BAB 5
Tan Sri Khalil menatap fail yang berada di hadapannya.
Sesekali dia mengeluh berat. Keluhan yang membuatkan dirinya lemah gara-gara
kerja yang menimbun dan memerlukan penelitian darinya. Mujurlah Amirul dan
Harris banyak membantu dalam menguruskan syarikat. Terasa ringan bebanan yang
ditanggung. Terasa lapang dadanya ketika ini. Nafas yang sesak dahulu kini
dapat dihembusnya lembut.
Tan Sri Khalil menutup failnya. Bingkas dia bangun dari
duduk dan menghampiri jendela. Dia membuang pandang di situ. Kelihatan kepulan
awan putih sedang berarak menuju ke timur. Langit cerah pagi itu menggamit
ingatannya seketika. Ingatan kepada gadis yang menolongnya seminggu yang lalu.
Keikhlasan gadis itu telah memikat hatinya. Jika dia mengenali gadis itu, mahu
sahaja dia memperkenalkan gadis itu dengan Amirul. Tetapi apakan daya, dia
tidak mengenali gadis itu. Malah dia sendiri tidak tahu di mana gadis itu
bekerja. Asal usul gadis itu dan di mana dia tinggal, Tan Sri Khalil tidak
tahu. Ingin sahaja dia mengupah seseorang untuk mencari gadis itu. Namun dia
terpaksa membatalkan niatnya. Dia pasti suatu hari nanti dia akan berjumpa
dengan gadis itu semula.
“Papa!!” panggil Amirul sambil menjengulkan kepala. Matanya
melilau mencari kelibat Tan Sri Khalil.
“Ada apa Rul?” balas Tan Sri Khalil.
Amirul menapak masuk ke dalam bilik. Kelihatan Tan Sri
Khalil sedang berdiri termenung di jendela. Apa yang difikirkan oleh orang tua
itu, dia sendiri tidak pasti. Seperti ada satu bebanan yang sedang ditanggung oleh
Tan Sri Khalil.
“Papa… meeting dah
nak mula tu,” beritahu Amirul sambil memandang ke arah Tan Sri Khalil.
Tan Sri Khalil mengangguk perlahan. Lantas dia menapak
keluar dari bilik. Amirul setia mengekori dari belakang. Hari ini syarikatnya
mengadakan mesyuarat pengurusan untuk membincangkan aktiviti tahunan mereka. Family Day yang akan diadakan di Teluk
Batik pada hujung bulan ni. Sebagai Pengarah Besar Samudera Holding, dia
sekadar mendengar segala perancangan yang telah diaturkan oleh pihak yang
bertanggungjawab. Segala tugasan akan diagih-agihkan mengikut bahagian. Dan
tugasan itu dibahagikan pula kepada beberapa staf. Setiap staf bertanggungjawab
dalam melaksanakannya.
Amirul menguak pintu bilik mesyuarat. Dia memberi ruang
kepada Tan Sri Khalil melangkah masuk terlebih dahulu. Setelah itu, dia menutup
pintu dan duduk di sebelah kiri Tan Sri Khalil. Kesemua staf sudah pun berada
di dalam bilik itu. Matanya mencari-cari kelibat Harris, tetapi tiada. Lantas
dia meminta Fazura untuk menghubungi Harris. Fazura mengangguk. Bingkas dia
bangun meminta diri dari Tan Sri Khalil untuk keluar sebentar. Belum sempat dia
menapak keluar, kelihatan kelibat Harris masuk ke dalam bilik bersama Liyana di
sisi. Lantas dia melabuhkan punggungnya semula di atas kerusi yang diduduki
sejak tadi. Sempat dia menjeling ke arah Liyana dan menghadiahkan senyuman
bermakna buat Liyana. Kata tak suka. Tu asyik berkepit aje dengan Harris tu,
apa kes? Ngomel Fazura sendirian. Pandangannya dihalakan semula ke arah Amirul.
Seperti ada sesuatu dari raut wajah Amirul.
Amirul tersentak tatkala terlihat Liyana. Seakan-akan mengenali
gadis yang berada di sisi Harris. Mungkinkah gadis itu yang dimaksudkan oleh
Harris tempoh hari? Gadis yang telah berjaya membuatkan Harris angau dan jatuh
cinta semula. Tetapi, kenapa penampilannya berlainan dari sebelum ini? Walaupun
hanya berbaju kurung, keayuan gadis itu masih terserlah dan tampak cantik dan
menawan di pandangan mata. Ya, barulah dia perasan akan gadis itu. Gadis yang
menjadi seterunya beberapa minggu yang lepas. Malah hampir sebulan mereka
berkenalan tanpa mengetahui nama masing-masing. Setiap kali berjumpa, ada
sahaja perkara yang ditengkarkan dan disindirkan. Tetapi, kenapa dia merasa
cemburu melihat kemesraan di antara Harris dan gadis itu? Apakah makna semua
itu?
“Maaf Tan Sri, lambat. Ris dengan Lia dari site tadi,” beritahu Harris jujur. Dia
menghampiri Tan Sri Khalil dan bersalaman dengannya.
Tan Sri Khalil sekadar mengangguk. Matanya tertancap ke
wajah bersih Liyana. Wajah yang selama ini dicarinya. Wajah yang telah
menolongnya. Wajah yang telah memikat hati tuanya untuk dijadikan menantu.
