan gedik. Disebabkan dia mendapat sokongan daripada ayahnya,
maka dari itu, dia tidak terlalu menegur Laila. Biarlah Laila memikirkannya
sendiri. Mungkin suatu masa nanti, Laila akan tersedar akan kesilapannya selama
ini terutamanya terhadap Liyana.
“Lia… mana Lia pergi ni?” bisik Adif bernada risau. Dia cuba
mendail telefon bimbit Liyana berkali-kali namun tidak berhasil. Masih di luar
kawasan.
“Mungkin Zura tahu di mana Lia?” duga Adif pantas mendail
nombor telefon Fazura.
Berharap nombor yang didail adalah nombor Fazura. Nombor
yang diberi Liyana ketika Liyana belajar di universiti dahulu. Seminit
menunggu, akhirnya talian disambungkan. Adif menarik nafas lega buat seketika.
Liyana duduk termenung mengadap pantai. Bunyian ombak
memecahkan kesunyian malam itu. Malam ini aktiviti yang dijalankan sekadar BBQ
dan berkaraoke. Liyana lebih suka bersantai di tepi pantai daripada mendengar
suara-suara sumbang mengalahkan katak panggil hujan saja bunyinya. Ada baiknya
dia mengambil kesempatan utnuk menenangkan perasaannya yang sedang berkocak
hebat. Masalah yang sarat di kepala membuatkan dirinya terumbang-ambing mencari
haluan hidup sendiri. Apalah erti hidup jika separuh dari semangatnya hilang
dibawa oleh keluarganya sendiri. Mungkin orang melihatnya sebagai seorang yang
tidak punya apa-apa masalah, tetapi hakikatnya, dirinya itu penuh dengan
masalah yang tidak berpenghujung. Entahlah bila nak selesainya, keluh Liyana.
“Duduk sorang-sorang kat sini kenapa?” tegur Harris sambil
melabuhkan duduk bersebelahan Liyana. Dia melemparkan senyuman kepada Liyana.
Liyana mengerling sekilas dan membalas senyuman Harris.
“Saje, ambil angin malam. Terasa tenang berada di sini.
Semua masalah hilang begitu saja,” balas Liyana dan meluruskan pandangan ke
hadapan.
“Lia ada masalah ke? Kalau ada, jangan segan dan malu,
ceritakan pada Ris. Mungkin Ris boleh bantunya,” pelawa Harris ikhlas. Sudah
hilang penggunaan ‘saya’ pada dirinya itu.
“Dalam kehidupan ni, mana ada yang tidak bermasalah. Jika
ditanya, rata-rata akan memberitahu yang mereka mempunyai masalah. Begitu juga
dengan Lia, Lia juga punya masalah yang tersendiri. Tapi, Lia tak mahu terlalu
memikirkannya. Jika Lia terlalu memikirkannya, boleh jadi gila Lia dibuatnya. Ini
pun hampir masuk dalam list kat
Tanjung Rambutan tu,” jelas Liyana dan tertawa kecil.
“Ada-ada ajelah Lia ni,” balas Harris turut sama ketawa.
“Tak join diorang
berkaraoke ke?”
“Hisy… tak naklah Ris. Bukan pandai menyanyi pun. Lagipun
Lia tak ada, tak syok pulak rasanya,” jujur Harris. Seketika itu dia tertawa
lagi.
“Maknanya katak lagi pandai menyanyi dari Ris lah ya?” ulas
Liyana serius.
Berkerut-kerut dahi Harris mendengarnya. Kurang mengerti
akan maksud Liyana itu.
“Katak?” ulangnya.
“Katak kan terror menyanyi.
Kalau dah setiap kali mendung, suara dia aje yang kita dengar. Kalah peserta
dalam American Idol dibuatnya,” seloroh Liyana dan tergelak. Geli hati dengan
kata-katanya itu.
“Oh.. kenakan Ris ya. Takpe, ada ubi ada batas, lain hari
boleh ku balas,” balas Harris bernada rajuk. Muncungnya sudah sedepa.
