BAB 2
Liyana segera membawa diri keluar dari kereta Fazura. Dia
mengatur langkah menuju ke tempat di mana dia meninggalkan keretanya semalam.
Risau di hati meninggalkan keretanya di situ. Jika bukan disebabkan mamat
hingusan itu, tidaklah dia dimarahi oleh ayahnya. Hampir pekak telinga akibat
ditengking dan dimarahi oleh Dato’ Zulkifli gara-gara pulang lewat ke rumah dan
meninggalkan keretanya itu. Sungguh sedih hatinya mengingatkan akan kata-kata Dato’
Zulkifli pada malam tadi.
“Mana kereta?” tanya Dato’ Zulkifli sebaik sahaja Liyana
melangkah masuk ke dalam rumah. Dikerling jam di dinding. Masa sudah menganjak
ke angka dua belas tengah malam. Baru kini anak gadisnya pulang ke rumah.
Sengaja mencari nahas anaknya itu.
“Erk… kereta?” ulang Liyana sedikit gugup. Dia menundukkan
muka memandang lantai sambil menguis-nguis kaki. Aduh!! Matilah aku macam ni.
Alasan apa aku nak bagi ni, ngomel Liyana sendirian.
“Ayah tanya, mana kereta?” ulang Dato’ Zulkifli sedikit
meninggi. Kesabarannya tidak tertahan lagi. Panas hatinya melihat Liyana yang
masih tunduk membisu di hadapannya itu.
“Kereta…. Lia tinggalkan dekat parking berhampiran pejabat ayah. Tadi ada orang blocking kereta Lia,” jujur Liyana.
Tidak berani melihat muka ayahnya yang sedang tegang.
“Apa?” sedikit menjerit. “Kamu ingat kereta tu dibeli dengan
daun ke? Suka hati kamu aje nak tinggalkannya,” marah Dato’ Zulkifli. Dadanya
sudah berombak kencang.
“Lia minta maaf.” Hanya itu yang mampu diucapkan oleh
Liyana.
“Kamu ni memang tak sedar diuntung. Tahu nak mengabiskan
masa dengan perkara yang tak berfaedah aje. Cuba guna otak kamu tu sikit Lia.
Kalau bukan sebab ibu kamu yang paksa ayah belikan kereta untuk kamu, sampai ke
hari nilah kamu naik bas atau teksi. Tak tahu nak menghargai dan bersyukur
langsung!” marah Dato’ Zulkifli lagi. Matanya tajam ke muka Liyana. Jika
diikutkan hati yang panas, mahu sahaja dia menampar Liyana.
“Apa yang bising-bising ni bang?” tegur Datin Suraya
mematikan perbualan mereka. Dia menghampiri Dato’ Zulkifli dan Liyana.
“Awak tengoklah anak awak ni. Suka hati dia aje nak
tinggalkan kereta dia merata-rata. Dia ingat boleh dapat free kereta tu,” kata Dato’ Zulkifli sinis.
“Lia… kenapa Lia tinggalkan kereta Lia? Kan ayah dah marah
tu,” tegur Datin Suraya lembut.
Liyana mengangkat muka. Matanya tepat ke muka Datin Suraya.
Ternyata ibunya turut sama menyalahkannya tanpa mendengar penjelasan darinya
terlebih dahulu. Sudahlah Dato’ Zulkifli mengungkit tentang kereta tersebut, kini
Datin Suraya menegurnya pula. Sungguh hatinya sedih dengan pertanyaan dari
Datin Suraya itu. Difikirkan Datin Suraya akan membelanya, namun dia hampa.
Hanya Adif yang selalu membelanya jika dia dimarahi oleh Dato’ Zulkifli.
Tanpa membalas kata-kata ayah dan ibunya, Liyana segera
membawa tapak kaki menuju ke bilik. Jika berlama di situ, entah apa lagi yang
akan dihamburkan oleh Dato’ Zulkifli. Hatinya benar-benar tergores dengan apa
yang berlaku. Sudahlah sakit hatinya pada mamat hingusan itu belum pulih,
ditambah pula dengan sakit hatinya terhadap Dato’ Zulkifli. Walau bagaimana
pun, dia terpaksa menelannya juga walaupun ianya begitu perit untuk ditelan.
“Ha… tengoklah tu. Baru tegur sikit dah merajuk. Tak tahu
nak berterima kasih betul. Selalu menyusahkan orang. Cuba kamu tengok abang dan
kakak kamu tu. Ada tak mereka susahkan ayah?” bebel Dato’ Zulkifli keras.
Terhenti langkah Liyana seketika. Dia memandang ayah dan
ibunya silih berganti. Selama ini Dato’ Zulkifli selalu membandingkan dirinya dengan
Adif dan Laila. Liyana sedar siapa dirinya. Dia bukanlah sehebat Adif dan
Laila. Adif melanjutkan pengajian di luar negara dalam bidang Kejuruteraan.
Begitu juga dengan Laila, turut sama mengikuti jejak langkah Adif melanjutkan
pelajaran di luar negara dalam bidang Perniagaan. Hanya dia sahaja yang
melanjutkan pelajaran di universiti tempatan dalam bidang yang diminatinya, Seni
Reka Fesyen. Namun ditentang keras oleh Dato’ Zulkifli tatkala mendapat tahu akan
keinginannya itu. Dalam keterpaksaan, dia melanjutkan pengajian dalam bidang Kejuruteraan
sama seperti Adif. Dan disebabkan itulah sehingga sekarang dia tidak berminat
untuk bekerja dalam bidang tersebut.
“Sudahlah bang. Jangan dimarahkan Lia lagi. Esok dia
ambillah keretanya tu,” pujuk Datin Suraya lembut sambil mengelus tangan Dato’
Zulkifli.
“Itulah awak, asyik nak membela dia aje. Naik minyaklah
budak tu. Kepala kita pun dah nak dipijaknya,” rungut Dato’ Zulkifli seraya
bangun meninggalkan Datin Suraya.
Hatinya masih lagi panas. Panas dengan sikap acuh tak acuh
Liyana. Sampai bila Liyana akan berkeadaan begitu. Dia sendiri tiada
jawapannya.
Datin Suraya sekadar menggeleng. Ekor matanya menghantar
langkah Dato’ Zulkifli menuju ke anak tangga. Jauh di sudut hati, dia merasa
kesian dengan nasib anak bongsunya itu. Sampai bila suaminya akan bersikap
dingin terhadap Liyana? Bukankah Liyana anaknya juga? Kenapa dibeza-bezakan
Liyana dengan abang dan kakaknya? Huh! Satu keluhan terlepas dari bibir Datin
Suraya. Seminit kemudian, dia mengangkat kaki menuju ke bilik di tingkat atas.
Jika difikirkan, buat sakit kepalanya sahaja. Lantaran itu, dia hanya mampu
membiarkannya sahaja jika ianya masih boleh dikawal.