Tidak terlalu awalkah untuknya menaruh harapan terhadap gadis itu? Apa yang
pasti, dia sudah mengetahui di mana gadis itu bekerja. Rupa-rupanya, gadis itu
bekerja di syarikatnya sendiri. Begitu kecil dunia ini dirasakan.
“Oh ya… lupa Ris nak kenalkan pembantu baru Ris,” ujar
Harris perlahan.
“Pembantu Harris?” ulang Tan Sri Khalil seraya bangun. Amirul
turut sama mengikut tingkah Tan Sri Khalil. Matanya masih lagi jatuh ke muka
Liyana.
Harris mengangguk. Dia melemparkan senyuman kepada Amirul
yang berdiri bersebelahan Tan Sri Khalil. Dia perasan akan pandangan Amirul
terhadap Liyana. Dan dia cemburu melihat keadaan itu.
“Lia… kenalkan pemilik dan Pengarah Samudera Holding, Tan
Sri Khalil,” kata Harris. “Dan yang itu, Encik Amirul Arif Iskandar Tan Sri
Khalil, Pengurus Besar Samudera Holding,” sambung Harris sambil mengunjukkan
Liyana kepada Tan Sri Khalil dan juga Amirul.
Tersentak Liyana mendengarnya. Lelaki yang sering bertengkar
dengannya beberapa minggu yang lepas merupakan anak pemilik syarikat di mana
dia bekerja selama ini. Sungguh dia tidak mengetahui akan perkara itu. Malah
Fazura juga tidak menceritakan tentang Amirul kepadanya. Mungkin ada atau dia
tidak mengambil port tentang itu
langsung.
Liyana juga terkejut tatkala melihat Tan Sri Khalil. Lelaki
tua yang pernah ditolongnya suatu masa dulu. Kenapa semuanya terjadi dalam satu
masa dan hari? Lelaki yang ditolongnya dan juga lelaki yang menjadi seterunya
selama ini. Kedua-dua lelaki itu mempunyai kaitan yang kuat dengannya.
Bagaimana untuk menghadapi Amirul pada masa hadapan. Bukan sahaja hadapan,
waktu dan ketika ini sahaja sudah membuatkan dirinya kecut perut. Aduh! Macam
mana boleh terjebak ni, bisik Liyana sendirian.
“Nur Liyana Safiyah Zulkifli,” ujar Liyana lembut sambil menghulurkan
tangan untuk bersalaman dengan Tan Sri Khalil.
Seperti biasa Liyana akan mencium tangan orang yang lebih
tua darinya. Sebagai menghormati lelaki yang seusia ayahnya. Dan seperti hari
itu juga, Liyana dapat merasakan usapan lembut di ubun kepala. Terharu
dirasakan ketika ini. Namun dia cuba mengawal perasaan agar tidak terlalu
beremosi dan dikesan oleh mereka yang berada di hadapannya itu.
Kemudian, Liyana menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan
Amirul. Buat pertama kalinya dia bersikap baik dengan Amirul. Jika dulu,
pantang aje berjumpa, adalah adegan drama sebabak yang dilakonkannya. Sekadar
untuk melepaskan diri setelah apa yang dilakukan terhadap Amirul. Jauh di sudut
hati, dia dapat merasakan sesuatu yang bakal terjadi nanti. Mungkin ianya
melibatkan Amirul ataupun kerjayanya.
“Boleh kita mulakannya Tan Sri?” ujar Encik Zainal selaku
Pengerusi Kelab Samudera Holding.
Tan Sri Khalil sekadar mengangguk. Dia melabuhkan duduk semula
di atas kerusi. Begitu juga dengan Amirul dan Harris. Masing-masing mengambil
tempat di sisi kiri dan kanan Tan Sri Khalil.
“Kata tak suka. Aku tengok kau asyik berkepit aje dengan si
Harris tu,” bisik Fazura sebaik sahaja Liyana melabuhkan duduk bersebelahan
dengannya.
“Hisy kau ni. Mana ada la. Dah dia ajak aku pergi site, aku ikutlah. Lagipun diakan bos
aku, kenalah dengar arahan dia,” bidas Liyana sambil mencebik. Tak habis-habis
Fazura hendak memadankannya dengan Harris.
“Tapikan, aku perasan muka si Amirul tu lain macam aje
tengok kau. Macam terkejut pun ada, cemburu pun ada,” beritahu Fazura. Itulah
yang dapat dirasakan ketika ini.
Berkerut dahi Liyana mendengarnya. Bukan sahaja Fazura,
malah dia juga turut sama menyedari akan riak di wajah Amirul. Mungkin Amirul
terkejut melihatnya begitu juga dengan dia. Sungguh dia tidak menyangka Amirul
merupakan Pengurus Besar Samudera Holding. Jika dia mengetahuinya lebih awal,
sudah pastilah dia tidak akan mencari pasal dengan lelaki itu.
“Kau sembunyikan sesuatu dari aku ya Lia,” duga Fazura dan
memandang tepat ke muka Liyana. Mencari jawapan di muka itu.
“Eh… mana ada,” bidas Liyana sedikit gugup.
“Lepas ni aku nak tahu semuanya,” desak Fazura. Dia pasti
akan nalurinya itu. Liyana cuba menyembunyikan sesuatu darinya. Dan dia perlu
tahu akan perkara itu.
Aduh! Zura ni tahu aje kalau aku sembunyikan sesuatu dari
dia. Takkan aku nak ceritakan pada dia pasal Amirul kot. Malulah aku. Dibuatnya
Amirul ambil tindakan ke atas aku, satu hal pulak nanti. Adoi! Apa aku nak buat ni? Liyana bermonolog sendiri. Keluhan berat terlepas dari bibir.
