BAB 3
“Kat Menara Samudera ni ada tiga bahagian, pentadbiran,
operasi dan kewangan. Pentadbiran di tingkat atas sekali. Pengarah Urusan,
Pengurus Besar dan lain-lain yang berpangkat besar berada di tingkat atas.
Tingkat dua, bahagian operasi dan tingkat tiga bahagian kewangan,” jelas Fazura
serba sedikit mengenai Samudera Holding. Dia berharap Liyana memahami akan
penerangannya itu.
“Oh… besar juga ya Samudera Holding ni. Eh… kau pulak kat tingkat
berapa?” kagum dan soal Liyana. Matanya melilau melihat keadaan sekeliling
Samudera Holding. Begitu teruja melihatnya. Syukur di dalam hati kerana memperoleh
pekerjaan sebagai Junior Executive
Project di syarikat itu.
“Aku kat tingkat atas, pentadbiran. Kau kat tingkat dua,
bahagian operasi,” ujar Fazura. “Eh… bos kau tu handsome tau Lia, single
lagi. Kalau kau nak tackle dia, aku
boleh tolongkan,” sambung Fazura teruja. Teruja kerana niatnya untuk memadankan
Liyana dengan Pengurus Projek semakin menjadi.
“Sejak bila pulak kau jadi ajen cari jodoh ni,” usik Liyana
sambil menyiku lengan Fazura.
“Betullah, aku tak main-main. Tapi… handsome lagi bos aku kat tingkat atas tu,” cerita Fazura lagi.
Rasa gembira masih bersisa di dalam hati.
Liyana sekadar menyengih. Dia menggeleng kecil melihat
gelagat Fazura. Entah mengapa dia turut sama teruja bekerja di situ. Siapa yang
tidak kenal dengan Samudera Holding. Syarikat pembinaan yang terkenal di Kuala
Lumpur. Rasa bangga kerana dapat bekerja di situ.
Mereka berdua melangkah masuk ke dalam perut lif. Setelah
pintu lif ditutup, Fazura menekan tingkat dua untuk ke bahagian operasi.
Bahagian di mana Liyana ditempatkan. Lif bergerak pantas mengikut arahan.
Setelah tiba di destinasi, pantas Fazura menarik Liyana mengikutnya. Dia perlu
memperkenalkan Liyana dengan Encik Harris Hakimi merangkap Pengurus Projek, bos
Liyana.
“Mari aku kenalkan dengan bos kau, Encik Harris Hakimi
Hilman,” ajak Fazura sambil melangkah jalan menuju ke bilik Harris.
“Bos aku?” ulang Liyana sedikit terkejut.
Fazura sekadar menggangguk. Dia mengetuk pintu bilik Harris
dan memulas tombol pintu setelah mendapat arahan masuk.
“Maaf Encik Harris, mengganggu,” ujar Fazura dan menapak
masuk ke dalam bilik. Kelihatan Harris sedang meneliti beberapa fail di
hadapannya.
“Ha… Fazura, silakan duduk. Ada hal apa?” balas Harris
sambil menutup fail yang sedang dibacanya sebentar tadi. Pandangannya jatuh ke
wajah Fazura dan kemudian itu ke wajah Liyana.
Fazura melabuhkan duduk berhadapan dengan Harris. Liyana
turut sama duduk di sebelah Fazura. Terasa jantung berdegup kencang tatkala
menyedari pandangan Harris terhadapnya. Alamak! Kenapa dia tengok aku semacam
aje ni. Ada yang tak kena ke dengan muka aku ni, bisik hati kecil Liyana.
“Saya nak kenalkan Encik Harris dengan pekerja baru di
syarikat kita,” suara Fazura menyedarkan Harris dari memandang Liyana.
“Pekerja baru?” ulang Harris berserta kerutan di dahi. “Oh…
maaf saya lupa. Encik Zainal ada bagitau pada saya tentang ni,” sambungnya
sambil menepuk dahi.
Fazura mengangguk sambil tertawa kecil. Geli hati melihat
gelagat Harris. Hisy… muda-muda lagi dah pelupa, getus hati Fazura.
“Kenalkan Nur Liyana Safiyah, pembantu Encik Harris,” bicara
Fazura sambil mengunjukkan tangan kepada Liyana.
Nur Liyana Safiyah, ulang Harris di dalam hati. Di amati
wajah Liyana seketika. Terasa tenang tatkala melihatnya. Dia memberanikan diri
menentang anak mata Liyana. Kedukaan dan kesedihan tersembunyi di sebalik anak
mata itu.
“Liyana!” suara Liyana dan menghulurkan tangan untuk
berjabat. “Harap Encik Harris dapat memberi tunjuk ajar kepada saya selama saya
bekerja di sini dan di bawah pengurusan Encik Harris,” sambung Liyana berserta
senyuman di bibir.
Harris menyambut jabatan Liyana. Matanya masih tertancap ke
muka Liyana. Ada sesuatu yang menarik minatnya pada wajah itu.
“Insya-ALLAH… semoga kita dapat bekerjasama dengan sebaik
mungkin. Kalau Cik Liyana ada masalah apa-apa, jangan segan dan malu bertanya
dengan saya. Saya akan cuba membantunya,” balas Harris turut sama tersenyum.
“Kalau macam tu, saya minta diri dulu Encik Harris. Saya
serahkan Liyana pada Encik Harris sajalah ya. Saya tak boleh lama-lama kat sini.
Nanti bos saya yang satu tu, mengamuk pulak. Encik Harris macam la tak kenal
dengan Encik Amirul tu, singa dalam zoo pun takut dengannya,” komen Fazura
jujur. Itulah yang dirasakan terhadap bos kecilnya Amirul selama dia bekerja di
situ.
“Ada-ada ajelah awak ni Fazura. Dibuatnya bos awak tu dengar
apa yang awak cakapkan ni, tak ke jadi satu isu pulak. Saya tak nak tolong awak
nanti, pandai-pandailah awak ya Fazura,” usik Harris turut sama tertawa. Geli
hati mendengar kompelin dari Fazura itu.