“Wei… apa jadi dengan kereta kau ni Lia?” tegur Fazura
sedikit terkejut.
Liyana tersentak dari lamunan. Matanya dihalakan ke arah
kereta.
“Ya ALLAH! Apa dah jadi ni Zura?” jerit kecil Liyana. “Matilah
aku kalau ayah aku tahu nanti ni,” risau Liyana pula.
“Kau buat apa ni Lia sampai mamat tu marah sangat kat kau,”
soal Fazura ingin tahu. Berkerut-kerut dahinya memandang Liyana.
Liyana memerhatikan keadaan keretanya. Sungguh tidak
disangka dengan apa yang terjadi. Tergamak mamat hingusan itu memancitkan tayar
keretanya. Bukan itu sahaja, kesan torehan juga terdapat di badan keretanya itu.
Liyana mengeluh berat. Hatinya resah dan gusar. Bagaimana
untuk berhadapan dengan Dato’ Zulkifli jika Dato’ Zulkifli mendapat tahu akan
perkara ini? Sudah pastilah dia akan ditengking dan dimarahi lagi, mungkin
lebih dahsyat daripada itu.
“So… macam mana
ni? Kau nak hantar bengkel tak kereta kau ni?” tanya Fazura khuatir. Simpatinya
tumpah buat Liyana.
“Entahlah Zura. Aku pun tak tahu. Aku mana ada duit nak repair semua ni,” jawab Liyana berserta
keluhan berat. Dia menyandarkan badan ke kereta dan berpeluk tubuh. Memikirkan
apa yang perlu dibuat tentang keretanya itu.
“Macam nilah. Kau guna duit aku dulu. Bila kau dah ada duit,
kau bayarlah pada aku balik,” usul Fazura ikhlas. Berharap Liyana bersetuju
dengan usulnya itu.
“Zura… bukan aku tak nak. Aku seganlah. Malu pun ada. Tak
pelah, nanti aku tanyakan abang aku dulu. Kalau dia bagi green light, aku pinjam aje kat dia terus,” tolak Liyana lembut.
Tidak mahu menyusahkan Fazura. Biarlah dia menyelesaikannya memandangkan dia sendiri
yang mencari pasal dengan mamat hingusan itu.
“Okey… kalau macam tu, aku doakan kau berjaya pujuk rayu
abang kau tu. Tapi, kalau dia tak bagi, jangan segan-segan dan malu minta kat
aku. Aku sedia membantunya,” balas Fazura sambil menyentuh lembut bahu Liyana.
“Terima kasih Zura. Kaulah kawan aku dunia dan akhirat. Aku
sayangkan kau lebih dari diri aku sendiri,” ujar Liyana perlahan. Sungguh dia
berbangga mempunyai seorang kawan seperti Fazura. Hanya Fazura tempatnya
meluahkan perasaan selama ini.
“Ala… time ni ajelah
kau sayang aku. Esok lusa dah tak sayang dah. Hentam aku lagi adalah,” sindir
Fazura sambil menjeling manja ke arah Liyana.
Liyana sekadar tersengih. Ada benarnya kata-kata Fazura. Jika
bukan kerana Fazura yang menyokongnya selama ini, tidak mungkin dia akan sekuat
itu dalam menghadapi konflik keluarga dan masalahnya sendiri.
“Sorry sayang. I
dah janji dengan papa I nak makan tengahari bersama. Lain kali ya, sayang,”
tolak Amirul lembut. Serba salah menyerbu dirinya ketika ini.
“Ala… you ni susah sangatlah nak ajak keluar. Bila I free, you pulak busy. Bila I busy, you
pulak free. Habis tu bila lagi
masanya nak jumpa dengan you ni. I rindu sangat kat you, Rul,” rengek Shasha
manja.
Amirul mengeluh berat. Rengekan Shasha menyentak hatinya.
Terasa mahu sahaja berjumpa dengan Shasha pada masa itu juga. Dia juga amat
merindui gadis itu. Tetapi, apakan daya. Dia sudah pun berjanji dengan papanya
untuk makan tengahari bersama.
“Apa kata kita jumpa malam nanti. I janji malam nanti I akan
habiskan masa I untuk you,” cadang Amirul sekadar mencuba dan berharap Shasha
bersetuju dengan cadangannya itu.
“Okey… janji. Kalau you mungkiri janji you, I tak nak jumpa
dengan you sampai bila-bila, baru padan dengan muka you,” ugut Shasha dan
tertawa kecil.
“Okey… okey… I janji. Kita jumpa di tempat biasa ya sayang,”
balas Amirul turut sama tertawa kecil. Geli hati mendengar ugutan Shasha. Jauh
di sudut hati, dia takut dengan ugutan Shasha itu.
Sebelum ini pernah Shasha mengugutnya sebegitu dan Shasha
benar-benar mengotakan ugutan itu. Hampir seminggu dia memujuk Shasha. Diumpan juga
dengan hadiah. Namun hati Shasha sekeras batu kelikir. Tidak mudah terpujuk. Tetapi,
akhirnya Shasha sendiri yang mengaku kalah gara-gara dia ternampak Amirul
berjalan bersama seorang perempuan. Rasa tergugat dengan kedudukannya di hati
Amirul, maka dari itu dia terpaksa menebalkan muka memujuk Amirul pula. Amirul
tersenyum mengingati peristiwa itu.
Amirul meletakkan telefon bimbit di atas meja setelah
mematikan talian. Rindunya pada Shasha begitu mencengkam diri. Hampir seminggu
dia tidak berjumpa dengan Shasha. Kesibukan di pejabat membataskan dirinya
untuk berjumpa mahupun bersuka ria di luar. Terasa bukan dirinya sebelum ini.
Semenjak dia menguruskan syarikat Tan Sri Khalil, rutin sehariannya hanyalah di
pejabat. Jika bukan Amirul, siapa lagi yang akan menguruskan syarikat
turun-temuran papanya itu.
“Encik Amirul!” panggil Hanim merangkap secretary di hujung talian. Lamunan yang panjang berterbangan
dengan sendirinya.
“Yes Hanim!”
“Tan Sri tunggu Encik Amirul di biliknya,”
“Baiklah, dalam lima minit lagi saya sampai,” ujar Amirul
dan mematikan talian.
“Perkara apa yang papa nak bincangkan ya?” soalnya
sendirian.
Pelik dirasakan apabila Tan Sri Khalil mengajaknya makan
tengahari bersama. Belum pernah Tan Sri Khalil berbuat begitu. Jika ada pun
sekadar menemani papanya berjumpa dengan client.