Setelah hampir sejam bermesyuarat dan kata sepakat di ambil,
mereka beransur keluar dari bilik mesyuarat itu. Tugasan sudah pun di
agih-agihkan oleh Encik Zainal. Kebetulan Liyana dan Fazura berserta dua orang
staf bahagian kewangan ditugaskan dalam penyediaan hadiah. Mudahlah bagi Liyana
untuk berbincang dengan Fazura kelak.
“Lia jadi pasangan saya malam dinner tu boleh?” pelawa Harris sebaik sahaja habis bermesyuarat.
Terkejut Liyana dengan pelawaan Harris. Dia memandang Harris
berserta kerutan di dahi. Keihklasan yang terpancar di wajah Harris membuatkan
hatinya terusik. Perlukah dia bersetuju dengan pelawaan Harris itu?
“Erk… Lia bukannya cantik. Buat malu Harris saja nanti,”
tolak Liyana lembut. Kalau boleh dia tidak mahu berpasangan dengan Harris.
Biarlah dia tidak punya pasangan daripada dipandang serong oleh pekerja di
Samudera Holding.
“Lia cantik dan menawan di hati saya,” balas Harris dan
tersenyum manis. Dia mengharapkan Liyana bersetuju dengan pelawaannya itu.
Liyana mengeluh ringan. Sedari tadi dia menyedari akan
pandangan Amirul terhadapnya. Begitu juga Tan Sri Khalil, tidak jemu-jemu
memandangnya. Naik rimas pula dia melihatnya. Terasa dirinya dikawal oleh
kedua-dua beranak itu.
“Baiklah. Kalau saya malukan Harris, saya minta maaf. Saya
ni bukannya pandai nak bergaya sakan seperti orang lain,” jujur Liyana dan
berharap Harris mengerti akan apa yang diperkatakan itu. Dia juga berharap
Harris menarik balik pelawaannya tadi.
“Terima kasih Lia. Saya yakin, Lia takkan malukan saya. Saya
janji akan buat Lia bangga dengan diri Lia sendiri,” riang Harris sambil
menggenggam erat tangan Liyana. Syukur di dalam hati kerana Liyana sudi menjadi
pasangannya pada malam itu.
Bagi Liyana itu merupakan satu bala buat dirinya. Belum
pernah dia menghadirkan diri di majlis-majlis makan malam. Malah ketika di
universiti dahulu, dia sering mengelak daripada menghadiri ke majlis seperti
itu. Walaupun berkali-kali Fazura mengajak, namun ditolak keras olehnya. Dia
tidak suka pada suasana yang hingar-bingar. Dia tidak suka pada suasana
romantik. Suasana romantik membuatkan tengkuknya meremang dan takut. Takut pada
dirinya sendiri. Apa aku nak buat ni? keluh Liyana sendirian.
“Apa hal Tan Sri Khalil nak berjumpa dengan aku Zura?” gusar
Liyana sambil menggenggam tangannya sendiri. Kecut perut tatkala mendapat
panggilan memintanya berjumpa dengan Tan Sri Khalil. Hatinya tertanya-tanya
samada dia ada melakukan kesalahan ataupun tidak.
“Kau ada buat salah ke Lia?” curiga Fazura. Hatinya turut tertanya-tanya.
“Setahu aku, tak ada pun. Kalau ada pun, Harris selalu
tolong coverkan untuk aku. Malah
Harris banyak tegur aku kalau aku ada lakukan kesilapan. Tak adalah sampai ke
pengetahuan bos besar,” beritahu Liyana berserta keluhan berat.
Perbualan mereka terhenti tatkala intercom Fazura berbunyi. Segera Fazura menjawabnya.
Terangguk-angguk kepala Fazura dilihatnya. Seperti ada perkara yang penting dan
berat dibicarakan oleh Fazura bersama orang di hujung talian.
“Tan Sri suruh kau masuk sekarang,” ujar Fazura sebaik
sahaja talian dimatikan.
Liyana sekadar mengangguk. Lantas dia mengatur langkah menuju
ke bilik Tan Sri Khalil. Senyuman dihadiahkan buat Fazura. Seminit kemudian,
dia sudah pun berdiri di hadapan bilik Tan Sri Khalil. Dia mengetuk pintu dan
menguak daun pintu bilik sebaik sahaja mendapat arahan berbuat begitu.
“Masuk Liyana!” arah Tan Sri Khalil tatkala melihat susuk
tubuh Liyana.
Liyana menapak masuk. Kelihatan Amirul sedang duduk
berhadapan dengan Tan Sri Khalil. Entah mengapa jantungnya berdegup dengan
kencang. Terasa gelabah dan resah apabila berhadapan dengan Amirul. Entah-entah
dia mengadu dengan Tan Sri Khalil pasal aku pecahkan cermin kereta dia hari tu
tak, duga Liyana sendirian. Serta-merta mukanya berubah pucat. Risau Tan Sri
Khalil memintanya supaya membayar ganti rugi atas perbuatannya itu.
“Silakan duduk Liyana!” arah Tan Sri Khalil lagi.
Liyana akur. Lantas dia melabuhkan duduk bersebelahan dengan
Amirul.
“Saya tak tahu pulak awak bekerja kat sini. Selama dua
minggu saya mencari awak, Liyana,” bicara Tan Sri Khalil sambil bersandar ke
belakang. Pandangannya jatuh ke muka Liyana.
