Rabu, 18 Januari 2012

Gurauan Berkasih - Bab 3


BAB 3

“Kat Menara Samudera ni ada tiga bahagian, pentadbiran, operasi dan kewangan. Pentadbiran di tingkat atas sekali. Pengarah Urusan, Pengurus Besar dan lain-lain yang berpangkat besar berada di tingkat atas. Tingkat dua, bahagian operasi dan tingkat tiga bahagian kewangan,” jelas Fazura serba sedikit mengenai Samudera Holding. Dia berharap Liyana memahami akan penerangannya itu.
“Oh… besar juga ya Samudera Holding ni. Eh… kau pulak kat tingkat berapa?” kagum dan soal Liyana. Matanya melilau melihat keadaan sekeliling Samudera Holding. Begitu teruja melihatnya. Syukur di dalam hati kerana memperoleh pekerjaan sebagai Junior Executive Project di syarikat itu.
“Aku kat tingkat atas, pentadbiran. Kau kat tingkat dua, bahagian operasi,” ujar Fazura. “Eh… bos kau tu handsome tau Lia, single lagi. Kalau kau nak tackle dia, aku boleh tolongkan,” sambung Fazura teruja. Teruja kerana niatnya untuk memadankan Liyana dengan Pengurus Projek semakin menjadi.
“Sejak bila pulak kau jadi ajen cari jodoh ni,” usik Liyana sambil menyiku lengan Fazura.
“Betullah, aku tak main-main. Tapi… handsome lagi bos aku kat tingkat atas tu,” cerita Fazura lagi. Rasa gembira masih bersisa di dalam hati.
Liyana sekadar menyengih. Dia menggeleng kecil melihat gelagat Fazura. Entah mengapa dia turut sama teruja bekerja di situ. Siapa yang tidak kenal dengan Samudera Holding. Syarikat pembinaan yang terkenal di Kuala Lumpur. Rasa bangga kerana dapat bekerja di situ.
Mereka berdua melangkah masuk ke dalam perut lif. Setelah pintu lif ditutup, Fazura menekan tingkat dua untuk ke bahagian operasi. Bahagian di mana Liyana ditempatkan. Lif bergerak pantas mengikut arahan. Setelah tiba di destinasi, pantas Fazura menarik Liyana mengikutnya. Dia perlu memperkenalkan Liyana dengan Encik Harris Hakimi merangkap Pengurus Projek, bos Liyana.
“Mari aku kenalkan dengan bos kau, Encik Harris Hakimi Hilman,” ajak Fazura sambil melangkah jalan menuju ke bilik Harris.
“Bos aku?” ulang Liyana sedikit terkejut.
Fazura sekadar menggangguk. Dia mengetuk pintu bilik Harris dan memulas tombol pintu setelah mendapat arahan masuk.
“Maaf Encik Harris, mengganggu,” ujar Fazura dan menapak masuk ke dalam bilik. Kelihatan Harris sedang meneliti beberapa fail di hadapannya.
“Ha… Fazura, silakan duduk. Ada hal apa?” balas Harris sambil menutup fail yang sedang dibacanya sebentar tadi. Pandangannya jatuh ke wajah Fazura dan kemudian itu ke wajah Liyana.
Fazura melabuhkan duduk berhadapan dengan Harris. Liyana turut sama duduk di sebelah Fazura. Terasa jantung berdegup kencang tatkala menyedari pandangan Harris terhadapnya. Alamak! Kenapa dia tengok aku semacam aje ni. Ada yang tak kena ke dengan muka aku ni, bisik hati kecil Liyana.
“Saya nak kenalkan Encik Harris dengan pekerja baru di syarikat kita,” suara Fazura menyedarkan Harris dari memandang Liyana.
“Pekerja baru?” ulang Harris berserta kerutan di dahi. “Oh… maaf saya lupa. Encik Zainal ada bagitau pada saya tentang ni,” sambungnya sambil menepuk dahi.
Fazura mengangguk sambil tertawa kecil. Geli hati melihat gelagat Harris. Hisy… muda-muda lagi dah pelupa, getus hati Fazura.
“Kenalkan Nur Liyana Safiyah, pembantu Encik Harris,” bicara Fazura sambil mengunjukkan tangan kepada Liyana.
Nur Liyana Safiyah, ulang Harris di dalam hati. Di amati wajah Liyana seketika. Terasa tenang tatkala melihatnya. Dia memberanikan diri menentang anak mata Liyana. Kedukaan dan kesedihan tersembunyi di sebalik anak mata itu.
“Liyana!” suara Liyana dan menghulurkan tangan untuk berjabat. “Harap Encik Harris dapat memberi tunjuk ajar kepada saya selama saya bekerja di sini dan di bawah pengurusan Encik Harris,” sambung Liyana berserta senyuman di bibir.
Harris menyambut jabatan Liyana. Matanya masih tertancap ke muka Liyana. Ada sesuatu yang menarik minatnya pada wajah itu.
“Insya-ALLAH… semoga kita dapat bekerjasama dengan sebaik mungkin. Kalau Cik Liyana ada masalah apa-apa, jangan segan dan malu bertanya dengan saya. Saya akan cuba membantunya,” balas Harris turut sama tersenyum.
“Kalau macam tu, saya minta diri dulu Encik Harris. Saya serahkan Liyana pada Encik Harris sajalah ya. Saya tak boleh lama-lama kat sini. Nanti bos saya yang satu tu, mengamuk pulak. Encik Harris macam la tak kenal dengan Encik Amirul tu, singa dalam zoo pun takut dengannya,” komen Fazura jujur. Itulah yang dirasakan terhadap bos kecilnya Amirul selama dia bekerja di situ.
“Ada-ada ajelah awak ni Fazura. Dibuatnya bos awak tu dengar apa yang awak cakapkan ni, tak ke jadi satu isu pulak. Saya tak nak tolong awak nanti, pandai-pandailah awak ya Fazura,” usik Harris turut sama tertawa. Geli hati mendengar kompelin dari Fazura itu.