Amirul melangkah jalan menuju ke bilik pejabat Tan Sri
Khalil. Setelah menerima arahan masuk, segera dia masuk ke dalam. Dilihatnya Tan
Sri Khalil sedang meneliti beberapa fail di atas meja. Tanpa menunggu, Amirul
melabuhkan duduk di atas kerusi berhadapan dengan Tan Sri Khalil.
“Papa nak jumpa Rul?” tanya Amirul inginkan kepastian.
Tan Sri Khalil menutup fail. Dia menanggalkan cermin mata
dan diletakkan di atas meja. Mukanya diraup sekali dan menghela nafas pendek.
“Kita pergi makan dulu!” ajak Tan Sri Khalil seraya bangun.
Amirul mengangguk. Bingkas dia bangun dan membuntuti Tan Sri
Khalil keluar dari bilik itu.
Sepanjang perjalanan ke restoran, hati Amirul asyik bertanya
sendirian akan tujuan Tan Sri Khalil mengajaknya makan tengahari bersama. Mesti
ada perkara penting yang ingin disampaikan oleh Tan Sri Khalil itu. Jika tidak,
mana mungkin Tan Sri Khalil mengajaknya makan bersama.
Setibanya di restoran, Tan Sri Khalil segera memesan makanan
dan minuman buat dirinya dan Amirul. Sementara menunggu, Tan Sri Khalil
meninjau keadaan di restoran itu. Sungguh nyaman dan selesa serta tenang berada
di restoran itu. Keunikan yang dipaparkan oleh pemilik restoran yang berkonsepkan
Arabian itu begitu menarik perhatian untuk
memandang serta menghayatinya.
Amirul sekadar memerhati tingkah Tan Sri Khalil. Hatinya
tidak henti-henti berdegup kencang. Menanti butir bicara yang akan diperkatakan
oleh Tan Sri Khalil. Perkara apa yang papa nak bincangkan ni? Macam serius aje
aku tengoknya, bisik hati Amirul.
Setelah hampir lima belas minit menunggu, pesanan yang
diminta telah pun dihantar oleh pelayan. Tanpa membuang masa, Amirul segera
menyuakan sesudu nasi putih berserta sedikit ayam paprik ke dalam mulut. Terasa
perutnya begitu lapar waktu itu. Persoalan yang bermain-main di fikiran sebentar
tadi, hilang begitu sahaja selepas perutnya
di isi dengan makanan.
“Papa ada perkara penting nak bincangkan dengan Rul,” suara
Tan Sri Khalil selepas lama mereka mendiamkan diri menghayati makanan
masing-masing.
“Perkara apa papa?” tanya Amirul ingin tahu. Dia meletakkan
sudu dan garpu di tepi pinggan. Memberi tumpuan sepenuhnya kepada Tan Sri
Khalil.
“Papa dah fikir masak-masak. Papa pun dah bincangkan perkara
ni dengan mama kamu dan alhamdulillah mama kamu bersetuju dengan cadangan papa
ni,” jelas Tan Sri Khalil masih berteka-teki.
“Serius aje bunyinya pa. Takut pulak Rul rasakannya,” gurau
Amirul berserta ketawa kecil.
Tan Sri Khalil tersenyum nipis. Dia memandang Amirul dengan
kasih yang mendalam. Segala kasih dan sayang terhadap anak tunggalnya itu
melebihi dari nyawanya sendiri.
“Papa rasa dah tiba masanya Rul berumah tangga. Umur Rul pun
dah masuk dua puluh enam tahun. Dah layak untuk mendirikan rumah tangga,”
beritahu Tan Sri Khalil. Matanya tertancap ke muka Amirul. Menanti akan jawapan
dari anaknya itu.
Terkejut Amirul mendengarnya. Hampir tersedak air yang
diminumnya sebentar tadi. Lantas dicapai tisu dari dalam kotak dan mengelap
mulutnya.
“Papa… Rul muda lagi la. Lagipun Rul belum bersedia lagi
untuk mendirikan rumah tangga,” balas Amirul perlahan.
“Muda Rul kata. Umur macam Rul ni dah ada dua tiga orang
anak, tahu tak?” tukas Tan Sri Khalil sedikit keras. Dia menggelengkan kepala.
Amirul sekadar tersengih. Tidak dinafikan akan kata-kata Tan
Sri Khalil itu. Umur sepertinya sudah layak untuk berumah tangga. Malah
kebanyakkan dari rakan-rakannya sudah pun mendirikan rumah tangga dan beranak
pinak. Cuma dia sahaja yang belum bersedia untuk ke arah itu walaupun dia sudah
punya calon yang sesuai. Shasha, terdetik nama itu dari dalam hatinya.
“Papa nak jodohkan Rul dengan anak kawan baik papa. Papa nak
Rul kenal dulu dengan anak kawan papa tu,” cadang Tan Sri Khalil kepada tujuan
yang sebenar.
Hampir terbeliak mata Amirul mendengarnya. Ini sudah kes
berat, hatinya berkata. Dengan siapa pulak papa aku nak jodohkan ni, bicara
hatinya lagi.
“Papa… bukan ke dulu papa serahkan seratus peratus pada Rul
dalam soal jodoh. Kenapa sekarang papa nak jodohkan Rul dengan orang yang Rul
tak kenal dan cinta?” Amirul mengingatkan Tan Sri Khalil dengan apa yang telah
Tan Sri Khalil janjikan dulu.
Tan Sri Khalil melepaskan keluhan ringan. Tidak dinafikan
dengan apa yang diperkatakan oleh Amirul. Memang dulu dia pernah berjanji
kepada Amirul jika melibatkan soal jodoh. Amirul berhak seratus peratus dalam
memilih sesiapa sahaja yang akan menjadi suri di dalam hatinya.
“Papa tahu Rul. Papa ingat janji papa tu. Tapi, kali ini
papa minta pengecualian dari Rul,” pinta Tan Sri Khalil. “Rul kenal dulu dengan
anak kawan baik papa tu. Kalau Rul tak berkenan, papa setuju dengan pilihan
Rul. Tapi, kalau Rul berkenan dengan anak kawan papa tu, papa tak
menghalangnya,” cadang Tan Sri Khalil sedikit merayu. Berharap agar Amirul
mendengar kata-katanya itu.
Amirul melapaskan keluhan berat. Berat untuk membuat
keputusan. Jika ditolak, seperti menghampakan permintaan Tan Sri Khalil. Dan
jika diterima, bagaimana pula dengan hatinya terhadap Shasha? Buntu dia memikirkannya.
“Baiklah papa. Rul ikut kata papa,” balas Amirul lemah.
Ikutkan ajelah, desis hatinya.
Tersenyum lebar Tan Sri Khalil mendengarnya. Lega hatinya
kerana Amirul bersetuju dengan cadangannya itu. Dia berharap agar Amirul dapat
menunaikan hajatnya selama ini.
“Terima kasih Rul,” ucap Tan Sri Khalil berserta senyuman di
bibir.