Liyana menelan liur. Selama dua minggu Tan Sri Khalil
mencarinya? Untuk apa? Adakah disebabkan kesnya dengan Amirul dahulu?
“Tan Sri… saya minta maaf sebab pecahkan cermin kereta Encik
Amirul. Kalau Tan Sri minta saya membayar ganti rugi di atas kerosakkan itu,
Insya-ALLAH saya akan membayarnya. Tapi, berilah saya masa untuk mengumpul duit
terlebih dahulu,” jelas Liyana tanpa berselindung. Hanya tuhan sahaja yang tahu
perasaannya ketika itu.
Berkerut-kerut Tan Sri Khalil mendengarnya. Apa yang
dimaksudkan oleh Liyana? Cermin kereta? Niatnya memanggil Liyana adalah untuk
berkenal-kenalan dengan Liyana dan bukan ada maksud lain. Hanya ingin mengenali
gadis yang telah mencuit hati tuanya itu.
“Apa maksud awak Liyana?” tanya Tan Sri Khalil kurang faham.
“Papa, dia nilah yang pecahkan cermin kereta Rul hari tu,”
celah Amirul yang sedari tadi membisu. Senyuman kemenangan terukir di bibir.
Tan Sri Khalil mengangguk. Barulah dia faham akan maksud
Liyana sebentar tadi. Diamati wajah Liyana dan Amirul silih berganti. Seperti ada
sesuatu yang cuba disembunyikan oleh Amirul dan juga Liyana. Seperti mereka
berdua telah lama mengenali antara satu sama lain.
Liyana menundukkan muka. Sungguh dia rasa bersalah ketika
itu. Jika Tan Sri Khalil ingin menghukumnya, dia redha dan menerimanya dengan
hati yang terbuka.
“Saya minta maaf,” ucap Liyana perlahan.
“Sejak bila pulak awak mengaku kalah ni. Mana pergi lakonan
awak selama ini? Awakkan pandai berlakon mengalahkan Siti Saleha dalam drama
popular Nora Elena tu,” sindir Amirul seakan berbisik. Seminit kemudian, dia
melepaskan ketawa kecil yang hanya boleh didengari oleh Liyana. Puas hatinya kerana
dapat mengenakan Liyana.
Liyana menahan geram di hati. Sindiran Amirul menusuk ke
tangkai hati. Pada waktu dan ketika ini, dia tidak mampu untuk berbuat apa-apa.
Jika dia diberi kuasa, mahu sahaja dia menempeleng Amirul di depan Tan Sri
Khalil. Biar padan dengan mukanya. Entah mengapa, dengan tiba-tiba sahaja, dia
mendapat akal nakalnya. Kali ini dia perlu mengenakan Amirul secukup-cukupnya.
Dia tidak peduli dengan perasaan Tan Sri Khalil di situ asalkan dia dapat
membalas sindiran Amirul sebentar tadi. Kau nak tengok sangat lakonan aku kan.
Baik, aku buktikan betapa hebatnya lakonan aku ni. Kalah Enot dibuatkan aku
nanti, bisik Liyana.
“Erk… Tan Sri, boleh saya bagitau satu cerita pada Tan Sri?”
pinta Liyana berserta senyuman di bibir. Senyuman penuh makna.
“Yes… you may proceed!” balas Tan Sri Khalil. Tumpuannya
dihalakan ke muka Liyana.
Liyana bingkas bangun. Biar nampak real sikit, desisnya. Tapi, kena buat muka sedih dulu, baru menjadi
lakonan aku nanti, sambung Liyana lagi. Liyana menghampiri Tan Sri Khalil.
Diamati wajah lelaki tua itu. Melihatkan wajah Tan Sri Khalil, membuatkan dia
teringat akan ayahnya. Apakah ayahnya merinduinya sepertimana dia merindui
lelaki itu? Memikirkan tentang ayahnya, hati Liyana menjadi sebu dan sebak. Dia
mengerdip-ngerdipkan kelopak matanya. Cuba menahan air mata dari gugur.
“Kalau Tan Sri nak tahu, saya dan Amirul dah lama kenal.
Malah kami pernah bercinta selama setahun. Dia juga pernah kecewakan saya, Tan
Sri,” mulai Liyana. “Dia janji nak sehidup semati dengan saya. Alih-alih bila
dia jumpa perempuan lain, saya ditinggalkan. Malah janji-janjinya pada saya,
hanya tinggal janji saja,” cerita Liyana dalam nada sebak. Dia berpura-pura
menyeka air matanya. Wekk!! Sehidup semati? Geli aku!! kutuk Liyana di dalam
hati.
“What??!!” jerit Amirul pantas berdiri. “Apa yang
awak merepek ni Liyana?” marah Amirul. Panas hatinya mendengar cerita yang
direka-reka oleh Liyana itu.
“Amirul, duduk!!” arah Tan Sri Khalil sedikit meninggi.
“Teruskan Liyana!!” arah Tan Sri Khalil tidak sabar. Dia perlu mengetahui
cerita yang sebenar.
Amirul akur dengan arahan Tan Sri Khalil. Lantas dia duduk
semula di kerusinya. Hatinya membengkak tiba-tiba. Begitu sekali lakonan
Liyana. Mengada-adakan cerita yang tidak ada.