Liyana sekadar mendengar. Tidak mahu menyampuk dengan apa yang dibualkan oleh mereka berdua. Matanya sibuk melilau melihat keadaan di dalam bilik Harris. Besar, kemas dan teratur. Dekorasinya begitu menenangkan dan mendamaikan. Pemilihan warna lembut purple light begitu menyejukkan mata yang memandang.
“Okey Lia… aku tinggalkan kau dengan Encik Harris. Aku jumpa kau tengahari ni,” ujar Fazura dan menapak keluar dari bilik. Dia melemparkan senyuman makna buat Liyana dan Harris.
Liyana sekadar mengangguk. Dia mengekori Fazura sehingga ke muka pintu bilik. Wajahnya yang tenang berubah gelisah. Gelisah untuk berhadapan dengan Harris di dalam bilik itu.
“Jangan risau, bos kau tu baik orangnya. Single lagi kalau kau nak tacklenya. Dari tadi aku perasan dia dok asyik tengok kau aje,” usik Fazura perlahan di telinga Liyana. Mengerti akan perubahan di wajah Liyana. Kemudian itu, dia tertawa kecil melihatkan rona merah di wajah Liyana.
“Kau jangan nak merepeklah Zura!” geram Liyana sambil mencubit lengan Fazura. Fazura mengaduh kesakitan. Seminit kemudian, dia meninggalkan Liyana di dalam bilik itu menuju ke tempat kerjanya. Hatinya berbunga riang.
So… bila nak mula?” tanya Harris sebaik sahaja kelibat Fazura hilang di sebalik pintu.
“Ha… mula? Mula apa?” ulang Liyana kurang mengerti. Dia mengerutkan dahi.
Harris tertawa melihat riak wajah Liyana. Ternyata Liyana seorang yang suka berkhayal. Liyana punya daya tarikan sendiri. Mungkin dia ni seorang yang kelakar, desis Harris.
“Mula kerja. Bila Cik Liyana boleh mulakan kerja? Kalau dah…”
“Sekarang!!” pintas Liyana laju. Seketika itu, dia menekup mulut tatkala menyedari tingkahnya itu. “Oppss!!! Sorry. Teruja sangat, tu yang laju aje jawabnya,” sambung Liyana sedikit kesal. Kesal dengan tingkahnya yang tidak sabar itu.
“Awak ni kelakar juga orangnya ya,” komen Harris berserta ketawa yang masih bersisa. Dia menghampiri Liyana yang sedang kaku berdiri bagaikan patung cendana lagaknya.
Liyana tersenyum nipis. Dia menggeleng kecil memikirkan tingkahnya sebentar tadi. Apa la aku ni, buat malu ajelah. Cubalah bersabar sikit, marah Liyana sendirian.
“Macam nilah Cik Liyana. Saya kenalkan Cik Liyana dengan staf-staf yang lain dulu. Lepas tu baru saya fikirkan kerja apa yang hendak saya bagikan pada Cik Liyana,” beritahu Harris sekadar mengikut prosedur yang telah ditetapkan bagi seseorang pekerja baru.
“Baiklah Encik Harris. Saya yang menurut perintah akan memberi khidmat yang cemerlang, gemilang dan terbilang buat syarikat ini. Lagi satu, Encik Harris boleh tolong saya tak?” ujar Liyana sekadar mengusik. Suka melihat wajah kerutan Harris. Comel!!
“Tolong? Tolong apa?” ulang Harris berserta kerutan di dahi.
Hai, siapa yang bos ni, aku ke dia.
“Tolong jangan panggil saya Cik Liyana. Terasa saya ni dah tua pulak kalau panggil dengan panggilan tu. Saya baru dua puluh tiga tahun Encik Harris. Kalau nak kahwin pun, belum tentu lulus,”  ngomel Liyana dan tertawa kecil. Geli hati dengan kata-katanya sendiri.
Terburai ketawa Harris mendengar omelan Liyana itu. Liyana memang kelakar orangnya. Hatinya senang dengan perangai Liyana. Belum pernah lagi dia merasa gembira seperti itu. Selama ini hidupnya hanya untuk bekerja sehinggakan masa untuknya berhibur terbatas disebabkan kerja.
“Yang Encik Harris ni ketawa kenapa? Saya ada buat lawak ke?” tanya Liyana kehairanan. Berkerut-kerut di memandang Harris. Kepalanya yang tidak gatal digaru berkali-kali.
“Saya senang dengan awak Liyana…”
“Lia…” potong Liyana.
Okey… okey… Lia… belum pernah saya merasa gembira seperti hari ini. Walaupun baru hari ini saya mengenali awak, tapi saya dapat rasakan keserasian antara awak dan saya,” jujur Harris. Itulah yang sebenarnya tatkala melihat dan mengenali Liyana walaupun baru beberapa minit sahaja.
“Erm… Encik Harris belum kenal dengan saya lagi. Kalau Encik Harris dah betul-betul kenal dengan saya, saya pasti Encik Harris akan terkejut beruk malah beruk dalam zoo pun tak terkejut macam Encik Harris nanti,” gurau Liyana dan tersengih.
Makin galak Harris ketawa. Sudah terlalu lama dia tidak ketawa. Dan hari ini dia akan ketawa sepuas–puas hatinya. Melepaskan segala tekanan dan bebanan yang membelenggu selama ini.
“Sudahlah Lia. Mari, saya kenalkan Lia dengan staf-staf yang lain,” tegah Harris dan membawa diri keluar dari bilik. Jika tidak dihentikan, entah apa lagi yang akan dilawakkan oleh Liyana.
Liyana sekadar mengangguk. Dia mengekori Harris dari belakang. Hatinya gembira mendapat seorang bos yang sporting dan kelakar. Eh! Kelakar ke? Sesungguhnya itulah yang diharapkan. Sekurang-kurang tidaklah ada tekanan dalam kerjanya nanti.