Amirul sekadar mengangguk.
“Please la bang.
Lia betul-betul minta tolong dengan abang ni,” pujuk Liyana sambil memegang
lengan Adif.
Adif mendengus kasar. Liyana tidak pernah nak berubah. Suka
menyusahkan orang lain. Tidak tahukah dia akan kebenaran itu? Sampai bila
Liyana perlu bersikap sebegitu?
“Lia… bukannya abang tak nak tolong Lia. Tapi, Lia tahu tak
apa yang Lia dah buat. Lia dah susahkan abang. Kalau ayah tahu macam mana? Tak
ke mengamuk dibuatnya orang tua tu nanti. Tak pasal-pasal abang juga yang kena,”
geram Adif.
“Yalah… Lia ni suka susahkan orang lain. Kalau abang tak nak
tolong Lia, tak mengapalah. Tak perlulah abang nak marahkan Lia. Panas telinga
Lia mendengarnya. Malam tadi dah kena marah dengan ayah, hari ini… abang pulak,”
rengus Liyana seraya bangun untuk beredar dari situ. Sakit hatinya mendengar
kata-kata yang dikeluarkan dari mulut Adif. Ternyata dia banyak menyusahkan
orang daripada menyenangkan.
Liyana melangkah jalan keluar dari restoran. Panggilan
abangnya tidak dihiraukan langsung. Jika dia tahu begitu jawapannya, sudah
pasti dia akan bersetuju dengan usul Fazura tadi. Tidaklah dia perlu mendengar
kata-kata bisa dari mulut Adif itu. Difikirkan Adif akan membantu dan
membelanya. Ternyata dia silap menilai. Adif tidak ubah seperti ibunya. Bagai
lalang ditiup angin. Ke kiri dan ke kanan tanpa ada pendirian tetap.
Liyana mengeluh berat. Sudah terlalu jauh dia meninggalkan
restoran itu. Bagaimana untuk menyelesaikan masalah yang sedang dihadapinya
itu? Jika dia punya wang, tidak perlulah dia bersusah hati memikirkan jalan
penyelesaian. Buntu. Buntu memikirkannya. Terasa sesak nafas dibuatnya. Terasa
dirinya bersendirian. Terasa dirinya tidak berguna dan tidak diperlukan oleh
keluarganya. Huh!! Beginikah nasib yang harus aku terima, keluh Liyana. Lantas
dia mengeluarkan telefon bimbit dari dalam poket seluar jean lusuhnya. Seluar kesayangannya walaupun seluar itu semakin
lusuh. Bagi Liyana, dia lebih selesa berpakaian begitu. Tidak menonjol dan
tidak mendatangkan nafsu kepada lelaki yang melihatnya.
Liyana mendail nombor telefon Fazura. Sementara menanti
panggilan dijawab, matanya melilau melihat keadaan kompleks membeli-belah itu.
Orang ramai berpusu-pusu menuju ke restoran berdekatan untuk menjamu selera.
Waktu-waktu begini sudah tentulah semua restoran akan dipenuhi pelanggan.
Kalaulah aku buka restoran, tentu kaya dah, omel Liyana sendirian.
“Beb!” jerit kecil
Liyana tatkala panggilannya bersahut.
“Ha… apa hal?”
“Beb… usul kau
pagi tadi tu… masih on lagi ke tak?”
“Usul? Usul yang mana?” ulang Fazura tidak mengerti.
“Ala… pasal kereta aku tu. Abang aku tak nak tolong akulah beb. Kau boleh tak tolong aku?” balas
Liyana sebak. Sebak mengingati kata-kata Adif Haikal.
“Ha… tulah, jual mahal lagi dengan aku,” sindir Fazura.
Sengaja membuatkan Liyana rasa bersalah.
“Yalah… yalah.. aku salah. Sorry! So, macam mana?”
Liyana akui akan kesilapannya itu.
“No problem! Yang
pasti kau bayar balik. Tak ada kes halal-halal ya,” balas Fazura dan tertawa
kecil. Geli hati dengan kata-katanya sendiri.
“Okey… kira adik-beradik punya hargalah ya,” usik Liyana
turut sama tertawa.
“Banyaklah kau punya adik-beradik,” geram Fazura sengaja
mengusik Liyana.
“Kau ni Zura, itu pun nak berkira ke?”
“Ini kes lain, mestilah berkira,”
“Yalah!” balas Liyana berserta senyuman di bibir. Terasa
lega dan lapang dadanya di atas kesudian Fazura menolongnya. Tanpa Fazura,
susah untuknya menyelesaikan masalah itu.
“Mak!! My phone!!”
jerit Liyana tatkala telefon bimbitnya terlepas dari tangan.
Lantas dia menerpa ke arah telefon bimbitnya yang sudah
menampakkan isi alam itu.
“My phone!”
bisiknya sayu.
Dicantum semula telefon bimbitnya itu dan cuba
mengaktifkannya semula. Hampa. Begitulah yang dirasakannya. Telefon bimbitnya
tidak boleh diaktifkan semula.
“Sorry!! Tak
sengaja,” ujar Amirul serba salah.
Liyana mengeluh berat. Lepas satu… satu masalah yang menimpa
dirinya.
“Tak mengapalah, bukan salah awak pun salah saya,” balas
Liyana tanpa sedikit pun menoleh ke arah lelaki yang telah melanggarnya
sebentar tadi. Hatinya sedih melihatkan riwayat telefon bimbitnya itu.
Amirul menggaru kepalanya yang tidak gatal. Serba salah
dibuatnya melihatkan wajah hampa gadis yang dilanggarnya sebentar tadi. Jika
bukan disebabkan kecuaiannya, tidak mungkin telefon bimbit gadis itu mengalami
kerosakan. Sikap terburu-burunya tidak pernah berubah. Dari dulu sehinggalah
sekarang. Jika hatinya panas, dia akan merempuh orang sesuka hati tanpa
mempedulikan perasaan orang yang dirempuhnya itu.
“Alahai telefon…. tamat sudah riwayat kau. Kau nak aku tanam
kau kat mana? Kat kedai atau tong sampah?” omel Liyana sendirian sambil
melabuhkan duduk di atas kerusi yang tersedia di sepanjang koridor kompleks
membeli-belah itu.
“Cik… saya minta maaf. Sebab saya telefon cik rosak,” ujar
Amirul kesal. Terasa simpati melihat gadis itu yang sedang mengelus lembut
telefon bimbit tersebut.
Liyana mengerutkan dahi. Macam pernah dengar aje suara
sengau tu. Tapi ni mana ya? Bisik hati Liyana. Lantas dia mengangkat muka.
Berderau darahnya melihat gerangan lelaki yang berada di hadapannya itu. Alamak!!
Mampus aku!! Mamat hingus ni lah. Macam mana ni? Bicara Liyana sendirian.