Liyana sekadar mendengar. Tidak mahu menyampuk dengan apa
yang dibualkan oleh mereka berdua. Matanya sibuk melilau melihat keadaan di
dalam bilik Harris. Besar, kemas dan teratur. Dekorasinya begitu menenangkan
dan mendamaikan. Pemilihan warna lembut purple
light begitu menyejukkan mata yang memandang.
“Okey Lia… aku tinggalkan kau dengan Encik Harris. Aku jumpa
kau tengahari ni,” ujar Fazura dan menapak keluar dari bilik. Dia melemparkan
senyuman makna buat Liyana dan Harris.
Liyana sekadar mengangguk. Dia mengekori Fazura sehingga ke
muka pintu bilik. Wajahnya yang tenang berubah gelisah. Gelisah untuk berhadapan
dengan Harris di dalam bilik itu.
“Jangan risau, bos kau tu baik orangnya. Single lagi kalau kau nak tacklenya. Dari tadi aku perasan dia dok
asyik tengok kau aje,” usik Fazura perlahan di telinga Liyana. Mengerti akan
perubahan di wajah Liyana. Kemudian itu, dia tertawa kecil melihatkan rona
merah di wajah Liyana.
“Kau jangan nak merepeklah Zura!” geram Liyana sambil
mencubit lengan Fazura. Fazura mengaduh kesakitan. Seminit kemudian, dia
meninggalkan Liyana di dalam bilik itu menuju ke tempat kerjanya. Hatinya
berbunga riang.
“So… bila nak
mula?” tanya Harris sebaik sahaja kelibat Fazura hilang di sebalik pintu.
“Ha… mula? Mula apa?” ulang Liyana kurang mengerti. Dia
mengerutkan dahi.
Harris tertawa melihat riak wajah Liyana. Ternyata Liyana
seorang yang suka berkhayal. Liyana punya daya tarikan sendiri. Mungkin dia ni
seorang yang kelakar, desis Harris.
“Mula kerja. Bila Cik Liyana boleh mulakan kerja? Kalau
dah…”
“Sekarang!!” pintas Liyana laju. Seketika itu, dia menekup
mulut tatkala menyedari tingkahnya itu. “Oppss!!! Sorry. Teruja sangat, tu yang laju aje jawabnya,” sambung Liyana sedikit
kesal. Kesal dengan tingkahnya yang tidak sabar itu.
“Awak ni kelakar juga orangnya ya,” komen Harris berserta
ketawa yang masih bersisa. Dia menghampiri Liyana yang sedang kaku berdiri
bagaikan patung cendana lagaknya.
Liyana tersenyum nipis. Dia menggeleng kecil memikirkan
tingkahnya sebentar tadi. Apa la aku ni, buat malu ajelah. Cubalah bersabar
sikit, marah Liyana sendirian.
“Macam nilah Cik Liyana. Saya kenalkan Cik Liyana dengan
staf-staf yang lain dulu. Lepas tu baru saya fikirkan kerja apa yang hendak
saya bagikan pada Cik Liyana,” beritahu Harris sekadar mengikut prosedur yang
telah ditetapkan bagi seseorang pekerja baru.
“Baiklah Encik Harris. Saya yang menurut perintah akan
memberi khidmat yang cemerlang, gemilang dan terbilang buat syarikat ini. Lagi
satu, Encik Harris boleh tolong saya tak?” ujar Liyana sekadar mengusik. Suka
melihat wajah kerutan Harris. Comel!!
“Tolong? Tolong apa?” ulang Harris berserta kerutan di dahi.
Hai, siapa yang bos ni, aku ke dia.
“Tolong jangan panggil saya Cik Liyana. Terasa saya ni dah
tua pulak kalau panggil dengan panggilan tu. Saya baru dua puluh tiga tahun
Encik Harris. Kalau nak kahwin pun, belum tentu lulus,” ngomel Liyana dan tertawa kecil. Geli hati
dengan kata-katanya sendiri.
Terburai ketawa Harris mendengar omelan Liyana itu. Liyana
memang kelakar orangnya. Hatinya senang dengan perangai Liyana. Belum pernah
lagi dia merasa gembira seperti itu. Selama ini hidupnya hanya untuk bekerja
sehinggakan masa untuknya berhibur terbatas disebabkan kerja.
“Yang Encik Harris ni ketawa kenapa? Saya ada buat lawak
ke?” tanya Liyana kehairanan. Berkerut-kerut di memandang Harris. Kepalanya
yang tidak gatal digaru berkali-kali.
“Saya senang dengan awak Liyana…”
“Lia…” potong Liyana.
“Okey… okey… Lia…
belum pernah saya merasa gembira seperti hari ini. Walaupun baru hari ini saya
mengenali awak, tapi saya dapat rasakan keserasian antara awak dan saya,” jujur
Harris. Itulah yang sebenarnya tatkala melihat dan mengenali Liyana walaupun
baru beberapa minit sahaja.
“Erm… Encik Harris belum kenal dengan saya lagi. Kalau Encik
Harris dah betul-betul kenal dengan saya, saya pasti Encik Harris akan terkejut
beruk malah beruk dalam zoo pun tak terkejut macam Encik Harris nanti,” gurau
Liyana dan tersengih.
Makin galak Harris ketawa. Sudah terlalu lama dia tidak
ketawa. Dan hari ini dia akan ketawa sepuas–puas hatinya. Melepaskan segala
tekanan dan bebanan yang membelenggu selama ini.
“Sudahlah Lia. Mari, saya kenalkan Lia dengan staf-staf yang
lain,” tegah Harris dan membawa diri keluar dari bilik. Jika tidak dihentikan,
entah apa lagi yang akan dilawakkan oleh Liyana.
Liyana sekadar mengangguk. Dia mengekori Harris dari
belakang. Hatinya gembira mendapat seorang bos yang sporting dan kelakar. Eh! Kelakar ke? Sesungguhnya itulah yang
diharapkan. Sekurang-kurang tidaklah ada tekanan dalam kerjanya nanti.