Amirul mengerling jam di tangan. Hampir sepuluh minit dia menunggu. Namun kelibat Harris tidak juga muncul-muncul. Hatinya yang sejuk menjadi panas dengan tiba-tiba. Dia bukanlah seorang penyabar. Dia juga tidak suka menunggu. Jika diikutkan hati yang panas, mahu saja dia meninggalkan restoran itu. Tetapi disebabkan janjinya pada Harris, maka disabarkan diri menunggu di situ. Sejak dari kecil lagi dia diajar agar menepati janji. Kata Tan Sri Khalil, jangan sesekali memungkiri janji. Janji perlu ditepati dan amat penting bagi keluarga menepati janji. Tidak mahu dipandang serong jika memungkiri janji. Dan kini dia mengikut segala kata-kata Tan Sri Khalil. Janji harus ditepati.
Amirul mengeluh kecil. Dia menyandarkan badan ke belakang. Minuman yang dipesan dihirup perlahan. Pertemuannya dengan Shasha terimbas di fikiran. Difikirkan pertemuan itu menjadi kenangan terindah, tetapi merupakan kenangan pahit baginya. Pertengkaran berlaku gara-gara Shasha menolak cadangannya untuk berumah tangga. Dia tidak mahu Tan Sri Khalil menjodohkannya dengan orang lain. Dia punya hak untuk memilih. Jika bukan kerana cadangan Tan Sri Khalil, tidak mungkin dia dan Shasha akan bertengkar dan sekali gus tidak menghubungi antara satu sama lain selama dua minggu.
“You tak boleh nak paksa I, Amirul. I ada hak untuk menolak atau menerimanya,” kata Shasha tegas. Matanya tajam ke muka Amirul. Sungguh bukan ini yang dimahukan oleh Shasha.
“Sha… please. Sampai bila kita nak macam ni. I cintakan you. I sayangkan you. Apa tak cukup lagi ke untuk kita kukuhkan percintaan kita dengan ikatan perkahwinan,” suara Amirul sedikit merayu. Tangan Shasha digenggam erat.
Shasha mendengus kasar. Dia menarik tangannya dari genggaman Amirul. Tidak dinafikan dia juga menyintai dan menyayangi Amirul. Tetapi itu tidak bermakna dia perlu mengikat dirinya dengan ikatan perkahwinan. Dia belum terfikir untuk ke arah itu. Dia lebih selesa hidup begini. Bebas tanpa kongkongan sesiapa termasuklah papa dan mamanya.
Sorry Amirul, I tak sedia lagi untuk ke arah itu. Kalau you nak kahwin, you kahwinlah. I tak kesah dengan siapa you nak kahwin,” tolak Shasha tanpa rasa bersalah.
“Apa yang you katakan ni Shasha?” marah Amirul.
“Betullah apa yang I katakan ni. Kalau you dah kemaruk sangat nak kahwin, you kahwinlah. I tak kesah dan I takkan halang kalau you nak kahwin,” beritahu Shasha selamba. Dia menyandarkan badan ke kereta dan berpeluk tubuh di situ.
“You sedar tak apa yang you katakan ni Shasha?” ulang Amirul inginkan kepastian.
“Ya…” jawab Shasha sepatah.
“You jangan cabar I Shasha. Kalau I betul-betul kahwin macam mana?” desak Amirul keras. Panas hatinya mendengar kata-kata Shasha sebentar tadi.
“I tak cabar you Amirul. Tapi kalau you rasa tercabar, pandai-pandai youlah. I tak nak masuk campur,” balas Shasha dan mengatur langkah untuk beredar dari situ.
Bagi Shasha, tidak ada gunanya dia bertekak dengan Amirul. Dia jelas dengan apa yang diperkatakannya tadi. Dia juga yakin Amirul tidak akan melukakan hatinya. Selama ini, Amirul begitu setia dengannya. Amirul begitu menyintai dan menyayanginya. Maka dari sebab itulah dia selalu mengambil kesempatan ke atas Amirul. Amirul begitu bodoh dalam bercinta.
“Baiklah Shasha. I akan buktikan pada you yang I akan berkahwin tidak lama lagi. Dan masa tu, kalau you nak kembali pada I, tak ada gunanya lagi. I akan pastikan you menyesal Shasha,” balas Amirul sedikit menjerit. Dia yakin Shasha mendengar kata-katanya itu walaupun Shasha sudah melangkah jauh dari tempat di mana dia berdiri.
“Lama tunggu?” tegur Harris sambil melabuhkan duduk berhadapan Amirul.
Amirul terkejut dengan teguran Harris. Lamunannya sebentar tadi berterbangan dengan sendiri.
Sorrylah, aku ada hal tadi. Aku bawa staf baru aku melawat kawasan,” beritahu Harris jujur. Dia mengangkat tangan ke arah pelayan yang berbaju putih dan berseluar hitam.
“Nasi gorang cendawan dan jus tembikai,” pesan Harris sebaik sahaja pelayan berada di hadapannya. Seminit kemudian, dia menjatuhkan pandangan ke arah Amirul selepas pelayan itu beredar dari situ.
“Kau kenapa? Monyok aje muka tu aku tengok. Kucing kau mati ke?” tanya Harris bernada usikan. Berkerut dia melihat muka Amirul. Seperti menanggung bebanan yang berat.
Amirul melepaskan keluhan berat. Ingatannya masih kepada Shasha. Kata-kata Shasha masih lagi terngiang-ngiang di cuping telinga. Bagaimana untuk menyahut cabaran Shasha? Jika dia menyahut cabaran Shasha, bermakna dia menyakiti hatinya sendiri. Jika tidak diikutkan, bermakna dia dianggap sebagai seorang lelaki yang pengecut dan dia tidak mahu dianggap sebegitu. Tambahan pula di hadapan Shasha.
“Aku ada masalahlah Harris,” ujar Amirul perlahan.
“Masalah? Masalah apa? Cuba kau ceritakan pada aku. Mana tahu aku boleh tolongnya,” pelawa Harris. Dia mengucapkan terima kasih kepada pelayan selepas pelayan meletakkan makanan dan minuman yang dipesannya tadi di atas meja. Tanpa membuang masa, dia menyudukan nasi goreng cendawan ke dalam mulutnya.