“Kau!!” jerit kecil Amirul terkejut.
“Erk… hai! Apa khabar? Lama tak jumpa?” balas Liyana sambil
tersengih. Kepalanya yang tidak gatal digaru beberapa kali.
“Apa khabar kau tanya? Lama tak jumpa? Sejak bila pulak kita
berkawan ni?” ulang Amirul dalam nada sindiran.
“Sejak semalam. Okey… bye,”
ujar Liyana seraya mengangkat kaki meninggalkan Amirul. Baik aku selamatkan
diri aku dulu sebelum dia hentam aku, bisik Liyana.
“Hoi!! Aku belum
habis cakap lagilah!” jerit Amirul seraya mengejar Liyana dari belakang.
Bertambah laju Liyana berlari tatkala terdengar suara Amirul
memanggilnya. Berlari sekuat hatinya agar dapat melepaskan diri dari Amirul.
Dilihatnya Amirul sedang mengejarnya dari belakang. Macam dalam drama Gerak
Khas lagaknya. Ditambah dengan wajah tegang Amirul membuatkan dirinya kecut
perut. Risau di hati hanya tuhan sahaja yang tahu. Hisy… gila apa mamat hingus
ni. Main kejar-kejar pulak ngan aku. Macam main police and thieves aje dah ni. Tapi seronok jugak. Dia belum kenal
siapa aku lagi. Aku ni juara pecut 100m kat sekolah dulu. Sempat lagi Liyana
bermonolog dalam keadaan segenting itu.
“Mak!!” jerit Liyana dan jatuh terjelepok ke lantai. “Aduh!!
Sakitnya!!” rengek Liyana sambil menggosok-gosok punggungnya yang terasa sakit
dan kebas.
“Bu… ngak ada apa-apa. Maaf sih buat ibu jatuh,” ujar
seseorang dari arah belakang. Jelas riak ketakutan di wajah perempuan itu.
Liyana menahan kesakitan. Dia sekadar menggeleng sebagai
jawapan bagi pertanyaan perempuan Indonesia
itu. Mungkin cleaner, fikir
Liyana.
“Hahahaha…. padan muka kau. Daulat lagi dengan aku. Kan dah
cium lantai,” gelak Amirul tidak tertahan. Geli hati melihat Liyana jatuh
tersemban mencium lantai di hadapannya tadi.
Liyana menjeling geram. Bingkas dia bangun dari duduknya.
Punggung yang masih terasa sakit, dibiarkan sahaja. Hatinya panas melihat Amirul
mentertawakannya dengan galak. Rasa nak sepak aje mamat hingus di hadapannya
itu.
“Bisinglah!!” sergah Liyana geram. “Nak kena sepak betul la
mamat hingus ni!!” marah Liyana tidak tertahan lagi.
“Tulah… aku belum habis cakap lagi kau dah lari. Padan
dengan muka kau. Tak pasal-pasal cium lantai,” ejek Amirul berserta ketawanya.
Mencerlung mata Liyana memandang Amirul. Hisy… suka sangat
ya tengok aku jatuh. Tak pe, kau tunggu ajelah kejap lagi, gerutu Liyana sambil
mengepal penumbuk. Jika diikutkan, mahu saja dia menumbuk lelaki yang sedang
ketawa itu.
“Ha… gelak… gelak. Suka sangat kau ya gelakkan aku. Nah
ambik kau!” geram Liyana berserta tendangan sulungnya. Tendangan yang mengenai
lutut lelaki itu.
Tanpa membuang masa, Liyana berlari sekuat hati meninggalkan
Amirul di situ. Puas hatinya setelah mengenakan Amirul. Ha, baru puas hati aku.
Padan muka kau. Siapa suruh kau gelakkan aku. Ambik kau dengan tendangan sulung
aku tu, riang di hati Liyana berserta senyuman penuh makna di bibir. Senyuman
puas.
Setelah memastikan dirinya selamat, Liyana memberhentikan
larian. Tercungap-cungap dia akibat lariannya tadi. Belum pernah dia berlari selaju
itu sebelum ini. Jika ada pun sewaktu dia melibatkan diri dalam pertandingan
larian 100m di sekolah dahulu. Nasib baik lepas. Kalau tak, alamatnya kenalah
aku tadi. Huh! Penat betul. Berlari aje kerja aku hari ni, ngomel Liyana pula
sambil mengelap peluh yang membasahi dahi menggunakan lengan bajunya.
Amirul mengerang kesakitan. Terjengket-jengket dia menahan
kesakitan di lutut. Mak oi!! Kaki orang ke kaki batu ni. Sakitnya!! Geram
Amirul sendirian. Kemudian, dia melabuhkan duduk di salah sebuah bangku yang
terdapat di situ. Diusap lembut lututnya yang sakit itu. Hatinya membengkak
dengan tingkah perempuan itu. Semakin berdendam dia terhadap perempuan itu.
“Lia…” panggil Adif lembut sambil menapak masuk ke dalam
bilik Liyana.
“Hmm…” balas Liyana tanpa menoleh sedikit pun kepada
abangnya.
Adif melabuhkan duduk di birai katil. Diperhatikan Liyana
yang sedang menatap majalah kegemarannya itu. Kegelisahan jelas di riak
wajahnya. Bagaimana untuk menuturkan kata-kata pada Liyana setelah apa yang
berlaku tengahari tadi?
“Kalau abang tak ada perkara nak cakapkan pada Lia, baik
abang keluar dari bilik Lia ni,” beritahu Liyana tegas. Bukan bermaksud untuk
menghalau. Tetapi disebabkan hatinya yang masih lagi terasa membuatkan dia
sedikit kurang ajar terhadap abangnya.
“Lia… abang minta maaf kalau kata-kata abang siang tadi
buatkan Lia terasa hati atau sebaliknya. Bukan niat abang nak sakitkan hati
Lia,” jelas Adif kesal.
“Sudahlah bang. Lia tak pernah pun amik port tentang apa yang abang katakan tadi,” balas Liyana
perlahan. Matanya masih lagi tertancap kepada majalah yang dibacanya itu.
Adif mengeluh ringan. Walaupun Liyana berkata begitu, tetapi
dia tahu, Liyana terasa dengan apa yang diperkatakannya siang tadi.
“Lia… abang tahu Lia marahkan abang. Abang benar-benar minta
maaf dengan Lia,” ucap Adif lagi. Matanya jatuh ke muka Liyana.
“Suka hati abanglah. Lia malas nak fikirkannya lagi. Buat
semak otak Lia aje,” balas Liyana tegas.
Adif merengus kasar. Sikap acuh tak acuh Liyana membuatkan
hatinya menjadi panas dengan tiba-tiba. Kenapa Liyana masih bersikap
kebudak-budakkan sedangkan umurnya sudah menjangkau dua puluh tiga tahun.