Amirul mengerling jam di tangan. Hampir sepuluh minit dia
menunggu. Namun kelibat Harris tidak juga muncul-muncul. Hatinya yang sejuk
menjadi panas dengan tiba-tiba. Dia bukanlah seorang penyabar. Dia juga tidak
suka menunggu. Jika diikutkan hati yang panas, mahu saja dia meninggalkan
restoran itu. Tetapi disebabkan janjinya pada Harris, maka disabarkan diri
menunggu di situ. Sejak dari kecil lagi dia diajar agar menepati janji. Kata Tan
Sri Khalil, jangan sesekali memungkiri janji. Janji perlu ditepati dan amat
penting bagi keluarga menepati janji. Tidak mahu dipandang serong jika memungkiri
janji. Dan kini dia mengikut segala kata-kata Tan Sri Khalil. Janji harus
ditepati.
Amirul mengeluh kecil. Dia menyandarkan badan ke belakang.
Minuman yang dipesan dihirup perlahan. Pertemuannya dengan Shasha terimbas di
fikiran. Difikirkan pertemuan itu menjadi kenangan terindah, tetapi merupakan
kenangan pahit baginya. Pertengkaran berlaku gara-gara Shasha menolak
cadangannya untuk berumah tangga. Dia tidak mahu Tan Sri Khalil menjodohkannya
dengan orang lain. Dia punya hak untuk memilih. Jika bukan kerana cadangan Tan
Sri Khalil, tidak mungkin dia dan Shasha akan bertengkar dan sekali gus tidak
menghubungi antara satu sama lain selama dua minggu.
“You tak boleh nak paksa I, Amirul. I ada hak untuk menolak
atau menerimanya,” kata Shasha tegas. Matanya tajam ke muka Amirul. Sungguh
bukan ini yang dimahukan oleh Shasha.
“Sha… please.
Sampai bila kita nak macam ni. I cintakan you. I sayangkan you. Apa tak cukup
lagi ke untuk kita kukuhkan percintaan kita dengan ikatan perkahwinan,” suara
Amirul sedikit merayu. Tangan Shasha digenggam erat.
Shasha mendengus kasar. Dia menarik tangannya dari genggaman
Amirul. Tidak dinafikan dia juga menyintai dan menyayangi Amirul. Tetapi itu
tidak bermakna dia perlu mengikat dirinya dengan ikatan perkahwinan. Dia belum
terfikir untuk ke arah itu. Dia lebih selesa hidup begini. Bebas tanpa
kongkongan sesiapa termasuklah papa dan mamanya.
“Sorry Amirul, I
tak sedia lagi untuk ke arah itu. Kalau you nak kahwin, you kahwinlah. I tak
kesah dengan siapa you nak kahwin,” tolak Shasha tanpa rasa bersalah.
“Apa yang you katakan ni Shasha?” marah Amirul.
“Betullah apa yang I katakan ni. Kalau you dah kemaruk
sangat nak kahwin, you kahwinlah. I tak kesah dan I takkan halang kalau you nak
kahwin,” beritahu Shasha selamba. Dia menyandarkan badan ke kereta dan berpeluk
tubuh di situ.
“You sedar tak apa yang you katakan ni Shasha?” ulang Amirul
inginkan kepastian.
“Ya…” jawab Shasha sepatah.
“You jangan cabar I Shasha. Kalau I betul-betul kahwin macam
mana?” desak Amirul keras. Panas hatinya mendengar kata-kata Shasha sebentar
tadi.
“I tak cabar you Amirul. Tapi kalau you rasa tercabar,
pandai-pandai youlah. I tak nak masuk campur,” balas Shasha dan mengatur
langkah untuk beredar dari situ.
Bagi Shasha, tidak ada gunanya dia bertekak dengan Amirul.
Dia jelas dengan apa yang diperkatakannya tadi. Dia juga yakin Amirul tidak
akan melukakan hatinya. Selama ini, Amirul begitu setia dengannya. Amirul
begitu menyintai dan menyayanginya. Maka dari sebab itulah dia selalu mengambil
kesempatan ke atas Amirul. Amirul begitu bodoh dalam bercinta.
“Baiklah Shasha. I akan buktikan pada you yang I akan
berkahwin tidak lama lagi. Dan masa tu, kalau you nak kembali pada I, tak ada
gunanya lagi. I akan pastikan you menyesal Shasha,” balas Amirul sedikit menjerit.
Dia yakin Shasha mendengar kata-katanya itu walaupun Shasha sudah melangkah
jauh dari tempat di mana dia berdiri.
“Lama tunggu?” tegur Harris sambil melabuhkan duduk
berhadapan Amirul.
Amirul terkejut dengan teguran Harris. Lamunannya sebentar
tadi berterbangan dengan sendiri.
“Sorrylah, aku ada
hal tadi. Aku bawa staf baru aku melawat kawasan,” beritahu Harris jujur. Dia
mengangkat tangan ke arah pelayan yang berbaju putih dan berseluar hitam.
“Nasi gorang cendawan dan jus tembikai,” pesan Harris sebaik
sahaja pelayan berada di hadapannya. Seminit kemudian, dia menjatuhkan
pandangan ke arah Amirul selepas pelayan itu beredar dari situ.
“Kau kenapa? Monyok
aje muka tu aku tengok. Kucing kau mati ke?” tanya Harris bernada usikan.
Berkerut dia melihat muka Amirul. Seperti menanggung bebanan yang berat.
Amirul melepaskan keluhan berat. Ingatannya masih kepada
Shasha. Kata-kata Shasha masih lagi terngiang-ngiang di cuping telinga.
Bagaimana untuk menyahut cabaran Shasha? Jika dia menyahut cabaran Shasha, bermakna
dia menyakiti hatinya sendiri. Jika tidak diikutkan, bermakna dia dianggap
sebagai seorang lelaki yang pengecut dan dia tidak mahu dianggap sebegitu.
Tambahan pula di hadapan Shasha.
“Aku ada masalahlah Harris,” ujar Amirul perlahan.
“Masalah? Masalah apa? Cuba kau ceritakan pada aku. Mana
tahu aku boleh tolongnya,” pelawa Harris. Dia mengucapkan terima kasih kepada
pelayan selepas pelayan meletakkan makanan dan minuman yang dipesannya tadi di
atas meja. Tanpa membuang masa, dia menyudukan nasi goreng cendawan ke dalam
mulutnya.