“Papa nak jodohkan aku dengan anak kawan baiknya. Kaukan tahu aku dah ada Shasha,” mulai Amirul. “Shasha pulak belum bersedia nak berumah tangga. Malah dia cabar aku berkahwin dengan orang lain. Peninglah kepala aku dibuatnya Ris. Mana satu yang nak aku ikutkan,” cerita Amirul berserta keluhan berat. Dia menghirup minumannya yang tinggal separuh itu.
“Kalau dah macam tu, ikut ajelah kata Pak Long. Mungkin ada sebabnya kenapa Pak Long nak jodohkan kau dengan anak kawan baiknya tu,” balas Harris ikhlas.
“Cakap memanglah senang. Sekarang masalahnya di sini. Di sini yang tak menginginkannya,” bidas Amirul sambil jari telunjuk diunjukkan ke dadanya sendiri.
“Apa kata kau kenal dulu dengan perempuan tu. Kalau kau tak suka, kau tolak ajelah. Kalau kau suka, kau onlah,” cadang Harris sekadar menyedapkan hati Amirul.
“Erm… tengoklah macam mana. Aku nak fikirkannya dulu,” ujar Amirul lemah. Matanya membuang pandang ke luar restoran.
“Suka hati kaulah. Asalkan kau bahagia Rul. Kau dari dulu sampailah sekarang, masalah kau cuma jodoh… jodoh. Buat apa kau nak pening-peningkan kepala memikirkannya. Berserah saja pada ALLAH. Hanya DIA sahaja yang tahu apa yang terbaik buat kita Rul,” bebel Harris namun diselitkan dengan sedikit nasihat. Berharap Amirul mendengar nasihatnya itu.
“Yalah ustaz!!” sindir Amirul. Panas pula telinganya mendengar bebelan Harris. “So, apa cerita ngan staf baru kau tu? Lelaki ke perempuan? Aku pasti mesti lelaki kan?” tanya Amirul ingin tahu. Berita mengenai pekerja baru sudah diketahuinya dari Pengurus Sumber Manusia dan dia belum berkesempatan untuk mengenali pekerja tersebut.
Harris meletakkan sudu dan garpu di tepi pinggan. Tisu dicapai dari dalam kotak lalu mengelap mulutnya sehingga bersih. Terasa teruja untuk bercerita mengenai Liyana kepada Amirul. Sungguh dia amat menyenangi karektor Liyana. Liyana seorang yang periang, kelakar, sempoi, selamba malah cantik membuatkan dia sentiasa tersenyum tatkala nama Liyana meniti di bibir. Walaupun baru beberapa jam mengenali Liyana, dapat dirasakan yang hatinya sudah terpaut pada gadis itu.
“Yang kau senyum macam kerang busuk tu kenapa? Ada cerita yang aku tak tahu ke?” tegur Amirul kehairanan. Gila ke Harris ni, desisnya.
“Erm… perempuan,” ujar Harris berserta senyuman. “Baru beberapa jam aku kenal dengan dia, hati aku dah terpaut pada dia,” luah Harris jujur. Entah kenapa dia merasakan jantungnya berdegup dengan kencang apabila memikirkan tentang Liyana.
“Woo… kau biar betul. Takkan semudah tu kau jatuh cinta?” curiga Amirul. Dia menggelengkan kepala beberapa kali. Haris… Haris… mudah sangat jatuh cinta, bisiknya.
“Kau belum kenal dengan dia lagi Rul. Kalau kau dah kenal dengan dia, pasti kau akan merasakan apa yang aku rasakan sekarang ni,” bidas Harris serius. Sungguh dia amat gembira berada di sisi Liyana.
Wellokey. Aku pasti akan berjumpa dengan dia. Lagipun Menara Samudera tu bukannya besar manakan?” balas Amirul seakan mengejek Harris. Entah apa-apa Harris ni. Tak pe aku nak tengok perempuan mana yang dah angaukan dia ni, desis hati Amirul.
“Aku sendiri yang akan kenalkan dia dengan kau nanti,” ujar Harris tidak mahu mengalah. Terasa Amirul mentertawakan serta memperlekehkannya.
Amirul tersenyum pahit. Matanya memerhati raut wajah Harris. Jelas kegembiraan di raut wajah itu. Sudah agak lama dia tidak melihat Harris tersenyum dan tertawa. Kenangan dua tahun yang lepas benar-benar memberi kesan terhadap kehidupan Harris. Rasa cinta terhadap gadis pujaannya dulu membawa seribu kedukaan dalam hidup Harris. Sehingga membuatkan hidup Harris porak peranda dan hilang tujuan. Semangat Harris hilang sepertimana hilangnya kekasih hatinya itu.
Selama dua tahun Harris menyulam cinta dengan gadis pujaannya, Azlin. Kata sepakat telah dimeteri, namun pada hari sepatutnya mereka disatukan, Azlin menghilangkan diri tanpa sebarang pesanan. Maka dari itu, Harris merasa tertipu dengan perbuatan Azlin. Hatinya terluka dan kecewa dengan apa yang telah Azlin lakukan. Disebabkan itu, hatinya menolak keras kehadiran seorang perempuan. Sudah beberapa kali Pak Ngahnya, papa Harris memperkenalkan Harris dengan anak-anak rakan perniagaan Pak Ngah, namun semuanya tidak berhasil. Pintu hati Harris sudah tertutup rapat buat insan yang bernama perempuan.
Mungkinkah suatu hari nanti dia akan menjadi seperti Harris jika Shasha melarikan diri sepertimana Azlin? Persoalan yang selalu bermain di fikirannya selama ini. Tabahkah hatinya untuk menerima jika perkara itu berlaku? Mungkin ya dan mungkin juga tidak. Hanya pada ALLAH dia berserah dan hanya pada DIA juga dia berdoa agar hubungannya dengan Shasha berkekalan hingga ke ikatan perkahwinan. Tetapi, apa yang telah berlaku sekarang? Shasha semakin menjauh dari hidupnya. Dan kini dia meragui perasaannya sendiri terhadap Shasha.