“Lia… abangkan tengah cakap dengan Lia ni. Cuba Lia bagi
perhatian pada abang sekejap!” geram Adif sambil menarik majalah yang dibaca
oleh Liyana.
“Abang ni kenapa? Apa masalah abang ni?” marah Liyana sambil
menentang anak mata Adif. Sakit hatinya apabila Adif memperlakukannya seperti
itu. Sudahlah sakit hatinya siang tadi masih belum terubat, ditambah pula sakit
hatinya dengan tingkah Adif.
Belum sempat Adif membalas kata-kata Liyana, kedengaran
suara Laila menjerit memanggil nama Liyana. Jelas lagi nyaring jeritan Laila,
seolah-olah sedang menahan kemarahan yang amat sangat. Dia memandang Liyana
yang beriak tenang dan selamba. Seperti tidak ada apa yang menggusarkan hati
adiknya itu. Sejak dulu lagi Liyana sentiasa bersikap tenang dalam menghadapi
apa jua konflik dan masalah. Kadang-kadang dia berbangga dengan sikap Liyana
itu.
Liyana bingkas bangun dan menapak keluar dari bilik untuk
turun ke tingkat bawah. Sempat dia menjeling kepada Adif sebagai tanda marah
dan sakit hati terhadap tingkah Adif. Adif sekadar melihat. Dia membuntuti Liyana
turut sama turun ke tingkat bawah untuk melihat.
“Kenapa Kak Laila?” tanya Liyana sebaik sahaja Liyana berada
di ruang tamu. Kelihatan Dato’ Zulkifli dan Datin Suraya turut sama berada di
situ. Dadanya berdegup dengan kencang tatkala melihat tenungan tajam Dato’ Zulkifli.
Pangggg!!!
“Laila!!” serentak Adif dan Datin Suraya bersuara.
“Kenapa dengan kamu ni Laila? Yang kamu tampar Lia kenapa?”
soal Adif tidak berpuas hati. Dia menarik Liyana menjauhi Laila.
“Abang tanyalah dia apa yang dia dah buat hari ini,” balas
Laila sambil menjeling tajam ke arah Liyana dan Adif.
“Aa… aapa yang Lia dah buat?” tanya Liyana terketar-ketar.
“Laila… cuba cerita perkara yang sebenarnya. Apa yang Lia
dah buat sampai kamu menamparnya?” tanya Datin Suraya inginkan kepastian.
“Laila malu ibu, ayah. Malu dengan kawan-kawan Laila,” mulai
Laila. “Kawan-kawan Laila nampak Lia berkejar-kejaran dengan seorang lelaki di
kompleks membeli-belah siang tadi,” sambung Laila. “Mereka kata Lia sengaja
cari pasal dengan lelaki tu. Yang paling mereka tak sangka, Lia berani-beraninya
tendang kaki lelaki tu. Ayah, ibu… Laila malu dengan kawan-kawan Laila. Mereka
asyik perlikan Laila kat pejabat tadi. Panas telinga Laila mendengarnya,”
tambah Laila dengan riak muka yang sedih. Mengharapkan simpati daripada Dato’ Zulkifli
dan Datin Suraya.
“Lia… betul ke apa yang kakak kamu katakan ni?” soal Dato’
Zulkifli keras. Panas hatinya mendengar apa yang diceritakan oleh Laila
sebentar tadi. Matanya tajam ke muka Liyana.
Liyana menundukkan muka. Tidak berani bertentang mata dengan
Dato’ Zulkifli. Apa yang diperkatakan oleh Laila benar belaka. Sungguh tidak
menyangka peristiwa siang tadi mendapat perhatian orang ramai termasuk
kawan-kawan Laila. Apa aku nak jawab ni? keluh Liyana sendirian.
“Lia… ayah tanya ni? Betul ke apa yang kakak kamu katakan
ni?” tengking Dato’ Zulkifli meninggi. Dadanya sudah berombak menahan amarah.
Terhenjut badan Liyana akibat tengkingan Dato’ Zulkifli itu.
Menggigil badannya dirasakan. Dia mengangkat muka dan menentang pandangan Dato’
Zulkifli.
“Lia… jawablah nak. Betul ke apa yang kakak kamu katakan
ni,” celah Datin Suraya cuba menenangkan keadaan yang sedikit tegang.
“Cakaplah dik. Betul ke apa yang Laila katakan ni?” Kali ini
Adif pula yang menyoal Liyana. Dia juga tidak sabar untuk mengetahui cerita
yang sebenarnya.
Liyana tergamam dengan pertanyaan Adif dan Datin Suraya. Sungguh
hatinya terguris dengan pertanyaan mereka berdua. Terasa dirinya bersendirian
di waktu itu. Kelihatan Laila sedang tersenyum sinis kepadanya di samping Dato’
Zulkifli. Selama ini Laila sering mendapat sokongan daripada Dato’ Zulkifli. Walaupun
tidak bersalah, tetapi masih dianggap salah oleh Dato’ Zulkifli. Dipandang pula
wajah ibu dan abangnya. Riak tidak berpuas hati jelas kelihatan di wajah mereka
berdua. Dan akhirnya, matanya dijatuhkan ke wajah tegang Dato’ Zulkifli.
Tatkala melihat wajah Dato’ Zulkifli, matanya mulai berkaca. Apa yang
membuatkan ayah begitu membenci Lia? rintih Liyana.
“Ya… memang betul apa yang Kak Laila katakan tu. Memang Lia
yang berkejar-kejaran dengan seorang lelaki. Memang Lia yang menendang kaki
lelaki itu. Dan memang Lia yang malukan Kak Laila di hadapan kawan-kawan Kak
Laila. Penjelasan apa lagi yang ayah nak dari Lia,” balas Liyana sedikit
meninggi. Bukan niatnya untuk menjadi anak derhaka dan kurang ajar. Tetapi jika
didesak sehingga menyebabkan hatinya terguris, maka dari itu dia terpaksa
mempertahankan dirinya sendiri.
“Betulkan apa yang Laila katakan tadi. Lia ni suka memalukan
keluarga kita, malukan ayah. Laila benci punya adik seperti Lia,” beritahu
Laila kesal. Jika boleh dia tidak mahu punya adik seperti Liyana. Selalu
memalukan dan menyusahkan mereka sekeluarga.
Tersentak Liyana mendengarnya. Begitukah perasaan Laila
terhadapnya selama ini? Benci sungguhkah Laila terhadapnya? Selama ini dia cuba
untuk berbaik-baik dengan Laila, tetapi sikap Laila telah menolaknya jauh dari
menjadi sebahagian hidup Laila. Ya ALLAH, kuatkan hatiku untuk hadapi semua
ini, doa Liyana di dalam hati.