Semakin galak Liyana ketawa melihatkan rajuk Harris. Sungguh
tidak menyangka Harris seorang yang kuat merajuk. Difikirkan Harris sentiasa
menjaga penampilannya. Ternyata dia tersilap tafsir tentang Harris. Dan dia
selesa berkeadaan begitu dengan Harris.
“Lia!!” laung Fazura dari jauh.
Serentak Liyana dan Harris menoleh. Fazura sedang menapak ke
arah mereka berdua.
“Kenapa Zura?” tanya Liyana setibanya Fazura di hadapan.
Liyana bingkas bangun. Wajah cemas Fazura menggusarkan hati.
Seperti ada sesuatu yang telah berlaku. Dan dia perlu mengetahuinya.
“Abang kau call,”
bisik Fazura di telinga Liyana. Tidak mahu Harris mendengarnya.
Atas permintaan Liyana sendiri. Salasilah keluarga Liyana
perlu dirahsiakan. Dia tidak mahu Harris mahupun sesiapa mengetahui siapa
sebenarnya Liyana. Bagi Liyana, tiada apa yang perlu dibanggakan tentang
keluarganya itu.
“Abang aku?” ulang Liyana berserta kerutan di dahi.
Fazura mengangguk. Dia menghulurkan telefon bimbit kepada
Liyana dan disambut oleh Liyana. Seketika kemudian, Fazura berlalu pergi dari
tempat itu. Mungkin memberi ruang Liyana untuk berbicara dengan Adif.
“Maaf Ris, Lia jawab call
ni dulu,” ujar Liyana dan membawa diri menjauhi Harris. Harris sekadar
mengangguk. Bingkas dia bangun dan menapak ke tempat di mana pekerja-pekerja lain
berada.
“Assalamualaikum,” sapa Liyana sebaik sahaja kelibat Harris
hilang.
“Waalaikumussalam. Lia pergi mana? Puas abang telefon Lia,
tak dapat-dapat. Lia off telefon ke? Lia
kat mana sekarang?” tanya Adif tanpa full
stop.
“Erk… Lia off sebab
handphone tengah charge,” bohong Liyana. “Kenapa cari Lia?” tanyanya pula.
“Tak boleh ke seorang abang mencari adiknya? Lia ni makin
lama makin kurang ajar dengan abang kenapa? Apa yang Lia tak puas hati lagi
ni?” marah Adif tidak semena-mena.
“Ya ALLAH, bila masa pulak Lia kurang ajar dengan abang. Lia
tanya, kenapa abang cari Lia? Dah lama abang tak call atau cari Lia, tetiba aje muncul, sebab itulah Lia tanya.
Salah ke pertanyaan Lia tu? Kalau abang terasa, Lia minta maaf,” jelas Liyana
lembut.
Biarlah kali ini aku mengalah. Kalau ikutkan hati, mahu saja
aku matikan talian ni. Sakit hati aku mendengar amarahnya, Liyana berbicara
sendiri.
“Ayah masuk hospital. Darah tinggi. Lia balik tengok ayah ya,”
beritahu Adif kepada tujuannya yang sebenar. Ada nada pujuk dari suaranya itu.
Liyana mengetap bibir. Menahan kesedihan di hati. Namun
dikeraskan hatinya untuk tidak terlalu mengikut perasaan. Jika ayahnya tidak
melukakan hatinya, sudah pastilah dia akan terkejut mendengar berita itu.
Tetapi, siapalah dia untuk berasa risau. Dia hanya menyusahkan ayahnya saja.
“Lia dengar tak apa yang abang cakapkan ni?” sergah Adif
sedikit meninggi.
“Hmm…”
“Lia balik ya. Dah tiga bulan Lia tak balik. Ibu rindukan
Lia. Abang pun rindukan Lia…”
“Ayah?” pantas Liyana memotong kata-kata Adif.