“Tak pe, aku boleh balik sendiri. Kau jangan risaulah,” beritahu Liyana cuba menghalau kerisauan di hati Fazura.
“Kau pasti ke? Kau nak aku tunggu kau tak?” soal Fazura lagi inginkan kepastian.
“Kau baliklah dulu. Aku ada kerja yang nak dibuatkan ni,”
“Erm… kalau macam tu, aku balik dululah,”
“Aku jumpa kau kat rumah,” ujar Liyana dan mematikan talian.
Liyana menyambung kerjanya semula. Baru hari pertama, dia sudah dibebani dengan kerja yang banyak. Menyesal pula dia bekerja di situ. Jika bukan disebabkan desakan hidup, mahu sahaja dia mencari kerja yang diminatinya. Kerja sebagai pereka fesyen, itu yang menjadi idamannya selama ini.
“Lia… kenapa tak balik lagi?” tegur Harris tatkala melalui meja Liyana.
Liyana mengangkat muka. Harris sedang berdiri di hadapannya berserta senyuman di bibir. Berkerut-kerut dia memandang wajah Harris. Seperti ada sesuatu pada wajah itu.
“Kenapa tengok saya macam tu?” tanya Harris kehairanan. Ada apa kat muka aku ni?
“Lia rasa macam pernah tengok muka Harris. Tapi di mana ya?” Liyana berteka-teki. Dia cuba mengamati wajah Harris semula. Ya, wajah Harris saling tak tumpah dengan mamat hingus yang menjadi seterunya beberapa minggu yang lalu.
“Mestilah Lia pernah tengok. Kan muka tu muka saya,” usik Harris berserta ketawa kecil.
“Ya ALLAH… betullah tu. Muka Harris yang Lia tengok sekarang ni,” gurau Liyana sambil menepuk dahi. “Tapi… Lia macam pernah tengok iras-iras macam muka Harris. Harris ada kembar ke?” sambung Liyana masih curiga.
“Eh… tak adalah. Saya anak tunggal. Mungkin pelanduk dua serupa kot,” bidas Harris sambil melabuhkan duduk di hadapan Liyana.
“Oh… maybe,” balas Liyana dan menyambung semula kerjanya yang tertangguh.
Harris hanya memerhatikan tingkah Liyana. Penuh khusyuk dan asyik dia melihat Liyana. Hatinya berbunga riang tatkala melihat wajah itu. Terasa debaran di hati. Jantungnya berdegup dengan kencang melebihi 120km/j.
Hisyy… nape dia tengok aku macam tu? Seram aku dengan renungannya. Malu aku dibuatnya. Lia… control ayu sikit. Jangan tunjukkan perangai tak senonoh kau tu. Liyana bermonolog sendirian.
“Erk… Harris tak nak balik ke?” suara Liyana memecahkan kesunyian di ruang itu.
Harris menggaru kepala. Apa yang harus dijawabkan? Kalau boleh dia tidak mahu berganjak dari memandang Liyana. Terasa tenang memandang wajah Liyana.
“Lia pulak, tak nak balik ke?” Harris memulangkan soalan itu kepada Liyana.
“Saya tunggu prince charming saya datang ambil. Pukul dua belas tengah malam karang,” sambil melihat jam di tangan. “Tinggal enam jam lagi untuk saya menunggunya,” sambung Liyana dengan wajah yang sengaja diseriuskan.
Prince charming?” ulang Harris. “Lia dah ada boyfriend ke?” Harris berterus-terang bertanya. Ada baiknya dia berterus-terang bertanyakan soal itu. Maka dari itu, bolehlah dia membataskan hatinya agar tidak terjebak dalam percintaan semula.
Boyfriend?” ulang Liyana pula.
Dia menyandarkan badan ke belakang. Matanya jatuh ke muka Harris. Entah mengapa kotak memorinya ligat mengimbau semula pertemuan dengan mamat hingus itu. Hatinya terasa berdebar-debar malah jantungnya berdegup dengan kencang tatkala mengingati peristiwa itu. Apakah semua ni?
Belum sempat untuk Liyana menjawab, telefon bimbitnya berbunyi. Lantas dia mencapai telefon bimbit dan menekan butang hijau tanpa melihat nombor di screen terlebih dahulu. Dilekapkan ke telinga dan mendengar suara di hujung talian.
“Assalamualaikum Lia,” seru Adif dari hujung talian.
Tersentak Liyana seketika. Dia menjawab salam dari dalam hatinya sahaja.
“Maaf Harris, Lia nak jawab phone call ni. Kalau Harris nak balik… baliklah. Tak perlu tunggu Lia. Lia boleh balik sendiri,” ujar Liyana sambil tangannya menekup telefon bimbit. Khuatir akan didengari oleh Adif.
“Baiklah. Lia jaga diri. Kalau ada apa-apa, bagitau saya,” balas Harris seraya bangun.
Liyana sekadar mengangguk. Ekor matanya sahaja mengekori langkah Harris hingga langkah itu hilang dari pandangan mata.
“Ada apa abang?” tanya Liyana acuh tak acuh.
Selama dua minggu dia keluar dari rumah, baru hari ini Adif menelefonnya. Ternyata dia tidak diperlukan di rumah Dato’ Zulkifli. Malah pemergiannya juga tidak mendapat halangan dari sesiapa mahupun ibunya sendiri.
“Abang nak jumpa Lia boleh?”
“Untuk apa?”
“Salah ke abang berjumpa dengan adiknya?” tanya Adif keras.
Liyana mengeluh berat. Bukannya dia tidak mahu. Tetapi untuk apa berjumpa jika ianya akan menambahkan lagi kelukaan di hati.
“Lia sibuklah bang. Lain kali ajelah kita jumpa,” dalih Liyana lembut.
“Lia sibukkan apa? Merayau ke sana ke mari. Lepak sana sini. Itu yang Lia sibukkan,” tanya Adif sinis. Masih tidak berpuas hati.
“Abang, Lia…”
“Restoran Seri Melayu, pukul 9.00 malam. Abang tunggu Lia kat sana!” putus Adif dan mematikan talian telefon.
Tergamam Liyana dibuatnya. Sungguh tidak menyangka tindakan Adif. Suka memaksa jika tidak mengikut arahannya. Perangai Adif tidak ubah seperti Dato’ Zulkifli. Suka memaksa tanpa kerelaan hati. Mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.
Liyana mengerling jam di tangan. Waktu baru merangkak ke angka enam tiga puluh minit petang. Masih berbaki dua jam tiga puluh minit sebelum perjumpaannya dengan Adif. Lantas dia mengemas fail-fail di atas meja dan mencapai beg tangan dari dalam laci. Kemudian, dia menapak keluar dari pejabat dan menuju ke lif untuk turun ke bawah. Dalam keterpaksaan, dia merelakan diri mengikut arahan Adif. Mujurlah masih ada lagi pekerja yang bekerja selewat begini. Jika tidak bagaimana untuk mengunci pejabat sedangkan dia masih belum mendapat kunci pejabat.