“Sudahlah, tak perlulah kita bincangkannya lagi. Perkara pun
dah jadi, tak boleh nak diputarkan semula. Dah Lia… pergi naik atas,” sampuk
Datin Suraya cuba mententeramkan suasana. Seperti biasa Datin Suraya selalu
bertindak sebagai pengaman negara.
Liyana mengangguk. Tidak berani untuk bersuara. Hanya berserah
kepada ALLAH akan nasibnya itu. Walaupun hanya dia sahaja yang tahu akan
hakikat yang sebenar. Belum sempat kakinya menapak, Dato’ Zulkifli sudah pun berdiri
dan bercekak pinggang.
“Mulai hari ini kereta dan duit saku kamu ayah tarik balik.
Pandai-pandai la kamu nak hidup,” kata Dato’ Zulkifli tegas. “Sebagai
pengajaran dan hukuman buat kamu Lia. Anak tak sedar diuntung. Suka menyusahkan
ayah dan ibu,” sambung Dato’ Zulkifli dan membawa langkahnya menuju ke tingkat
atas.
“Ayah… ayah tak boleh buat Lia begitu,” bangkang Adif yang
sedari tadi membisu. Dia menghampiri Dato’ Zulkifli yang sudah pun berada di
kaki anak tangga.
“Kenapa ayah tak boleh buat begitu? Aku ni ayah kamu dan ada
hak untuk berbuat begitu,” balas Dato’ Zulkifli sedikit meninggi. Matanya tajam
memandang Adif.
“Tapi ayah…”
“Tak ada tapi… tapi. Dan kamu Adif, ayah bagi amaran pada
kamu. Jangan sesekali kamu menolong dia. Kalau ayah dapat tahu kamu menolong
dia, ayah takkan teragak-agak menarik ke semua kemewahan yang ayah berikan pada
kamu juga Adif. Ingat tu!” amaran Dato’ Zulkifli keras. Dia menyambung
langkahnya menuju ke tingkat atas.
Adif terkedu. Sungguh tidak menyangka Dato’ Zulkifli sanggup
berbuat begitu terhadap Liyana. Apa salah Liyana sehinggakan Dato’ Zulkifli menghukum
Liyana sebegitu. Jika dilihat dari segi logik, takkan disebabkan perkara
sekecil itu mahu diperbesar-besarkan. Dia memandang wajah Laila. Kemenangan
jelas tergambar di wajah itu. Kemudian dia mengalihkan pandangan ke Liyana.
Wajah sayu adiknya itu ditatap penuh kasih. Wajah yang sentiasa tenang ketika
menghadapi apa-apa situasi.
Liyana terduduk. Sungguh tidak menyangka bahawa Dato’
Zulkifli sanggup memperlakukannya seperti itu. Kini barulah dia jelas akan
kedudukannya di hati Dato’ Zulkifli. Ternyata Dato’ Zulkifli tidak pernah
menyayanginya seperti Adif dan Laila. Sabarlah hati, pujuk Liyana sendiri.
“Lia…” panggil Datin Suraya sambil menyentuh lembut bahu
Liyana.
Tanpa membalas kata-kata Datin Suraya, Liyana bingkas bangun
dan menuju ke bilik. Panggilan Adif tidak dihiraukan. Buat waktu dan ketika
ini, dia perlu bersendirian. Bersendirian untuk menghadapi semua keputusan yang
telah dibuat oleh Dato’ Zulkifli. Bersendirian untuk memikirkan tentang dirinya
sendiri.
Liyana melabuhkan punggung di birai katil. Keluhan yang
berat dilepaskan. Keluhan yang hampir melumpuhkan jiwa dan perasaannya. Keluhan
yang selama ini menjadi peneman hidupnya. Keluhan yang menjadi kelemahan buat
dirinya.
“Apa yang harus aku buat sekarang ni?” soal Liyana
sendirian. “Perlukah aku mengalah? Perlukah aku berserah pada nasib dan takdir?
Perlukah aku menerimanya dengan hati yang terbuka?” sambungnya lagi berserta
keluhan untuk kesekian kalinya.
Liyana mencapai telefon bimbit. Nombor telefon Fazura di dail.
Dia perlu meluahkan perasaan pada seseorang dan orang itu adalah kawan baiknya
Fazura. Fazura sentiasa ada bersamanya di waktu dia menghadapi masalah dan
konflik keluarga. Fazura sahabat yang setia dari dulu hinggalah sekarang.
Perkenalannya dengan Fazura sudah menjangkau sepuluh tahun. Sejak dari sekolah
menengah lagi mereka berdua berkawan rapat. Segala masalah dikongsi bersama.
Hanya Fazura tempatnya mengadu dan dia bersyukur kerana punya kawan sebaik
Fazura.
“Beb… pukul berapa
dah ni?” rungut Fazura di hujung talian.
“Sorrylah beb. Kau dah tidur ke?” kesal Liyana
sambil mengerling jam di dinding. Masa menginjak ke angka sebelas tiga puluh
minit malam.
“Belum lagi, tapi dah nak kuyu mata aku ni. Tunggu masa aje
nak lelapkannya,” balas Fazura sambil menggosok-gosok matanya yang semakin
kuyu.
Liyana serba salah. Terasa dirinya mengganggu masa rehat
Fazura.
“Zura… aku nak tanya? Offer
kau masih on lagi tak?” suara Liyana
perlahan. Cuba menahan sebak di dada. Cuba menahan air mata dari gugur.
“Offer? Offer apa lagi ni. Kan siang tadi kau
dah settlekan masalah kereta kau tu.
Masalah apa lagi ni Lia?” soal Fazura. Kurang mengerti akan maksud Liyana.
“Tentang tawaran kerja di syarikat tempat kau bekerja tu.
Masih on lagi tau tak?”
“Oh… yang tu. Bukan ke kau tak ready lagi nak kerja,”
“Sekarang aku dah ready
nak kerja Zura,”
“Kenapa tiba-tiba pulak? Kau rahsiakan sesuatu dari aku ke
Lia?” duga Fazura ingin tahu. Dia yakin Liyana sedang menghadapi masalah. Jika
tidak, mustahil Liyana bertukar fikiran dalam masa sehari sahaja.
“Tak ada apa-apa. Aku memang dah ready nak kerja. Mungkin dah datang seru kerja aku tu,” ujar Liyana
berserta ketawa kecil.
Berkerut dahi Fazura mendengarnya. Dirasakan kelainan bunyi
ketawa Liyana. Ada sesuatu bebanan yang sedang ditanggung oleh Liyana waktu
ini. Dan dia akan mencari sebab dan penyebabnya.
“Zura… kau dengar tak ni?” sergah Liyana apabila mendapati
Fazura membisu di hujung talian.
“Ya… ya… aku dengar. Macam nilah, esok aku cuba tanyakan
untuk kau. Kalau nasib kau baik, Insya-ALLAH, adalah rezeki untuk kau kat situ,”
beritahu Fazura.