Terkedu Adif seketika. Apa yang perlu diperkatakan kepada
Liyana. Ya, memang ibu dan dirinya merindui Liyana. Sering ibunya bertanya
khabar tentang Liyana. Tetapi, ayahnya? Belum pernah sekali pun dia mendengar
ayahnya bertanyakan tentang Liyana.
“Tak pelah bang. Lia dah tahu jawapannya dan Lia pasti abang
sudah pun tahu jawapan Lia,” ujar Liyana perlahan. Cuba menahan sebak di dada.
“Lia…”
“Lia ada kerja yang nak dibuatkan ni. Lain kali kita berbual
lagi. Assalamualaikum,” pintas Liyana dan mematikan talian. Ya ALLAH, tabahkan
hatiku untuk menerima dugaan ini, doanya di dalam hati.
Suara orang berdehem mengejutkan Liyana. Pantas dia menyeka
air mata yang mengalir perlahan di pipi. Matanya dialihkan pada suara deheman
itu. Keluhan berat dilepaskan. Mamat hingus ni lagi, desis Liyana.
Tanpa menunggu, Liyana membawa tapak kaki menuju ke tempat
BBQ. Dia perlu memulangkan semula telefon bimbit Fazura. Belum sempat kakinya
melangkah jauh, seperti biasa Amirul menahannya dari pergi. Dan seperti biasa,
lengan Liyana menjadi mangsanya.
Hisy mamat hingus ni. Aku sekeh baru tahu. Suka hati mak bapak dia aje nak pegang-pegang aku.
Dah bagi warning pun masih tak
paham-paham ke? Entah-entah dia ni tak paham Bahasa Melayu kot. Nak aku cakap
bahasa apa? Tamil ke? bebel Liyana.
“Kau menangis ke?” tanya Amirul membuatkan Liyana terpana
seketika.
Macam mana dia tahu aku menangis? Dia pakai ahli nujum ke?
soal Liyana di dalam hati.
“Yang awak sibuk kenapa? Bukan hal awak pun,” sindir Liyana
seraya menjeling. Dia meronta agar lengannya dilepaskan. Namun Amirul
memperkemaskan lagi pegangannya.
“Aku bukan sibuk. Dah kau kacau port aku nak mengelamun, aku marahlah!” balas Amirul tidak mahu
mengalah. Dia membalas jelingan maut Liyana.
Liyana mendengus geram. Jika diikutkan hati, mahu sahaja dia
menempeleng Amirul. Biar padan dengan mukanya. Entah mengapa, dengan tiba-tiba
dia mendapat akal jahatnya.
“Boleh tolong lepaskan lengan saya tak?” pinta Liyana
sedikit meninggi.
“Suka hati sayalah nak lepaskan atau tak?”
Ewah-ewah, sedapnya bahasa. ‘Suka hati sayalah nak lepaskan
atau tak?’. Dia ingat lengan aku ni free
of charge ke sesuka hati dia aje nak pegangnya. Grrr… marah tahap gaban dah
ni, marah Liyana di dalam hati. Dia menggenggam erat tangannya.
“Awak nak lepaskan atau tak?” ulang Liyana semakin meninggi.
“Tak!” jawab Amirul sepatah. Pendiriannya tetap sama.
Liyana menarik nafas dalam sebelum menghembusnya kasar. Dia
memejamkan mata buat seketika. Cuba mencari kekuatan untuk melawan lelaki di
hadapannya itu. Dengan kudrat yang ada, Liyana memijak kaki Amirul sekuat hati.
Serta-merta Amirul melepaskan pegangan di lengan Liyana. Tanpa membuang masa,
Liyana segera berlari dari situ. Suara Amirul mengerang kesakitan, tidak dihiraukannya.
Apa yang penting, hatinya puas mengenakan Amirul.
“Macam mana boleh kena tu?” tanya Harris. Dia menghulurkan
segelas air kepada Amirul. Kemudian melabuhkan duduk berhadapan dengan Amirul.