Liyana segera masuk ke dalam lif sebaik sahaja pintu lif dibuka. Dia melemparkan senyuman kepada lelaki yang berada di dalam lif itu. Di amati lelaki tersebut. Mungkin sebaya ayah, fikirnya. Lantas dia menekan butang G untuk turun ke tingkat bawah. Setelah sepuluh minit menunggu, pintu lif terbuka dan dia menapak keluar dari perut lif. Mujurlah kawasan itu berhampiran dengan perhentian bas dan teksi. Maka dari itu, mudah baginya untuk mendapatkan perkhidmatan awam dalam waktu-waktu sebegini.
Liyana membawa langkah menuju ke perhentian teksi. Matanya membelingas ke kanan dan ke kiri untuk menyeberangi jalan. Kereta yang bersimpang siuh, menyukarkan untuk menyeberangi jalan. Kenapalah tak buat jejantas saja kat sini? Kan senang, tak payah tunggu lama-lama nak ke seberang, rungut Liyana. Matanya masih lagi meninjau-ninjau keadaan di jalan raya itu. Entah mengapa matanya tertancap kepada lelaki yang ditemuinya di dalam lif tadi. Lelaki itu sedang berbual di telefon tanpa menoleh ke kiri dan ke kanan. Kereta semakin laju membelah arus. Tersalah langkah, pasti akan dilanggar jika sesiapa cuba untuk menyeberangi jalan tersebut.
“Encik!!” jerit Liyana tatkala menyedari sebuah kereta sedang menuju ke arah lelaki itu. Lantas dia berlari mendapatkan lelaki itu.
“Encik!! Kereta tu!!” jeritnya lagi. Namun jeritannya tidak didengari oleh lelaki itu. Masih ralit berbual dengan seseorang di telefon.
Tanpa membuang masa, Liyana segera menerpa tubuh lelaki itu daripada di langgar. Terjelepuk mereka berdua jatuh ke tanah. Terasa sakit badannya akibat dihimpap oleh lelaki tersebut.
“Encik tak ada apa-apa?” tanya Liyana cemas. “Inilah sikap pemandu di Malaysia ni. Suka hati aje diorang nak bawa kereta tanpa memikirkan keselamatan orang lain,” komen Liyana seraya bangun dari jatuhnya. Dia membantu lelaki itu untuk bangun. “Encik tak ada apa-apa” ulang Liyana kepada soalannya yang tadi.
“Tak ada apa-apa. Terima kasih banyak-banyak kerana membantu saya,” ujar Tan Sri Khalil sambil mengurut-urut dadanya yang terasa sakit. Mungkin disebabkan jatuh tadi.
“Syukur alhamdulillah. Lain kali jangan berbual di telefon ketika menyeberangi jalan,” nasihat Liyana sekadar peringatan. Dia membantu Tan Sri Khalil duduk di bangku yang tersedia di perhentian teksi itu. Matanya melihat keadaan Tan Sri Khalil.
Tan Sri Khalil tersenyum nipis. Dia mengangguk membenarkan kata-kata Liyana. Sungguh mulia hati gadis di hadapannya itu. Sanggup mengorbankan nyawa sendiri untuk menyelamatkan orang lain yang dalam kesusahan.
“Ya ALLAH… phone encik!!” jerit Liyana sambil mencapai telefon bimbit yang hancur menampakkan isi alam tidak jauh dari mereka berdua duduk. Dihulurkan telefon itu kepada tuannya. “Maaf… sebab saya phone encik rosak. Nanti saya gantikan yang baru,” kesal Liyana. Jika bukan disebabkan dia, mungkin telefon itu masih elok berfungsi.
Aduh!! Macam mana ni? Aku mana ada duit nak gantinya kalau dia suruh aku ganti balik. Tengoklah handphone dia. Mak aii!! Mesti beribu-ribu harganya. Tulah siapa suruh gatal-gatal mulut kata nak menggantikannya, bebel Liyana di dalam hati.
“Eh… tak mengapa. Tak perlulah anak menggantikannya. Saya cukup bersyukur kerana anak menyelamatkan saya. Jika bukan anak, sudah tentu saya dah kena langgar dengan kereta tu tadi,” bidas Tan Sri Khalil. Dia memasukkan telefon bimbitnya ke dalam poket seluar.
“Tak pe. Perkara kecil saja. Kalau bukan saya, tentu orang lain pun akan berbuat sepertimana saya lakukan,” balas Liyana merendah diri. Kush semangat! Nasib dia tak suruh gantinya. Kalau tidak, alamatnya kerja cuci pingganlah kat kedai mamak barang seminggu dua ni, bicara hati Liyana.
“Saya minta diri dululah encik. Teksi pun dah sampai tu,” ujar Liyana seraya bangun.
“Mari saya hantarkan!” pelawa Tan Sri Khalil ikhlas.
“Eh… tak mengapalah. Saya tak nak susahkan encik. Saya rasa ada baiknya encik ke klinik, check apa yang patut. Takut-takut ada yang terluka di dalam ataupun luar,” tolak Liyana ikhlas.
“Anak pun kena juga ke klinik. Siku anak tu dah berdarah saya tengoknya,” bidas Tan Sri Khalil sebaik sahaja melihat luka di siku Liyana.
Liyana mengangkat sikunya. Terbeliak matanya melihat luka di sikunya sendiri. Lengan bajunya turut sama terkoyak. Hampir pitam melihat darah yang mengalir di siku. Namun cuba dikawal sebaik mungkin. Nanti satu hal pulak dia nak angkat aku kalau aku pitam, bisik hati Liyana.
“Erk… tak pe. Sikit saja ni. Saya minta diri dululah, assalamualaikum,” ujar Liyana dan menghulurkan tangan untuk bersalam. Sebagai menghormati orang yang lebih tua darinya walaupun baru pertama kali berjumpa.
Tan Sri Khalil menyambut salaman Liyana. Dia mengusap lembut ubun rambut Liyana. Tersentak Liyana dengan perlakuan Tan Sri Khalil. Matanya mulai berkaca. Terasa terharu dengan perlakuan itu. Belum pernah dia merasa seperti disayangi. Setiap kali dia cuba bersalaman dengan Dato’ Zulkifli, ayahnya pantas menyorokkan tangan. Seperti jijik untuk bersentuhan atau bersalaman dengannya.
“Terima kasih,” ucap Liyana dan beredar dari situ. Dia menyeka air mata yang hampir gugur.