“Baiklah, aku tunggu berita dari kau,” ujar Liyana seraya
mematikan talian telefon.
“Lia… Lia…” panggil Fazura namun talian sudah lama
dimatikan.
Hisy… kenapa dengan Lia ni? Mesti ada benda yang tak kena
lagi ni. Sah... mesti pasal ayahnya. Kalau bukan sebab ayahnya, Lia takkan
bersikap begitu, monolog Fazura.
Liyana membaringkan tubuh di atas katil. Telefon bimbit diletakkan
di atas meja kecil yang berada di sisi katil. Terasa berat di kepala kerana
asyik memikirkan masalah. Buat permulaan, dia perlu mencari kerja yang
bersesuaian untuk menampung kos hidupnya nanti. Mujurlah dia punya wang
simpanan sedikit dan mungkin dengan duit itu, dia akan memulakan hidupnya yang
baru. Biarlah dia cuba hidup sendiri tanpa bantuan sesiapa.
Jika boleh dia mahu keluar dari rumah itu. Rumah yang begitu
menyesakkan nafasnya. Rumah yang tidak memberi ketenangan buat dirinya. Rumah
yang menenggelamkan dirinya sendiri. Jika bukan kerana Datin Suraya, sudah lama
dia keluar dari rumah itu selepas dia menamatkan pengajian di universiti tempatan.
Hidup dalam kebencian, begitu perit buat dirinya. Namun dicekalkan hati menghadapi
semua itu.
Pernah suatu masa dulu dia menyuarakan hasrat untuk tinggal
menyewa bersama Fazura, tetapi ditentang keras oleh Datin Suraya dan Adif
Haikal. Malah dia diugut oleh Datin Suraya membuatkan dirinya menjadi serba
salah untuk meninggalkan rumah itu. Ugutan yang membuatkan jantungnya berdegup
dengan kencang. Ugutan yang melibatkan nyawa Datin Suraya sendiri. Begitu kejam
Datin Suraya ketika itu. Tergamak mengugutnya sebegitu sekali gara-gara tidak
membenarkannya keluar dari rumah itu.
Ingin menjaga hati ibu, hati sendiri yang terguris. Bukan
sekali dua hatinya terguris, malah berkali-kali. Seperti diguris dengan sebilah
pisau belati. Tiada ubat yang bisa menyembuhkan parut di dalam hati. Walaupun
berkali-kali diberi ubat, namun hatinya masih lagi berparut dan tidak mungkin
akan diubati buat selama-lamanya. Dan dia yakin, suatu hari nanti hatinya tidak
mungkin dapat disembuhkan. Hanya ALLAH sahaja yang tahu akan perasaannya selama
ini.
“Ya ALLAH, tabahkan hatiku dalam menghadapi ujian-MU ini,”
doa Liyana sendirian.
Liyana memejamkan mata. Cuba mencari ketenangan dan
kedamaian jiwa. Cuba menghapus kedukaan di dalam hati sendiri. Cuba mengubati
luka di hati sendiri. Dan dia berharap hatinya akan kembali pulih ketika esok
hari menjelma.
Komen
dari anda semua amat saya perlukan. Sekurang-kurangnya saya tahu anda semua menghargai penulisan saya ini.
Thanks… :D
cepat sambung kak
BalasPadamInsya-ALLAH.. nantikan ya.. :)
Padampergh...konflik sgt2...pe lah nasib liyana...malang sgguh..uhuhuhu...xsabar nak tggu next n3...hehhehe
BalasPadama'ah, malang sungguh nasib Liyana.. sabar menanti 4 the next n3 ya adikku zielra.. hihi.. :D
Padamkesian Lia... klau akak jd dia, buat apa nk menagih kasih dr ayah yg x sudi... kluar dr umah... mulakan hidup baru.. bkan putus hubungan pn dgn ibu sendiri... buat c ibu tu paham apa yg dia rasakan selama ni... Lia ada pelajaran... ada sahabat yg baik... teruskan hidup di tempat yg baru...
BalasPadamKak Hanim.. klu sy jd Lia pun sy akan buat perkara y sama.. xpe kak, kita tgk apa akn terjadi pd Lia.. sabar menanti 4 the next n3.. :D
Padamcik writer memang pandai wat sy sentap bce setiap bab yg dikarang....
BalasPadambest giler....ase nk nangis je terbayang-bayang nasib liyana tu.
by the way HM ble ye kuar versi cetak?
thanks Ven coz mbc GB.. sy y menulis pn turut tersentap.. Insya-ALLAH HM versi cetak akn keluar coz surat setuju terbit dh sign ari tu... bl?? x sure.. nti apa2 sy inform kat blog.. :)
Padampart yg buat sue menangis.. kesian dgn nasib Liyana..huhuhu, terasa sedih sgt2 mengenangkan nasib anak yg terpinggir..
BalasPadamhuhu.. btl tue sue.. akk pn turut beremosi, tp lps 2 kita hepi.. btl x?? hehe.. :D
Padamhehehe... lepas tu?? happy... sampai tergelak n tersengih-sengih mase bace.. :-)
Padamhurm, dpt dibygkan.. sdgkan akak y menulisnya pn dh tersenyum2 n tersengih sorg2, inikan pulak sue y membacanya.. hihi.. :D
Padamiye la kak... mmg mengusik perasaan btul, hihihi... teruskan menulis GB sampai siap kak.. tak sabar sue nak bace ni.. :-)
Padamhehe.. tgh berusaha utk menyiapkannya.. jgn senyum sorg2 ya sue.. huhu.. :)
Padamhehehe... dah tak boleh nak cover arr kak skrg ni... time duduk sorg2 pun sue boleh tersenyum sorg2 biler teringtkan Amirul n Liyana.. Angau sgt2 dah..
Padamhehe.. part y plg sweet, ttg key chain n note coklat tue.. :D
Padamaah.. dua2 part tu mmg sweet sgt2, senyum sampai telinga dibuat ye.. hehehe..
Padamkihkih.. cemburu punya psl.. :D
Padamape ke hai nya bodo sgt si laila nih.. mcm tu pon malu ke.. herm.. ape mslah ayah die ek.. xsabo nak tau
BalasPadamLaila tu mmg sengaja nk buat ayahnya bertambah benci pd Liyana.. ntikan bab seterusnya.. thanks coz membaca GB.. ;)
Padamsedihnyer ak bce..huhu..bru bab 2 nieh
BalasPadamthanks coz membaca GB.. semoga GB dpt menarik minat anda.. ;)
Padamsian liyana :(
BalasPadamyup!! mmg kesian kat Liyana.. bab ke atas lg kesian.. huhu.. :)
Padamsedihnye bab ni.. geram nye ngan laila....
BalasPadamYup!! mmg geram kat laila tu..
Padam