Liyana mengangguk. Kemenangan berpihak padanya. Cukup
berkesan lakonannya itu. Terimbas-imbas di kepala otaknya trofi pelakon terbaik
yang bakal dimenanginya dalam Anugerah Skrin tahun hadapan. Liyana ketawa dalam
hati memikirkannya. Kemudian, dia mengerling ke arah Amirul. Sungguh tegang
muka mamat hingusan itu. Pasti kemarahan sedang menjalar dalam diri Amirul
waktu ini.
“Baru-baru ni Amirul datang berjumpa dengan saya. Dia suruh
saya jangan ganggu dia lagi. Dia minta saya jauhkan diri saya dari dia. Malah
dia beritahu saya yang dia nak berkahwin dengan perempuan pilihan hatinya.
Disebabkan rasa cinta saya pada Amirul, saya tak ambil pusing dengan arahannya.
Malah saya minta tolong kawan baik saya carikan saya kerja di Samudera Holding
ni. Dengan bekerja di sini, saya lebih dekat lagi dengan Amirul dan saya boleh
pikat hatinya semula,” cerita Liyana lagi berserta air mata palsunya. Huh!
Hebat betul lakonan aku ni.
“Awak jangan nak menipu Liyana. Sejak bila pulak kita
bercinta?” bidas Amirul pantas.
“Sampai hati awak Amirul buat saya macam ni,” keluh Liyana
sebak. Dia memandang Amirul dengan wajah simpati. “Kalau Tan Sri nak tahu,
cermin tu saya pecahkan sebab saya marahkan Amirul. Tapi, kalau Tan Sri nak
juga saya gantinya, saya boleh gantinya. Tan Sri boleh tolak dari gaji bulanan
saya,” tambahnya lagi menagih simpati dari Tan Sri Khalil pula.
Tan Sri Khalil menanggalkan cermin matanya. Diraup lembut
mukanya sekali. Lantas dia bangun dari duduknya dan menghampiri Liyana yang
sedang membuang pandang ke luar jendela. Rasa kecewa menyerbu diri. Kecewa
dengan sikap dan perangai Amirul. Tidak menyangka Amirul berperangai seperti itu.
“Macam nilah Liyana. Awak tak perlulah bayar ganti rugi
cermin yang dah awak pecahkan tu. Saya halalkan perbuatan awak tu,” ujar Tan
Sri Khalil lembut. Dia menyentuh lembut bahu Liyana.
Yes! Berjaya juga lakonan aku ni. Ha, padan muka kau Amirul. Kau
sindir aku ya tadi. Sekarang ni kau telanlah sindiran kau tu. Yang pasti, aku
tak payah bayar cermin yang dah aku pecahkan tu. Yahoo!! Monolog Liyana berserta
senyuman puas.
“Terima kasih Tan Sri. Saya hargai jasa baik Tan Sri itu,”
ucap Liyana berserta senyuman di bibir. Dia mengerling ke arah Amirul.
Kelihatan Amirul sedang mengepal tangannya sendiri. Marah benar mamat hingus
tu.
“Tapi….” Tan Sri Khalil mematikan ayatnya.
“Tapi apa?” ulang Liyana berserta kerutan di dahi.
Tan Sri Khalil membawa langkahnya menuju ke sofa dan duduk
di situ. Nafasnya ditarik dan dilepaskannya pendek. Jika benarlah apa yang
diperkatakan oleh Liyana, dia tidak teragak-agak untuk menyunting Liyana
sebagai menantunya. Sejak pertemuan pertamanya dengan Liyana, hatinya terdesak
untuk menjadikan Liyana sebagai menantunya. Dan hari ini niatnya itu seakan menjadi
kenyataan. Selama ini Amirul dan Liyana punya hubungan istimewa tanpa
pengetahuannya.
“Ada syaratnya Liyana,” ujar Tan Sri Khalil.
“Syarat?” ulang Liyana lagi. Makin jelas kerutan di dahinya
itu.
Aduh! Apa lagi ni. Ingatkan dah lepas. Rupanya tak lepas
juga lagi ni. Nak kena tapis berapa peringkat lagi ni. Aku dah letih nak
berlakonlah, gerutu Liyana sendirian. Dia menghampiri Tan Sri Khalil di sofa
dan berdiri di hadapan lelaki itu.
“Saya nak Liyana jadi menantu saya. Saya nak pinang Liyana
untuk Amirul,” sambung Tan Sri Khalil berserta senyuman penuh makna di bibir.
“What??!!” serentak Liyana dan Amirul bersuara.
Amirul pantas berdiri. Liyana terkedu. Mampus!!
“Aduh!!” rengek Liyana tatkala Amirul menolak kasar badannya
sehingga membuatkan dia jatuh terjelepuk ke tanah.
Sebaik sahaja keluar dari bilik Tan Sri Khalil, Amirul
segera mengheret kasar Liyana menuju ke taman di belakang Menara Samudera.
Marah benar Amirul waktu itu sehinggakan tiada rasa belas kasihan terhadap
Liyana. Liyana tidak mampu untuk berbuat apa-apa. Dia sekadar menurut perintah
dan berserah pada ALLAH akan nasibnya itu.
“Puas hati kau sekarang. Hebat betul lakonan kau tadi
sehinggakan bulat-bulat papa aku percaya dengan kata-kata kau. Pandai kau tipu
papa aku dengan muka simpati kau tu. Perempuan jenis apa kau ni. Apa motif kau yang
sebenarnya?” marah Amirul tidak tertahan lagi. Matanya tajam ke muka Liyana.