“Lia apa khabar Adif?” tanya Datin Suraya sebaik sahaja terlihat kelibat Adif memasuki rumah. Dia melabuhkan duduk di atas sofa. Menanti jawapan dari Adif.
Adif melangkah longlai menuju ke sofa. Direbahkan dirinya di situ. Pertanyaann Datin Suraya dipandang sepi. Entah mengapa hatinya menolak untuk bercerita tentang Liyana. Hatinya terusik jika membangkitkan tentang Liyana. Sedih dan pilu mengenangkan nasib adiknya itu. Kenapa Liyana terpaksa menanggung bebanan ini keseorangan?
“Sudahlah bang. Lia tak salahkan abang mahupun sesiapa. Lia sedar siapa diri Lia yang sebenarnya. Lia banyak menyusahkan keluarga abang. Lia anak yang tak sedar di untung,” beritahu Liyana memulangkan semula kata-kata yang pernah dilontarkan oleh Adif dan juga Dato’ Zulkifli.
“Lia… abang minta maaf. Abang jumpa Lia sebab abang nak tolong Lia,” jelas Adif. Selama dua minggu ini hatinya tidak tenteram dan tenang. Sering memikirkan keadaan Liyana. Risau di hati hanya tuhan sahaja yang tahu.
Liyana tersenyum pahit. Dia memandang Adif dengan pandangan yang kosong. Seperti hatinya juga kosong tanpa ada rasa apa-apa walaupun mereka berdua adik beradik kandung.
“Tak mengapalah bang. Tahulah bagaimana Lia nak uruskan hidup Lia sendiri. Lia nikan suka merayau, melepak sana sini. Mungkin dengan cara itu Lia boleh dapat duit,” sindir Liyana seperti memulangkan paku buah keras kepada Adif. Namun diselitkan sedikit usikan dalam kata-katanya itu.
Terkejut Adif mendengarnya. Terasa dirinya disindir. Namun dia tidak boleh menyalahkan Liyana kerana apa yang diperkatakan oleh Liyana datang dari mulutnya sendiri.
“Kalau tak ada apa-apa lagi, Lia minta diri dulu. Dah jauh malam ni. Susah pulak Lia nak dapatkan teksi nanti,” ujar Liyana seraya bangun dari duduk.
“Lia… kalau Lia perlukan apa-apa, Lia bagitau abang,” pelawa Adif ikhlas.
“Setakat ni, alhamdulillah. Lia masih boleh berdiri sendiri. Dan Lia tak nak ayah tarik ke semua kemewahan abang pulak,” balas Liyana dan menghilangkan diri di sebalik orang ramai yang lalu-lalang di hadapan restoran itu.
Adif mengeluh berat. Mukanya diraup beberapa kali. Begitu keras hati Liyana. Liyana bukanlah orang seperti itu. Selama dia hidup bersama Liyana, Liyana lebih suka bersikap tenang dan menerima semuanya dengan rela hati. Tetapi kali ini, Liyana seakan berdendam dengannya dan juga ayah. Apa yang harus dilakukan lagi demi kesejahteraan hidup adiknya itu?
“Adif… ibu tanya ni? Lia apa khabar?” ulang Datin Suraya mematikan lamunan Adif yang panjang.
“Lia sihat ibu,” balas Adif berbasa-basi.
“Lia dah kerja ke Adif? Lia tinggal kat mana sekarang ni? Cukup ke makan pakai Lia tu Adif?” tanya Datin Suraya bertalu-talu. Risau hatinya memikirkan soal anaknya yang bongsu itu.
“Adif tak tahu ibu. Lia tak bagitau Adif semua tu,”
“Kenapa Adif tak tanya Lia? Ibu risaukan dia Adif. Hati ibu mana yang tak sedih melihat anaknya sorang-sorang di luar sana.” Datin Suraya meluahkan apa yang terpendam selama ini.
“Insya-ALLAH ibu, Lia tak ada apa-apa. Adif yakin dengan Lia,” balas Adif cuba menenangkan hati dan perasaan Datin Suraya. Dipandang kasih wajah ibunya itu. Terasa hiba apabila melihatnya.
“Ibu tetap risau Adif,” ujar Datin Suraya sambil cuba menyeka air matanya dari gugur.
Adif menghampiri Datin Suraya lalu memeluknya. Cuba menyalurkan semangat buat Datin Suraya. Selama ini hanya Liyana tempat Datin Suraya bermanja. Hanya Liyana yang sering ketawa dan bergurau senda dengan Datin Suraya. Tetapi kini, kenangan itu hanya tinggal kenangan. Rumah yang dahulunya ceria, kini suram disebabkan ketiadaan Liyana. Hanya Liyana yang bisa menceriakan suasana di rumah itu.
“Buat apa nak dirisaukan dengan anak yang tak sedar di untung tu. Biar dia merasa sikit susah senangnya mencari duit. Ini tidak, tahu nak mengabiskan duit mak bapak aje,” komen Dato’ Zulkifli sinis dari arah tangga.
Serentak itu Adif dan Datin Suraya menoleh ke arah Dato’ Zulkifli.
“Kamu tu Adif, yang kamu pergi jumpa dia tu kenapa? Kalau ayah tahu kamu bantu dia, ayah tak teragak-agak kotakan kata-kata ayah hari tu,” ugut Dato’ Zulkifli tegas. Dia melabuhkan duduk berhadapan dengan Datin Suraya dan Adif.
“Bang… kenapa abang berkeras sangat dengan Lia. Diakan anak abang juga,” suara Datin Suraya tidak berpuas hati dengan kata-kata Dato’ Zulkifli. Pilu di hati tatkala mendengarnya.
“Siapa kata Lia tu anak saya. Dia anak awak dan bukan anak saya,” pintas Dato’ Zulkifli.
“Ayah… ibu… apa yang ayah dan ibu maksudkan ni?” sampuk Adif kurang mengerti.
Terkejut mendengar kenyataan yang keluar dari mulut Dato’ Zulkifli itu. Berkerut-kerut dia memandang wajah Datin Suraya dan Dato’ Zulkifli. Seperti ada rahsia yang cuba disembunyikan oleh Datin Suraya dan Dato’ Zulkifli dari pengetahuan mereka adik-beradik. Lia bukan anak ayah dan ibu?
Tersentak Dato’ Zulkifli dan Datin Suraya. Mereka berdua saling berpandangan antara satu sama lain. Datin Suraya beriak gelisah. Dato’ Zulkifli berkerut dahi. Khuatir Adif akan bertanyakan lebih lagi tentang kenyataan mereka berdua tadi.
“Tak ada apa. Ayah Adif tu kalau marah, semuanya dia hamburkan,” dalih Datin Suraya cuba menutup kegelisahan di hati. Wajah Dato’ Zulkifli yang dalam kegelisahan dipandang mesra.
“Betul ke ayah?”
“Betul apa Adif?”
“Tentang Lia. Kenapa ayah cakap macam tu tadi? Lia bukan anak ayah dan ibu ke?” desak Adif inginkan jawapan. Berlegar-legar di kotak fikirannya tentang Liyana.
“Hisy… kamu ni Adif. Kenapa tanya ayah macam tu? Sudah tentulah Lia tu anak ayah dan ibu,” bidas Dato’ Zulkifli keras cuba mengusir rasa curiga Adif.
“Dahlah… Adif pergilah tidur. Dah lewat malam ni. Esok nak kerja kan?” sampuk Datin Suraya seraya bangun sekali gus menukar topik perbualan mereka anak-beranak.
Adif mengangguk. Bingkas dia bangun dan membawa langkah menuju ke bilik. Hatinya masih lagi tertanya-tanya. Apa yang dimaksudkan oleh ayah dan ibu sebentar tadi? Adakah Lia bukan anak ayah dan ibu? Adakah Lia hanya anak angkat dalam keluarganya? Pelbagai persoalan yang sedang bermain di benak hatinya. Dan dia perlu mencari jawapan pada setiap persoalannya itu.