“Papa nak jodohkan aku dengan anak kawan baiknya. Kaukan
tahu aku dah ada Shasha,” mulai Amirul. “Shasha pulak belum bersedia nak
berumah tangga. Malah dia cabar aku berkahwin dengan orang lain. Peninglah
kepala aku dibuatnya Ris. Mana satu yang nak aku ikutkan,” cerita Amirul
berserta keluhan berat. Dia menghirup minumannya yang tinggal separuh itu.
“Kalau dah macam tu, ikut ajelah kata Pak Long. Mungkin ada
sebabnya kenapa Pak Long nak jodohkan kau dengan anak kawan baiknya tu,” balas
Harris ikhlas.
“Cakap memanglah senang. Sekarang masalahnya di sini. Di
sini yang tak menginginkannya,” bidas Amirul sambil jari telunjuk diunjukkan ke
dadanya sendiri.
“Apa kata kau kenal dulu dengan perempuan tu. Kalau kau tak
suka, kau tolak ajelah. Kalau kau suka, kau onlah,”
cadang Harris sekadar menyedapkan hati Amirul.
“Erm… tengoklah macam mana. Aku nak fikirkannya dulu,” ujar
Amirul lemah. Matanya membuang pandang ke luar restoran.
“Suka hati kaulah. Asalkan kau bahagia Rul. Kau dari dulu
sampailah sekarang, masalah kau cuma jodoh… jodoh. Buat apa kau nak
pening-peningkan kepala memikirkannya. Berserah saja pada ALLAH. Hanya DIA
sahaja yang tahu apa yang terbaik buat kita Rul,” bebel Harris namun diselitkan
dengan sedikit nasihat. Berharap Amirul mendengar nasihatnya itu.
“Yalah ustaz!!” sindir Amirul. Panas pula telinganya
mendengar bebelan Harris. “So, apa
cerita ngan staf baru kau tu? Lelaki ke perempuan? Aku pasti mesti lelaki kan?”
tanya Amirul ingin tahu. Berita mengenai pekerja baru sudah diketahuinya dari
Pengurus Sumber Manusia dan dia belum berkesempatan untuk mengenali pekerja
tersebut.
Harris meletakkan sudu dan garpu di tepi pinggan. Tisu dicapai
dari dalam kotak lalu mengelap mulutnya sehingga bersih. Terasa teruja untuk
bercerita mengenai Liyana kepada Amirul. Sungguh dia amat menyenangi karektor
Liyana. Liyana seorang yang periang, kelakar, sempoi, selamba malah cantik
membuatkan dia sentiasa tersenyum tatkala nama Liyana meniti di bibir. Walaupun
baru beberapa jam mengenali Liyana, dapat dirasakan yang hatinya sudah terpaut
pada gadis itu.
“Yang kau senyum macam kerang busuk tu kenapa? Ada cerita
yang aku tak tahu ke?” tegur Amirul kehairanan. Gila ke Harris ni, desisnya.
“Erm… perempuan,” ujar Harris berserta senyuman. “Baru
beberapa jam aku kenal dengan dia, hati aku dah terpaut pada dia,” luah Harris
jujur. Entah kenapa dia merasakan jantungnya berdegup dengan kencang apabila
memikirkan tentang Liyana.
“Woo… kau biar betul. Takkan semudah tu kau jatuh cinta?”
curiga Amirul. Dia menggelengkan kepala beberapa kali. Haris… Haris… mudah
sangat jatuh cinta, bisiknya.
“Kau belum kenal dengan dia lagi Rul. Kalau kau dah kenal
dengan dia, pasti kau akan merasakan apa yang aku rasakan sekarang ni,” bidas
Harris serius. Sungguh dia amat gembira berada di sisi Liyana.
“Well… okey. Aku pasti akan berjumpa dengan
dia. Lagipun Menara Samudera tu bukannya besar manakan?” balas Amirul seakan
mengejek Harris. Entah apa-apa Harris ni. Tak pe aku nak tengok perempuan mana
yang dah angaukan dia ni, desis hati Amirul.
“Aku sendiri yang akan kenalkan dia dengan kau nanti,” ujar
Harris tidak mahu mengalah. Terasa Amirul mentertawakan serta
memperlekehkannya.
Amirul tersenyum pahit. Matanya memerhati raut wajah Harris.
Jelas kegembiraan di raut wajah itu. Sudah agak lama dia tidak melihat Harris
tersenyum dan tertawa. Kenangan dua tahun yang lepas benar-benar memberi kesan
terhadap kehidupan Harris. Rasa cinta terhadap gadis pujaannya dulu membawa
seribu kedukaan dalam hidup Harris. Sehingga membuatkan hidup Harris porak
peranda dan hilang tujuan. Semangat Harris hilang sepertimana hilangnya kekasih
hatinya itu.
Selama dua tahun Harris menyulam cinta dengan gadis pujaannya,
Azlin. Kata sepakat telah dimeteri, namun pada hari sepatutnya mereka disatukan,
Azlin menghilangkan diri tanpa sebarang pesanan. Maka dari itu, Harris merasa
tertipu dengan perbuatan Azlin. Hatinya terluka dan kecewa dengan apa yang
telah Azlin lakukan. Disebabkan itu, hatinya menolak keras kehadiran seorang
perempuan. Sudah beberapa kali Pak Ngahnya, papa Harris memperkenalkan Harris
dengan anak-anak rakan perniagaan Pak Ngah, namun semuanya tidak berhasil. Pintu
hati Harris sudah tertutup rapat buat insan yang bernama perempuan.
Mungkinkah suatu hari nanti dia akan menjadi seperti Harris
jika Shasha melarikan diri sepertimana Azlin? Persoalan yang selalu bermain di
fikirannya selama ini. Tabahkah hatinya untuk menerima jika perkara itu
berlaku? Mungkin ya dan mungkin juga tidak. Hanya pada ALLAH dia berserah dan
hanya pada DIA juga dia berdoa agar hubungannya dengan Shasha berkekalan hingga
ke ikatan perkahwinan. Tetapi, apa yang telah berlaku sekarang? Shasha semakin
menjauh dari hidupnya. Dan kini dia meragui perasaannya sendiri terhadap
Shasha.
“Tak pe, aku boleh balik sendiri. Kau jangan risaulah,”
beritahu Liyana cuba menghalau kerisauan di hati Fazura.