“Aku tersepak batu tadi. Maklumlah kat tepi pantai tu kan
gelap,” bohong Amirul dan meneguk rakus air di gelas.
Harris mengerutkan dahi. Di kepalanya memikirkan perkara
lain. Melihatkan dari kesan lebam di kaki Amirul, seperti kaki Amirul dipijak
seseorang. Siapa? Dia sendiri tidak tahu dan dia akan bertanyakan pada Amirul
tentang itu.
“Kaki kau tu kena pijakkan?” duga Harris membuatkan Amirul
hampir tersedak.
“Eh… mana ada. Pandai-pandai kau ajelah Ris,” dalih Amirul dan
meletakkan gelas di atas meja di hadapan mereka berdua. Dia mengurut-urut
kakinya yang sakit itu.
“Kau tak payah nak kelentong akulah Rul. Dari kecik lagi aku
dah kenal kau. Segala riak kau tu aku dah boleh baca. Siapa yang pijak? Kau
mengorat anak dara orang ke?” balas Harris dan memandang tepat ke muka Amirul.
Menanti penjelasan dari muka itu.
Amirul mengeluh berat. Tidak dinafikan Harris pandai membaca
riak di wajahnya. Sukar untuknya menyembunyikan sesuatu perkara. Dan sukar juga
untuknya berbohong.
“Perkara kecik aje. Esok-esok baiklah kaki aku ni,” suara
Amirul cuba mengusir rasa curiga Harris. Bingkas dia bangun untuk menuju ke
bilik air. Namun denyutan di kaki membuatkan dia tidak berdaya untuk berdiri.
“Kena pergi klinik ni. Makin lebam aku tengoknya. Mari aku
hantarkan kau ke klinik,” cadang Harris bernada risau.
“Tak payahlah,” tolak Amirul.
Harris tidak memperdulikan tegahan Amirul. Dicapainya kunci
dan dompet yang berada di meja kecil di sisi katil dan memapah Amirul ke luar
bilik. Amirul sekadar mengikut. Kedegilan Harris melebihi kedegilannya. Hitam
kata Harris, hitamlah ia dan begitulah sebaliknya.
Harris membantu Amirul masuk ke dalam lif. Belum sempat
pintu lif ditutup, kedengaran suara orang memintanya menunggu. Pantas Harris
menahan pintu lif daripada tertutup tanpa mengetahui gerangan orang tersebut.
“Terima kasih,” ucap Fazura termengah-mengah. Dia menarik
nafas dan menghembuskannya. Cuba menstabilkan pernafasan.
“Fazura!” tegur Harris seraya tersenyum.
Fazura menoleh. Bulat matanya melihat Harris dan Amirul di
dalam lif tersebut.
“Eh… Encik Harris, Encik Amirul, nak ke mana?” tanya Fazura.
“Nak bawa Amirul ke klinik. Kakinya bengkak kena pijak
dengan orang,” jawab Harris selamba.
Terjegil mata Amirul mendengarnya. Dia menarik lengan Harris
sebagai tanda isyarat agar tidak terus-terusan bercerita mengenai kakinya itu.
“La… yeke. A’ah, dah bengkak tu. Baik Encik Amirul ke klinik
cepat,” sokong Fazura seraya tersenyum pahit. Kalau Lia tahu ni, mesti serba
salah minah tu nanti. Punyalah kuat dia pijak kaki mamat tu sampai lebam-lebam.
Lia… Lia… sampai bila nak berperang dengan Amirul, bebel Fazura sendirian.
“Awak ni termengah-mengah tadi tu kenapa? Lagak macam kena
kejar hantu aje saya tengoknya,” tanya Harris bernada usikan. Dia tertawa
kecil.
“Saya nak kejar Lia. Dia nak balik KL malam ni,” beritahu
Fazura berserta kerisauan di wajah.