Liyana sekadar membisu. Mengiyakan tidak, mengangguk pun
tidak. Dia juga tidak menyangka semua itu akan berlaku. Dia termakan dengan
lakonannya sendiri. Sungguh bukan itu niatnya yang sebenar. Jika tahu semua ini
akan terjadi, tidak mungkin dia akan berlakon sebegitu rupa.
“Aku nak kau bagitau papa aku perkara yang sebenarnya. Kalau
kau tak bagitaunya, tahulah nasib kau nanti!” tengking Amirul pula. Tangannya
dikepal erat. Tunggu masa untuk melayangnya sahaja.
Liyana masih membisu. Otaknya ligat berfungsi mencari jalan
penyelesaian. Amirul di hadapan dipandang kosong. Jika Dato’ Zulkifli mendapat
tahu akan perkara ini, sudah pastilah dia akan ditengking dan dimarahi secukup-cukupnya.
Mujurlah Tan Sri Khalil tidak bertanyakan tentang keluarganya. Jika tidak,
bagaimana untuk menjawab pertanyaan Tan Sri Khalil itu.
“Hey… kau dengar tak apa yang aku cakapkan ni?” tanya Amirul
sambil mencengkam lengan Liyana. Sakit hatinya melihat Liyana hanya membisu dan
membatu mengalahkan patung cendana lagaknya.
Liyana mengerutkan dahi. Menahan kesakitan akibat cengkaman
kuat Amirul. Apa yang perlu dilakukannya lagi. Nasi sudah menjadi bubur.
Terlajak perahu, bolehlah diundur, tapi kalau terlajak kata, dah tak boleh nak reverse-reverse. Nak tak nak kena juga
telannya walaupun ianya pahit melebihi pahit ubat di klinik mahupun hospital.
Liyana tersandar lesu. Setelah puas menghamburkan segala
amarah, Amirul meninggalkannya di situ. Begitu marah Amirul terhadapnya.
Niatnya sekadar bergurau. Tetapi, gurauan itu telah memakan dirinya sendiri.
Bagaimana untuk menjelaskan perkara yang sebenar kepada Tan Sri Khalil? Apa
tanggapan Tan Sri Khalil terhadapnya nanti? Terasa batu konkrit sedang
menghempap bahunya kini.
Liyana perlu memikirkan jalan untuk menyelesaikan masalah itu.
Jika tidak, sudah pastilah Amirul akan terus-terusan mendesak dan memarahinya.
Terasa maruahnya begitu rendah di mata Amirul. Tegar-tegarnya Amirul menuduhnya
perempuan bermata duitan. Perempuan tak sedar diuntung. Perempuan tak tahu
malu. Perempuan kampung. Perempuan hodoh dan lain-lain yang boleh diberi
gelaran buat dirinya. Kalau gelaran pelakon terbaik diberi padanya waktu ini,
kembanglah juga hatinya kerana dia telah berjaya melakonkan satu watak dengan
berkesan sekali. Ini tidak, gelaran yang begitu menyakitkan hati yang
dijolokkan oleh Amirul buat dirinya. Sampai hati!
“Pinang saya?” ulang Liyana terkejut.
Tan Sri Khalil mengangguk kecil.
“Erk… saya rasa Tan Sri dah silap tafsir. Saya dengan
Amirul, dah lama berpisah,” beritahu Liyana cuba membetulkan keadaan. Dia
mengerling ke arah Amirul yang sedang merenung tajam ke arahnya. Kecut perut dibuatnya
ketika itu. Terasa kelat air liur yang ditelan.
“Saya tak salah tafsir tentang hubungan kamu berdua, Liyana.
Saya serius ingin bermenantukan Liyana,” beritahu Tan Sri Khalil jujur.
Mampus aku! Tulah berlakon lagi. Sekarangkan dah kena. Ha,
makan sendirilah kau punya lakonan Lia, bebel Liyana di dalam hati.
“Tapi Tan Sri….”
“Papa… semua ni tak masuk dek akal. Terus terang Rul katakan
yang Rul tak kenal dengan dia. Rul baru kenalnya beberapa jam yang lepas. Papa
tak boleh buat keputusan drastik macam ni. Ini masa depan Rul,” bantah Amirul
keras. Dia menghampiri Tan Sri Khalil dan mencapai tangan Tan Sri Khalil. “Rul
dah ada pilihan Rul sendiri. Rul janji akan bawanya berjumpa dengan papa,”
sambung Amirul serius. Dia juga membuat janji kepada Tan Sri Khalil.
Tan Sri Khalil melepaskan keluhan berat. Tidak mungkin dia
menukar fikiran. Keputusan sudah pun diambil. Dia juga nekad untuk menjadikan
Liyana sebagai menantunya. Dia yakin Liyana akan membahagiakan Amirul. Liyana
merupakan pilihan yang tepat berbanding dengan perempuan-perempuan di luar sana
yang sering mengejar dan berdampingan dengan Amirul.
“Keputusan papa muktamad!” keras nada suara Tan Sri Khalil
memutuskan kata-katanya.
Lamunan Liyana terhenti tatkala telefon bimbitnya berbunyi.
Lantas dia menyeluk poket baju kurung dan mengeluarkan telefon bimbitnya.
Ditekan butang hijau dan dilekapkan ke telinga.
“Awak kat mana Lia?” tanya Harris bernada risau.
“Ha… saya… saya kat ladies
Harris. Ada apa?” bohong Liyana. Buat masa ini dia perlu bersendirian dan tidak
mahu diganggu. Kepalanya sarat dengan masalah.