“Kau pasti ke? Kau nak aku tunggu kau tak?” soal Fazura lagi
inginkan kepastian.
“Kau baliklah dulu. Aku ada kerja yang nak dibuatkan ni,”
“Erm… kalau macam tu, aku balik dululah,”
“Aku jumpa kau kat rumah,” ujar Liyana dan mematikan talian.
Liyana menyambung kerjanya semula. Baru hari pertama, dia
sudah dibebani dengan kerja yang banyak. Menyesal pula dia bekerja di situ.
Jika bukan disebabkan desakan hidup, mahu sahaja dia mencari kerja yang
diminatinya. Kerja sebagai pereka fesyen, itu yang menjadi idamannya selama
ini.
“Lia… kenapa tak balik lagi?” tegur Harris tatkala melalui
meja Liyana.
Liyana mengangkat muka. Harris sedang berdiri di hadapannya
berserta senyuman di bibir. Berkerut-kerut dia memandang wajah Harris. Seperti
ada sesuatu pada wajah itu.
“Kenapa tengok saya macam tu?” tanya Harris kehairanan. Ada
apa kat muka aku ni?
“Lia rasa macam pernah tengok muka Harris. Tapi di mana ya?”
Liyana berteka-teki. Dia cuba mengamati wajah Harris semula. Ya, wajah Harris
saling tak tumpah dengan mamat hingus yang menjadi seterunya beberapa minggu
yang lalu.
“Mestilah Lia pernah tengok. Kan muka tu muka saya,” usik
Harris berserta ketawa kecil.
“Ya ALLAH… betullah tu. Muka Harris yang Lia tengok sekarang
ni,” gurau Liyana sambil menepuk dahi. “Tapi… Lia macam pernah tengok iras-iras
macam muka Harris. Harris ada kembar ke?” sambung Liyana masih curiga.
“Eh… tak adalah. Saya anak tunggal. Mungkin pelanduk dua
serupa kot,” bidas Harris sambil melabuhkan duduk di hadapan Liyana.
“Oh… maybe,” balas
Liyana dan menyambung semula kerjanya yang tertangguh.
Harris hanya memerhatikan tingkah Liyana. Penuh khusyuk dan
asyik dia melihat Liyana. Hatinya berbunga riang tatkala melihat wajah itu.
Terasa debaran di hati. Jantungnya berdegup dengan kencang melebihi 120km/j.
Hisyy… nape dia tengok aku macam tu? Seram aku dengan
renungannya. Malu aku dibuatnya. Lia… control
ayu sikit. Jangan tunjukkan perangai tak senonoh kau tu. Liyana bermonolog
sendirian.
“Erk… Harris tak nak balik ke?” suara Liyana memecahkan
kesunyian di ruang itu.
Harris menggaru kepala. Apa yang harus dijawabkan? Kalau
boleh dia tidak mahu berganjak dari memandang Liyana. Terasa tenang memandang
wajah Liyana.
“Lia pulak, tak nak balik ke?” Harris memulangkan soalan itu
kepada Liyana.
“Saya tunggu prince
charming saya datang ambil. Pukul dua belas tengah malam karang,” sambil
melihat jam di tangan. “Tinggal enam jam lagi untuk saya menunggunya,” sambung
Liyana dengan wajah yang sengaja diseriuskan.
“Prince charming?”
ulang Harris. “Lia dah ada boyfriend
ke?” Harris berterus-terang bertanya. Ada baiknya dia berterus-terang
bertanyakan soal itu. Maka dari itu, bolehlah dia membataskan hatinya agar
tidak terjebak dalam percintaan semula.
“Boyfriend?” ulang
Liyana pula.
Dia menyandarkan badan ke belakang. Matanya jatuh ke muka
Harris. Entah mengapa kotak memorinya ligat mengimbau semula pertemuan dengan
mamat hingus itu. Hatinya terasa berdebar-debar malah jantungnya berdegup dengan
kencang tatkala mengingati peristiwa itu. Apakah semua ni?
Belum sempat untuk Liyana menjawab, telefon bimbitnya
berbunyi. Lantas dia mencapai telefon bimbit dan menekan butang hijau tanpa
melihat nombor di screen terlebih
dahulu. Dilekapkan ke telinga dan mendengar suara di hujung talian.
“Assalamualaikum Lia,” seru Adif dari hujung talian.
Tersentak Liyana seketika. Dia menjawab salam dari dalam
hatinya sahaja.
“Maaf Harris, Lia nak jawab phone call ni. Kalau Harris nak balik… baliklah. Tak perlu tunggu
Lia. Lia boleh balik sendiri,” ujar Liyana sambil tangannya menekup telefon
bimbit. Khuatir akan didengari oleh Adif.
“Baiklah. Lia jaga diri. Kalau ada apa-apa, bagitau saya,”
balas Harris seraya bangun.
Liyana sekadar mengangguk. Ekor matanya sahaja mengekori
langkah Harris hingga langkah itu hilang dari pandangan mata.
“Ada apa abang?” tanya Liyana acuh tak acuh.
Selama dua minggu dia keluar dari rumah, baru hari ini Adif
menelefonnya. Ternyata dia tidak diperlukan di rumah Dato’ Zulkifli. Malah pemergiannya
juga tidak mendapat halangan dari sesiapa mahupun ibunya sendiri.
“Abang nak jumpa Lia boleh?”
“Untuk apa?”
“Salah ke abang berjumpa dengan adiknya?” tanya Adif keras.
Liyana mengeluh berat. Bukannya dia tidak mahu. Tetapi untuk
apa berjumpa jika ianya akan menambahkan lagi kelukaan di hati.
“Lia sibuklah bang. Lain kali ajelah kita jumpa,” dalih
Liyana lembut.
“Lia sibukkan apa? Merayau ke sana ke mari. Lepak sana sini.
Itu yang Lia sibukkan,” tanya Adif sinis. Masih tidak berpuas hati.
“Abang, Lia…”
“Restoran Seri Melayu, pukul 9.00 malam. Abang tunggu Lia
kat sana!” putus Adif dan mematikan talian telefon.