Puas Fazura memujuk Liyana agar pulang ke KL esok, tetapi
Liyana tetap berdegil. Berita Dato’ Zulkifli dimasukkan ke hospital sudah
diberitahu oleh Liyana. Pada mulanya Liyana tidak mahu melawat, tetapi
disebabkan kerinduan dan kerisauan di hati Liyana, akhirnya Liyana mengambil
keputusan untuk pulang ke KL pada malam ini juga. Fazura telah meminjamkan
kereta kepada Liyana agar mudah Liyana pulang ke KL. Tetapi, terimakah Dato’
Zulkifli jika Liyana melawatnya nanti? Soalan yang bermain-main di fikiran
Fazura ketika ini.
“Apa? Balik KL?” serentak Harris dan Amirul bersuara. Agak
lantang suara mereka berdua. Mujurlah hanya mereka bertiga sahaja yang berada
di dalam lif itu, jika tidak, jadi satu kes pulak.
Harris dan Amirul berpandangan antara satu sama lain. Ada
rasa kurang senang dari riak wajah mereka berdua. Harris sudah pun berkerut
seribu memandang Amirul, namun Amirul buat-buat tidak endah sahaja dengan
pandangan Harris itu.
“Kenapa Zura?” tanya Harris tidak berpuas hati.
“Ayahnya masuk hospital,” jawab Fazura selamba.
Gurllpp!!
Alamak! Terlepas cakaplah pulak. Matilah aku kalau diorang
tanya. Macam mana aku nak mengelak dari diorang tanya ni, Fazura mengomel di dalam
hati.
“Ayahnya?” ulang Harris berserta kerutan di dahi.
“Eh… bukan… bukan… mak angkatnya yang masuk hospital,” bidas
Fazura terketar-ketar.
Cuba untuk membetulkan kenyataan. Berharap agar Harris
mempercayai kata-katanya itu. Dan dilihatnya anggukan kecil dari arah Harris.
Ternyata Harris mempercayai akan kata-katanya itu.
Fazura segera melangkah keluar sebaik sahaja pintu lif dibuka.
Terasa begitu lama berada di dalam lif itu. Mujurlah Harris dan Amirul tidak
bertanyakan lebih dalam lagi tentang Liyana. Jika tidak, susah untuknya
berbohong dan mencari alasan lagi. Dia sudah pun berjanji untuk tidak
menceritakan kepada sesiapa asal-usul Liyana. Dan sebagai seorang yang amanah,
dia perlu memegang amanah itu sebaik mungkin. Mungkin Liyana sendiri yang akan
menceritakan salasilah dirinya sendiri bila tiba masanya nanti.
writer,,post lgi nwe n3,,,nk tahu pe tjdi pda lia bila jmpe ayahnye...
BalasPadamInsya-ALLAH, tgu lps beberapa hr ya.. apa2 pn thanks coz sudi membaca GB.. ;)
Padambest . tak sabar nk tgu episod seterus nyaa . apa lhaa respon ayah lia kalau lia datang . tertanya-tanya ni . ~bungarose~
BalasPadamhehe.. alahai adikku bunga rose.. klu akak n3kan, lps sebln kemudian bru adik dpt bcnya.. huhu.. ;)
PadamThanks for the new entry ... I guess this story tidak kurang hebatnya dari yng the 1st novel cos sedih sebab menagih kasih seorang ayah ... n by the way thanks for the HM new entry ya .... well waiting patiently for the nxt entry .. kalau boleh update/masukkan new entry everyday lah ..From Aida "Perth"
BalasPadamthanks Aida coz follow GB.. Insya-ALLAH, sy akn n3 sedikit demi sedikit dr dlm bab HM.. moga dpt mengubati kerinduan pd HM sblm HM versi cetak keluar.. apa2 pn thanks again Aida.. ;)
Padamalahai amirul ngn liyana ni...asyik nak gaduh jer...hrp2 dato' zulkifli tu x apa2...sian sgt liyana ni :(
BalasPadamhehe.. gaduh2 syglah kak diorg berdua tu.. :D
Padam