“Baiklah! Saya tunggu Lia kat pejabat. Ada perkara yang nak
saya bincangkan dengan Lia,” beritahu Harris pula.
“Bagi saya sepuluh minit,” ujar Liyana dan mematikan talian.
Bingkas dia bangun dari duduk dan menapak masuk ke dalam Menara Samudera.
Amirul melabuhkan duduk di kerusi kayu yang tersedia di
halaman rumah. Bulan dan bintang menjadi peneman di kala itu. Terasa nyaman dan
tenang dirasakan. Bertemankan bunyian cengkerik yang berdondang lagu sayang
menambahkan keasyikkan untuk melayan perasaan sendiri. Disapa angin malam, membuatkan
badannya sedikit menggigil kesejukan. Mujurlah baju sejuk yang membaluti tubuh dapat
menghangatkan tubuhnya dari kesejukan.
Amirul melepaskan keluhan berat. Keluhan untuk kesekian
kalinya. Bagaikan ada satu bebanan berat yang sedang digalasnya. Semuanya
gara-gara keputusan Tan Sri Khalil yang ingin menjodohkannya dengan Liyana. Ya,
Liyana. Gadis yang kini menjadi musuhnya selepas apa yang telah dilakukan oleh
gadis itu siang tadi. Tergamak Liyana membuat cerita membabitkan dirinya
sehingga dia diberi hukuman seperti itu. Hukuman dari Tan Sri Khalil yang ingin
bermenantukan Liyana. Sudah gilakah Tan Sri Khalil menjodohkannya dengan
perempuan yang tidak tahu asal usulnya. Perempuan yang baru sebulan
dikenalinya. Perempuan yang ala-ala Betty
Suarez dalam drama Ugly Betty.
Perempuan yang bukan menjadi pilihan hatinya dan macam-macam lagi yang boleh
diberi gelaran buat Liyana. Penat otaknya berfikir.
“Hai!!” tegur seseorang dari arah belakang mematikan lamunan
Amirul yang panjang. Segera dia menoleh ke belakang dan terlihat Laila sedang
berdiri sambil tersenyum mesra.
“Hai!!” balas Amirul acuh tak acuh. Sibuk betul! Mengacau
betullah dia ni, gerutu Amirul sendirian. Dia mencebik.
“Buat apa sorang-sorang kat sini?” tanya Laila berbasa-basi
sambil melabuhkan duduk bersebelahan Amirul.
Amirul membetulkan duduknya. Dia mengengsot sedikit menjauhi
Laila. Sejak dulu sehinggalah sekarang dia tidak menyenangi sikap Laila. Entah
mengapa, dia sendiri tidak pasti. Laila selalu mempamerkan tingkah yang kurang
senang di matanya. Mungkin perangai Laila begitu. Manja yang dibuat-buat dan
sedikit gedik.
“Saja. Panas kat dalam tu,” balas Amirul malas.
Laila tertawa kecil. Dia menyedari akan ketidakselesaan
Amirul. Walau bagaimanapun penerimaan Amirul, dia akan cuba sedaya upaya untuk
memikat hati Amirul. Kata-kata Anita dulu masih terngiang-ngiang di gegendang
telinga. Benarkah Liyana berkawan rapat dengan Amirul? Tapi, bagaimana pula
dengan Shasha?
“Shasha apa khabar?” tanya Laila bertujuan membawa Amirul
berbual dengannya.
“Shasha?” ulang Amirul. “Dia sihat. Kenapa you tanya?”
sambung Amirul dan meluruskan pandangan ke muka Laila.
“Saja I tanya. Seminggu yang lepas, I nampak dia dengan seorang
lelaki. I ingatkan you, tapi rupa-rupanya bukan. Mesra bukan main I tengoknya,”
cerita Laila. Pertemuannya dengan Shasha seminggu yang lepas terimbau semula.
Sungguh dia terkejut melihat kemesraan Shasha bersama lelaki itu. Bagaikan
pasangan kekasih lagaknya.
Amirul terkejut. Namun dicuba kawal sebaik mungkin rasa
terkejutnya. Benarkah apa yang diperkatakan oleh Laila itu? Shasha bersama
dengan seorang lelaki? Sudah lama dia tidak berjumpa dengan Shasha, selepas
pertengkaran mereka sebulan yang lepas. Disebabkan itu, dia tidak menghubungi
Shasha. Difikirkan Shasha akan mengaku kalah, ternyata fikirannya meleset. Ego
Shasha melebihi egonya.
“You jumpa…”
Belum sempat Amirul bertanya lanjut, kedengaran namanya di
panggil dari arah belakang. Serentak dia dan Laila menoleh. Kelihatan papa,
mama dan yang lain-lain menuju ke arahnya.
“Uncle nak balik
dah?” tanya Amirul sebaik sahaja Dato’ Zulkifli berdiri di hadapannya.
Dato’ Zulkifli sekadar mengangguk. Dia menepuk lembut bahu
Amirul. Dihulurkan tangan untuk bersalaman dengan Amirul dan disambut baik oleh
Amirul.
“Senang-senang nanti, datanglah rumah Uncle,” pelawa Dato’ Zulkifli ikhlas.
“Insya-ALLAH, ada masa nanti, saya datanglah!” ujar Amirul
sekadar menyedapkan hati orang tua itu. Jauh di sudut hati, tidak ingin dia
bertandang ke rumah Dato’ Zulkifli tambah-tambah lagi berjumpa dengan Laila.