Tergamam Liyana dibuatnya. Sungguh tidak menyangka tindakan
Adif. Suka memaksa jika tidak mengikut arahannya. Perangai Adif tidak ubah
seperti Dato’ Zulkifli. Suka memaksa tanpa kerelaan hati. Mana tumpahnya kuah
kalau tidak ke nasi.
Liyana mengerling jam di tangan. Waktu baru merangkak ke
angka enam tiga puluh minit petang. Masih berbaki dua jam tiga puluh minit
sebelum perjumpaannya dengan Adif. Lantas dia mengemas fail-fail di atas meja
dan mencapai beg tangan dari dalam laci. Kemudian, dia menapak keluar dari
pejabat dan menuju ke lif untuk turun ke bawah. Dalam keterpaksaan, dia
merelakan diri mengikut arahan Adif. Mujurlah masih ada lagi pekerja yang
bekerja selewat begini. Jika tidak bagaimana untuk mengunci pejabat sedangkan
dia masih belum mendapat kunci pejabat.
Liyana segera masuk ke dalam lif sebaik sahaja pintu lif
dibuka. Dia melemparkan senyuman kepada lelaki yang berada di dalam lif itu. Di
amati lelaki tersebut. Mungkin sebaya ayah, fikirnya. Lantas dia menekan butang
G untuk turun ke tingkat bawah. Setelah sepuluh minit menunggu, pintu lif
terbuka dan dia menapak keluar dari perut lif. Mujurlah kawasan itu berhampiran
dengan perhentian bas dan teksi. Maka dari itu, mudah baginya untuk mendapatkan
perkhidmatan awam dalam waktu-waktu sebegini.
Liyana membawa langkah menuju ke perhentian teksi. Matanya
membelingas ke kanan dan ke kiri untuk menyeberangi jalan. Kereta yang
bersimpang siuh, menyukarkan untuk menyeberangi jalan. Kenapalah tak buat
jejantas saja kat sini? Kan senang, tak payah tunggu lama-lama nak ke seberang,
rungut Liyana. Matanya masih lagi meninjau-ninjau keadaan di jalan raya itu.
Entah mengapa matanya tertancap kepada lelaki yang ditemuinya di dalam lif
tadi. Lelaki itu sedang berbual di telefon tanpa menoleh ke kiri dan ke kanan.
Kereta semakin laju membelah arus. Tersalah langkah, pasti akan dilanggar jika
sesiapa cuba untuk menyeberangi jalan tersebut.
“Encik!!” jerit Liyana tatkala menyedari sebuah kereta
sedang menuju ke arah lelaki itu. Lantas dia berlari mendapatkan lelaki itu.
“Encik!! Kereta tu!!” jeritnya lagi. Namun jeritannya tidak
didengari oleh lelaki itu. Masih ralit berbual dengan seseorang di telefon.
Tanpa membuang masa, Liyana segera menerpa tubuh lelaki itu
daripada di langgar. Terjelepuk mereka berdua jatuh ke tanah. Terasa sakit
badannya akibat dihimpap oleh lelaki tersebut.
“Encik tak ada apa-apa?” tanya Liyana cemas. “Inilah sikap
pemandu di Malaysia ni. Suka hati aje diorang nak bawa kereta tanpa memikirkan
keselamatan orang lain,” komen Liyana seraya bangun dari jatuhnya. Dia membantu
lelaki itu untuk bangun. “Encik tak ada apa-apa” ulang Liyana kepada soalannya
yang tadi.
“Tak ada apa-apa. Terima kasih banyak-banyak kerana membantu
saya,” ujar Tan Sri Khalil sambil mengurut-urut dadanya yang terasa sakit.
Mungkin disebabkan jatuh tadi.
“Syukur alhamdulillah. Lain kali jangan berbual di telefon
ketika menyeberangi jalan,” nasihat Liyana sekadar peringatan. Dia membantu Tan
Sri Khalil duduk di bangku yang tersedia di perhentian teksi itu. Matanya
melihat keadaan Tan Sri Khalil.
Tan Sri Khalil tersenyum nipis. Dia mengangguk membenarkan kata-kata
Liyana. Sungguh mulia hati gadis di hadapannya itu. Sanggup mengorbankan nyawa sendiri
untuk menyelamatkan orang lain yang dalam kesusahan.
“Ya ALLAH… phone
encik!!” jerit Liyana sambil mencapai telefon bimbit yang hancur menampakkan
isi alam tidak jauh dari mereka berdua duduk. Dihulurkan telefon itu kepada
tuannya. “Maaf… sebab saya phone
encik rosak. Nanti saya gantikan yang baru,” kesal Liyana. Jika bukan
disebabkan dia, mungkin telefon itu masih elok berfungsi.
Aduh!! Macam mana ni? Aku mana ada duit nak gantinya kalau
dia suruh aku ganti balik. Tengoklah handphone
dia. Mak aii!! Mesti beribu-ribu harganya. Tulah siapa suruh gatal-gatal
mulut kata nak menggantikannya, bebel Liyana di dalam hati.
“Eh… tak mengapa. Tak perlulah anak menggantikannya. Saya cukup
bersyukur kerana anak menyelamatkan saya. Jika bukan anak, sudah tentu saya dah
kena langgar dengan kereta tu tadi,” bidas Tan Sri Khalil. Dia memasukkan
telefon bimbitnya ke dalam poket seluar.
“Tak pe. Perkara kecil saja. Kalau bukan saya, tentu orang
lain pun akan berbuat sepertimana saya lakukan,” balas Liyana merendah diri.
Kush semangat! Nasib dia tak suruh gantinya. Kalau tidak, alamatnya kerja cuci
pingganlah kat kedai mamak barang seminggu dua ni, bicara hati Liyana.
“Saya minta diri dululah encik. Teksi pun dah sampai tu,”
ujar Liyana seraya bangun.
“Mari saya hantarkan!” pelawa Tan Sri Khalil ikhlas.
“Eh… tak mengapalah. Saya tak nak susahkan encik. Saya rasa
ada baiknya encik ke klinik, check
apa yang patut. Takut-takut ada yang terluka di dalam ataupun luar,” tolak
Liyana ikhlas.
“Anak pun kena juga ke klinik. Siku anak tu dah berdarah
saya tengoknya,” bidas Tan Sri Khalil sebaik sahaja melihat luka di siku
Liyana.