22 ulasan:

  1. akhirnye akak n3 juga...uhuhuhuh...nak lg kak..makin best la...hehhehe....jgn2 en.haris dgn liyana kn..ohohohoh

    BalasPadam
    Balasan
    1. huhu... cukup2lah ya adikku zielra.. nti akk n3 bab seterusnya.. ap2 pn thanks coz follow GB.. ;)

      Padam
  2. Harris Hakimi dgn Liyana ker???.... Jeng..Jeng.Jeng...

    BalasPadam
    Balasan
    1. syyhhh.... jgn bgtau sape2.. rahsia kita berdua.. hihi.. :)

      Padam
    2. iye...iye... Biarlah Rahsia.. hehehe

      Padam
    3. hehe.. jom layan lagu GB.. ingat lagu GB ingat Amirul & Liyana.. :D

      Padam
    4. Jom... I Follow, sentiase igt Amirul n Liyana... :-)

      Padam
    5. jgn lupakan Tg Hariz & Aisya.. ;)

      Padam
    6. ehhh... tak, mane boleh lupe kat TH & Aisya.. sentiase di Hati tu... Dulu, Kini dan Selamanya.. Hatimu Milikku..

      Padam
    7. hihi... TH & Aisya alwaz in my heart.. :)

      Padam
  3. haisshhh... makin curious nak tau ni... anak angkat ke? sian liaa,, nti jumpe ngan amirul gado lagi.. jgn amirul main kasar pecat dia suda laa..

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehe.. anak angkat ke x?? dlm bab ke atas ada jwpnnya.. erm, gaduh ke diorg.. jeng3.. sesuatu y tdk di duga akn berlaku bl diorg bertemu.. ntikan ya.. :)

      Padam
    2. yeke... ni yg best nii.. i can't wait.. hehehe

      Padam
    3. hehe.. thanks mizz acu.. sabar menanti utk n3 yg seterusnya ya.. ;)

      Padam
  4. mula baca happy...tiba2 meleleh lak airmata.....touching part lia bersalam dgn tan sri khalil... lia ank angkat ke?? hariss suka lia?? akak sambung n3 jgn lmbat2... :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. thanks dear coz membaca GB.. Insya-ALLAH akn dismbg.. lia ank angkat atau pn x?? ada jwpnnya nti.. ermmm.. harris suka lia?? agaknya suka ke tak ya.. hehe.. ;)

      Padam
  5. hai akak! cerita ni best, tp still HM gak first choice :) goodluck utk siapkan cerita ni! complicated betul GB ni, XD

    BalasPadam
    Balasan
    1. hai Ika.. terima kasih atas ucapan itu.. Insya-ALLAH, akak akn berusaha siapkan GB.. yup!! HM still my 1st choice.. but HM n GB ada kekuatan msg2.. apa2 pn terima kasih Ika coz membaca karya akak.. ;)

      Padam
  6. erm.....sedih ngenangkan nasib Lia....nape ayah dia tu..berat sebelah...geram..

    BalasPadam
    Balasan
    1. huhu.. ada sebbnya nape ayah Lia tu berat sebelah..

      Padam
  7. semakin tertanye2 pe jadi seterusnya.. :)

    BalasPadam