Jika Adif, dia masih boleh menerimanya tetapi tidak Laila.
Setelah memastikan kereta Dato’ Zulkifli hilang disebalik
kepekatan malam, Tan Sri Khalil berehat sebentar di laman rumah. Dia mendongak
ke langit yang ditemani dengan bintang dan bulan. Keheningan pada malam itu
membuatkan dirinya begitu tenang dan damai. Terasa ingin membelai diri dengan
tiupan angin sepoi-sepoi bahasa di kerusi itu.
“Abang ni kenapa?” tegur Puan Sri Marissa sebaik sahaja
terlihat suaminya duduk termenung di halaman rumah. Amirul sudah pun masuk ke
dalam rumah untuk berehat.
“Abang tengah fikirkan pasal Amirul,” jawab Tan Sri Khalil
berserta keluhan ringan.
Puan Sri Marissa duduk bersebelahan Tan Sri Khalil. Diamati
wajah tua suaminya itu. Wajah yang menemaninya selama dua puluh lapan tahun.
Wajah yang mengajar dia erti rindu dan cinta yang sebenarnya. Kasih sayangnya
selama ini tumpah kepada wajah itu.
“Kenapa dengan Amirul? Abang tak perlulah fikirkan sangat
tentang Amirul tu. Dia dah cukup matang untuk memikirkan yang mana baik dan
yang mana buruk,” nasihat Puan Sri Marissa sambil menggenggam tangan Tan Sri
Khalil. Dia melentokkan kepala ke bahu Tan Sri Khalil. Bagaikan orang sedang
bercinta lagaknya.
“Abang tahu Mar. Tapi kalau boleh, abang nak yang terbaik
buat Amirul,” ujar Tan Sri Khalil.
“Jangan dipaksa-paksa Amirul tu bang. Nanti memberontak
pulak dia,”
“Abang nak bagitau Mar sesuatu. Dan abang harap, Mar
bersetuju dengan cadangan abang ni,”
“Mar ikut saja bang. Kalau abang rasa itu yang terbaik buat
Amirul, Mar tak ada bantahan,” kata Puan Sri Marissa. Selama ini dia hanya
mengikut sahaja kata-kata Tan Sri Khalil. Bagi Puan Sri Marissa, Tan Sri Khalil
tahu apa yang terbaik buat Amirul.
“Abang nak jodohkan Amirul dengan Liyana, pekerja abang di
syarikat tu. Abang berkenan betul dengan Liyana tu. Kalau Mar nak tahu, Liyana
tulah yang telah selamatkan abang dari dilanggar kereta dulu,” cerita Tan Sri
Khalil pada niat yang sebenar.
Puan Sri Marissa mengangkat kepala. Terkejut mendengar
penjelasan Tan Sri Khalil. Pernah juga dia mendengar cerita mengenai gadis yang
menyelamatkan suaminya dari dilanggar kereta. Selama beberapa hari suaminya
bercerita akan kebaikan gadis itu. Suaminya juga pernah mencari gadis tersebut.
Dan rupa-rupanya gadis itu bekerja di bawah syarikat suaminya selama ini.
“Ya ALLAH, ya ke bang. Mar nak jumpa dengan dialah, nak
ucapkan terima kasih kerana selamatkan suami Mar dari dilanggar kereta,” teruja
Puan Sri Marissa menuturkannya. Sungguh dia ingin berkenalan dengan gadis itu.
“Insya-ALLAH, nanti abang kenalkan Liyana dengan Mar.
Sudahlah, hari pun dah lewat ni. Jom kita masuk. Awak tu tak boleh berembum
lama sangat. Badan awak tu bukannya sihat sangat,” bebel Tan Sri Khalil seraya
bangun dari duduknya.
Puan Sri Marissa turut sama bangun. Dia membuntuti Tan Sri
Khalil masuk ke dalam rumah. Hatinya tidak sabar untuk berjumpa dengan gadis
itu. Terasa ingin mengenali gadis itu. Mungkin ada yang menarik tentang gadis
itu membuatkan Tan Sri Khalil ingin bermenantukan gadis itu. Dan itu semua akan
dihuraikan tidak lama lagi.
terbaik , tak sabar nak tgu bab seterusnyaa . ;) ~ bunga rose ~
BalasPadamhihi.. blm terbaik lg lah dik.. baru permulaan bab dlm GB.. dh msk tgh nti, baru blh menilainya.. :)
Padamhahaha,,bagus tan sri kahlil nk jodohkn lia dgn amirul..heheehe
BalasPadamakak sambung lagi iye...x sabar nk tahu slnjutnye ttg dyorg..
hehe.. wokey2, Insya-ALLAH akn disambung tdk lama lg.. :)
Padamsedang mmngikuti cerita ini dan still blum boleh komen apa2 dulu.... x apa kaaannn... but sgt menarik pd akak...
BalasPadamxpe kak Hanim, blh aje.. apa2 pn thank you coz mengikuti GB.. ;)
Padammenarik n tertarik... GB berjaya menceriakan hari2 sue..:-)hihihi
BalasPadamhehe.. amboi2 Sue.. teringat2 ke part romantik Amirul & Liyana.. susah dh 2.. huhu.. :D
Padamherm, menarik...nak tau apa jadi ngan diorg lps ni...continue to chapter 6 plak... :)
BalasPadamhehe.. silakan kak iboo.. amat dialu2kan.. :D
Padam