Liyana mengangkat sikunya. Terbeliak matanya melihat luka di
sikunya sendiri. Lengan bajunya turut sama terkoyak. Hampir pitam melihat darah
yang mengalir di siku. Namun cuba dikawal sebaik mungkin. Nanti satu hal pulak
dia nak angkat aku kalau aku pitam, bisik hati Liyana.
“Erk… tak pe. Sikit saja ni. Saya minta diri dululah,
assalamualaikum,” ujar Liyana dan menghulurkan tangan untuk bersalam. Sebagai
menghormati orang yang lebih tua darinya walaupun baru pertama kali berjumpa.
Tan Sri Khalil menyambut salaman Liyana. Dia mengusap lembut
ubun rambut Liyana. Tersentak Liyana dengan perlakuan Tan Sri Khalil. Matanya
mulai berkaca. Terasa terharu dengan perlakuan itu. Belum pernah dia merasa
seperti disayangi. Setiap kali dia cuba bersalaman dengan Dato’ Zulkifli, ayahnya
pantas menyorokkan tangan. Seperti jijik untuk bersentuhan atau bersalaman
dengannya.
“Terima kasih,” ucap Liyana dan beredar dari situ. Dia
menyeka air mata yang hampir gugur.
“Lia apa khabar Adif?” tanya Datin Suraya sebaik sahaja
terlihat kelibat Adif memasuki rumah. Dia melabuhkan duduk di atas sofa. Menanti
jawapan dari Adif.
Adif melangkah longlai menuju ke sofa. Direbahkan dirinya di
situ. Pertanyaann Datin Suraya dipandang sepi. Entah mengapa hatinya menolak
untuk bercerita tentang Liyana. Hatinya terusik jika membangkitkan tentang
Liyana. Sedih dan pilu mengenangkan nasib adiknya itu. Kenapa Liyana terpaksa menanggung
bebanan ini keseorangan?
“Sudahlah bang. Lia tak salahkan abang mahupun sesiapa. Lia
sedar siapa diri Lia yang sebenarnya. Lia banyak menyusahkan keluarga abang.
Lia anak yang tak sedar di untung,” beritahu Liyana memulangkan semula
kata-kata yang pernah dilontarkan oleh Adif dan juga Dato’ Zulkifli.
“Lia… abang minta maaf. Abang jumpa Lia sebab abang nak tolong
Lia,” jelas Adif. Selama dua minggu ini hatinya tidak tenteram dan tenang.
Sering memikirkan keadaan Liyana. Risau di hati hanya tuhan sahaja yang tahu.
Liyana tersenyum pahit. Dia memandang Adif dengan pandangan
yang kosong. Seperti hatinya juga kosong tanpa ada rasa apa-apa walaupun mereka
berdua adik beradik kandung.
“Tak mengapalah bang. Tahulah bagaimana Lia nak uruskan
hidup Lia sendiri. Lia nikan suka merayau, melepak sana sini. Mungkin dengan
cara itu Lia boleh dapat duit,” sindir Liyana seperti memulangkan paku buah
keras kepada Adif. Namun diselitkan sedikit usikan dalam kata-katanya itu.
Terkejut Adif mendengarnya. Terasa dirinya disindir. Namun
dia tidak boleh menyalahkan Liyana kerana apa yang diperkatakan oleh Liyana
datang dari mulutnya sendiri.
“Kalau tak ada apa-apa lagi, Lia minta diri dulu. Dah jauh
malam ni. Susah pulak Lia nak dapatkan teksi nanti,” ujar Liyana seraya bangun
dari duduk.
“Lia… kalau Lia perlukan apa-apa, Lia bagitau abang,” pelawa
Adif ikhlas.
“Setakat ni, alhamdulillah. Lia masih boleh berdiri sendiri.
Dan Lia tak nak ayah tarik ke semua kemewahan abang pulak,” balas Liyana dan
menghilangkan diri di sebalik orang ramai yang lalu-lalang di hadapan restoran
itu.
Adif mengeluh berat. Mukanya diraup beberapa kali. Begitu
keras hati Liyana. Liyana bukanlah orang seperti itu. Selama dia hidup bersama
Liyana, Liyana lebih suka bersikap tenang dan menerima semuanya dengan rela hati.
Tetapi kali ini, Liyana seakan berdendam dengannya dan juga ayah. Apa yang
harus dilakukan lagi demi kesejahteraan hidup adiknya itu?
“Adif… ibu tanya ni? Lia apa khabar?” ulang Datin Suraya
mematikan lamunan Adif yang panjang.
“Lia sihat ibu,” balas Adif berbasa-basi.
“Lia dah kerja ke Adif? Lia tinggal kat mana sekarang ni?
Cukup ke makan pakai Lia tu Adif?” tanya Datin Suraya bertalu-talu. Risau
hatinya memikirkan soal anaknya yang bongsu itu.
“Adif tak tahu ibu. Lia tak bagitau Adif semua tu,”
“Kenapa Adif tak tanya Lia? Ibu risaukan dia Adif. Hati ibu
mana yang tak sedih melihat anaknya sorang-sorang di luar sana.” Datin Suraya
meluahkan apa yang terpendam selama ini.
“Insya-ALLAH ibu, Lia tak ada apa-apa. Adif yakin dengan
Lia,” balas Adif cuba menenangkan hati dan perasaan Datin Suraya. Dipandang
kasih wajah ibunya itu. Terasa hiba apabila melihatnya.
“Ibu tetap risau Adif,” ujar Datin Suraya sambil cuba
menyeka air matanya dari gugur.
Adif menghampiri Datin Suraya lalu memeluknya. Cuba menyalurkan
semangat buat Datin Suraya. Selama ini hanya Liyana tempat Datin Suraya
bermanja. Hanya Liyana yang sering ketawa dan bergurau senda dengan Datin
Suraya. Tetapi kini, kenangan itu hanya tinggal kenangan. Rumah yang dahulunya
ceria, kini suram disebabkan ketiadaan Liyana. Hanya Liyana yang bisa
menceriakan suasana di rumah itu.
“Buat apa nak dirisaukan dengan anak yang tak sedar di untung
tu. Biar dia merasa sikit susah senangnya mencari duit. Ini tidak, tahu nak
mengabiskan duit mak bapak aje,”
komen Dato’ Zulkifli sinis dari arah tangga.
Serentak itu Adif dan Datin Suraya menoleh ke arah Dato’ Zulkifli.
“Kamu tu Adif, yang kamu pergi jumpa dia tu kenapa? Kalau
ayah tahu kamu bantu dia, ayah tak teragak-agak kotakan kata-kata ayah hari tu,”
ugut Dato’ Zulkifli tegas. Dia melabuhkan duduk berhadapan dengan Datin Suraya
dan Adif.
“Bang… kenapa abang berkeras sangat dengan Lia. Diakan anak
abang juga,” suara Datin Suraya tidak berpuas hati dengan kata-kata Dato’
Zulkifli. Pilu di hati tatkala mendengarnya.
“Siapa kata Lia tu anak saya. Dia anak awak dan bukan anak
saya,” pintas Dato’ Zulkifli.
“Ayah… ibu… apa yang ayah dan ibu maksudkan ni?” sampuk Adif
kurang mengerti.
Terkejut mendengar kenyataan yang keluar dari mulut Dato’ Zulkifli
itu. Berkerut-kerut dia memandang wajah Datin Suraya dan Dato’ Zulkifli.
Seperti ada rahsia yang cuba disembunyikan oleh Datin Suraya dan Dato’ Zulkifli
dari pengetahuan mereka adik-beradik. Lia bukan anak ayah dan ibu?
Tersentak Dato’ Zulkifli dan Datin Suraya. Mereka berdua
saling berpandangan antara satu sama lain. Datin Suraya beriak gelisah. Dato’
Zulkifli berkerut dahi. Khuatir Adif akan bertanyakan lebih lagi tentang
kenyataan mereka berdua tadi.
“Tak ada apa. Ayah Adif tu kalau marah, semuanya dia hamburkan,”
dalih Datin Suraya cuba menutup kegelisahan di hati. Wajah Dato’ Zulkifli yang
dalam kegelisahan dipandang mesra.
“Betul ke ayah?”
“Betul apa Adif?”
“Tentang Lia. Kenapa ayah cakap macam tu tadi? Lia bukan
anak ayah dan ibu ke?” desak Adif inginkan jawapan. Berlegar-legar di kotak
fikirannya tentang Liyana.
“Hisy… kamu ni Adif. Kenapa tanya ayah macam tu? Sudah
tentulah Lia tu anak ayah dan ibu,” bidas Dato’ Zulkifli keras cuba mengusir
rasa curiga Adif.
“Dahlah… Adif pergilah tidur. Dah lewat malam ni. Esok nak
kerja kan?” sampuk Datin Suraya seraya bangun sekali gus menukar topik
perbualan mereka anak-beranak.
Adif mengangguk. Bingkas dia bangun dan membawa langkah
menuju ke bilik. Hatinya masih lagi tertanya-tanya. Apa yang dimaksudkan oleh
ayah dan ibu sebentar tadi? Adakah Lia bukan anak ayah dan ibu? Adakah Lia
hanya anak angkat dalam keluarganya? Pelbagai persoalan yang sedang bermain di
benak hatinya. Dan dia perlu mencari jawapan pada setiap persoalannya itu.
akhirnye akak n3 juga...uhuhuhuh...nak lg kak..makin best la...hehhehe....jgn2 en.haris dgn liyana kn..ohohohoh
BalasPadamhuhu... cukup2lah ya adikku zielra.. nti akk n3 bab seterusnya.. ap2 pn thanks coz follow GB.. ;)
PadamHarris Hakimi dgn Liyana ker???.... Jeng..Jeng.Jeng...
BalasPadamsyyhhh.... jgn bgtau sape2.. rahsia kita berdua.. hihi.. :)
Padamiye...iye... Biarlah Rahsia.. hehehe
Padamhehe.. jom layan lagu GB.. ingat lagu GB ingat Amirul & Liyana.. :D
PadamJom... I Follow, sentiase igt Amirul n Liyana... :-)
Padamjgn lupakan Tg Hariz & Aisya.. ;)
Padamehhh... tak, mane boleh lupe kat TH & Aisya.. sentiase di Hati tu... Dulu, Kini dan Selamanya.. Hatimu Milikku..
Padamhihi... TH & Aisya alwaz in my heart.. :)
Padamhaisshhh... makin curious nak tau ni... anak angkat ke? sian liaa,, nti jumpe ngan amirul gado lagi.. jgn amirul main kasar pecat dia suda laa..
BalasPadamhehe.. anak angkat ke x?? dlm bab ke atas ada jwpnnya.. erm, gaduh ke diorg.. jeng3.. sesuatu y tdk di duga akn berlaku bl diorg bertemu.. ntikan ya.. :)
Padamyeke... ni yg best nii.. i can't wait.. hehehe
Padamhehe.. thanks mizz acu.. sabar menanti utk n3 yg seterusnya ya.. ;)
Padammula baca happy...tiba2 meleleh lak airmata.....touching part lia bersalam dgn tan sri khalil... lia ank angkat ke?? hariss suka lia?? akak sambung n3 jgn lmbat2... :)
BalasPadamthanks dear coz membaca GB.. Insya-ALLAH akn dismbg.. lia ank angkat atau pn x?? ada jwpnnya nti.. ermmm.. harris suka lia?? agaknya suka ke tak ya.. hehe.. ;)
Padamhai akak! cerita ni best, tp still HM gak first choice :) goodluck utk siapkan cerita ni! complicated betul GB ni, XD
BalasPadamhai Ika.. terima kasih atas ucapan itu.. Insya-ALLAH, akak akn berusaha siapkan GB.. yup!! HM still my 1st choice.. but HM n GB ada kekuatan msg2.. apa2 pn terima kasih Ika coz membaca karya akak.. ;)
Padamerm.....sedih ngenangkan nasib Lia....nape ayah dia tu..berat sebelah...geram..
BalasPadamhuhu.. ada sebbnya nape ayah Lia tu berat sebelah..
Padamsemakin tertanye2 pe jadi seterusnya.. :)
BalasPadamselamat membaca.. :)
Padam